Anda Pengunjung Ke :

Monday 23 February 2015

DYTM Raja Puan Muda Selangor..

Gelaran Raja Puan Muda biasanya diberikan kepada isteri Raja Muda atau pewaris takhta utama di sesebuah negeri. Gelaran ini berlainan mengikut negeri. Negeri Selangor, Perlis, dan Kedah menggunakan gelaran Raja Puan Muda. Namun, di negeri Perak, gelaran Raja Puan Muda tidak diberikan kepada isteri Raja Muda. Isteri Raja Muda Perak menggunakan gelaran Raja Puan Besar. Gelaran Raja Puan Muda diberikan kepada isteri Raja DiHilir Perak. Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU akan bercerita tentang Raja Puan Muda Selangor. Gelaran rasmi yang diberikan kepada isteri Raja Muda Selangor ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor Darul Ehsan bagi penyandang yang berdarah raja. Manakala gelaran untuk penyandang dari golongan kebanyakan ialah Yang Teramat Mulia Che' Puan Muda Selangor Darul Ehsan. 

Mengikut rekod, gelaran Raja Puan Muda Selangor hanya wujud selepas merdeka. Sebelum itu, tiada gelaran rasmi bagi isteri kepada Raja Muda Selangor. Sebagai contoh, ketika Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1936, isteri baginda, Tengku Jemaah Raja Ahmad tidak diberi gelaran Raja Puan Muda. Sehingga hari ini, cuma dua orang sahaja yang pernah menyandang gelaran Raja Puan Muda Selangor bermula selepas merdeka. Raja Puan Muda yang pertama ialah Almarhum Tengku Ampuan Rahimah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz dan YAM Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal. Gelaran Raja Puan Muda kali terakhir digunakan di Selangor adalah pada tahun 1986. Ini bermakna jawatan ini sudah kosong selama 29 tahun. Raja Muda Selangor sekarang, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah belum lagi berkahwin.

1958 hingga 1960 :
Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor Darul Ehsan Tengku Rahimah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz.


Tengku Rahimah membaca surat sumpah jawatan sambil memegang tombak diraja dihadapan Sultan Hisamuddin dan Tengku Ampuan Jemaah semasa istiadat perlantikan Raja Puan Muda Selangor pada tahun 1958.


Raja Puan Muda Selangor Pertama.

Tengku Rahimah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz Langkat diputerikan pada 4 Ogos 1927. Baginda merupakan puteri kepada Sultan Langkat, Sultan Abdul Aziz dan Tengku Permaisuri Zaharah Binti Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Baginda berkahwin dengan Raja Muda Selangor, Tengku Abdul Aziz Shah Ibni Sultan Hisamuddin pada 11 Mac 1956. Baginda diberikan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor oleh ayahanda mertua baginda pada 13 Mei 1958 semasa berusia 31 tahun. 2 tahun selepas bergelar Raja Puan Muda Selangor, baginda diishtiharkan sebagai Tengku Ampuan Selangor pada 3 September 1960 berikutan perlantikan suami baginda sebagai Sultan Selangor Darul Ehsan. 

1972 hingga 1986 :
Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor Darul Ehsan,Raja Datin Paduka Seri Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal,
D.K.II(Selangor),S.P.M.S.

Raja Zarina membaca surat sumpah jawatan sambil memegang tombak diraja semasa istiadat perlantikan Raja Puan Muda Selangor pada tahun 1972.

Raja Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal diputerikan pada 16 Mac 1946. Beliau merupakan puteri kepada YM Raja Tan Sri Zainal Abidin Bin Raja Lat. Beliau berkahwin dengan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2 Julai 1968. 4 tahun selepas itu, beliau dikurniakan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor oleh ayahanda mertua beliau. Sepanjang bergelar Raja Puan Muda, beliau dikurniakan dengan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Di Hormati Pangkat Kedua (D.K.. II) dan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri. Jawatan Raja Puan Muda Selangor ini beliau pegang sehingga penceraian beliau dengan Tengku Idris Shah pada tahun 1986. Kini, beliau bergelar Yang Mulia Raja Datin Paduka Seri Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal.


Bersama Raja Muda Selangor ketika menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Perak.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...