Anda Pengunjung Ke :

Friday 30 May 2014

Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Azlan Shah..

Setelah selesai Istiadat Penghormatan Terakhir dan Istiadat Pengisytiharan Sultan Perak ke 35, jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah telah diarak dari Istana Iskandariah menuju ke Masjid Ubudiah untuk disolatkan dan kemudian dimakamkan di Makam DiRaja Al Ghufran. Terdahulu, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah diisytiharkan sebagai Sultan Perak menggantikan ayahanda baginda. Setelah itu, Sultan Perak yang baharu akan mencium keranda Almarhum dan serentak dengan itu 86 das tembakan kedengaran menandakan umur Almarhum. Jenazah Almarhum dibawa keluar dari Balairong Seri Istana dan diletakkan di sebuah pedati khas yang diberi nama Seraja DiRaja. Jenazah baginda diangkat oleh para tentera dan diiringi oleh kerabat DiRaja serta ribuan rakyat yang amat kasihkan Almarhum. Seterusnya jenazah baginda disolatkan di Masjid Ubudiah dan kemudiannya dibawa ke Makam DiRaja untuk disemadikan. Istiadat pemakaman dijalankan penuh adat istiadat DiRaja. 

Almarhum Sultan Azlan dimakamkan bersebelahan Almarhum Raja Ashman, anakanda baginda yang mengkat akibat asma. Istiadat pemakaman selesai pada pukul 6.40 petang dengan diiringi hujan renyai-renyai. Setelah dimakamkan,Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria membacakan talkin serta doa dan tahlil. 

Istiadat dihadiri oleh Balu Almarhum Tuanku Bainun, Sultan Nazrin Shah serta Tuanku Zara Salim. Turut berangkat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Raja Dihilir Perak Raja Jaafar serta Raja Puan Muda Raja Mahani serta kerabat DiRaja yang lain. Turut serta ialah Timbalan Perdana Menteri serta isteri dan Menteri Besar Perak beserta isteri.



Setelah selesai mengangkat sumpah, jenazah Almarhum diangkat untuk dibawa ke Masjid Ubudiah.







Ribuan rakyat turut mengiringi jenazah Almarhum sepanjang perjalanan terakhir baginda ke Istiadat Pemakaman.

Para pembawa Darjah Kebesaran Almarhum/

Sultan Selangor serta Sultan Nazrin Shah turut serta.



Suasana di hadapan Istana Iskandariah.

Solat jenazah di Masjid Ubudiah.

Sultan Sharafuddin, Sultan Nazrin, Tuanku Bainun dan Tuanku Zara Salim.

Tuanku Bainun menyiram air mawar di makam suami baginda.

Sultan Perak menyiram air mawar ke makam ayahadan baginda.

Suasana ketika Istiadat Pemakaman.


Penghormatan Terakhir Buat Sultan Azlan Shah..

Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang mangkat pada 28 Mei 2014 di Institut Jantung Negara merupakan seorang Sultan dan Negarawan yang dihormati dan disegani. Baginda banyak menabur jasa bakti terutama di dalam bidang perundangan negara. Jenazah baginda diletakkan di hadapan Singgahsana di Balairong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. Jenazah baginda diletakkan di atas petarana setinggi tiga tingkat dan dikelilingi oleh Darjah Kebesaran yang diterima baginda. Rakyat jelata dari pelbagai lapisan masyarakat menziarahi jenazah Sultan kesayangan mereka buat kali terakhir. Juga rakan-rakan baginda yang terdiri daripada kalangan Raja-Raja Melayu serta pembesar-pembesar turut sama memberi penghormatan terakhir.

Tuanku Bainun membaca doa bersama puteri-puteri baginda Raja Azureen,Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah menziarahi jenazah Almarhum diiringi oleh Sultan Nazrin Shah.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah diiringi Sultan Selangor turut sama memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menziarahi Almarhum sejak awal pagi lagi.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah beserta putera puteri baginda.

Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani. Turut kelihatan Tunku Ali dan Tunku Zain.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah serta Raja Muda Tuanku Syed Faizzuddin.

Sultan Kelantan Sultan Muhmmad V bersama kerabat baginda.

Tuanku Zarith Sofia mewakili suami baginda Sultan Johor bersama anakanda dan kekanda baginda Raja Nazatul Shima. Baginda merupakan sepupu Almarhum.


Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar yang mewakili bondanya Tuanku Najihah.

Tengku Puan Pahang Tunku Azizah bersama anakanda baginda.

Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah .

Adinda Sultan Terengganu yang mewakili baginda.



Thursday 29 May 2014

Pengisytiharan Sultan Perak ke 35.


DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah hari ini diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke 35, menggantikan Almarhum ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah yang mangkat semalam. Istiadat Perlantikan Raja Pemerintah Perak Darul Ridzuan yang baharu itu berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah,Kuala Kangsar pada pukul 3.14 petang tadi. Baginda memakai gelaran DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah. Pengumuman perlantikan itu dibuat oleh Pengerusi Dewan Negara Perak, Orang Kaya-Kaya Seri Maharaja Tan Sri Dato' Seri Jen (B) Mohd Zahidi Bin Zainuddin. 


Dalam lafaz sumpah, Sultan Dr Nazrin bertitah :

" Bismillahirrahmanirrahim... adalah kita, Raja Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi Wabillahi Watallahi bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian jajahan takluknya menurut perlembagaan negeri Perak dengan adil mengikut hukum Allah."

Selepas melafazkan sumpah, baginda menurunkan tandatangan diatas surat sumpah disusuli laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali oleh hadirin. Mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri Haji Harussani Zakaria kemudian membacakan doa selamat. Sultan Dr Nazrin Shah kemudiannya meletakkan tangan dan mengucup keranda Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai syarat supaya keranda itu diangkat dan diusung keluar untuk istiadat pemakaman. Serentak itu,bedilan meriam sebanyak 86 das mengikut umur Almarhum Tuanku dilepaskan oelh Pasukan Bateri Rejimen Artileri DiRaja. Bedilan itu bermula dari Sultan Perak yang baharu meletakkan tangan di atas keranda sehingga jenazah Almarhum Tuanku diusung ke Makam DiRaja bersebelahan Masjid Ubudiah. Turut berangkat dalam Istiadat ini ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Johor Tuanku Zarith Sofiah, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Raja Puan Besar Tuanku Zara Salim serta kerabat DiRaja terdekat.

Sultan Nazrin mengucup keranda ayahanda baginda.

Sultan Nazrin menandatangani surat sumpah.

Sultan Perak Darul Ridzuan ke 35.


MERAFAK SEMBAH TAHNIAH
DI ATAS PERLANTIKAN SEBAGAI SULTAN PERAK KE 35.


Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan ke 35
Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah,D.K.,D.K.S.A.,D.K.A.,D.K.II(Selangor),S.P.C.M.,S.P.T.S.,S.P.M.P.(Perlis),Ph.D(Harvard).


DAULAT TUANKU !!! DAULAT TUANKU !!! DAULAT TUANKU!!!

Wednesday 28 May 2014

Sekitar Kemangkatan Sultan Perak Darul Ridzuan.



JENAZAH ALMARHUM SULTAN AZLAN DIBAWA DARI IJN KE KUALA KANGSAR.

Almarhum Sultan Azlan yang mangkat pada pukul 1.30 petang di Institut Jantung Negara dibawa keluar dari IJN pada pukul 5.08 petang. Jenazah baginda dibawa oleh Van Jenazah Kementerian Pertahanan dan diiringi oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun bersama kerabat-kerabat DiRaja terdekat. Jenazah baginda selamat tiba di Istana Iskandariah, Bukit Chandan Kuala Kangsar pada pukul 8.15 malam dan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah.

Kelihatan Tuanku Bainun dan Raja Azureen sewaktu jenazah Almarhum dibawa keluar dari IJN.

Perjalanan dari IJN Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar.



Jenazah baginda disemayamkan di Istana Iskandariah.

KERJA-KERJA PENGGALIAN MAKAN ALMARHUM SULTAN AZLAN DI MAKAM DIRAJA.

Kerja-kerja untuk Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Azlan mula dijalankan sejak petang semalam lagi. Penggalian makam baginda dijalankan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK). Khemah dan karpet juga dipasang sekitar Makam Diraja di perkarangan Masjid Ubudiah untuk Istiadat Pemakaman di akan diadakan selepas Asar 29 Mei 2014.





ISTIADAT PENGHORMATAN TERAKHIR DI BALAIRONG SERI ISTANA ISKANDARIAH.

Jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir oleh rakyat jelata, orang kenamaan dan Raja-Raja Melayu. 

Perdana Menteri hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Sultan Selangor merupakan Sultan terawal yang menziarahi jenazah Almarhum.





Berita Kemangkatan Sultan Perak Darul Ridzuan..


Dukacita dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzudin Shah Ghafarullahu-Lah telah mangkat pada pukul 1.30 petang di Institut Jantung Negara (IJN). Baginda berusia 86 tahun. 

Berita kemangkatan Almarhum dimaklumkan oleh Menteri Besar Perak Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Setinggi-tinggi takziah buat Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun serta seluruh kerabat DiRaja Perak di atas kemangkatan Tuanku. Semoga roh Almarhum Tuanku ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Sesungguhnya negara kehilangan seorang Raja yang unik dan hebat. Al Fatihah untuk Almarhum Tuanku. 



Saturday 24 May 2014

Tunku Annuar Dalam Kenangan..

Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah,
P.S.M.,D.K.H.,D.M.K.,S.P.M.K.,S.S.D.K.,P.S.B.

Tunku Annuar diputerakan pada tanggal 30 Jun 1939 di Kedah. Beliau merupakan putera sulung kepada pasangan Tunku Badlishah Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah bersama isteri ketiga Tengku Asma Binti Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tunku Annuar merupakan adinda sebapa dengan Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Tunku Annuar juga merupakan sepupu kepada Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah dimana ayahanda Tuanku Fauziah, Almarhum Tengku Abdul Rashid dengan Almarhum Sultanah Asma merupakan adik beradik. Beliau juga merupakan anakanda saudara kepada Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dimana Tengku Besar Mahmud merupakan adik beradik dengan nenda Tunku Annuar iaitu Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. 


Mendapat pendidikan di Australian Staff College,Fort Queenscliff,Victoria, Australia. Beliau mendirikan rumah tangga buat pertama kalinya dengan Yang Mulia Sharifah Saleha Binti Tan Sri Sayyid Omar Shahabuddin yang merupakan anak kepada Bekas Menteri Besar Kedah. Perkahwinan beliau dikurnia 4 orang putera dan puteri. Anakanda beliau terdiri daripada YM Tunku Putera Badlishah, YM Tunku Azzudin Shah, YM Tunku Johanez Mansur dan YM Tunku Marina. Beliau berkahwin kali keduanya dengan YABhg Toh Puan Bendahara Kedah Puan Sri Dato' Seri Noor Suzana Binti Abdullah.



Setelah kemngkatan ayananda beliau, Sultan Badlishah pada tahun 1958, kekanda beliau Tuanku Abdul Halim menaiki takhta negeri Kedah. Ketika itu Tunku Annuar baru sahaja berusia 19 tahun. Beliau dikurniakan gelaran Tunku Paduka Maharaja Temenggong Anggota Desa pada 21 Januari 1979 pada usia 40 tahun oleh kekanda beliau. Seterusnya dilantik sebagai Tunku Bendahara Kedah sebagai pewaris takhta kedua selepas Raja Muda Kedah pada 28 November 1981. 

Pada 12 Disember 2011, kekanda beliau Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong buat kali kedua. Disebabkan DYTM Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik berada dalam kegeringan, maka baginda tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Pemangku Sultan Kedah. Maka diwujudkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan oleh Tunku Annuar. Segala tanggungjawab pemerintahan negeri diuruskan oleh beliau bersama adinda-adinda beliau iaitu YTM Tunku Mahmud Salehuddin, YTM Tunki Abdul Hamid Thani dan anakanda saudara beliau YTM Tunku Intan Shafinaz.


Tunku Annuar dikhabarkan mangkat pada pukul 12.20 pagi tanggal 21 Mei 2014 di Hospital Pantai,Ipoh Perak di usia mencecah 75 tahun. Kemangkatan beliau merupakan satu berita yang mengejutkan bagi ramai pihak. Beliau meninggalkan isteri, Toh Puan Bendahara, 4 orang anak dan 4 orang cucu. Jenazah baginda disemayamkan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit sebelum dimakamkan di Makam DiRaja Langgar selepas solat Asar. Sebagai penghormatan di atas kemangkatan beliau selaku Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, bendera negeri dan persekutuan akan dikibarkan separuh tiang dan tempoh perkabungan selama tiga hari sehingga 23 Mei 2014. Setinggi tinggi takziah buat Toh Puan Noor Suzana dan seluruh kerabat negeri Kedah. Al Fatihah untuk Almarhum Tunku Annuar.

SEKITAR PEMAKAMAN TUNKU BENDAHARA KEDAH :

Memberi penghormatan terakhir: Dari kiri ; Dato' Seri Mukhriz, Tan Sri Muhyiddin, Raja Iskandar Zulkarnain, Tunku Abdul Hamid Thani, Tunku Salehuddin, Tuanku Abdul Halim, Tuanku Haminah, Toh Puan Suzana dan Tengku Maliha.

Toh Puan Noor Suzana dan anakanda Tunku Annuar turut sama menaiki pedati yang membawa jenazah beliau.


Tunku Abdul Malik yang uzur menziarahi jenazah adinda baginda.



Tuanku Abdul Halim mencurah air mawar di makam adinda baginda. Turut kelihatan Tuanku Haminah, Toh Puan Nor Suzana dan Tuanku Aishah Rohani.

Menteri Besar Dato' Seri Mukhriz Mahathir menyiram air mawar di makan Tunku Annuar.





Tuanku Abdul Halim menziarahi jenazah Tunku Annuar.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...