Anda Pengunjung Ke :

Monday 11 April 2016

T.Y.T. Tun Khalil Yaakob dan Y.A.Bhg. Toh Puan Zurina Kassim.


Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil Bin Yaakob,
S.M.N., D.U.N.M., S.U.M.Z., S.J.M.K., S.S.A.P., P.S.M., S.I.M.P., S.P.D.K., D.P., D.S.A.P., J.S.M., S.M.P., G.C.O.M.(Germany). 

dan


Yang Amat Berbahagia Isteri Yang Di-Pertua Negeri Melaka Toh Puan Datuk Seri Utama Dato' Zurina Binti Kassim, 
D.U.N.M., S.I.M.P.



Tuan Yang Terutama Tun Mohd Khalil Bin Yaakob dilahirkan pada 29 Disember 1937 di Kuantan, Pahang. Beliau merupakan anak ketiga kepada pasangan Yaakob Bin Awang Shukor dan Salmah Binti Zainuddin. Tun Khalil mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad Shah, Kuantan Pahang dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (M.C.K.K.) pada tahun 1950. Beliau meneruskan pengajian ke peringkat universiti di Universiti Malaya dalam bidang Sastera. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1962 ketika beliau berusia 25 tahun. Tun Khalil merupakan seorang pelajar yang aktif ketika zaman universiti. Beliau merupakan Majlis Perwakilan Pelajar, Presiden Kesatuan Sukan, dan mewakili Universiti Malaya dalam sukan ragbi.


Setelah menamatkan pengajian, Tun Khalil menyertai Kementerian Luar Negeri. Kerjaya awal beliau adalah sebagai seorang diplomat di negara asing. Beliau telah berkhidmat sebagai diplomat selama 13 tahun di negara-negara seperti Italy, Maghribi, Singapura dan Indonesia. Sejurus sahaja pulang ke tanah air selepas 13 tahun di negara orang, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka(LKWJ). Tun Khalil pertama kali bertanding dalam pilihanraya adalah pada tahun 1978. Beliau yang ketika itu berusia 41 tahun telah bertanding untuk mewakili Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam dan telah memenangi bagi kawasan tersebut. Beliau seterusnya beralih ke peringkat Parlimen apabila bertanding di kerusi Parlimen Maran pada Pilihanraya Umum 1982 dan beliau sekali lagi menang. Pada usia 45 tahun, Tun Khalil dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Beliau seterusnya dilantik sebagai Menteri penuh pada 14 Julai 1984. Beliau menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan menjaga perkara berkaitan Perkhidmatan Awam dan Lembaga Urusan Tabung Haji. 


Tun Khalil kembali ke Dewan Undangan Negeri apabila bertanding di DUN Bukit Tanjau pada pilihanraya tahun 1986. Beliau memenangi kerusi itu dan telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke-13 pada 14 Ogos 1986 ketika berusia 49 tahun. Beliau menjadi Menteri Besar Pahang selama 13 tahun sehingga tahun 1999. Pada 22 Mei 1999, setelah meninggalkan jawatan Menteri Besar, beliau telah dilantik sebagai Senator. Beliau kemudiannya bertanding untuk Parlimen Kuantan pada Pilihanraya Umum Ke-9 dan menang. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO.

Setelah bersara daripada kerajaan pada tahun 2004, beliau telah dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Melaka menggantikan YABhg Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Bin Syed Mahmud Shahabuddin. Tun Khalil dilantik secara rasmi pada 4 Jun 2004 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Beliau telah menjadi Yang Di-Pertua Negeri selama 12 tahun sehingga hari ini. 


Sepanjang 13 tahun menjadi diplomat dan 17 tahun menjadi menteri dan menteri besar, Tun Khalil telah banyak dianugerahi dengan darjah kebesaran dan penghargaan. Beliau telah dianugerahi dengan Ijazah Doktor Kehormat dari University of Southern, Philippines dalam bidang perkhidmatan awam pada tahun 1980. Beliau juga menerima Ijazah Doktor Kehormat dari The Oxford Centre of Leadership, London pada tahun 2007. Pada tahun 2013, Tun Khalil dianugerahi dengan Anugerah Legendary Brand Icon Leadership Award 2013 oleh The Brandlaureate Malaysia. Selaku Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Melaka (UTeM) pada tahun 2004 sehingga kini. 


Sebagai Yang Di-Pertua Negeri, Tun Khalil telah dianugerahi dengan Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran "Tun" pada 20 Julai 2004. Selain itu, beliau juga dianugerahi dengan darjah kebesaran dari negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah, dan juga Sarawak. Beliau juga pernah dianugerahi Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran "Tan Sri". Beliau juga penyandang darjah kebesaran tertinggi negeri Melaka iaitu Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) yang membawa gelaran "Datuk Seri Utama". Beliau juga menerima penghormatan dari Jerman apabila diberi Grand Cross of the Order of Merit (G.C.O.M.) Germany.


Pada 28 Februari 1965, Tun Khalil telah bertemu jodoh dengan Yang Amat Berbahgia Toh Puan Datuk Seri Utama Dato' Zurina Binti Kassim. Hasil perkahwinan Tun Khalil dan Toh Puan Zurina telah dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Mohd Raznam Mohd Khalil, Lalla Nezha Mohd Khalil dan Rahadian Mahmud Mohd Khalil. Anak sulung beliau, Mohd Raznam telah meninggal dunia pada tahun 2011 akibat komplikasi buah pinggang. 

Toh Puan Zurina dilahirkan pada 13 Julai 1944 di Duyong, Melaka. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru dan seterusnya Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Tun Khalil ketika berusia 21 tahun. Selepas itu, beliau bergelar isteri diplomat dan mengikut suami beliau bertugas di luar negara selama 13 tahun. Banyak ilmu dan pengalaman dikumpul oleh Toh Puan Zurina selama berada di rantau orang. 

TUN MOHD. KHALIL YAAKOB dan Idris Haron (kanan) menyaksikan Toh

Toh Puan Zurina aktif dalam bidang kebajikan. Beliau mengasaskan Yayasan Toh Puan Zurina untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Yayasan yang mengambil nama Toh Puan Zurina ini merupakan Pusat Hemodialisis yang diilhamkan sendiri oleh Toh Puan pada November 2009. Pesakit buah pinggang boleh mendapatkan rawatan haemodialisis percuma di Kompleks Yayasan Toh Puan Zurina di Pantai Peringgit. 


Sebagai isteri Yang Di-Pertua Negeri, Toh Puan Zurina telah dianugerahi dengan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) oleh suami beliau yang membawa gelaran "Datuk Seri Utama". Beliau juga telah dianugerahi dengan Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.) yang membawa gelaran Dato' oleh KDYMM Sultan Pahang. 


Kini, Tun Khalil telah berusia 79 tahun manakala Toh Puan Zurina berusia 72 tahun dan kedua-duanya masih berkhidmat untuk negeri Melaka. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada TYT Tun Khalil Yaakob dan YABhg Toh Puan Zurina Kassim.

2 comments:

  1. saya sekarang jaga tun khalil dan toh puan ..

    ReplyDelete
  2. Saya pula bakal menantu kedua2nya.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...