Anda Pengunjung Ke :

Saturday 22 September 2018

Darjah Kerabat Yang Diterima KDYMM Sultan Sallehuddin.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menaiki takhta negeri Kedah Darul Aman sebagai Sultan Kedah Ke-29 pada 11 September 2017 setelah kemangkatan kekanda baginda, Almarhum Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Sebagai seorang Raja Pemerintah yang baru menaiki takhta, baginda telah dikurniakan dengan Darjah Kerabat daripada Raja-Raja Melayu. Darjah-Darjah Kerabat ini termasuklah :

DARJAH KERABAT YANG AMAT DIHORMATI (D.K.) KELANTAN DARUL NAIM


Pada 30 September 2017, satu istiadat penganugerahan Darjah Kerabat Kelantan kepada KDYMM Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah diadakan di Istana Anak Bukit. Istiadat ini disempurnakan oleh YMM Pemangku Raja Kelantan Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang mewakili KDYMM Sultan Muhammad V. Turut berangkat, KDYMM Sultanah Maliha Tengku Ariff, DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah, YBM Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Dato Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, YTM Tunku Bendahara Kedah Tunku Abdul Hamid Thani, YTM Tunku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz, YAB Menteri Besar Kelantan Dato' Ahmad Yakob dan pegawai-pegawai Istana Kelantan. Pada istiadat yang sama juga, KDYMM Sultan Sallehuddin berkenan menganugerahi YMM Pemangku Raja Kelantan dengan Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat DiHormati (D.M.K.).


DARJAH KERABAT JOHOR YANG AMAT DIHORMATI PANGKAT PERTAMA (DK I)


Pada 30 Oktober 2017, KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat DiHormati Pangkat Pertama (DK I) pada satu Istiadat Penganugerahan di Istana Anak Bukit. Anugerah ini disampaikan oleh DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Turut berangkat, YTM Tunku Bendahara Kedah Tunku Abdul Hamid Thani, YTM Tunku Laksamana Kedah Tunku Shazuddin Arif, serta DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah. Selesai istiadat, baginda berdua berangkat ke Makam DiRaja Langgar untuk menziarahi makam Almarhum Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. 


DARJAH KERABAT DIRAJA YANG AMAT DIHORMATI (D.K.) PERAK DARUL RIDZUAN.


Pada 4 Disember 2017, KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dikurnia Darjah Kerabat Yang Amat DiHormati (D.K.) Perak dalam satu istiadat yang diadakan di Istana Anak Bukit. Darjah Kerabat tersebut disampaikan oleh DYTM Raja Muda Perak Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang mewakili DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah. Turut berangkat, DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah, YTM Tunku Bendahara Kedah Tunku Abdul Hamid Thani serta Orang Besar Negeri Perak.


DARJAH KERABAT YANG AMAT DIHORMATI (D.K.) SELANGOR DARUL EHSAN.


Pada 25 Januari 2018, KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dikurnia Darjah Kerabat Yang Amat DiHormati (D.K.) Selangor. Istiadat Penganugerahan ini diadakan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Istiadat penganugerahan disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Arif, DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah, DYTM Raja Puan Muda Kedah Che Puan Zaheeda Mohd Arif, YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah, YTM Tunku Bendahara Kedah Tunku Tan Sri Abdul Hamid Thani, YABhg Toh Puan Bendahara Kedah Dato' Nora Abdullah, YTM Tengku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz, dan YTM Tunku Laksamana Kedah Tunku Shazuddin Arif. 



DARJAH KERABAT BAGINDA TUANKU SYED PUTRA JAMALULLAIL (D.K.)


Pada 13 September 2018, KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah dikurnia Darjah Kerabat Baginda Syed Putra (D.K.) Perlis. Istiadat penganugerahan diadakan di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur. Anugerah disampaikan oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mewakili DYMM Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. 


2 comments:

  1. YANG DIPERTUAN NEGERI SEMBILAN SUDAH MEMBERI DK KEPADA TUANKU SULTAN KEDAH... YANG DI SAMPAI KAN OLEH YANG AMAT MULIA TUNKU BESAR SERI MENANTI.. CUBA TGK DI ROYAL FAMILY KEDAH DI FACBOOK. (FB).

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...