Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 11 August 2019

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,


Bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Warisan Raja & Permaisuri Melayu membawakan kisah hidup  KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus'tain Billah,D.K.P., D.K.M., D.K., D.M.N., S.S.A.P., S.I.M.P., D.K.(Terengganu), D.K.(Johor), S.P.M.J., P.A.T. 


Seri Paduka telah diputerakan pada tanggal 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal Pekan, Pahang Darul Makmur. Baginda merpakan Paduka Anakanda ke-4 dan juga putera sulung kepada pasangan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dan Almarhum KDYMM Tengku Ampuan Hajah Afzan Binti Almarhum Tengku Muhammad Perang. Seri Paduka merupakan anakanda keempat daripada 8 orang adik beradik. Kekanda-kekanda baginda terdiri daripada YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajah Meriam, YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Dato’ Muhaini, dan YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Dato’ Aishah. Manakala adinda-adinda baginda pula ialah YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang Tengku Dato’ Nong Fatimah, YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Dato’ Shahariah dan YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Muadzam Shah.



Seri Paduka diputerakan semasa Paduka Nenda baginda KDYMM Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Ai-Muadzam Shah memerintah negeri Pahang. Ketika itu, ayahanda baginda merupakan Tengku Mahkota Pahang manakala bonda baginda ialah Tengku Puan Pahang. Ayahanda baginda merupakan anakanda ke-3 kepada pasangan diraja KDYMM Sultan Abu Bakar dan KDYMM Tengku Ampuan Fatimah. Nenda baginda, Tengku Ampuan Fatimah merupakan puteri kepada Sultan Perak Almarhum Sultan Iskandar Shah. Ini menjadikan Seri Paduka adalah cicit kepada Sultan Perak. Disebelah bonda baginda pula, Tengku Ampuan Afzan merupakan puteri kepada YAM Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah dan YAM Tengku Tengku Seri Kemala Tengku Hajah Aishah Mandak Binti Tengku Mustafa. Ayahanda Tengku Ampuan Afzan merupakan putera kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Muazzam Shah manakala bonda Tengku Ampuan Afzan merupakan kerabat diraja Terengganu. Seri Paduka merupakan kerabat diraja bagi negeri Pahang, Perak dan juga Terengganu. 


Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad,Pekan Pahang. Seterusnya meneruskan pelajaran di Sekolah Rendah St Thomas Kuantan dan seterusnya ke peringkat menengah di Sekolah Menegah St Thomas Kuantan. Seri Paduka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi pada tahun 1975 di Aldenham School, Elstree Hertfordshire sehingga tahun 1978. Bermula tahun 1978 hingga 1979, baginda melanjutkan pelajaran di Davis College, London. Selepas itu, baginda memasuki sekolah ketenteraan terkemuka dunia iaitu Akademi Tentera Diraja Sandhurst selama dua tahun dan telah berjaya dianugerahi pangkat Leftenan Muda oleh Yang Maha Mulia Ratu England Ratu Elizabeth II. Tidak cukup dengan itu, baginda menambahkan lagi pengetahun baginda dengan belajar di Worcester & Queen Elizabeth College dan mengambil jurusan Hal Ehwal Luar Negeri dan Diplomasi. 


Seri Paduka juga merupakan seorang yang aktif di dalam bidang ketenteraan. Semasa baginda menjadi Pemangku Raja Pahang, baginda telah melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst England dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada tahun 1980 oleh Yang Maha Mulia Ratu England Queen Elizabeth II. Baginda kemudian dilantik sebagai Pegawai Kehormat Kor Kavalri Diraja (sekarang Kor Amor Diraja) Tentera Darat Malaysia dengan menyandang pangkat Kapten. Seterusnya pada 18 November 1987 baginda dinaikkan pangkat ke Major Kehormat. Pada 1999,Baginda ditauliahkan sebagai Pegawai Sukarela berpangkat Leftenan Kolenel dan menyandang jawatan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah (kini bergelar Brigedier Jeneral).


Seri Paduka dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975. Baginda menggantikan ayahanda baginda yang telah naik takhta negeri Pahang sebagai Sultan Pahang berikutan kemangkatan nenda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1974. Baginda di mashyurkan secara rasmi pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar Pekan Pahang. Pada usia 20 tahun, baginda dilantik sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bermula 28 April 1979 untuk tempoh 5 tahun kerana ayahanda baginda dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 7. Pada 8 Disember 2016, baginda dilantik sekali lagi sebagai Pemangku Raja Pahang sehingga 11 Januari 2019. Baginda menjawat jawatan sebagai Tengku Mahkota Pahang selama hampir 44 tahun sebelum manjadi Sultan Pahang.


Pada 11 Januari 2019, Jumaah Pangkuan Diraja Pahang telah memutuskan untuk melantik baginda sebagai Sultan Pahang Ke-6 menggantikan ayahanda baginda, Sultan Haji Ahmad Shah yang dalam keadaan gering dan uzur. Istiadat Pemasyhuran baginda telah diadakan pada 15 Januari 2019 dan baginda memakai gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus’tain Billah. Istiadat tersebut diadakan di Istana Abu Bakar, Pekan. Selepas 9 hari bergelar Sultan Pahang, baginda telah dipilih untuk mengisi jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16. Pemilihan baginda dibuat semasa Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-251 pada 24 Januari 2019 berikutan perletakan jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V. Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah diadakan pada 31 Januari 2019. Seri Paduka telah ditabalkan secara rasmi sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Julai 2019 di Balairong Seri Istana Negara. Istiadat yang gilang gemilang ini merupakan satu sejarah baru bagi negara kita. 


Bertemu jodoh dengan puteri Almarhum Sultan Johor iaitu KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallahi Sultan Iskandar Al-Haj pada 6 Mac 1986 ketika baginda berusia 27 tahun. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Bukit Serene Johor Bahru. Perkahwinan baginda dikurniakan 4 orang putera dan dua puteri. Walaubagaimanapun anakanda sulung baginda, Almarhum YAM Tengku Ahmad Iskandar Shah mangkat ketika berusia satu hari. Putera-putera baginda berdua ialah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YAM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YAM Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah. Manakala puteri baginda pula ialah YAM Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan YAM Tengku Jihan Azizah Athiyatullah.  Kali kedua baginda berkahwin pula dengan seorang aktres Julia Rais atau nama sebenarnya Cik Puan Julia Aishah Binti Abdul Rais. Seri Paduka dan  Cik Puan Julia Rais dikurniakan 3 orang puteri. Puteri-puteri baginda bersama Cik Puan Julia Rais pula terdiri daripada YAM Tengku Puteri Iman Afzan, YAM Tengku Puteri Ilisha Ameera dan YAM Tengku Puteri Ilyana. Seri Paduka juga mengambil seorang anak angkat iaitu YM Tengku Amir Nasser Ibrahim Ibni Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim yang merupakan anakanda bongsu kepada Almarhum Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Ibrahim.


Seri Paduka merupakan Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Selain itu, baginda juga merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukan. Baginda sangat berminat dengan bola sepak dan juga polo. Ketika di England, Baginda mengetuai Pasukan Polo Diraja Pahang di dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club dan berjaya memenangi perlawanan tersebut. Seterusnya Baginda mengambil bahagian di dalam pertandingan di Singapura, Manila dan Brunei. Baginda memegang pelbagai jawatan di dalam pelbagai pertubuhan sukan. Dalam sukan bola sepak, baginda merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang bermula tahun 1984, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan seterusnya Presiden FAM sehingga 2017, Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN, dan juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA. Dalam sukan hoki pula, baginda pernah menjadi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia bermula tahun 2008 hingga 2015 dan Presiden Persekutuan Hoki Asia bermula tahun 2014 hingga kini. Bagi sukan polo pula, baginda merupakan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia dan Presiden Persatuan Polo Diraja Pahang. Baginda juga menjadi Presiden bagi badan sukan seperti Kelab Tenis Diraja Pahang, Kelab Squash Pahang, dan Kelab Golf Diraja Pahang. Dalam bidang pendidikan pula, baginda menjadi Canselor bagi 3 buah universiti iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan DRB-Hicom University of Automotive Malaysia. 




1 comment:

  1. So julia rais bermadu la ngan cp pahang tengku azizah?

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...