Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 11 November 2018

DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.


WARISAN PERMAISURI akan menyambung kisah wanita diraja di negara kita. Kali ini giliran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Binti Datuk Salim Davidson, D.K., D.K.S.A.,D.K.A. yang merupakan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan menggantikan bonda mertua baginda, YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun apabila suami baginda, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke 35. 


Pada masa kini, barangkali baginda merupakan kerabat DiRaja yang paling dikenali di Malaysia. Hal ini kerana baginda adalah wanita yang berjaya mencuri hati seorang putera raja yang paling disanjungi rakyat Malaysia. Kecantikan dan kelembutan baginda sebagai seorang Permaisuri dan seorang bonda amat dikagumi. Kemunculan baginda dalam satu-satu istiadat atau majlis amat dinantikan kerana baginda seringkali akan menggayakan busana yang cantik dan menawan. Sesuai dengan gelaran seorang Permaisuri, Tuanku Zara memiliki pakej lengkap sebagai seorang wanita berpelajaran tinggi.


Dilahirkan sebagai Zara Binti Salim Davidson pada 22 Mac 1973 di Ipoh Perak. Baginda merupakan anak bongsu daripada empat orang adik beradik. Ayah baginda ialah YBhg Dato' Seri William Stanley Walker Davidson (Salim Davidson) manakala bonda baginda ialah YBhg Dato' Seri Sharifah Azaliah Binti Tan Sri Syed Omar Shahabuddin. Baginda merupakan kerabat DiRaja Kedah disebelah bonda baginda. Baginda merupakan cicit kepada Sultan Kedah ke 24 Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Ini menjadikan Tuanku Zara anakanda cucunda saudara kepada YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Secara tidak langsung juga baginda merupakan anakanda saudara kepada Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan KDYMM Sultan Kedah Sultan Sallehuddin. Tuanku Zara juga merupakan cucu kepada Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Syed Omar Syed Abdullah Shahabuddin. Ayahanda baginda merupakan seorang peguam terkenal di Malaysia.


Baginda mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolahnya dalam sukan squash dan tenis dari tahun 1988 hingga tahun 1990. Baginda juga pernah mewakili negeri Perak dalam sukan renang bermula tahun 1981 hingga 1987. Minat baginda dalam bidang sukan tidak menghalang baginda untuk cemerlang dalam bidang pelajaran. Baginda meneruskan pelajarannya di peringkat A Levels di Prime College dan menamatkan pelajaran pada tahun 1992. Pada tahun yang sama juga baginda menyambung pelajarannya dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti of Nottingham, United Kingdom. Baginda menamatkan pelajaran dan mendapat ijazah kelas pertama pada Julai 1995 di usia 22 tahun. 


Setelah beberapa bulan tamat belajar, baginda bekerja di Petronas dalam Bahagian Penilaian Perniagaan,Unit Perancangan Korporat Petronas. Kemudiannya baginda menjadi Penganalisis Projek dalam Unit Petrokimia Perniagaan. Baginda seterusnya bekerja sebagai Pengurus Produk di syarikat Petlin (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah syarikat hasil kerjasama Petronas. Baginda meninggalkan Petronas pada tahun 2001 untuk bekerja sebagai Pengurus Akaun di Formis Network Services Sdn Bhd seterusnya dilantik sebagai Naib Presiden Formis (Malaysia) Bhd bermula tahun 2003 hingga 2005. Di antara tahun 2005 hingga 2007, baginda menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Forthwave Consulting Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding hydrocarbon. Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan penting dalam projek-projek berskala besar melibatkan syarikat luar negara. 


Bertemu jodoh dengan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika berusia 34 tahun. Istiadat persandingan baginda berdua diadakan di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada 19 Mei 2007. Perkahwinan baginda berdua diberi gelaran "Royal Wedding of the Year". Sesudah bergelar isteri kepada Raja Muda Perak ketika itu, Tuanku Zara diberi gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak oleh ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu Lah. Tuanku Zara juga dianugerahkan Darjah Kerabat Azlan Shah (D.K.S.A.). Baginda juga dikurniakan Darjah Kerabat Azlaani (D.K.A.). Sebagai Raja Permaisuri Perak, baginda telah dianugerahi dengan Darjah Kerabat Perak Yang Amat DiHormati (D.K.) Perak oleh paduka suami baginda.


Perkahwinan bahagia baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera sulung baginda dilahirkan pada 14 Mac 2008 diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, S.P.C.M., S.P.M.P yang kini bergelar Raja Kechil Besar Perak manakala puteri baginda diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Nazira Safya, S.P.C.M. yang diputerikan pada 3 Ogos 2011. Raja Azlan walaupun di usia yang muda sudah mula menunjukkan peribadi yang hebat sebagai bakal Sultan Perak. Keberangkatan tiba beliau dalam majlis rasmi di Perak memperlihatkan kesopanan sebagai seorang putera raja. Manakala kecomelan dan keletah Raja Nazira Safya amat mencuit hati rakyat jelata. 


Sebagai Permaisuri negeri Perak, baginda dilantik sebagai Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Januari 2012 menggantikan bonda mertua baginda YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun. Baginda juga merupakan Penaung Pandu Puteri Cawangan Perak. Atas kapasiti baginda sebagai isteri kepada Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Zara dilantik sebagai Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Tuanku Zara telah dikurniakan dengan "Honorary Fellowship" daripada Institute of Chemical Engineers (IChemE) pada April 2014 sebagai menghargai jasa baginda dalam bidang Kejuruteraan kimia dan sumbangan baginda dalam pembangunan pelajaran dalam negara. Baginda juga merupakan Penaung Persatuan Kesihatan Keluarga Perak, Penaung Convent Girls Alumni (COGA) dan banyak lagi persatuan dalam negeri dan negara. 


Sesungguhnya, kebijaksanaan dan keperibadian Tuanku Zara patut dijadikan contoh oleh rakyat Malaysia terutama kaum wanita. Kegigihan baginda untuk menuntut ilmu semenjak zaman muda disamping aktif dalam bidang sukan amat dikagumi. Rakyat Perak amat bertuah kerana mendapat seorang Permaisuri yang cantik dan berpelajaran tinggi. Dalam usia 45 tahun, Tuanku Zara masih mengekalkan kecantikan semula jadi baginda. Semoga Allah S.W.T melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim.







2 comments:

  1. Tuanku Zara diberikan gelaran Raja Permaisuri Perak bukan Raja Perempuan.

    ReplyDelete
  2. Sesudah bergelar isteri kepada Raja Muda Perak ketika itu, Tuanku Zara diberi gelaran Raja Puan Besar Perak oleh ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu Lah. Perlu dibaca dengan teliti ( @Anonymous20 June 2014 at 08:38 ) itu adalah gelaran beliau pada ketika mula-mula berkahwin semasa itu. Sekarang ini barulah diberi gelaran Raja Permaisuri Perak.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...