Pada 3 Februari 2018, Editor Warisan Permaisuri Melayu berkesempatan untuk melawat Galeri Sultan Azlan Shah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Galeri Diraja ini dibuka untuk lawatan setiap hari. Pada hari Sabtu hingga Khamis, waktu lawatan bermula pukul 10.00 pagi sehingga 5.00 petang manakala pada hari Jumaat bermula 10.00 pagi hingga 12.15 tengah hari dan dibuka semula pada pukul 2.45 petang hingga 5.00 petang. Bayaran masuk bagi pengunjung dewasa ialah RM4.00 manakala bagi warga emas, pelajar IPT dan pelajar sekolah menengah RM2.00 dan bayaran untuk kanak-kanak ialah RM1.00 sahaja. Pengunjung tidak dibenarkan untuk mengambil gambar didalam galeri namun pengunjung boleh mengambil gambar di luar galeri yang dihiasi dekorasi dan taman-taman yang indah.
Galeri Sultan Azlan Shah, sebuah galeri yang indah dan
menarik senibinanya dibangunkan setaraf galeri yang terdapat di luar negara.
Ini dizahirkan semula dari cetusan pemikiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan
Muhibbuddin Shah atas perkenan untuk dijadikan pengetahuan umum akan laluan
perjalanan hidup Baginda. Galeri ini telah dirasmikan pada 9 Disember 2003 oleh
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Galeri Sultan Azlan Shah dibina semula dari istana lama
iaitu Istana Ulu. Istana Ulu atau dikenali juga dengan nama Istana Kota ini
terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tidak jauh dari Masjid Ubudiah. Istana
ini pada asalnya ialah tempat persemayaman Sultan Perak yang ke-28, Sultan
Idris Mursyidul ‘Adzam Shah yang memerintah dari tahun 1887-1916.
Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun
1903. Pada tahun 1916, Istana Ulu ini telah disemayami oleh Almarhum Sultan
Abdul Jalil , putera Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah. Selepas kemangkatan
Almarhum Sultan Abdul Jalil pada tahun 1918, Istana ini telah disemayami pula
oleh putera, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah , Sultan Perak yang ke-32
yang memerintah Negeri Perak dari tahun 1948-1963.
Menurut sejarah, pusat Kesultanan Perak bermula di Tanah
Abang iaitu pada tahun 1594. Sultan Perak yang ke-2 iaitu Almarhum Sultan
Mansur Shah I, telah memindahkan kota tersebut ke Kota Lama Kanan iaitu
kira-kira dua batu mudik melalui Sungai Perak dari Kuala Kangsar. Kota Lama
Kanan telah kekal menjadi pusat pentadbiran kerajaan Negeri Perak sehinggalah
pemerintahan Sultan Perak yang ke-27.
Apabila Almarhum Sultan Idris ditabalkan menjadi Sultan,
Baginda telah memindahkan kawasan pemerintahan dari Sayong ke Bukit Chandan.
Baginda telah membina sebuah istana berhampiran dengan Batang Hari iaitu
dikenali sebagai Istana Negara pada tahun 1895. Berlakulah kemajuan yang pesat
di sebelah Bukit Chandan dimana kemudiannya Baginda telah membina dua buah
istana serentak iaitu Istana Ulu dan Istana Hilir. Istana Ulu digunakan sebagai
tempat persemayaman baginda.
Istana Ulu mempunyai perkaitan yang rapat dengan permulaan
pertukaran kawasan pemerintahan Kesultanan Perak dari daerah Sayong ke daerah
Bukit Chandan. Istana Ulu juga dikenali sebagai Istana Cinta Berahi, Istana
Cempaka Sari atau Istana Kota. Istana tersebut direkabentuk oleh Kapten Maurice
Alexander Cameron, Timbalan Jurutera Kolonial dan Ketua Juruukur Negeri-negeri
Selat pada masa itu. Bahagian bumbung nya pula menggunakan pengaruh Acheh
dengan pengunaan bumbung yang berbentuk limas. Pengaruh dari senibina India
pula terdapat di bahagian kubah di kedua-dua menara bangunan.
Ukiran-ukiran kayu kayu yang terdapat pada istana tersebut
telah diukir oleh Raja Harun Al-Rashid yang merupakan seorang pengukir terkenal
ketika itu. Beliau mengambil ilham berdasarkan tumbuhan alami yang terdapat di
taman istana tersebut. Sementara ukiran batu yang telah dibuat oleh pengukir
mengikut arahan dan perkenan Sultan Idris 1 di
mana Almarhum memastikan supaya tidak terdapat sebarang bentuk ukiran
yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti bentuk binatang atau
patung-patung.
Penyusunan dan konsep ruang yang terdapat pada istana
tersebut adalah berdasarkan pada ilham baginda di masa-masa yang lepas.
Rekabentuk bangunan istana ini mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bangunan
Istana Negara, Mahkamah Tinggi Ipoh dan Stesyen Keretapi Ipoh. Kebanyakan daripada bahan binaan untuk Istana Ulu ini dibawa
dari luar negara. Atapnya dari Perancis dan jubin nya pula dari Itali dan
tembaga kubahnya pula dari India. Walau bagaimanapun, banyak bahan tempatan
yang digunakan seperti kerangka bumbung yang dibuat daripada kayu cengal dan
ukiran daripada kayu meranti yang terbaik.
Kapal-kapal dagangan yang melalui perairan Sungai Perak
telah digunakan untuk membawa bahan-bahan binaan untuk pembinaan Istana Ulu
ini. Sementara itu gajah telah digunakan bagi mengangkut bahan-bahan tempatan. Istana Ulu ini dipagari dengan tembok kota yang dibina di
sekeliling Istana tersebut sehingga namanya turut dikenali dengan nama Istana
Kota. Pada bahagian atas tembok tersebut kerawang besi berukiran bunga kemboja
telah dibina dengan cantik.
Kemegahan dan keagungan istana ini dilukiskan dengan seni
pembinaannya yang halus dan indah dan terus kekal berdiri teguh walaupun telah
seabad didirikan. Pembinaan semula bangunan ini telah menyempurnakan lagi
talian warisan kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan.
sumber: http://gsas.perak.gov.my/index.php/latar-belakang/mengenai/galeri-sultan-azlan-shah