Anda Pengunjung Ke :

Saturday 21 February 2015

Pasangan DiRaja Tertua Di Dunia ..

Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU membawakan anda senarai pasangan diraja tertua di dunia. Ada pasangan diraja ini masih bertakhta, ada yang sudah turun takhta dan ada yang telah mangkat. Berikut merupakan senarai 9 pasangan diraja yang mempunyai umur yang panjang. 

1. QUEEN JULIANA, QUEEN OF NETHERLANDS DAN PRINCE BERNHARD.


Queen Juliana merupakan Ratu Belanda atau Netherlands pada tahun 1948 hingga 1980. Baginda merupakan bonda kepada mantan Ratu Belanda, Queen Beatrix. Baginda dilahirkan pada 30 April 1909. Baginda berkahwin dengan Putera Bernhard 24 November 1936. Putera Bernhard dilahirkan pada 29 Jun 1911, dua tahun lebih muda daripada isteri baginda. Queen Juliana menaiki takhta Belanda pada 4 September 1948 apabila bondanya melepaskan takhta sebagai Ratu Belanda. Baginda menjadi Ratu Belanda sehingga 30 April 1980, dimana baginda melepaskan takhta Belanda untuk memberi laluan kepada anakanda baginda,Queen Beatrix. Queen Juliana mangkat pada 20 April 2004 pada usia 95 tahun, menjadikan baginda bekas monarki tertua dunia. 8 bulan selepas kemangkatan baginda, suami baginda Putera Bernhard pula mangkat pada 1 Disember 2004 pada usia 93 tahun. Baginda berdua merupakan pasangan diraja tertua di dunia apabila keduanya mangkat pada tahun yang sama pada usia 95 tahun dan 93 tahun. 

2. QUEEN ELIZABETH, QUEEN OF ENGLAND DAN PRINCE PHILIP.


Queen Elizabeth merupakan Ratu England bermula tahun 1952 hingga sekarang. Pada hari ini, baginda merupakan monarki paling tua bertakhta di dunia. Queen Elizabeth dilahirkan pada 21 April 1926. Pada tahun ini, usia baginda akan mencecah 89 tahun. Queen Elizabeth berkahwin dengan Prince Philip pada tahun 1947. Prince Philip dilahirkan pada 10 Jun 1921 dan usia baginda akan mencecah 94 tahun.Queen Elizabeth menaiki takhta England apabila ayahanda baginda mangkat pada 6 Februari 1952. Baginda telah memerintah selama 63 tahun. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja kedua tertua di dunia apabila masih bertakhta ketika masing-masing berusia 89 tahun dan 94 tahun. Baginda berdua juga merupakan pasangan diraja tertua pada masa kini.

3. EMPEROR HIROHITO, EMPEROR OF JAPAN DAN EMPRESS KOJUN.


Maharaja Hirohito merupakan Maharaja Jepun pada tahun 1926 hingga 1989. Baginda merupakan ayahanda kepada Maharaja Akihito, Maharaja Jepun sekarang. Maharaja Hirohito dilahirkan pada 29 April 1901. Baginda berkahwin dengan Maharani Kojun pada 26 Januari 1924. Maharani Kojun dilahirkan pada 6 Mac 1903. Maharaja Hirohito menaiki takhta Jepun pada 25 Disember 1926 pada usia 25 tahun. Baginda memerintah Jepun selama 63 tahun. Maharaja Hirohito mangkat pada 7 Januari 1989 pada usia 88 tahun. Ketika itu, Maharani Kojun berusia 86 tahun. Maharani Kojun mangkat pada 16 Jun 2000 pada usia 97 tahun menjadikan baginda salah seorang bekas permaisuri tertua selepas Queen Elizabeth, The Queen Mother. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja ketiga tertua di dunia apabila masing-masing mangkat pada usia 88 tahun dan 97 tahun.

4. ALMARHUM TUANKU JAAFAR, YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DAN TUANKU NAJIHAH.


Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan bermula tahun 1967 hingga 2008. Baginda juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Malaysia yang ke 10 pada tahun 1994 hingga 1999. Tuanku Ja'afar diputerakan pada 19 Julai 1922. Baginda mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin pada tahun 1942.Tuanku Najihah diputerakan pada 1 September 1924. Tuanku Ja'afar menaiki takhta Negeri Sembilan pada tahun 1967 ketika berusia 45 tahun. Baginda bertakhta selama 41 tahun dan mangkat pada 27 Disember 2008 ketika berusia 86 tahun. Ketika itu Tuanku Najihah berusia 84 tahun. Kini, Tuanku Najihah akan memasuki usia 91 tahun pada tahun ini. Ini menjadikan baginda permaisuri tertua yang pernah hidup di Malaysia. Pasangan Diraja ini merupakan pasangan keempat tertua di dunia apabila mangkat pada usia 86 tahun dan masih sihat dikala usia mencecah 91 tahun.

5. KING BHUMIBOL ADULYADEJ, KING OF THAILAND DAN QUEEN SIRIKIT.

Raja Bhumibol merupakan Raja Thailand bermula 9 Jun 1946 hingga sekarang. Baginda merupakan monarki paling lama memerintah di dunia. Baginda diputerakan pada 5 Disember 1927. Baginda berumah tangga dengan Permaisuri Sirikit pada 28 April 1950. Permaisuri Sirikit diputerikan pada 12 Ogos 1932. Raja Bhumibol menaiki takhta Thailand pada tahun 1946 ketika berusia 19 tahun. Sehingga hari ini, Raja Bhumibol telah memerintah selama 69 tahun. Raja Bhumibol kini berusia 88 tahun dan seringkali diberitakan gering. Manakala Permaisuri Sirikit berusia 83 tahun. Raja Bhumibol juga merupakan monarki terkaya di dunia ketika ini. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja ke 5 tertua di dunia apabila kedua-dua masih bertakhta dikala usia masing-masing mencecah 88 tahun dan 83 tahun.

6. ALMARHUM SULTAN AZLAN, SULTAN PERAK DAN TUANKU BAINUN.


Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin merupakan Sultan Perak ke 34 yang memerintah bermula tahun 1984 hingga 2014. Baginda juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 9 pada tahun 1989 hingga 1994. Sultan Azlan diputerakan pada 19 April 1928. Baginda berkahwin dengan Tuanku Bainun Mohd Ali pada tahun 1955. Tuanku Bainun dilahirkan pada 7 November 1932. Sultan Azlan menaiki takhta negeri Perak pada 3 Februari 1984 ketika berusia 56 tahun. Baginda memerintah negeri Perak selama hampir 30 tahun. Baginda mangkat pada 28 Mei 2014 ketika berusia 86 tahun. Ketika itu Tuanku Bainun berusia 82 tahun. Tuanku Bainun akan memasuki usia 83 tahun pada tahun ini dan baginda bergelar Bonda kepada Sultan Perak. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja keenam tertua didunia apabila mangkat pada usia 86 tahun dan masih sihat pada usia 83 tahun.

7. EMPEROR AKIHITO, EMPEROR OF JAPAN DAN EMPRESS MICHIKO.


Maharaja Akihito merupakan Maharaja Jepun bermula tahun 1989 hingga sekarang. Maharaja Akihito dilahirkan pada 23 Disember 1933. Baginda berkahwin dengan wanita golongan kebanyakan yang kemudiannya menjadi Maharani Jepun iaitu Maharani Michiko pada tahun 1959. Maharani Michiko dilahirkan pada 20 Oktober 1934. Maharaja Akihito menaiki takhta Jepun pada 7 Januari 1989 pada usia 56 tahun selepas kemangkatan ayahanda baginda Maharaja Hirohito. Maharaja Akihito memerintah selama 26 tahun sehingga hari ini. Maharaja Akihito berusia 81 tahun dan Maharani Michiko berusia 80 tahun ketika ini. Pasangan diraja dari Jepun ini merupakan pasangan diraja ke 7 tertua pernah bertakhta apabila masih berada di atas takhta sehingga hari ini.

8. ALMARHUM TUANKU SYED PUTRA,RAJA PERLIS  DAN ALMARHUM TENGKU BUDRIAH.


Tuanku Syed Putra merupakan Raja Perlis bermula tahun 1945 hingga 2000. Baginda juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ketiga Malaysia pada tahun 1960 hingga 1965. Baginda diputerakan pada 25 November 1920. Baginda berkahwin dengan Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail pada tahun 1941. Tengku Budriah diputerikan pada 28 Mac 1928. Tuanku Syed Putra menaiki takhta Perlis pada 4 Disember 1945 ketika berusia 25 tahun. Baginda memerintah Perlis selama lebih kurang 55 tahun sehingga kemangkatan baginda. Tuanku Syed Putra mangkat pada 16 April 2000 semasa berusia 80 tahun. Ketika itu, Tengku Budriah berusia 76 tahun. Tengku Budriah mangkat pada 28 November 2008 pada usia 84 tahun. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja ke 8 tertua di dunia selepas masing-masing mangkat ketika berusia 80 tahun dan 84 tahun.

9. KING ALBERT II, KING OF BELGIUM DAN QUEEN PAOLA.


Raja Albert II merupakan Raja Belgium bermula tahun 1993 hingga 2013. Baginda dilahirkan pada 6 Jun 1934. Baginda mendirikan rumah tangga dengan Permaisuri Paola pada tahun 1959. Queen Paola dilahirkan pada 11 September 1937. Raja Albert II menaiki takhta Belgium pada 9 Ogos 1993 pada usia 59 tahun setelah kemangkatan kekanda baginda, Raja Baudouin. Raja Albert II memerintah Belgium selama 20 tahun dan mengambil keputusan untuk turun takhta pada 21 Julai 2013 untuk memberi laluan kepada anakanda baginda Raja Philippe untuk menaiki takhta. Sebab lain baginda berundur dari takhta adalah kerana masalah kesihatan. Pada tahun ini, usia baginda akan mencecah 81 tahun. Manakala Permaisuri Paola akan mencecah usia 78 tahun. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja ke 9 tertua di dunia apabila masing-masing berusia 81 tahun dan 78 tahun.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...