Anda Pengunjung Ke :

Saturday 17 August 2019

KDYMM Almarhum Tengku Ampuan Hajah Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad

Almarhum KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajah Afzan Rahimahallah Binti Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad
D.K., D.M.N., S.S.A.P., S.I.M.P., Order of Tudor Vladimirescu 1st Class (Romania).

Melihatkan wajah di atas ini pasti rakyat negeri Pahang mengetahui siapakah gerangan tuan empunya badan. Almarhum merupakan isteri kesayangan kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah,baginda juga disayangi oleh seluruh rakyat negeri bertuah ini. Merupakan bonda kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan merupakan seorang yang berbudi tinggi dan lemah lembut. Baginda yang dimaksudkan ialah Almarhum KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Ampuan Hajah Afzan Rahimahallah Binti Amarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, D.K.,D.M.N.,S.S.A.P.,S.I.M.P.,Order Tudor Vladimirescu 1st Class(Romania).


Diputerikan pada 4 Disember 1932 di Kuala Terengganu. Baginda mempunyai darah diraja Pahang dan Terengganu. Ayahanda baginda ialah Almarhum YAM Tengku Panglima Perang Pahang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ahmad Al Muazzam Shah dan bonda baginda ialah Almarhum YAM Tengku Sri Kemala Tengku Hajah Mandak Aishah Binti Almarhum Tengku Mustapha. Tengku Ampuan Afzan merupakan cucunda kepada Almarhum KDYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah Ibni Almarhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali yang merupakan Sultan Pahang Moden yang pertama. Manakala bonda baginda pula merupakan kerabat diraja Terengganu. Ayahanda baginda merupakan seorang putera Sultan yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Tengku Muhammad memegang pelbagai jawatan antaranya sebagai Ketua Polis Seremban, Penolong Penguasa Polis Terengganu, Setiausaha Sultan Terengganu, seterusnya menjadi Menteri Besar Terengganu bermula tahun 1948 hingga 1950 dan kemudiannya menjadi Menteri Besar Pahang dari tahun 1951 hingga 1957.

Keayuan seorang Permaisuri.

Baginda dididik dengan penuh sempurna oleh ayahanda dan bonda baginda. Baginda diberikan didikan Melayu,Inggeris dan juga didikan agama. Baginda juga diajar adat resam turun temurun puteri diraja Melayu. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Perempuan Melayu di Pekan disamping menerima kelas peribadi dalam matapelajaran Bahasa Inggeris. Baginda dipersiapkan dengan segala kelengkapan untuk menjadi seorang puteri raja yang sempurna.

Ketika istiadat persandingan.

Tarikh 22 April 1954 menyaksikan perkahwinan diraja antara baginda dan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Bilah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muazzam Shah yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Pahang. Baginda ketika itu berusia 22 tahun. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Hinggap Kuala Lipis Pahang. Ketika itu ayahanda baginda merupakan Menteri Besar Pahang dan ayahanda mertua baginda merupakan Sultan Pahang. Pasangan diraja ini dikurniakan 2 putera dan 5 puteri. Putera-putera baginda ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman. Manakala puteri-puteri baginda terdiri daripada YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Meriam, YAM Tengku Puteri Seri Teja Tengku Dato’ Muhaini, YAM Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Aishah, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Dato’ Nong Fatimah dan YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Dato’ Shahariah.


Sebagai isteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Ampuan Afzan diberikan gelaran Tengku Puan Pahang sejurus sehaja selepas berkahwin. Tengku Ampuan Afzan telah ditabalkan sebagai KDYMM Tengku Ampuan Pahang pada 7 Mei 1974 berikutan pertabalan KDYMM Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang menggantikan Almarhum Sultan Abu Bakar yang telah mangkat. Baginda menjadi Tengku Ampuan selama 14 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1988. Baginda menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 7 pada 10 Julai 1980  setelah Sultan Ahmad Shah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-7. Baginda menghabiskan penggal selama 5 tahun di atas takhta Persekutuan sehingga tahun 1984.

 

Tengku Ampuan Afzan merupakan seorang permaisuri yang sangat ambi berat soal kebajikan, kemasyarakatan dan juga soal sukan. Baginda merupakan penaung dan juga Presiden bagi pelbagai persatuan dan pertubuhan. Antaranya ialah Penaung Persatuan Bola Jaring Malaysia, Yang Dipertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Tanah Melayu, Presiden Persatuan Badminton Tengku Ampuan Pahang, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Pahang, Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Wanita Pahang, Penaung Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia dan Presiden Kelab Golf Makmur Diraja Pekan.

Permaisuri yang suka memasak.

Tengku Ampuan Afzan sangat berminat dengan kebajikan wanita di Malaysia. Baginda sering mengadakan pertemuan dengan ketua pertubuhan kebajikan,badan-badan sukan dan juga pertubuhan amal untuk mendengar masalah meraka dan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah itu. Selain itu baginda juga merupakan ahli sukan yang hebat. Baginda sangat meminati sukan badminton dan bola jaring. Baginda sering menadakan perlawanan badminton di Kuala Lumpur,Pulau Pinang dan Terengganu. Baginda mempunyai dewan badminton sendiri di Jalan Teluk Cempedak Kuantan. Baginda juga gemar memasak, menjahit, membaca majalah dan menanam pokok bunga. Selain itu baginda juga suka berkelah.

Ketika dipakaikan mahkota semasa Istiadat Pertabalan.

Tengku Ampuan Afzan merupakan seorang yang sangat mementingkan ajaran agama.Baginda telah berangkat menunaikan fardu haji di Mekah sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1971 dan 1975. Sepanjang menjadi Tengku Ampuan dan Raja Permaisuri Agong, baginda telah dikurniakan beberapa darjah kebesaran. Kali pertama baginda dianugerahkan dengan darjah kebesaran adalah pada tahun 1972 apabila ayahanda mertua baginda, Sultan Abu Bakar menganugerahkan Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.). Seterusnya setelah bergelar Tengku Ampuan, baginda menerima Darjah Kerabat Pahang (D.K.) pada tahun 1975 dan juga Darjah Sri Sultan Haji Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.). Sebagai Raja Permaisuri Agong pula, baginda menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 1979. Sebagai Raja Permaisuri Agong, baginda banyak mengiringi suami baginda membuat lawatan rasmi ke luar negara. Disebabkan itu, baginda juga dianugerahkan dengan darjah kebesaran luar negara. Baginda telah menerima Darjah Kebesaran The Order of Tudor Vladimirescu daripada negara Romania pada 25 November 1982.

Potret sebagai KDYMM Tengku Ampuan Pahang.

Tengku Ampuan Afzan telah mangkat pada 29 Jun 1988 di usia 55 tahun akibat kanser. Baginda mangkat di Istana Pahang Kuala Lumpur pada hari Rabu pukul 8.42 pagi. Baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Pekan yang terletak di Masjid Diraja Abu Bakar. Baginda mangkat seminggu selepas kemangkatan bonda mertua baginda iaitu Almarhum Tengku Ampuan Besar Fatimah. Seminggu selepas kemangkatan baginda,bonda kandung baginda pula mangkat. Al-Fatihah buat roh Almarhum dan semoga Almarhum ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Keluarga diraja Pahang.

Diatas singgahsana Persekutuan.



5 comments:

  1. Photo kenangan nan indah. Moga selalu mendapat berkah dari Allah Yang Esa.

    ReplyDelete
  2. Sama2 kita bacakan Al-Fatihah kepada almarhum berdua semoga roh almarhum berdua dicucuri rahmat disisi Ilahi.. adn kami sebagai rakyat akan sentiasa merindui tuanku berdua..

    ReplyDelete
  3. Al fatihah untuk keduanya😭😭😭

    ReplyDelete
  4. al..fatihah smoga bacaan ini sampai kpda kduanya amin yaa rabbana alamin

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...