Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 11 February 2015

Putera dan Puteri Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj merupakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan bermula tahun 1938-1942 dan 1945-1960. Baginda merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ke 2 Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1960. Baginda diputerakan pada 13 Mei 1898 di Istana Bandar Temasha. Baginda merupakan putera kepada Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan YABhg Cik Hasnah Binti Pilong. Baginda berkahwin sebanyak tiga kali. Pertamanya pada tahun 1919 dengan DYMM Tengku Ampuan Raja Jemaah Binti Raja Ahmad yang kemudiannya bergelar Tengku Ampuan Selangor dan Raja Permaisuri Agong. Keduanya pada tahun 1927 dengan YABhg Cik Puan Hajah Kalsum Binti Mahmud. Dan kali ketiga dengan YAM Raja Halijah Binti Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah Rahmatullah. Baginda dikurniakan 4 orang putera dan 3 orang puteri dan putera sulung baginda menggantikan baginda sebagai Sultan Selangor apabila baginda mangkat pada 1 September 1960.

Gambar yang diambil pada 9 Mac 1975 menunjukkan kesemua putera dan puteri Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Dari Kiri : DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, YAM Tengku Laksamana Tengku Badli Shah AlHaj, DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah, YAM Tengku Bendahara Tengku Azman Shah, DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Bariah, YAM Tengku Taksiah, dan YAM Tengku Besar Putera Tengku Ismail Shah AlHaj.

1. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj (putera DYMM Tengku Ampuan Jemaah ).

- Diputerakan pada 8 Mac 1926. Dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950. Menaiki takhta Selangor pada 3 September 1960. Dimahkotakan sebagai Sultan Selangor pada 28 Jun 1961. Berkahwin sebanyak 5 kali iaitu dengan YMM Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, YABhg Cik Mahiran Muhd Rais, DYMM Tengku 
Ampuan Rahimah Sultan Abdul Aziz, YABhg Dato' Seri Sharifah Salmah Syed Ahmad Al Kaf dan DYMM Tengku Permaisuri Siti Aishah Abdul Rahman. Baginda dikurniakan 4 orang putera dan 8 puteri. Menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 11 pada tahun 1999 hingga 2001. Mangkat pada 21 November 2001 pada usia 75 tahun.


2. Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Darul Ehsan Tengku Badli Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj ( oleh YABhg Cik Puan Kalsum).

- Diputerakan pada 26 Jun 1928 di Klang. Dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor oleh kekandanya pada tahun 1961. Berkahwin dengan YAM Tengku Aminah Binti Tengku Mahmud Zuhdi pada tahun 1945. Beliau dikurniakan 2 putera dan 5 puteri. Tengku Badli Shah mangkat pada 1 Jun 1988 pada usia 60 tahun.

3. Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj ( oleh YABhg Cik Puan Kalsum).

- Diputerikan pada 29 September 1929 di Istana Bandar Temasha,Kuala Langat. Baginda berkahwin pada 19 September 1956 di Istana Bukit Kota dengan YTM Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah. Perkahwinan baginda tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Baginda diberi gelaran DYTM Raja Puan Muda Kedah pada tahun 28 November 1981. Baginda mangkat pada 21 September 2015 pada usia 86 tahun.

4. Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor Darul Ehsan Tengku Azman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj (putera YABhg Cik Puan Kalsum).

- Diputerakan pada 1 Januari 1931 di Klang. Dilantik sebagai Tengku Bendahara Selangor 13 Mei 1959 oleh ayahanda beliau. Berkahwin dengan YAM Tengku Puan Bendahara Tengku Thuraya Almarhum Sultan Ibrahim pada 27 Disember 1950. Beliau dikurniakan 4 putera dan 2 puteri. Beliau mangkat pada 23 Mac 2014 pada usia 83 tahun. 


5. Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu Darul Iman Tengku Ampuan Hajah Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj (puteri YABhg Cik Puan Kalsum).

- Diputerikan pada 31 Ogos 1933 di Klang. Baginda berkahwin dengan DYTM Yang Di Pertuan Muda Terengganu Tengku Mahmud Ibni Sultan Ismail Nasiruddin pada 22 Mac 1951 di Istana Mestika,Kuala Lumpur. Baginda diberi gelaran DYTM Tengku Puan Muda Terengganu pada 22 Mac 1951. Seterusnya bergelar DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 21 Mac 1980 hingga 14 Mei 1998. Setelah kemangkatan suami baginda, Tengku Bariah bergelar YMM Tengku Ampuan Terengganu. Perkahwinan baginda tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Baginda mangkat pada 21 Mac 2011 pada usia 78 tahun.


6. Yang Amat Mulia Tengku Besar Putra Selangor Darul Ehsan Tengku Ismail Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj ( oleh Cik Puan Kalsum).

- Diputerakan pada 12 Ogos 1937 di Klang. Beliau diberikan gelaran Tengku Panglima Besar oleh ayahanda beliau pada 13 Mei 1959 dan dinaikkan ke Tengku Besar Putra pada 28 Jun 1961 oleh kekanda beliau. Beliau berkahwin dengan YM Cik Puan Hajah Zaharah Binti Abdul Rashid pada tahun 1960. Beliau dikurniakan seorang putera dan dua orang puteri. Beliau mangkat pada 9 Julai 2019 pada usia 82 tahun.



7. Yang Amat Mulia Tengku Hajah Taksiah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj ( oleh Cik Puan Kalsum).
- Diputerikan pada tahun 1939 di Istana Mahkota,Klang. Beliau merupakan puteri bongsu kepada Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Beliau berkahwin sebanyak dua kali. Pertamanya dengan YM Raja Sulong Bin Raja Ariffin. Kali keduanya dengan sepupu beliau sendiri iaitu YM Tengku Amir Sharifuddin Ibni Tengku Dato' Ibrahim Shah yang muda 21 tahun daripada beliau.Beliau mempunyai seorang anak.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

3 comments:

  1. Sepatutnya ada seorang lagi. YM Tengku Temenggung Selangor YAM Tengku Yusof ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Rasa saya beliau berlainan ibu dgn almarhum sultan salahuddin abd aziz shah. Ibu beliau berasal dari kerabat negeri perak di kuala kangsar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin yang saudara maksudkan ialah YAM Tengku Aris Temenggong Selangor Tengku Muhammad Yusof Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Beliau bukan anakanda kepada Sultan Hisamuddin tetapi adinda baginda. Tengku Yusof merupakan anakanda kepada Sultan Alaeddin dan Tengku Ampuan Fatimah. Sultan Salahuddin adalah anakanda saudara kepada Tengku Yusof.

      Delete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...