Anda Pengunjung Ke :

Showing posts with label Istana. Show all posts
Showing posts with label Istana. Show all posts

Friday, 20 February 2015

KENANGAN RAJA-RAJA : Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Siri KENANGAN RAJA-RAJA merupakan satu siri pengkisahan raja-raja Melayu yang pernah menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Pada siri yang lepas, dua orang raja Melayu terawal yang menjadi ketua negara telah dibawakan kisah baginda-baginda sekalian. Raja yang seterusnya pernah menjadi monarki paling lama bertakhta di dunia. Baginda yang dimaksudkan ialah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 3 yang merupakan Raja Perlis 

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Harun Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail,
D.K., S.P.M.P., D.K.M., D.M.N., D.K.(Brunei), D.K.(Selangor), S.P.D.K.(Sabah), D.K.(Kelantan), D.P.(Sarawak), DK.(Kedah), D.K.(Pahang), D.K.(Johor), D.K.(NegeriSembilan), D.P.S.S.(Sarawak), D.K.(Perak), D.K.(Terengganu), D.K.M.B.(Brunei), Knight Commander of St Micheal & St George (K.C.M.G.) (United Kingdom), Grand Cordon Raja Of  The Order Of Sikatuna (Philipines), The Great Cross of The Royal Order of Cambodia, The Most Auspicious Order Of The Royal Friendship Of  Thailand, Collar of The Supreme Order Of The  Chrysanthemum(Japan),Grand Cordon of the Order of Hussein Bin Ali (Jordan),Grand Collar of The Order of the Nile (United Arab Republic), Queen Elizabeth II Coronation Medal. 


Tuanku Syed Putra ketika zaman muda baginda.

Tuanku Syed Putra diputerakan dengan nama YM Syed Harun Putra Ibni Syed Hassan Jamalullail pada 25 November 1920 di Bandar Diraja Arau. Baginda merupakan putera sulung kepada YM Tuan Syed Hassan Ibni Almarhum Tuan Syed Mahmud AlHaj Ibni Almarhum Raja Syed Safi Jamalullail. Baginda merupakan cicit kepada Raja Perlis Raja Syed Safi Ibni Almarhum Tuan Syed Alwi Jamalullail yang memerintah Perlis pada tahun 1897 hingga 1904. Bonda baginda pula ialah YM Che Puan Wan Teh Binti Endut. Ayahanda baginda dilantik sebagai Bakal Raja pada tahun 1934. Namun, ayahanda baginda mangkat pada tahun 1935, ketika baginda berusia 15 tahun. 


Tuanku Syed Putra mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Arau Perlis dan seterusnya ke Sekolah Inggeris dan Penang Free School, Georgetown, Pulau Pinang pada tahun 1937 hingga 1939. Baginda juga pernah belajar di Hutchings School di India. Baginda mula berkhidmat dengan pentadbiran negeri Perlis pada tahun 1940, ketika berusia 20 tahun. Baginda dihantar bekerja di bahagian Pejabat Tanah dan dilatih sebagai seorang majistret di Mahkamah Kangar. Seterusnya pada tahun 1941, Tuanku Syed Putra ditukarkan ke Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur sebagai Majistret Kelas Kedua. Pada usia yang muda, baginda telah didedahkan selok belok pentadbiran dan menjadi seorang majistret. Baginda telah diberi latihan secukupnya untuk menjadi seorang pemerintah negeri.

Dari kiri : Permaisuri Thailand Permaisuri Sirikit, Tengku Budriah, Tuanku Syed Putra dan Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej.

Pada 30 April 1938, Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Bakal Raja Perlis. Raja Perlis ketika itu adalah ayahanda saudara baginda, Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Namun, Raja Syed Alwi tidak mempunyai seorang anak pun. Lalu, pewaris takhta negeri Perlis terdiri daripada adinda-adinda Raja Syed Alwi. Namun, pada tahun 1938, Tuanku Syed Putra selaku anakanda saudara Raja Syed Alwi dilantik sebagai Bakal Raja dengan undian 3 berbalas 1. Satu yang tidak bersetuju ialah Syed Hamzah Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, Tuanku Syed Putra dilucutkan gelaran sebagai Bakal Raja oleh Jepun dan digantikan oleh ayahanda saudara baginda Syed Hamzah Syed Safi Jamalullail. Tuanku Syed Putra yang ketika itu bertugas di Kuala Lumpur dinasihati oleh Sultan Selangor, Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah untuk kekal di Kuala Lumpur.
Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Tuanku Syed Putra dan keluarga baginda menetap di Klang,Selangor sehingga 15 Mei 1941. Baginda sekeluarga kembali ke Perlis dan tinggal di sebuah pondok berdekatan stesen keretapi Kangar. Baginda menerima elaun $90 sebulan daripada Raja Syed Alwi. Raja Syed Alwi mangkat pada 1 Februari 1943 dan digantikan oleh Raja Syed Hamzah Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Mulai dari itu, elaun Tuanku Syed Putra ditarik balik. Pada 29 Mac 1945, Tuanku Syed Putra sekeluarga berangkat ke Kelantan, negeri kelahiran isteri baginda, Tengku Budriah Tengku Ismail. Di sini baginda menjual kuih muih dan pelbagai barangan untuk mendapat sumber rezeki untuk menyara keluarga baginda. Apabila Jepun menyerah kalah dan Pentadbiran Tentera British mengambil alih, Raja Syed Hamzah diturunkan takhta dan digantikan oleh Tuanku Syed Putra pada 4 Disember 1945. Raja Syed Hamzah dibuang negeri ke Thailand dan kemudiannya kembali ke Perlis dan mangkat di Arau pada tahun 1958. Tuanku Syed Putra ditabalkan sebagai Raja Perlis pada 12 Mac 1949 sewaktu berusia 29 tahun.


Ketika istiadat pertabalan baginda sebagai Raja Perlis.

Tuanku Syed Putra mendirikan rumah tangga pada 7 Mac 1941 dengan YM Tengku Budriah Binti Tengku Ismail, seorang kerabat diraja Patani.Ketika itu baginda berusia 21 tahun manakala Tengku Budriah berusia 17 tahun. Tengku Budriah merupakan puteri kepada YAM Tengku Mek Haji Ismail Ibni Almarhum Tengku Besar dan YAM Tengku Besar Zubaidah Binti Almarhum Tengku Abdul Kadir. Bonda Tengku Budriah merupakan cucunda kepada Raja Patani, Sultan Sharif Alauddin Shah. Perkahwinan baginda berdua diadakan di Kampung Telipot, Kota Bharu, Kelantan. Apabila Tuanku Syed Putra menaiki takhta Perlis, Tengku Budriah bergelar Raja Perempuan Perlis dan seterusnya Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong 

Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail,
D.K.,S.S.P.J.,D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kelantan),S.P.M.K.,A.M.N.,The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),The Great Cross Of Agriculture Merit(Cambodia), First Class Of The Order Of Precious Crown(Japan),Nahdar Star First Class (Pakistan),United Arab Republic Order of Makal Perfection.

Baginda berdua dianugerahkan dengan 5 putera dan 5 puteri. Putera sulung baginda kini bergelar Raja Perlis, KDYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Putera baginda yang lain ialah YAM Tengku Sharif Bendahara Dato' Seri DiRaja Syed Badaruddin, YAM Tengku Sharif Temenggong Dato' Seri DiRaja Syed Amir Zainal Abidin, YAM Tengku Laksamana Dato' Seri DiRaja Syed Razlan, dan YAM Tengku Panglima Dato' Seri DiRaja Tan Sri Syed Zainal Anwar. Manakala puteri-puteri baginda pula ialah YAM Tengku Puteri Utama Dato' Seri DiRaja Sharifah Salwa, YAM Dato' Seri DiRaja Sharifah Jalaina, YAM Tengku Puan Laksamana Kelantan Dato' Seri DiRaja Sharifah Azwan, YAM Dato' Seri Sharifah Junetta dan YAM Dato' Seri Sharifah Endah. Tengku Budriah bergelar Raja Perempuan Besar Perlis bermula tahun 2000 hingga kemangkatan baginda pada 28 November 2008 ketika berusia 84 tahun. Tengku Budriah dimakamkan di Makam DiRaja Arau.


Tuanku Syed Putra berkahwin untuk kali kedua dengan Che Puan Mariam Binti Abdullah pada 18 Julai 1952 di Bangkok, Thailand. Che Puan Mariam atau nama sebenarnya Riam Pessayanavin yang dilahirkan pada 23 April 1924 merupakan wanita Thailand yang berketurunan Melayu. Beliau memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan Tuanku Syed Putra. Che Puan Mariam merupakan Miss Thailand tahun 1940. Perkahwinan baginda kali ini mempunyai 3 putera dan seorang puteri. Putera-putera baginda ialah YAM Dato' Seri Syed Zainal Rashid, YAM Dato' Seri Syed Azni dan YAM Dato' Seri Syed Badlishah.Puteri tunggal baginda bersama Che Puan Mariam ialah YAM Dato' Seri Sharifah Melanie. Che Puan Mariam meninggal dunia pada tahun 1986 ketika berusia 62 tahun.

Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah di atas takhta singgahsana Istana Negara.

Apabila Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman mangkat, Timbalan Yang Di Pertuan Agong Sultan Hisamuddin dilantik menjadi Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1960. Serentak dengan itu, Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertuan Agong pada 14 April 1960. Beberapa bulan selepas itu, Sultan Hisamuddin mangkat. Maka, Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 3 pada 21 September 1960 ketika berusia 40 tahun. Baginda merupakan Yang Di Pertuan Agong termuda dalam sejarah. Baginda ditabalkan secara rasmi pada 4 Januari 1961 di Istana Negara Kuala Lumpur. Di bawah pemerintahan baginda, negara Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Ini menjadikan baginda sebagai Yang Di Pertuan Agong terakhir bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Yang Di Pertuan Agong Pertama bagi Malaysia. Baginda juga merupakan satu-satunya Raja bagi negara Singapura dalam sejarah moden. 



Keluarga DiRaja Perlis ketika tahun 1950-an.

Baginda bekerjasama dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dalam memajukan negara. Baginda seringkali mengadakan lawatan ke luar negara untuk belajar selok belok pentadbiran. Antara monumen yang dibina semasa pemerintahan baginda ialah Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, dan Masjid Negara. Namun, satu peristiwa sedih berlaku sebulan sebelum baginda meninggalkan tugas sebagai Yang Di Pertuan Agong. Singapura telah berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tuanku Syed Putra merupakan Raja pertama yang melengkapkan tempoh 5 tahun bertakhta di atas takhta kerajaan persekutuan iaitu pada 20 September 1965. Jawatan Yang Di Pertuan Agong diisi oleh Sultan Terengganu Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.


Ketika menunaikan fardhu Haji di Makkah.

Tuanku Syed Putra kembali memerintah negeri Perlis bermula tahun 1965. Baginda menyambut Jubli Perak pemerintahan sebagai Raja Perlis pada tahun 1970. Pada ketika itu baginda berusia 50 tahun. Ketika itu, baginda merupakan Raja Melayu paling kanan dan paling senior dalam Majlis Raja-Raja Melayu. Baginda memainkan peranan baginda sebagai Raja paling kanan dalam isu krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1983 dan 1993. Kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan membuatkan baginda dihormati ditambah dengan pengalaman luas dalam pentadbiran negeri. Baginda menyambut Jubli Emas Pemerintahan pada 4 Disember 1995 pada usia 75 tahun. 

Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (U.S.M.) pada tahun 1972. Baginda menyandang jawatan itu selama 28 tahun sehingga tahun 2000. Baginda banyak dianugerahi darjah kebesaran luar negara antaranya dari negara Brunei, Kemboja, Jepun, Jordan, Pakistan, Filipina, Arab Saudi dan Thailand. Pada tahun 1956, Queen Elizabeth II menganugerahi baginda dengan darjah kebesaran Knight Commander of the Order of St Michael and St George (K.C.M.G.) yang membawa gelaran Sir. 

Tuanku Syed Putra bersalaman dengan kanak-kanak selepas selesai menunaikan solat di masjid.

Baginda mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 16 April 2000 setelah 55 tahun memerintah Perlis. Baginda mangkat ketika berusia 80 tahun. Ketika itu, baginda merupakan Raja yang paling lama bertakhta di dunia. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Arau, Perlis penuh adat istiadat diraja. Anakanda lelaki sulung baginda menggantikan baginda sebagai Raja Perlis dengan bergelar  DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Sikap sederhana yang ditunjukkan oleh Tuanku Syed Putra harus dicontohi semua pihak. Sebelum bergelar seorang raja, baginda juga pernah merasai kesusahan hidup semasa pendudukan Jepun. Hal Ini menjadikan baginda seorang raja yang memahami rakyatnya. Baginda banyak membawa perubahan kepada negeri Perlis selama 55 tahun menjadi Raja Perlis. Sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap baginda, marilah kita sama-sama sedekahkan AL FATIHAH untuk roh Almarhum. Semoga ALLAH SWT menempatkan roh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama orang-orang yang beriman.

55 Tahun sebagai Raja dan Raja Perempuan Perlis.

Tuanku Syed Putra,Tengku Budriah dan Tunku Abdul Rahman Putra.


Menerima Darjah Kebesaran Persekutuan daripada Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman.


Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Monday, 28 November 2011

Dongengan Istana Negara...



Seorang jutawan berbangsa Cina,Encik Chan Wing mahu memiliki sebuah kediaman untuk diduduki.Lalu dia mengarahkan arkitek untuk membina sebuah rumah yang paling besar dalam sejarah Kuala Lumpur.Kediaman mewah ini siap pada tahun 1928 dengan harga RM 150 000.Namun cerita bangunan bersejarah ini tidak terhenti setakat ini sahaja.


Semasa berlangsungnya perang Dunia Ke 2 sekitar tahun 1942 sehingga 1945,bangunan ini diduduki oleh pihak Tentera jepun dan dijadikan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun.Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 15 Ogos 1945,Pentadbiran Tentera British telah mengambil alih bangunan ini untuk kegunaan pegawai tentera.Kemudian,pada tahun 1950,kerajaan Negeri Selangor telah mengambil alih bangunan ini untuk dijadikan sebagai Istana Sultan Selangor,DYMM Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj sehinggalah tahun 1957.


Pada lewat tahun 1950an,Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru dibentuk telah membeli bangunan ini untuk dijadikan Istana Rasmi bagi Ketua Negara iaitu Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.Kerajaan membeli bangunan ini dengan harga RM 1.4 Juta.Seorang arkitek daripada Jabatan Kerja Raya,Encik E.K Dinsdale telah ditugaskan untuk kerja membaik pulih dan mengindahkan bangunan ini agar sesuai dijadikan sebagai Istana bagi sebuah negara yang merdeka.Beliau telah berjaya menghabiskan kerja-kerja membaik pulih hanya dalam masa 4 bulan sahaja.

 DYMM Tuanku Abdul Rahman sedang meninjau kerja membaik pulih Istana Negara.

Semasa kerja membaik pulih itu dijalankan,seramai 60 orang pekerja telah diupah,320 meter karpet berwarna kuning diraja dan biru telah dihamparkan di dalam istana,3000 liter cat berkualiti digunakan dan sedozen tenaga arkitek tempatan.Pengubahsuaian dilakukan dengan menambah bilangan bilik daripada 13 bilik kepada 20 bilik,dapur yang boleh memuatkan 100 orang,balai mengadap,4 bilik tetamu,2 balai kemasukan dan sebuah dewan santapan.
Penghawa dingin yang diimport dari Amerika Syarikat telah ditempatkan di dalam istana.Selain itu, lampu hiasan dari Perancis,set kutleri yang diperbuat daripada perak dan kristal dari negara Britain juga dibawa masuk ke dalam istana.Barang-barang elektrik pula diimport dari Jerman.Tirai Venetian dari negara Hong Kong dan jubin dari Hong Kong dan Sepanyol juga merupakan antara hiasan yang dibawa untuk mengindahkan istana.Kos keseluruhan membaik pulih istana menelan belanja sebanyak RM330 000.Kerja pemulihan itu dapat disiapkan seminggu sebelum istiadat pertabalan DYMM Tuanku Abdul Rahman sebagai Yang Dipertuan Agong pertama.Baginda ditabalkan pada 3 Ogos 1957.



Istana ini berkeluasan 11.34 hektar terletak di Jalan Syed Putra Kuala Lumpur,dibina di lereng Bukit Petaling,dan menghadap Sungai Klang.Terdapat 4 bilik utama di dalam istana ini.Terdiri daripada Balairong Seri,Dewan Mengadap,Bilik Permaisuri,dan Bilik Duta.Bagi upacara pertabalan,Balairong Seri sementara yang dibina pada tahun 1957 dengan harga RM 170 000 telah dimusnahkan pada penghujung tahun dan digantikan dengan Balairong Seri yang lebih besar.Namun,pengubahsuaian pada tahun 1980 adalah paling menyeluruh.Inilah kali pertama Singgahsana diletakkan di Balairong Seri.Singgahsana baru itu telah dibina dibawah kelolaan Arkitek dari Jabatan Kerja Raya Kapten David Wee dan Tun Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie telah mengilhamkan senibina Singgahsana itu berasaskan alat kebesaran diraja.

Balairong Seri Istana Negara.



Keseluruhan kawasan ini berpagar dan jata Yang di-Pertuan Agong adalah diletakkan pada setiap jejari besi antara dua batang tiang sekeliling pagar. Di bahagian hadapannya terdapat pintu utama dan dibina menyerupai pintu gerbang yang indah. Di kiri kanan pintu gerbang ini didirikan pula dua buah pondok khas sebagai tempat berteduh pengawal berkuda yang memakai pakaian istiadat yang segak ala Buckingham, London.
Oleh kerana kawasan istana tidak terbuka kepada orang ramai dan pelancong mengunjunginya, maka kawasan Pintu Utama Istana adalah tempat yang paling digemari oleh pelancong mengambil gambar.



 Antara ruangan dan bilik yang terdapat di Istana Negara Jalan Syed Putra:

Dewan Banquet.

Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Dewan Mengadap Kecil. 

Bilik Duta.

Bilik Menteri.

Bilik Permaisuri.
Singgahsana Istana.

 


 

Friday, 25 November 2011

Istana Negara Jalan Duta.



Istana Negara Jalan Duta merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Istana ini menggantikan Istana Negara lama yang terletak di Jalan Syed Putra dan digunakan secara rasminya pada 15 November 2011. Setakat ini, seramai 4 orang Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah bersemayam di Istana yang gah dan indah ini. Bermula dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah yang merupakan pasangan diraja pertama bersemayam di Istana ini.  Istana Negara telah menyaksikan 3 Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong iaitu pertabalan KDYMM Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Tuanku Abdul Halim dan KDYMM Tuanku Haminah pada tahun 2012, pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V pada tahun 2017 dan pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah dan KDYMM Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Bangunan keseluruhan Istana Negara.

Istana Negara Jalan Duta ini mempunya tiga komponen utama iaitu Komponen Rasmi, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran. Istana Negara ini mempunyai 3 jalan masuk utama terdiri daripada Pintu gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta. Jalan ini merupakan jalan yang digunakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-permaisuri, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan juga Ketua Kerajaan. Pintu 2 yang terletak di Jalan Semantan -Dungun merupakan jalan kegunaan tetamu-tetamu Diraja. Pintu 3 yang terletak di Jalan Sri Hartamas Mont Kiara adalah untuk kegunaan rakyat yang ingin berurusan dengan Yang Dipertuan Agong,Raja Permaisuri Agong dan Pentadbiran Istana Negara.



Kerajaan Malaysia telah mencadangkan pembinaan Istana Baru bagi menggantikan Istana Negara Layang telah digunakan sejak tahun 1957. Istana Negara Lama sebenarnya dibeli oleh kerajaan daripada seorang jutawan cina untuk dijadikan istana. Kompleks Istana Negara Baru ini dibina di atas tanah seluas 241.3 ekar yang dibahagi kepada 4 sayap termasuk kawasan meletak kenderaan. Bangunan Utama Istana Negara serta bangunan-bangunan yang lain berkeluasan lantai 90,082 meter persegi. Istana ini menelan belanja sebanyak RM 812 juta. Kontraktor utama pembinaan istana ini adalah Maya Maju Sdn Bhd dengan kontrak bernilai RM650 juta. Manakala pembinaan lebuh raya bertingkat menuju Pintu Gerbang Utama Istana pula dilakukan oleh Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan kontrak bernilai RM 130 juta.

Pintu gerbang Istana Negara.


Senibina istana melambangkan Islam dan Melayu, tatarias lampu, pemalapan dan pencahayaan luar dan dalam istana adalah berbeza. Rekaan ini bertujuan untuk mencipta suasana yang tersendiri di samping menjimatkan tenaga. Sistem ini dipusatkan dan dikawan oleh 10 butang kawalan di lokasi yang berbeza. Pentadbiran Istana Negara ini mula beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011. Istiadat menaikkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berlangsung pada 15 November 2011 sebagai simbolik bahawasanya Istana Negara Jalan Duta ini secara rasminya menjadi Istana Negara bagi Malaysia. Upacara menurunkan bendera peribadi baginda di Istana Negara Lama dilakukan pada jam 9 pagi. Manakala upacara menaikkan bendera peribadi baginda di Istana Negara Baru disempurnakan pada pukul 10.25 pagi. Acara berlangsung di Dataran Istana Negara.Upacara bermula dengan perarisan 52 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja serta 12 skuadron Istiadat Berkuda diiringi tiupan fajar. YM Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Tengku Farok Hussien Tengku Jalil kemudiannya menyerahkan bendera kepada Pemangku Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Mejar Mohd Kadri Abu Bakar. Bendera Yang Dipertuan Agong dinaikkan dengan diapit dua bendera Jalur Gemilang serta 14 bendera negeri. Kaedah menaikkan bendera pada tiang berketinggian 30 meter dilakukan secara automatik berbeza dengan Istana Lama yang dinaikkan secara manual.Upacara diakhiri dengan bacaan doa.



Antara keunikan yang dapat dilihat di Istana Negara ini adalah bilangan kubahnya yang berjumlah 22 buah keseluruhannya. Pada dua buah kubah terbesar, terdapat reka bentuk seperti sirih bertindih. Pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi yang sangat cantik. Cahaya tersebut boleh bertukar warna mengikut jenis acara rasmi yang sedang berlangsung dan dapat dilihat secara jelas di luar istana.  Majlis Penyerahan Istana Negara Baru Jalan Duta telah diadakan di Dewan Serbaguna Diraja diantara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan Pihak Pengurusan Istana Negara pada 18 Oktober 2011. Aturcara penyerahan bangunan disempurnakan dengan sesi menandatangani penyerahan dan penerimaan sijil penyeraha bangunan di antara Timbalan Ketua Setiausaha Kanan YBhg Datuk Othman bin Haji Mahmood dari JPM dan YM Dato' Pengelola Bijaya Diraja YM Tengku Datuk Farok Hussein Bin Tengku Abdul Jalil yang mewakili pihak Istana Negara.


Ruang menunggu.

Komponen utama di dalam Istana Negara ini adalah Balairong Seri yang menempatkan Singgahsana Kerajaan Malaysia. Singgahsana ini merupakan titik tumpuan di dalam Balairong Seri di mana Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan bersemayam semasa Istiadat-istiadat rasmi. Balairong Seri ini digunakan untuk Istiadat Pertabalan, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan juga Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Selain Singgahsana di dalam Balairong Seri, terdapat juga Singgahsana Kecil yang digunakan untuk fungsi-fungsi yang tertentu. Singgahsana Kecil ini digunakan untuk tujuan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Menyimpan Rahsia sebagai Menteri Persekutuan (jika diadakan secara berasingan daripada Istiadat Penuh yang melibatkan semua menteri), Istiadat Watikah Pelantikan Sebagai Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara, Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Istiadat Mengadap dan Menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada Ketua Pengarah SPRM, Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah. 


Singgahsana Istana Negara.

Satu lagi bilik yang penting di dalam Istana Negara adalah Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Bilik ini berfungsi sebagai tempat bersidang Majlis Raja-Raja. Mesyuarat ini lazimnya diadakan 3 kali setahun tapi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis ataupun tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan juga apabila berlaku kekosongan jawatan Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Ynag Di-Pertuan Agong. Dewan utama untuk tujuan mengadap adalah Dewan Seri Maharaja yang diambil bersempena nama Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.). Dewan ini digunakan untuk majlis mengadap pembesar-pembesar luar negara. Dewan ini juga digunakan sebagai dewan mengadap Ketua Negara bersama Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebelum Majlis Jamuan Negara. Fungsi lain dewan ini adalah dewan tempat Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menyambut keberangkatan DYMM Raja-Raja Melayu dan DYMM Permaisuri-Permaisuri, TYT Yang Di-Pertua Negeri dan YABhg Toh Puan, YAB Perdana Menteri dan isteri serta YAB Timbalan Perdana Menteri dan isteri sempena Majlis Santapan Malam memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Istiadat Pengurniaan Darjah Kerabat kepada DYMM Raja-Raja dan juga pengurniaan Darjah Kebesaran kepada Ketua Negara luar, dan lain-lain lagi.

Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Bilik Seri Maharaja.

Dewan Seri Mahkota pula mengambil sempena nama Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M.). Dewan ini berfungsi sebagai tempat mengadap Ketua-Ketua Kerajaan dengan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta tempat berlangsungnya Majlis Mengadap Kerabat Diraja. Seterusnya adalah Dewan Seri Negara. Dewan ini merupakan tempat berlangsungnya acara bergambar Yang Di-Pertuan Agong bersama DYMM Raja-Raja dan TYT Yang Di-Pertua Negeri selepas Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Yang Di-Pertuan Agong. Dewan ini juga dijadikan tempat bergambar selepas Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong. Dewan Santapan pula merupakan tempat berlangsungnya Majlis Santapan sempena memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, dan meraikan Ketua-Ketua Negara Asing. 

Bilik Singgahsana Kecil.

 Dewan Seri Mahkota.

Dewan Seri Negara.

Dewan santapan.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...