Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 28 April 2020

5 Ramadan 1422 Hijrah : Kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj
(8 Mac 1926 - 21 November 2001).

Tarikh hari ini 5 Ramadan 1441 Hijrah bersamaan 28 April 2020 merupakan Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhm Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj. Baginda mangkat pada 5 Ramadan 1422 Hijrah bersamaan 21 November 2001. Seluruh negara menerima berita sedih kemangkatan baginda semasa  bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ke 11, dimasa rakyat masih menantikan kesembuhan baginda daripada gering. Baginda juga yang Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Ke-8 meninggalkan balu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah.

Jenazah dibawa keluar daripada Istana Negara.

Orang ramai menunggu di luar perkarangan istana. 

Raja Permaisuri Agong Tanku Siti Aishah, Tengku Idris Shah, Pemangku Yang Di-Pertuan Agong Sultan Mizan dan Dato' Seri Dr Mahathir.


Baginda mangkat pada pukul 11.57 pagi di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang pada usia 75 tahun. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menerusi siaran televisyen dan radio. Beliau mengumumkan negara berkabung selama 7 hari dan meminta bendera dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh itu. Manakala negeri Selangor pula berkabung selama 40 hari. Baginda menghembuskan nafas terakhir setelah lima hari berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa menggunakan alat bantuan penafasan dan mesin dialisis. Seri Paduka gering selama dua bulan kerana masalah jantung.

Almarhum sewaktu baginda dirawat di hospital.


Almarhum Sultan Salahuddin merupakan Yang Di Pertuan Agong keempat mangkat ketika bertakhta. Ayahanda baginda Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah juga mangkat ketika menjadi Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1960. Almarhum Sultan Salahuddin dimasukkan ke Pusat Rawatan Rapi (ICU) sekembalinya dari mendapatkan rawatan di Singapura.  Baginda sebelum itu dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth selama 2 bulan untuk mendapatkan rawatan setelah menjalani satu pembedahan kecil pada 6 Oktober 2001. Disebabkan kegeringan baginda, Timbalan Yang Di-Pertuan Agong KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah dilantik sebagai Pemangku Yang Di-Pertuan Agong sementara menunggu baginda sembuh seperti sedia kala. Namun, takdir Allah telah menentukan bahawa seorang Raja yang sangat dikasihi rakyat ini mangkat di bulan Ramadan yang mulia. 

Jenazah sampai di Masjid Negara.

Solat jenazah di Masjid Negara. 

Jenazah dibawa keluar dari Masjid Negara.

Tarikh 22 November 2001 diisytiharkan sebagai cuti umum untuk membolehkan rakyat jelata memberikan penghormatan terakhir kepada baginda. Jenazah baginda telah disemayamkan di atas paterana di Balairong Seri Istana Negara untuk tujuan penghormatan terakhir. Setelah selesai Istiadat Penghormatan Terakhir, jenazah baginda diarak daripada Istana Negara menuju ke Masjid Negara melalui Dataran Merdeka. Ribuan rakyat mengiringi perjalanan terakhir baginda disamping Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah, DYMM Pemangku Raja Selangor Tengku Idris Shah, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Dr. Mahathir dan isteri YABhg Datin Seri Dr Siti Hasmah serta para kenamaan dan kerabat diraja. Setelah tiba di Masjid Negara, jenazah baginda disolatkan oleh ribuan jemaah yang mengasihi baginda. Setelah selesai solat jenazah, jenazah baginda dibawa menuju ke Istana Alam Shah untuk Istiadat Mengangkat Sumpah Sultan Selangor yang baru. 

Jenazah disemayamkan di Balairong Seri Istana Alam Shah.

Tengku Idris Shah melafaz sumpah sebagai Sultan Selangor Ke-9.

Jenazah dibawa keluar daripada Istana Alam Shah ke Makam Diraja.

Jenazah baginda disemayamkan di tengah-tengah Balairong Seri Istana Alam Shah. Keranda yang ditutup dengan kain kuning mempunyai lambang peribadi Yang Di-Pertuan Agong itu diletakkan di atas paterana 3 tingkat dan dikelilingi dengan darjah-darjah kebesaran baginda. Putera sulung baginda, Pemangku Raja Selangor DYMM Tengku Idris Shah telah melafaz sumpah jawatan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Ke-9 di hadapan jenazah baginda. Setelah selesai Istiadat Menangkat Sumpah, jenazah baginda dibawa keluar dari Istana Alam Shah menuju ke Makam Diraja Klang yang terletak di perkarangan Masjid DiRaja Sultan Sulaiman. Baginda dimakamkan penuh adat istiadat diraja Selangor dan dimakamkan bersebelahan makam Ayahanda baginda Almarhum Sultan Hisamuddin. Istiadat Pemakaman baginda dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah, DYMM Raja-Raja Melayu serta DYMM Permaisuri-Permaisuri, DYMM Tengku Idris Shah, adinda-adinda serta seluruh kerabat diraja Selangor, adinda-adinda baginda termasuk YMM Tengku Ampuan Bariah dan DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah, YMM Tengku Ampuan Tua Tuanku Intan Zaharah, kerabat-kerabat diraja negeri-negeri serta pembesar-pembesar negara dan negeri. 

Adinda baginda Tengku Besar Putra Tengku Ismail Shah, putera baginda Tengku Abdul Samad Shah dan Tengku Ahmad Shah.

Tengku Idris Shah melihat jenazah ayahanda baginda dimasukkan ke dalam makam.

Talkin dibacakan selepas jenazah selamat dimakamkan.

Walaupun selepas 19 tahun kemangkatan baginda, baginda tetap diingati sebagai seorang Raja yang amat kasihkan rakyatnya. Memori baginda bersama rakyat tidak akan terpadam selama-lamanya. Sempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hari ini, sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan Almarhum. Al-Fatihah.


Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah.

Adinda baginda Tengku Ampuan Bariah, Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis, Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah dan adinda baginda Raja Puan Muda Tengku Raudzah.

Raja Permaisuri Agong memapah adinda ipar baginda Tengku Raudzah sambil dibantu oleh Tengku Ampuan Tua Tuanku Intan Zaharah.

Makam Almarhum di dalam Makam Diraja Klang.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

26 April 2020: Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Sultan Terengganu.

25 April 2020: Ulangtahun Perkahwinan Ke-46 DYMM Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Aishah Rohani.


Masih belum terlambat untuk Warisan Raja dan Permaisuri Melayu untuk merafak sembah tahniah kehadapan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud sempena ulangtahun perkahwinan baginda berdua yang ke-46 tahun pada 25 April 2020. Ikatan percintaan di antara putera Negeri Sembilan dengan puteri Terengganu ini bermula apabila Istiadat Pertunangan diantara baginda berdua diadakan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur pada 17 Februari 1973. Tuanku Muhriz yang ketika itu berusia 25 tahun memegang gelaran sebagai Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti dan bekerja sebagai Pegawai Tadbir di Bank Rakyat. Manakala Tuanku Aishah Rohani yang ketika itu berusia 20 tahun dan bekerja sebagai kerani jurukira di sebuah bank. 


Tuanku Muhriz merupakan putera tunggal kepada pasangan Almarhum Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dengan Almarhum Tuanku Ampuan Durah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Manakala Tuanku Aishah merupakan puteri bongsu kepada Yang Amat Mulia Tengku Seri Utama Raja Terengganu Tengku Besar Mahmud Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin dengan Yang Amat Berbahagia To' Puan Zainon Mariam Binti Haji Su Mahmud. Tuanku Aishah Rohani merupakan anakanda saudara kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Istiadat Perkahwinan baginda berdua diadakan pada hari Khamis 25 April 1974 bersamaan 2 Rabiul Awal 1394 Hijrah di Istana Maziah Kuala Terengganu. 


Pada 4 Mei 1974, Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Durah mengadakan Istiadat Menyambut Keberangkatan Balik Pengantin Diraja yang diadakan di Istana Lama Seri Menanti. Baginda berdua bersanding di atas singgahsana lama Istana Lama Seri Menanti. Perkahwinan baginda berdua diserikan dengan kelahiran putera sulung yang diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz pada 26 April 1977. 5 tahun selepas itu, putera kedua pula dilahirkan pada 6 Julai 1982 dan diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz. Dan pada 3 September 1984, putera bongsu baginda berdua dilahirkan dan diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin Ibni Tuanku Muhriz. 


Selepas 47 tahun bergelar Tunku Besar Seri Menanti, pada 29 Disember 2008, Tuanku Muhriz telah diisytiharkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menggantikan ayahanda saudara baginda Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Kehidupan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah sekeluarga berubah selepas menduduki takhta Negeri Sembilan. Tuanku Muhriz ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar pada 26 Oktober 2009. Tuanku Aishah pula dimasyhurkan sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada 14 Februari 2009. 


Suasana sedih menyelubungi keluarga baginda pada 16 Januari 2016 apabila putera bongsu baginda berdua mangkat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Bandar Tun Razak. Sewaktu diputerakan, Almarhum Tunku Alif disahkan oleh doktor dilahirkan kekurangan Vitamin K di otak. Almarhum disahkan kurang upaya dan pembedahan demi pembedahan dilakukan terhadap Almarhum semasa masih bayi lagi. Menurut YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin di dalam tulisan baginda di dalam Malay Mail bertajuk "Lesson From My Brother", ayahanda dan bonda baginda belajar semampu baginda berdua tentang keadaan kesihatan yang dialami Almarhum untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk Almarhum. Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah mengambil keputusan membawa Almarhum ke Institut Pencapaian Potensi Manusia, sebuah pusat pakar di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) untuk meninjau kaedah rawatan. Selepas pulang ke tanah air, baginda sekeluarga menjalankan rawatan intensif untuk membantu Almarhum dan mendapat sokongan dan bantuan daripada kerabat diraja dan teman rapat. 


Sehinggakan sampai satu tahap, Tuanku Muhriz terpaksa menjual syarikat baginda supaya baginda mempunyai masa untuk program rawatan Almarhum dan wang yang secukupnya untuk membiayai semua rawatan tersebut. Keadaan kewangan keluarga Tuanku Muhriz agak terjejeas ketika itu dimana Tunku Ali dan Tunku Zain yang sedang melanjutkan pelajaran mendapat bantuan kewangan daripada kerabat diraja yang lain. Pemergian Tunku Alif merupakan kehilangan besar buat keluarga Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah. Erti pengorbanan dan kesabaran yang ditunjukkan baginda berdua dalam menempuh dugaan tersebut amat tinggi nilainya. Walaupun sibuk dengan jadual seharian setelah menduduki takhta Negeri Sembilan, namun sokongan terhadap Almarhum Tunku Alif tidak pernah pudar. Bersempena ulangtahun perkahwinan ke 46 DYMM Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Aishah Rohani, didoakan semoga baginda berdua dilanjutkan usia dan dirahmati Allah sentiasa. 

Tuesday 21 April 2020

Dewan Tunku Abdul Rahman & Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong.

Bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di awal tahun 1950-an.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, jawatan ketua negara yang bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah diisi oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Alat-alat kebesaran Persekutuan yang baru telah ditempah untuk menunjukkan kedaulatan negara merdeka yang baru ini. Sudah tentunya, di dalam proses monarki, seseorang Ketua Negara itu perlu menjalani Istiadat Pertabalan sebagai simbol penerimaan kuasa oleh baginda untuk mengetuai sesebuah negara. Tetapi, bilik singgahsana yang ada di Istana Negara terlalu kecil untuk diadakan Istiadat Pertabalan tersebut. Maka, Ketua Menteri Persekutuan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah mencadangkan supaya Istiadat Pertabalan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bangunan yang terletak di Jalan Ampang ini telah banyak kali digunakan untuk menjalankan majlis rasmi kerajaan. Bangunan ini pada asalnya merupakan kediaman milik pelombong timah Encik Eu Tong Seng yang dibina pada tahun 1935. Bangunan ini dibina di atas tanah seluas 2.6 hektar. Semasa zaman penjajahan British dan Jepun, bangunan ini dijadikan markas tentera. British menggunakan khidmat bangunan ini sehingga tahun 1956. Pada 24 Februari 1948, peristiwa besar yang pertama dijalankan di bangunan ini. Mesyuarat Pertama Majlis Perundangan Persekutuan telah diadakan. Sebagai langkah menuju kemerdekaan, bangunan ini dijadikan markas Tentera Persekutuan dan secara rasminya dijadikan sebagai Markas Tentera Persekutuan pada 15 Julai 1956. Perasmian dilakukan oleh Mejar Jeneral Dato' Sir F.H. Brooks yang kemudiannya dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Persekutuan. 



Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, satu lagi peristiwa bersejarah berlaku di bangunan ini. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Yang Pertama Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad diadakan pada 2 September 1957. Dewan Tunku Abdul Rahman ini dijadikan sebagai Balairong Seri buat pertama kalinya untuk menabalkan Ketua Negara bagi sebuah negara baru. Istiadat Pertabalan yang diadakan secara gilang gemilang ini dihadiri oleh kira-kira 500 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, wakil-wakil negara asing serta pembesar-pembesar negara. Pada tahun 1957 juga, bangunan ini telah diubahsuai dan diperbesarkan dengan kos sebanyak RM 750,000.00. Pada 24 Februari 1958, dewan ini secara rasminya dibuka dan dirasmikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra. Dewan ini diberi nama Dewan Tunku Abdul Rahman bersempena nama beliau. Dewan Tunku Abdul Rahman terus menjadi tumpuan sebagai tempat berlangsungnya mesyurat-mesyuarat peringkat persekutuan dan antarabangsa. Dewan Tunku Abdul Rahman pernah dijadikan sebagai Balai Seni Lukis Negara (1958-1984), Arkib Negara (1957-1958), dan juga Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Persidangan Pertama Persekutuan juga diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 12 September 1959 yang dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad. Seterusnya, Dewan Tunku Abdul Rahman memainkan peranan penting dalam kelestarian Raja Berpelembagaan di negara kita. 

Suasana Dewan Tunku Abdul Rahman ketika Istiadat Pertabalan Tuanku Abdul Rahman.




Dewan ini telah menyaksikan 5 Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong. Disebabkan Bilik Singgahsana Istana  Negara tidak dapat memuatkan ramai tetamu, maka Istiadat Pertabalan diadakan di dewan bersejarah ini. Dewan Tunku Abdul Rahman dihias menjadi sebuah Balairong Seri. Sebuah singgahsana dibuat sebagai tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ketika pertabalan. Tempat duduk khas untuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri-Permaisuri juga didirikan di kiri dan kanan singgahsana sebagai tempat bersemayam baginda semua untuk menyaksikan Istiadat Pertabalan tersebut. Pada tahun 1960, segala persiapan telah disempurnakan untuk menabalkan Ketua Negara yang ke-2 bagi Persekutuan Tanah Melayu. Namun, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah tidak sempat untuk ditabalkan di dewan ini kerana telah gering dan mangkat pada tarikh pertabalan baginda. Maka, Istiadat Pertabalan yang seterusnya adalah pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Istiadat Pertabalan baginda diadakan pada 4 Januari 1961. 



Ketika Pertabalan Tuanku Syed Putra pada tahun 1961.

Ketika Istiadat Pertabalan Sultan Ismail Nasiruddin pada tahun 1966.


5 tahun selepas itu, Dewan Tunku Abdul Rahman sekali lagi dijadikan Balairong Seri untuk Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 11 April 1966. Pada 20 Februari 1971, Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah diadakan. Kali terakhir Dewan Tunku Abdul Rahman menyaksikan Istiadat Pertabalan adalah pada 28 Februari 1976 iaitu Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6 Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Jasa Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai Balairong Seri yang menabalkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berakhir setelah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7 Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar memutuskan untuk mengadakan Istiadat Pertabalan baginda di Istana Negara. Pada pendapat baginda, singgahsana tidak boleh dipisahkan daripada Istana. Baginda menitahkan supaya Bilik Singgahsana Istana Negara diubahsuai menjadi sebuah Balairong Seri yang layak dijadikan tempat untuk menabalkan seorang Ketua Negara. Setelah siap Balairong Seri yang baru, maka Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong diadakan di Istana Negara dan tradisi ini dikekalkan sehinggalah ke hari ini. 

Pertabalan Tuanku Abdul Halim pada tahun 1971.


Bahagian luar Dewan Tunku Abdul Rahman yang dijadikan tempat untuk Pemeriksaan Kawalan Kehormatan oleh Yang Di-Pertuan Agong sebelum Istiadat Pertabalan di dalam.

Istiadat Pertabalan Sultan Yahya Petra pada tahun 1976.


Pada hari ini, bangunan bersejarah ini dijadikan sebagai Pusat Pelancongan Malaysia atau Malaysia Tourism Centre (MATIC) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Pada tahun 1988, bangunan ini diberi nama Kompleks Penerangan Pelancongan atau Malaysia Tourism Information Complex dan dibuka kepada orang ramai pada Ogos 1989. Pada 16 Februari 2001, nama bangunan ini telah ditukar pada Malaysia Tourism Centre (MATIC) sehinggalah hari ini. 



Dewan Tunku Abdul Rahman sekarang yang dikenali sebagai Malaysia Tourism Centre.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...