Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 11 February 2015

Ayahanda Dua Orang Raja Permaisuri Agong Yang Menjadi Menteri Besar Terengganu..

Tahukah anda bahawa jawatan Menteri Besar Terengganu pernah diisi oleh dua orang ayahanda kepada dua orang Raja Permaisuri Agong? Kedua-dua Menteri Besar Terengganu ini berkhidmat sekitar tahun 1940an. Mereka adalah ayahanda kepada Raja Permaisuri Agong Ke 4, Almarhum Tuanku Intan Zaharah iaitu Tengku Seri Setia Raja Tengku Omar Bin Tengku Othman dan ayahanda Raja Permaisuri Agong Ke 7, Almarhum Tengku Ampuan Afzan iaitu Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ahmad. 


Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Setia Raja Terengganu Tengku Omar Bin Tengku Othman, O.B.E.,George V Silver Jubilee Medal, George VI Coronation Medal.
Menteri Besar Terengganu ( 15 Julai  1940- 9 Disember 1941 ) 

Almarhum Tuanku Intan Zaharah dan ayahanda baginda, Almarhum Tengku Omar.

Menteri Besar Terengganu ke 2, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Setia Raja Tengku Omar Bin Tengku Muda Othman Bin Tengku Abdul Jalil Ibni Almarhum Sultan Hussain Muazzam Shah diputerakan pada 17 Disember 1884 di Singapura. Beliau merupakan cicit kepada Sultan Singapura yang terakhir iaitu Almarhum Sultan Hussain Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah Alam. Tengku Omar berkahwin sebanyak tiga kali, pertamanya dengan YM Tengku Badariah Binti Tengku Chik Bakar, kedua pada tahun 1927 dengan YM Raja Zainab Binti Raja Alang, dan ketiga dengan Hajah Nik Maimunah Binti Shaik Nik Abdullah pada 9 Oktober 1933. Beliau dikurniakan dengan 4 orang putera dan 4 orang puteri. Puteri beliau bersama Raja Zainab iaitu Tengku Intan Zaharah telah berkahwin dengan putera Sultan Terengganu dan menaiki takhta Terengganu sebagai permaisuri pada tahun 1945. Tengku Omar menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1923 hingga 1940. Seterunya menjadi Menteri Besar Terengganu ke 2 pada tahun 1940 hingga akhir tahun 1941.Tengku Omar mangkat pada 24 April 1945 ketika berusia 61 tahun. Beliau dianugerahi dengan darjah Order of British Empire (O.B.E.) pada 1 Januari 1941 oleh King George VI.

Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Perang Pahang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah, M.B.E.,George V Silver Jubilee Medal, George VI Coronation Medal, Elizabeth II Coronation Medal.
Menteri Besar Terengganu ( 17 Disember 1945 - 26 Disember 1949 )

Almarhum Tengku Ampuan Afzan dan ayahanda baginda Almarhum Tengku Muhammad.

Menteri Besar Terengganu ke 4, Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad Ibni Sultan Sir Ahmad  Muazzam Shah diputerakan pada 18 Ogos 1901. Beliau merupakan putera ke 8 kepada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah Ibni Almarhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali bersama isteri baginda DYMM Tun Besar Fatimah Binti Tun Muhammad. Beliau berkahwin sebanyak 2 kali. Pertamanya di Kuala Kangsar pada Fabruari 1923 dengan YM Raja Nur Anuar Binti Raja Harun Al Rashid dan keduanya pada tahun 1928 dengan YM Tengku Hajah Aishah Mandak Binti Tengku Mustafa. Beliau dikurniakan dengan 4 putera dan 15 orang puteri. Puteri keempat beliau iaitu Tengku Afzan telah berkahwin dengan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah dan telah menaiki takhta negeri Pahang pada tahun 1974. Tengku Ampuan Afzan juga menjadi Raja Permaisuri Agong Ketujuh bermula tahun 1979 hingga 1984. Tengku Muhammad menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1945 hingga 1949. Seterusnya beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang pada tahun 1951 hingga 1955 dan tahun 1955 hingga 1957. Beliau telah mangkat pada 8 Januari 1957 pada usia 56 tahun. Beliau telah dianugerahi pingat Member of British Empire oleh Raja England pada tahun 1936. Seterusnya Commander of British Empire oleh Ratu England pada tahun 1954.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...