Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 12 April 2016

Ayahanda dan Bonda Sultan Hassanal Bolkiah.


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Paduka Sri Begawan Sultan Muda Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien,
D.K.M.B., D.K., P.S.N.B., S.P.M.B., P.S.S.U.B., P.H.B.S., D.M.N., D.K.(Kelantan), D.K.(Johor), D.K.(Selangor), G.C.V.O., K.C.M.G., Elizabeth II Coronation Medal.

Dan
KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Suri Begawan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Damit,
D.K.

Sultan Omar Ali Saifuddien diputerakan sebagai Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien pada 23 September 1914 di Istana Kota, Kampung Sultan Lama, Bandar Brunei. Baginda merupakan anakanda kedua daripada sepuluh beradik kepada pasangan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Muhammad Jamalul Alam II dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Siti Fatimah. Ayahanda baginda menjadi Sultan Brunei bermula tahun 1906 sehingga 1924. Pada 11 September 1924, Sultan Jamalul Alam II mangkat akibat demam malaria. Putera sulung baginda yang juga kekanda sulung kepada Sultan Omar Ali iaitu Pengiran Muda Besar Ahmad Tajuddin menjadi Sultan Brunei dengan bergelar KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Sir Ahmad Tajuddin Akhazul Khairiwaddien. Adik beradik Sultan Omar Ali yang lain ialah YAM Pengiran Muda Bongsu, YAM Pengiran Muda Anum, YAM Pengiran Muda Laila Gambar, YAM Pengiran Anak Besar Bagol, YAM Pengiran Anak Putri Hajah Besar, YAM Pengiran Anak Puteri Tengah, YAM Pengiran Anak Puteri Damit dan YAM Pengiran Puteri Anak Tinggal.



Sultan Omar Ali mendapat pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar (M.C.K.K.) bermula tahun 1932 hingga 1936. Selepas menamatkan pengajian di MCKK, baginda pulang ke Brunei untuk bertugas di Bahagian Perhutanan sebagai Pegawai Kadet di Kuala Belait sehingga tahun 1937. Seterusnya baginda menyertai bidang perundangan pula juga sebagai Pegawai Kadet sehingga tahun 1939. Baginda mempelajari mengenai kod perundangan jenayah dan sivil daripada Penolong Residen British, Hughes-Hallet. Baginda memegang jawatan sebagai Presiden Kesatuan Melayu Brunei bermula tahun 1939 hingga 1947. Pada tahun 1941, Sultan Omar Ali bekerja sebagai pegawai pentadbiran di Pejabat Residen British. Pada tahun 1947, baginda menjadi Pengerusi Mahkamah Shariah sehingga tahun 1950. Pengalaman baginda dalam pelbagai bidang membuatkan baginda lebih bersedia untuk menerajui takhta Brunei Darussalam.




Sultan Omar Ali dilantik sebagai Paduka Sri Pengiran Bendahara Sri Maharaja Permaisuara pada 18 Julai 1947 oleh kekanda baginda Sultan Ahmad Tajuddin. Ketika itu baginda berusia 33 tahun. Telah ditakdirkan Allah, kekanda sulung baginda Sultan Ahmad Tajuddin mangkat di Hospital Besar Singapura selepas mengalami kegagalan buah pinggang pada 4 Jun 1950. Disebabkan kekanda baginda tidak mempunyai anak lelaki, maka, Sultan Omar Ali telah dilantik sebagai Sultan Brunei menggantikan kekanda baginda. Baginda diishtiharkan sebagai Sultan Brunei pada 6 Jun 1950. Sultan Omar Ali dipuspakan sebagai Sultan Brunei pada 31 Mei 1959 di Lapau DiRaja Bandar Brunei. Serentak dengan perpuspaan baginda sebagai Sultan Brunei, Raja England telah menganugeru baginda dengan Honorary Companion of the Most Distinguished Order of St Michael and Saint George (C.M.G.). Baginda memakai gelaran penuh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Paduka Seri Sultan Haji Sir Omar Ali Saifuddien Saa'dul Khairi Waddien Ibni Almarhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II.




Dikenali sebagai Bapa Permodenan Brunei, Sultan Omar Ali banyak mencorakkan kemajuan Brunei. Baginda banyak memberi sumbangan dalam bidang keagamaan seawal sebelum bergelar Sultan lagi. Baginda menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Agama pada 1 Julai 1954. Baginda juga menitik beratkan pengajian mengenai Islam. Pada September 1956, atas inisiatif baginda, sekolah agama telah mula beroperasi di Brunei. Kerajaan Brunei ketika itu juga menawarkan biasiswa kepada pelajarnya untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab AlJunied di Singapore, Kolej Islam Klang Selangor dan Universiti Al Azhar. Selain itu, baginda berperanan dalam penulisan Perlembagaan Negara Brunei. Pada Mac 1959, baginda mengetuai delegasi ke England untuk membincangkan isi perlembagaan tersebut. Pada 29 September 1959, Perjanjian Perlembagaan ditandatangani di Bandar Seri Begawan. 

Pada September 1951, baginda menunaikan fardu haji di Makkah buat pertama kali dan kali kedua pada April 1962. Pada 1953, baginda menghadiri istiadat kemahkotaan Queen Elizabeth II di Westminster Abbey,London. Dan pada 9 Jun 1953, baginda dianugerahi dengan Knight Commander of the Most Distinguished Order of St Michael and St George (K.C.M.G.) yang membawa gelaran "Sir' daripada Queen Elizabeth II. Baginda banyak menerima darjah kebesaran dari negeri-negeri persekutuan Tanah Melayu. Antaranya Darjah Seri Utama Mahkota Negara (D.M.N.) pada 23 April 1959, Darjah Kerabat Kelantan, Darjah Kerabat Johor, Darjah Kerabat Selangor pada 28 Jun 1961 dan lain-lain lagi. 



Sultan Omar Ali turun takhta Brunei pada 4 Oktober 1967 ketika berusia 53 tahun selepas 17 tahun berada di atas takhta Brunei. Putera sulung baginda, Pengiran Muda Hassanal Bolkiah yang ketika itu menerima latihan ketenteraan di Royal Military Academy, Sandhurst dinamakan sebagai pengganti baginda. Selepas turun takhta, baginda menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Begawan Sultan. Baginda dianugerahi Honorary Grand Commander of the Victorian Order (G.C.V.O.) ketika lawatan Queen Elizabeth ke Brunei pada 29 Februari 1972. 



Peristiwa besar yang baginda berjaya lihat selepas turun takhta adalah kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984. Ketika itu baginda telahpun berusia 70 tahun. Baginda dilantik sebagai Menteri Pertahanan Brunei bermula tahun 1984 hingga 1986. Baginda juga dilantik sebagai Jeneral Kehormat Angkatan Tentera DiRaja Brunei. Sultan Omar Ali Saifuddien mangkat pada 7 September 1986, beberapa minggu sebelum menyambut hari keputeraan baginda ke-72. Istiadat pemakaman diadakan pada 8 September 1986. Kesemua Raja-Raja Melayu hadir memberikan penghormatan terakhir. Juga pemimpin-pemimpin dunia. Jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja bersebelahan makam isteri baginda, ayahanda baginda, nenda baginda dan kekanda baginda Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin. 



Sultan Omar Ali bertemu jodoh dengan sepupu baginda Pengiran Anak Damit Binti Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisurara Pengiran Anak Abdul Rahman. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan pada 6 September 1941. Baginda berdua dikurniakan 10 orang putera dan puteri. Putera sulung baginda ialah KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Putera-putera yang lain ialah DYTM Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, dan DYTM Pengiran Muda Jefri Bolkiah. Puteri-puteri baginda pula ialah YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Norain, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Rakiah, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al Islam, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah. 



Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Damit diputerikan pada tahun 1924 di Bandar Brunei. Baginda merupakan puteri sulung kepada YAM Pengiran Bendahara Sri Maharaja Permaisuara Pengiran Anak Abdul Rahman Ibni Almarhum Pengiran Bendahara Pengiran Muda Omar Ali dan YM Pengiran Hajah Fatimah Binti Radin Haji Hassan. Ayahanda baginda merupakan cucunda kepada Sultan Hashim Jalilul Alam. Baginda menerima pendidikan secara persendirian didalam istana. 



Setelah suami baginda menaiki takhta Brunei, baginda diberikan gelaran Paduka Seri Baginda Raja Isteri pada 6 Jun 1951. Baginda dianugerahi dengan Darjah Kerabat Brunei Pangkat Pertama (D.K. I) pada 31 Mei 1954. Selepas suami baginda menuruni takhta pada 1967, Pengiran Anak Damit diberi gelaran Paduka Seri Suri Begawan Raja Pengiran Anak Hajah Damit pada 1 Ogos 1968. Pengiran Anak Damit mangkat ketika berusia 55 tahun pada 13 September 1979. Baginda mangkat di Istana Darussalam, Kampong Sumbiling Lama, Bandar Seri Begawan. Jenazah baginda dimakankan di Makam DiRaja, Jalan Khutbah Makam DiRaja. 



Al Fatihah buat Almarhum Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dan Almarhum Paduka Seri Suri Begawan Raja Pengiran Anak Damit. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-dua Almarhum.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...