Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan
Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa,
D.K., D.K.A., S.P.C.M., J.S.M.
Sistem pewarisan takhta negeri Perak Darul Ridzuan adalah berlainan daripada negeri-negeri yang lain. Pewaris takhta negeri Perak tidak semestinya daripada putera kepada Sultan yang memerintah. Sistem di negeri Perak tidak mengikut warisan secara turun temurun daripada Sultan kepada puteranya. Negeri Perak mengamalkan penggiliran berdasarkan tiga keluarga iaitu kerabat daripada keluarga Almarhum YAM Raja Bendahara Alang Iskandar, Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah dan Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II. Sebelum seseorang putera negeri Perak bergelar Raja Pemerintah, baginda perlu memegang jawatan Raja-Raja Bergelar. Jawatan Raja-Raja Bergelar tersebut adalah Raja Kechil Bongsu, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Besar, Raja DiHilir, Raja Muda dan Paduka Seri Sultan Perak. Kali ini Warisan Raja & Permaisuri Melayu akan membawakan penyandang gelaran Raja Muda Perak yang terkini. Setelah kemangkatan Almarhum Paduka Seri Sultan Azlan Shah
Al-Maghfur-lah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada 28
Mei 2014, DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan
Shah menaiki takhta negeri Perak Darul Ridzuan sebagai Paduka Seri Sultan Perak
ke 35 dengan begelar Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin
Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al Maghfur-lah. Berikutan
perlantikan Sultan Nazrin itu, maka jawatan Raja Bergelar di negeri Perak telah
dirombak. Jawatan Raja Muda Perak yang dikosongkan oleh Sultan Nazrin telah diisi
begitu juga jawatan Raja Bergelar yang lain.
Menyampaikan titah di hadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
Jawatan Raja Muda Perak telah diisi oleh Duli Yang Amat Mulia Raja
Dato' Seri Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang merupakan DYAM Raja DiHilir
Perak sebelum ini. Baginda dilantik sebagai Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir
Perak pada 10 Mac 1998. Setelah mengisi
jawatan Raja Muda Perak baginda bergelar Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda
Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, D.K., D.K.A., S.P.C.M.,
J.S.M.
Raja Jaafar
diputerakan pada 26 September 1941 di Hospital Taiping, Perak. Baginda
merupakan putera sulung kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa Ibni
Almarhum Sultan Abdul Aziz Al Mu'tasim Shah Billah dan YABhg Che Puan Mariam
Binti Abdullah. Ayahanda baginda merupakan Raja Muda Perak bermula tahun 1963
hingga tahun 1983. Raja Jaafar juga merupakan cucunda kepada Sultan Perak Darul
Ridzuan yang ke 31. Nenda baginda ialah Almarhum Paduka Seri Sultan Abdul Aziz
Al-Mu’tassim Billah Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang memerintah negeri
Perak bermula tahun 1938 hingga 1948 dan Almarhum Raja Perempuan Khadijah Binti
Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al-Azzam Shah.
Raja Jaafar mendapat pendidikan awal di Anderson School Ipoh
sebelum meneruskan pelajaran ke Anglo Chinese School Teluk Intan. Kemudiannya
menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya dan
mendapat Bachelor of Art pada tahun 1965. Seterusnya baginda melanjutkan
pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana di Cornell University, New York, Amerika
Syarikat dan memperoleh Master of Public Administration pada tahun 1975.
Bersama Almarhum Raja Nur Mahani.
Baginda merupakan penjawat awam yang mempunyai pengalaman yang
luas dalam bidang pentadbiran. Baginda memulakan tugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri Perak pada tahun 1966 ketika berusia 25 tahun. Seterusnya berkhidmat di
Pejabat Daerah dan Tanah pada tahun 1966 hingga 1971. Baginda kemudiannya
beralih ke peringkat persekutuan dengan menyertai Pejabat Jabatan Perdana
Menteri sebagai konsultan pengurusan bermula tahun 1976 hingga 1979. Seterusnya
berpindah ke Kementerian Pendidikan sebagai Setiausaha Sulit di kementerian
berkenaan pada 1979 hingga tahun 1984. Baginda seterusnya bertugas di Unit
Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (1985-1989). Jawatan kemuncak baginda
didalam perkhidmatan awam ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan &
Kewangan) Kementerian Pertahanan bermula tahun 1989 hingga tahun 1996. Baginda
bersara wajib daripada perkhidmatan awam pada tahun 1996 ketika berusia 55 tahun.
Pengalaman luas baginda selama 30 tahun dalam bidang perkhidmatan awam banyak
membentuk karekter kepimpinan baginda.
Majlis perkahwinan baginda dengan DYTM Raja Nazhatul Shima.
Raja Jaafar menyertai senarai pewaris takhta negeri Perak pada
tahun 1984. Baginda diberikan gelaran Raja Kechil Tengah pada 3 Februari 1984 oleh
Almarhum Sultan Azlan Shah dan memegang jawatan ini sehingga tahun 1988. Kemudiannya dinaikkan ke Raja Kechil Sulong bermula
pada tahun 1988 hingga 1998 selama hampir 10 tahun. Setelah kemangkatan DYAM
Raja DiHilir Raja Ahmed Hisham pada tahun 1997 ketika berusia 91 tahun, jawatan
Raja DiHilir kosong selama setahun. Raja Jaafar dikurniakan jawatan DYAM Raja
DiHilir pada 10 Mac 1998. Baginda menjadi Raja DiHilir selama 16 tahun sebelum
dinaikkan ke DYTM Raja Muda Perak pada tahun 2014 ketika berusia 73 tahun.
Raja Jaafar mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Teramat Mulia
Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah pada
tahun 1973 pada usia 32 tahun. Raja Nor Mahani mangkat pada 3 Oktober 2017
ketika brusia 75 tahun dan dimakamkan di Makan Diraja Al-Ghufran. Bgainda
berdua dikurniakan seorang putera iaitu YAM Raja Shah Azman pada tahun 1974 dan
seorang puteri YAM Raja Nur Azwina pada tahun 1976. Kali keduanya baginda
mendirikan rumah tangga dengan Cik Puan Hasliza Ishak namun Cik Puan Hasliza
telah meninggal dunia pada 6 Oktober 2002. Selepas kemangkatan Almarhumah Raja
Nor Mahani pada 2017, Raja Jaafar telah mendirikan rumah tangga buat kali
ketiga dengan YAM Raja Puan Mahkota Perak Raja Dato’ Seri Nazhatul Shima Binti
Almarhum Sultan Idris Shah pada 12 Januari 2019. Selepas berkahwin, Raja
Nazhatul Shima bergelar Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak.
Ketika mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.
Raja Jaafar
merupakan Komander Kehormat Tentera Laut DiRaja Malaysia. Baginda juga Presiden
Pemilik Kereta Sport Mini dan juga memegang jawatan sebagai Penaung DiRaja
Kelab Golf Perak. Baginda bersemayam di Istana Al-Ridhuan, Ipoh, Perak. Raja Jaafar pernah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah
Pemangku Raja Perak semasa Sultan Nazrin menjadi Pemangku Yang Di-Pertuan
Agong. Baginda dianugerahi dengan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.)
Perak pada 6 Mei 2015. Baginda juga pernah dikurniakan dengan Darjah Kerabat
Azlaani Pangkat Pertama (D.K.A.), Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini
(S.P.C.M.) yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Johan Setia Mahkota
daripada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Bersalaman dengan YTM Raja Nazira Safya sambil diperhati DYMM Tuanku Zara Salim.
DYAM Raja DiHilir, DYTM Raja Muda dan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.








