Seri Paduka Baginda berdua di atas takhta.
Tanggal 30 Julai 2019 melakar satu lagi sejarah Raja Berpelembagaan di negara kita apabila Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 ditabalkan. Semenjak kemerdekaan, negara telah menyaksikan 15 kali Istiadat Pertabalan ini diadakan. Istiadat Pertabalan ini begitu signifikan kerana sebagai Ketua Negara, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah simbol kedaulatan dan ketinggian negara kita. Istiadat yang mempamerkan adat istiadat Kesultanan Melayu yang diwarisi secara turun temurun ini tidak pernah lapuk ditelan zaman. Keunikan tertib adat Melayu dalam Istiadat Pertabalan ini.
Negara kita bertuah kerana dipayungi oleh pasangan diraja yang amat prihatin terhadap rakyat. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Allallahi Sultan Iskandar Al-Haj merupakan simbol penyatuan semua rakyat Malaysia.
Istiadat Pertabalan ini diakan di Balairong Seri Istana Negara Jalan Duta dengan penuh gilang gemilang. Balairong Seri dihias indah untuk tatapan seluruh rakyat jelata. Singghsana yang digunakan oleh Seri Paduka pada kali ini merupakan warisan daripada Paduka Ayahanda Seri Paduka Tuanku berdua. Singgahsana yang pernah digunakan oleh Almarhum Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7 Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dan Almarhum Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-8 Sultan Iskandar Al-Haj telah dibaiki untuk digunakan semasa Istiadat Pertbalan kali ini.
YAM Tunku Idris Iskandar.
YAM Tunku Ali Redhauddin.
YTM Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan YBhg Cik Puan Sofie.
Seri Paduka Baginda berdua tiba di perkarangan Istana Negara kira-kira pukul 9.58 pagi dan disambut oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan YAB Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Baginda berdua terus menuju ke Peterana Diraja Sejurus sahaja baginda tiba di Peterana Diraja, lagu Negaraku dimainkan dan baginda menerima tabik hormat. Seterusnya Ketua Kawalan Kehormatan mengadap Seri Paduka memohon perkenan untuk baginda memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan. Selesai memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan, Seri Paduka Baginda berdua berangkat menuju ke Bilik Seri Maharaja untuk bersama dengan KDYMM Sultan Brunei dan Raja Isteri, Raja-Raja Melayu dan Permaisuri serta Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri serta isteri dan juga wakil Raja-Raja Melayu.
TYT Tun Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Ragad.
TYT Tun Juhar dan YABhg Toh Puan Norlidah.
TYT Tun Khalil Yaakob dan YABhg Toh Puan Zurina.
Tepat jam 10.20 pagi, juruacara mengumumkan keberangkatan masuk ke Balairong Seri KDYMM Sultan Brunei dan KDYMM Raja Isteri, para tetamu diraja luar negara, DYMM Raja-Raja dan DYMM Raja-Raja Permaisuri bersama-sama TYT Yang Di-Pertua Negeri- Yang Di-Pertua Negeri dan YABhg Toh Puan-Toh Puan. Keberangkatan masuk bermula dengan wakil DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar iaitu YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan diikuti oleh wakil DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz. Kemudian, keberangkatan masuk wakil KDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V iaitu YTM Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dan YBhg Cik Puan Sofie Louis Johansson. Seterusnya ketibaan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan YABhg Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah Tan Sri RM Jasni, TYT Yang Di-Pertuan Negeri Melaka Tun Dr Khlail Yaakob dan YABhg Toh Puan Datuk Seri Utama Zurina Kassim dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan YABhg Toh Puan Dato' Seri Utama Majimor Sharif.
TYT Tun Abdul Rahman dan YABha Toh Puan Majimor.
DYMM Tuanku Syed Faizuddin dan DYTM Tuanku Lailatul.
KDYMM Tengku Hassanal.
Keberangkatan masuk ke Balairong Seri diteruskan dengan DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan seterusnya KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah. Seterusnya KDYMM Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff diikuti oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah dan DYMM Raja Permisuri Perak Tuanku Zara Salim. Kebrerangkatan masuk diteruskan dengan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almahrum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Kemudian, keberangkatan masuk tetamu diraja luar negara yang merupakan sahabat Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong iaitu YM Sheikh Mohamed Bin Zayed Al-Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi dan akhir sekali keberangkatan masuk KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamad Alam.
KDYMM Sultan Sallehuddin dan KDYMM Sultanah Maliha.
DYMM Sultan Nazrin dan DYMM Tuanku Zara.
DYMM Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin.
Tepat jam 10.45 pagi, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang
Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah
Iskandariah berangkat masuk ke Balairong Seri, Istana Negara bagi memulakan
istiadat. Alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan
paluan nobat daripada Kumpulan Nobat Diraja Terengganu yang memainkan lagu
‘Raja Berangkat’ bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu
didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini yang diapit
panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain
panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja. Cogan Alam dan
Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak adalah sebahagian daripada alat
kebesaran Diraja yang begitu signifikan dalam istiadat pertabalan dan menjadi
lambang kebesaran institusi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia.
KDYMM Sultan Mizan dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah.
YM Sheikh Mohammed Zayed.
KDYMM Sultan Hassanal Bolkiah dan KDYMM Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian
rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘Muskat’ dan Seri Paduka Baginda Tunku
Azizah yang anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading menarik
perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja
itu untuk bersemayam di singgahsana.
Setelah Seri Paduka berdua bersemayam di atas Singgahsana,
Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya memohon perkenan Seri Paduka untuk
menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta
baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri termasuk Keris
Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu
‘Menjunjung Duli’. Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam
sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja
Lela kepada Seri Paduka yang menyambut lalu mencium naskhah suci itu sebelum
meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.
Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat
Pengisytiharan Pertabalan kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang
tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan
berkenaan. Sejurus itu, Datuk Paduka Maharaja Lela dengan penuh tertib
mempersembahkan pula Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara
kepada Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka yang menerima keris berkenaan
menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri
Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di
sebelah kiri baginda.
Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka
sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya
bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara
dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil
dan aman. Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu 'Raja
Bertabal', diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka
Maharaja Lela yang disusuli para hadirin di dalam Balairung Seri, Istana
Negara. Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak
itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.
YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kemudiannya sekali lagi menghadap Seri
Paduka untuk mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan Seri
Paduka sebagai mewakili kerajaan dan rakyat. Al-Sultan Abdullah kemudian
berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum Pegawai Agama Istana Negara YBhg Datuk
Abd Aziz Che Yacob membacakan doa selamat. Usai doa, naskhah al-Quran dibawa
turun dari Singgahsana oleh Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan
bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16
selamat disempurnakan. Seterusnya, Balairung Seri sekali lagi bergema dengan
tiupan nafiri dan paluan nobat lagu 'Raja Berangkat' mengiringi Seri Paduka
meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk
Pengelola Bijaya Diraja serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat
Kebesaran Diraja. Sesudah Seri Paduka Baginda berdua berangkat ke Bilik Seri Maharaja, kesemua tetamu diraja berangkat meninggalkan Balairong Seri dan menuju ke Bilik Seri Maharaja untuk bersama Seri Paduka berdua.
Assalamualaikum. Jika tidak salah, hanya kerusi shj yg pernah digunakan Almarhum YDPA ke-7 & ke-8, dicari & dibaiki. Manakala singgahsana keseluruhannya masih menggunakan singgahsana baru utk Istana Negara baru.
ReplyDeleteWaalaikumsalam. Maksud sebenar singgahsana sebenarnya adalah kerusi yang diduduki oleh seseorang Raja. Jadi betul lah penggunaan perkataan singgahsana yang digunakan dalam post diatas.
Delete