Anda Pengunjung Ke :

Showing posts with label Raja Permaisuri Perak. Show all posts
Showing posts with label Raja Permaisuri Perak. Show all posts

Sunday, 11 November 2018

DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.


WARISAN PERMAISURI akan menyambung kisah wanita diraja di negara kita. Kali ini giliran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Binti Datuk Salim Davidson, D.K., D.K.S.A.,D.K.A. yang merupakan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan menggantikan bonda mertua baginda, YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun apabila suami baginda, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke 35. 


Pada masa kini, barangkali baginda merupakan kerabat DiRaja yang paling dikenali di Malaysia. Hal ini kerana baginda adalah wanita yang berjaya mencuri hati seorang putera raja yang paling disanjungi rakyat Malaysia. Kecantikan dan kelembutan baginda sebagai seorang Permaisuri dan seorang bonda amat dikagumi. Kemunculan baginda dalam satu-satu istiadat atau majlis amat dinantikan kerana baginda seringkali akan menggayakan busana yang cantik dan menawan. Sesuai dengan gelaran seorang Permaisuri, Tuanku Zara memiliki pakej lengkap sebagai seorang wanita berpelajaran tinggi.


Dilahirkan sebagai Zara Binti Salim Davidson pada 22 Mac 1973 di Ipoh Perak. Baginda merupakan anak bongsu daripada empat orang adik beradik. Ayah baginda ialah YBhg Dato' Seri William Stanley Walker Davidson (Salim Davidson) manakala bonda baginda ialah YBhg Dato' Seri Sharifah Azaliah Binti Tan Sri Syed Omar Shahabuddin. Baginda merupakan kerabat DiRaja Kedah disebelah bonda baginda. Baginda merupakan cicit kepada Sultan Kedah ke 24 Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Ini menjadikan Tuanku Zara anakanda cucunda saudara kepada YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Secara tidak langsung juga baginda merupakan anakanda saudara kepada Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan KDYMM Sultan Kedah Sultan Sallehuddin. Tuanku Zara juga merupakan cucu kepada Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Syed Omar Syed Abdullah Shahabuddin. Ayahanda baginda merupakan seorang peguam terkenal di Malaysia.


Baginda mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolahnya dalam sukan squash dan tenis dari tahun 1988 hingga tahun 1990. Baginda juga pernah mewakili negeri Perak dalam sukan renang bermula tahun 1981 hingga 1987. Minat baginda dalam bidang sukan tidak menghalang baginda untuk cemerlang dalam bidang pelajaran. Baginda meneruskan pelajarannya di peringkat A Levels di Prime College dan menamatkan pelajaran pada tahun 1992. Pada tahun yang sama juga baginda menyambung pelajarannya dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti of Nottingham, United Kingdom. Baginda menamatkan pelajaran dan mendapat ijazah kelas pertama pada Julai 1995 di usia 22 tahun. 


Setelah beberapa bulan tamat belajar, baginda bekerja di Petronas dalam Bahagian Penilaian Perniagaan,Unit Perancangan Korporat Petronas. Kemudiannya baginda menjadi Penganalisis Projek dalam Unit Petrokimia Perniagaan. Baginda seterusnya bekerja sebagai Pengurus Produk di syarikat Petlin (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah syarikat hasil kerjasama Petronas. Baginda meninggalkan Petronas pada tahun 2001 untuk bekerja sebagai Pengurus Akaun di Formis Network Services Sdn Bhd seterusnya dilantik sebagai Naib Presiden Formis (Malaysia) Bhd bermula tahun 2003 hingga 2005. Di antara tahun 2005 hingga 2007, baginda menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Forthwave Consulting Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding hydrocarbon. Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan penting dalam projek-projek berskala besar melibatkan syarikat luar negara. 


Bertemu jodoh dengan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika berusia 34 tahun. Istiadat persandingan baginda berdua diadakan di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada 19 Mei 2007. Perkahwinan baginda berdua diberi gelaran "Royal Wedding of the Year". Sesudah bergelar isteri kepada Raja Muda Perak ketika itu, Tuanku Zara diberi gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak oleh ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu Lah. Tuanku Zara juga dianugerahkan Darjah Kerabat Azlan Shah (D.K.S.A.). Baginda juga dikurniakan Darjah Kerabat Azlaani (D.K.A.). Sebagai Raja Permaisuri Perak, baginda telah dianugerahi dengan Darjah Kerabat Perak Yang Amat DiHormati (D.K.) Perak oleh paduka suami baginda.


Perkahwinan bahagia baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera sulung baginda dilahirkan pada 14 Mac 2008 diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, S.P.C.M., S.P.M.P yang kini bergelar Raja Kechil Besar Perak manakala puteri baginda diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Nazira Safya, S.P.C.M. yang diputerikan pada 3 Ogos 2011. Raja Azlan walaupun di usia yang muda sudah mula menunjukkan peribadi yang hebat sebagai bakal Sultan Perak. Keberangkatan tiba beliau dalam majlis rasmi di Perak memperlihatkan kesopanan sebagai seorang putera raja. Manakala kecomelan dan keletah Raja Nazira Safya amat mencuit hati rakyat jelata. 


Sebagai Permaisuri negeri Perak, baginda dilantik sebagai Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Januari 2012 menggantikan bonda mertua baginda YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun. Baginda juga merupakan Penaung Pandu Puteri Cawangan Perak. Atas kapasiti baginda sebagai isteri kepada Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Zara dilantik sebagai Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Tuanku Zara telah dikurniakan dengan "Honorary Fellowship" daripada Institute of Chemical Engineers (IChemE) pada April 2014 sebagai menghargai jasa baginda dalam bidang Kejuruteraan kimia dan sumbangan baginda dalam pembangunan pelajaran dalam negara. Baginda juga merupakan Penaung Persatuan Kesihatan Keluarga Perak, Penaung Convent Girls Alumni (COGA) dan banyak lagi persatuan dalam negeri dan negara. 


Sesungguhnya, kebijaksanaan dan keperibadian Tuanku Zara patut dijadikan contoh oleh rakyat Malaysia terutama kaum wanita. Kegigihan baginda untuk menuntut ilmu semenjak zaman muda disamping aktif dalam bidang sukan amat dikagumi. Rakyat Perak amat bertuah kerana mendapat seorang Permaisuri yang cantik dan berpelajaran tinggi. Dalam usia 45 tahun, Tuanku Zara masih mengekalkan kecantikan semula jadi baginda. Semoga Allah S.W.T melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim.







Tuesday, 5 May 2015

Raptai Penuh Pertabalan Sultan Perak.

Bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke 35 yang akan diadakan pada 6 Mei 2015, suatu raptai diadakan untuk memastikan kelancaran perjalanan Istiadat Pertabalan itu nanti. Raptai pertama diadakan pada 25 April 2015 manakala raptai penuh diadakan pada 5 Mei 2015, sehari sebelum Istiadat Pertabalan dijalankan. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan untuk berangkat ke raptai berkenaan. Raptai penuh ini melibatkan semua tetamu. pengamal media yang dijemput, termasuk juga pihak tentera dan askar. WARISAN PERMAISURI MELAYU mendoakan semoga Pertabalan Sultan Nazrin Shah akan berjalan lancar esok. Amin.


Sultan Nazrin dan Tuanku Zara mendengar penerangan pegawai bertugas.

Tuanku berdua memeriksa takhta di Balairong Seri.

Kawalan kehormat yang bertugas.

Takhta kerajaan Perak yang tersergam indah di Balairong Seri Istana Iskandariah.

Perbincangan di antara pegawai yang bertanggungjawab memastikan kelancaran perjalanan Pertabalan.


Suasana di Balairong Seri.


Nobat Negeri Perak.

                                   Nobat

Perkataan Nobat ini adalah berasal dari Negeri Parsi yang menggunakan perkataan "Naubat" bermakna sembilan jenis. Ianya ialah 'pancaragam' diraja yang telah dipakai dari zaman-berzaman di negeri-negeri Melayu untuk Istiadat Pertabalan Raja-raja. Negeri-negeri Melayu yang mempunyai Nobat ialah Perak, Kedah, Terengganu dan Selangor. Nobat yang digunakan dalam Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Nobat Negeri Perak.

Nobat Negeri Perak mengandungi:-



Gendang Nobat - Biasa dikenali sebagai Gendang Nyenyalu
Nafiri - Digunakan dalam memulakan sesuatu lagu
Gendang Nengkara - Gendang yang membawa lagu
Serunai - Alat yang mengiringi lagu-lagu yang dimainkan
Gendang Penengkah - Gendang yang memasuki irama ke dalam lagu

Di antara senarai yang tersebut di atas Gendang Nobat adalah alat yang paling dihormati. Ianya menduduki tempat yang tertinggi dan digunakan untuk kegunaan Diraja sahaja. Walau bagaimanapun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan boleh menitah Nobat ini digunakan untuk mengiringi sesuatu istiadat atau menghormati jenazah. Keperingkatan kehormatan yang diberi adalah bergantung kepada bilangan alat-alat yang digunakan. Untuk Nobat Diraja Perak hanya lima daripada sembilan alat digunakan pada setiap masa.

Pemain-pemain Alat Nobat adalah ahli daripada keluarga-keluarga tertentu sahaja iaitu Orang-orang Kalur. Pada zaman dahulu kawasan Bilik Nobat dipagarkan dengan bulu ayam dan sesiapa yang mencerobohi kawasan ini akan dihukum dan didenda. Ketua Nobat diberi gelaran Toh Setia Guna dan pembantunya Toh Setia Indera.

Mengikut adat Istiadat Negeri Perak tiada sultan yang boleh dianggap berdaulat sehingga ianya ditabal dengan bunyian Nobat. Mengikut adat Lembaga Negeri Perak menyatakan bahawa rangka yang digunakan di dalam membuat gendang gendang adalah berasal daripada Teras Kayu Jerun dan kulitnya adalah daripada kulit tumur. Walau bagaimanapun ini telah bertukar dan pembaharuan rangka itu sekarang diperbuat dripada kayu keras dan kulitnya adalah daripada kulit kambing.


                              Gendang Nobat

Lagu-Lagu Nobat

Raja Berangkat (Gendang Berangkat)
Puteri Mandi Mayang
Rama-rama Terbang Tinggi
Kumbang Si Kumali (Kumbang Kembali)
Arak-arak Atandis (Enteals) (Arak-arak Untandai)
Aleh-aleh Panjang
Alek-alek Pandak
Dang Gendang
Lenggang Che Kobat
Jong Ber-aleh
Anak Raja Membasuh Kaki
Gendang Perang
Nobat Tabal
Nobat Raja
Nobat Khamis
Nobat Subuh
Nobat Subuh, Nobat Khamis dan Nobat Raja hanya boleh dimainkan di sebelah pagi dan petang dan lagu Puteri Mandi Mayang dimainkan semasa menyambut ketibaan bulan Ramadhan tiga petang berturut-turut, iaitu pada petang 28,29 dan 30 dalam bulan Syaaban tiap-tiap tahun.

Raja Berangkat (Gendang Berangkat) ialah lagu yang dimainkan semasa Kebawah Duli berangkat mencemar Duli di upacara rasmi.

Nobat di-Raja Perak dibunyikan untuk upacara atau Istiadat:-
Sesuatu yang berkaitan dengan peribadi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
Masa Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri.

2.1. Masa Tabal Pusaka
2.2. Bersiram Tabal
Hari Meletak (memulakan) kerja:

3.1. Hari meletak kerja menyambut perayaan Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

3.2. Hari meletak kerja kerana perkahwinan atau berkhatan Putera dan Puteri Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

3.3. Perarakan mengambil Air Bersiram Tabal dan Berlimau Besar (tertakluk kepada titah).
Istiadat di Balairong Seri Menyambug Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
Istiadat Menjunjung Duli.
Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak melawat ke luar negeri (tertakluk kepada titah).

sumber : http://sultan.perak.gov.my/informasi/alat-alat-kebesaran-negeri-perak.html

Sunday, 3 May 2015

Persiapan Sempena Pertabalan Sultan Perak.

Pelbagai persiapan telah dijalankan sempena Pertabalan Sultan Perak pada 6 Mei ini. Antara persiapan paling penting adalah Panca Persada untuk Istiadat Bersiram dan Balai Gambang untuk dinaiki oleh Paduka Seri Sultan Perak untuk menziarahi makam-makam Almarhum Sultan Perak yang terdahulu. 


Poster Sultan dan Raja Permaisuri Perak.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata, persiapan bagi mengadakan istiadat pertabalan yang bermula Ahad ini kini sudah 90 peratus siap dan berjalan lancar dengan semua pihak terbabit sudah bersedia untuk melaksanakannya apabila tiba masanya nanti. “Bagi istiadat pertabalan pada 6 Mei, setakat ini, tetamu jemputan yang diundang sebahagian besarnya akan hadir seperti waris atau wakil raja; Yang Dipertua Negeri bagi negeri tidak beraja; Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. “Semua Sultan dan Raja dijangka hadir pada Santapan Pertabalan yang diadakan di Istana Iskandariah pada 9 Mei.

 Balai Gambang untuk dinaiki oleh Sultan Perak. 
sumber : utusan malaysia 

Istiadat pertabalan turut memberi peluang kepada rakyat menyaksikan pembinaan dan penggunaan Panca Persada dan Balai Gambang bagi istiadat pertabalan Sultan Perak. Balai Gambang pula sebuah rumah rakit seberat 4.5 tan dengan panjang 12 meter dan lebar enam meter yang akan membawa sultan menyusuri Sungai Perak untuk istiadat menziarahi makam Sultan Perak terdahulu yang terdapat di sepanjang pesisir tebing sungai berkenaan. Pembinaan balai gambang membabitkan kerjasama JKR Perak dan pelajar serta pensyarah, Fakulti Sains Maritim Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) diketuai Timbalan Dekan Akademik dan Teknologinya Zaimi Zainal Mukhtar.

Panca Persada yang akan digunakan untuk Istiadat Bersiram.

 Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad berkata, JKR sedang giat mempersiapkan kerja menghias dan sentuhan akhir Panca Persada sebelum sedia digunakan pada malam 7 Mei nanti. “Kerja melakar sudah dilaksanakan sejak Februari lalu dan setiap tingkat akan dihiasi dengan warna bendera negeri Perak iaitu putih, kuning dan hitam dan akan dihiasi dengan lampu bewarna-warni bagi menghiasinya kerana ia menjadi simbol kepada upacara pertabalan. “Seramai 35 tenaga kerja termasuk arkitek, jurutera dan tukang mahir dari JKR seluruh negeri ditugaskan menyiapkan Panca Persada. Saya sangat bangga kerana apa yang kita laksanakan ini langsung tidak membabitkan pihak luar dan segala hasil adalah kerja keras JKR Perak sendiri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Panca Persada di pekarangan Istana Iskandariah, di sini.

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Bermula.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara mengaminkan doa yang dibacakan oleh Mufti Perak. Turut kelihatan Raja Muda Perak Raja Ja'afar Raja Muda Musa.

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghur-lah dimulakan pada hari ini, 3 Mei 2015 dengan Istiadat Meletak Kerja . Istiadat ini diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Istiadat yang diadakan di kawasan Panca Persada, perkarangan istana itu dimulakan sebaik sahaja keberangkatan tiba Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang masing-masing lengkap berbaju Melayu dan berkurung moden warna hijau pada 9.50 pagi.


Anakanda baginda berdua, Raja Azlan Muzaffar Shah yang juga Raja Kechil Besar Perak dan Raja Nazira Safiya, turut berangkat bersama-sama pasangan diraja itu. Istiadat diteruskan dengan titah memohon perkenan oleh Orang Kaya-kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim untuk memulakan istiadat meletak kerja. Sultan Nazrin Shah kemudian menzahirkan perkenan dan melafazkan pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja untuk memulakan segala persiapan bagi mengendali upacara bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.

Sejurus selepas itu, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria memimpin bacaan doa yang disusuli tembakan meriam 17 das serentak dengan paluan nobat Kumpulan Nobat Diraja Perak yang lengkap berbaju Melayu biru.Majlis diteruskan dengan 'kenduri arwah' (jamuan makan kecil-kecilan) sebelum istiadat meletak kerja berakhir. Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.



Turut hadir kerabat diraja Perak, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.Menjelang Istiadat 'Tabal Adat' dan 'Tabal Pusaka' masing-masing pada 6 dan 7 Mei, Sultan Nazrin dijadual berangkat ke beberapa majlis bersempena Istiadat Pertabalan baginda, antaranya, Pameran Koleksi Foto Sultan Nazrin Shah anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan selain majlis kesyukuran dan doa selamat.

Istiadat 'Tabal Adat' akan menyaksikan dua perkara utama iaitu pengisytiharan pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak disusuli pemasyhuran gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.Kedua-dua pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan melaungkan 'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara Salim sebanyak tiga kali.

'Adat Bersiram Tabal' dengan mengambil air dari tujuh kuala sungai berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei diikuti istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, berlangsung pada sebelah malam.

sumber : bernama

Wednesday, 22 April 2015

Jadual Pertabalan Sultan Perak.



Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Azlanii Mohd Anuar Zaini dan Pengarah Penerangan Negeri Perak, Muhammad Aszahari Abdul Rahman telah memberi taklimat tentang perjalanan Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke 35 yang bermula pada 3 Mei 2015 dan akan berakhir pada 17 Mei 2015. Berikut merupakan atur cara bagi Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Shah :

3 Mei 2015 : Istiadat Meletak Kerja Pertabalan.

6 Mei 2015 : Istiadat Tabal Adat di Istana Iskandariah. Istiadat dimulakan dengan kawalan kehormat, Istiadat Pertabalan di Balairong Seri Istana Iskandariah, dan tembakan meriam sebanyak 21 das.

7 Mei 2015Sultan Nazrin akan menyempurnakan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak yang bermula di Kuala Kangsar. Pada sebelah malam, Istiadat Tabal Pusaka akan dijalankan di Balairong Seri Istana Iskandariah dan Istiadat Bersiram Tabal akan dilakukan di Panca Persada.

8 Mei 2015Sultan Nazrin berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar dan Makam Alang Iskandar atau Marhum Teja di Kota Bharu, Gopeng. 

10 Mei 2015 : Sultan Nazrin dijadual melawat makam-makam Sultan Perak sekitar Kuala Kangsar disusuli di sepanjang pesisir Sungai Perak antaranya di Manong, Belanja, Parit, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Kampung Gajah sehingga 12 Mei.

13 Mei 2015Sultan Nazrin dijadualkan mula menziarahi makam-makam Sultan Perak menggunakan jalan air dengan menaiki bot khas yang dinamakan Balai Gambang dari Jeti Pasir Salak. Antara makam-makam yang akan diziarahi termasuk di Kampung Pasir Pulai, Kampung Bandar Baru, Kampung Teluk Memali, Tanjung Penangguh, Pasir Panjang Ulu dan makam terakhir di Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan.

14 Mei 2015 : Menziarahi Beting Beras Basah di Bagan Datoh.

17 Mei 2015 : Majlis Menutup Kerja Pertabalan.


Monday, 16 February 2015

Yang Teramat Mulia Dato' Seri Noraini Jane.

 
Yang Teramat Mulia Dato' Seri Hajah Noraini Jane Binti Tan Sri Kamarul Ariffin,
D.K.A. II, S.P.C.M.

Yang Teramat Mulia Dato' Seri Noraini Jane dilahirkan pada 25 Julai 1959 di Kuala Lumpur. Beliau merupakan puteri kepada Tan Sri Kamarul Ariffin Bin Mohamed Yassin yang merupakan seorang tokoh politik negara dan bekas Senator Dewan Negara. Bonda beliau merupakan seorang wanita berketurunan British. Dato' Seri Noraini mendapat pendidikan di Sekolah Menengan Kebangsaan Bukit Damansara dan Garden International School. 


Dato' Seri Noraini mempunyai kerjaya sebagai pelakon sekitar tahun 1980 an. Beliau pernah menjadi watak utama dalam filem Jasmin pada tahun 1984 dan Jasmin II pada tahun 1986. Filem ini diadaptasi dari kisah benar peristiwa Natrah yang berlaku sekitar tahun 1950 an. Beliau berlakon disamping hero Johari Zain, Dato' Mustapha Maarof, dan Dato' Rosnani Jamil . Filem ini arahan Dato' Jamil Sulong dan penerbitnya adalah ayah kepada Dato' Seri Noraini iaitu Tan Sri Kamarul Ariffin. Beliau telah dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke 6 pada tahun 1986. Namun, Fauziah Ahmad Daud telah memenangi kategori itu melalui filem Ali Setan.

Dato' Seri Noraini sebagai Jasmin disamping Dato' Rosnani Jamil sebagai Mak Munah dan Johari Zain dalam filem Jasmin.

Dato' Seri Noraini bertemu jodoh dengan putera Sultan Perak iaitu Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah pada 26 September 1991 ketika berusia 32 tahun. Istiadat perkahwinan diadakan di Kuala Kangsar . Perkahwinan beliau dianugerahi dengan seorang putera dan 2 orang puteri. Putera tunggal beliau kini bergelar Yang Teramat Mulia Raja Kechil Besar Perak Raja Dato' Ahmad Nazim Azlan Shah Ibni Raja Ashman Shah yang diputerakan pada tahun 1994. Puteri-puteri beliau pula terdiri daripada Yang Mulia Raja Eminah Elliyah Binti Raja Ashman Shah dan Yang Mulia Raja Bainunnisa Safiah Binti Raja Ashman Shah.

Raja Ahmad Nazim, Dato' Seri Noraini dan Almarhum Raja Ashman Shah.

Tanggal 30 Mac 2012 merupakan tarikh sedih bagi beliau sekeluarga. Suami tercinta, Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah telah mangkat akibat serangan asma di kediaman mereka. Jenazah Almarhum telah disemadikan di Makam Diraja Al Ghufran,Kuala Kangsar. Dato' Seri Noraini kini bergelar bonda kepada Raja Kechil Besar Perak yang merupakan pewaris takhta negeri Perak di tangga ke 3 selepas Raja Muda Perak dan Raja DiHilir Perak.


Dato' Seri Noraini merupakan pemilik tadika Jasmin Kindergarten di Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan penulis buku "Corak : Patterns and Proverbs of Nature". Selaku menantu kepada Sultan Perak, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.) yang membawa gelaran Dato' Seri pada 19 April 1992. Pada tahun 2009 pula, beliau dianugerahi Darjah Kerabat Azlaani Pangkat Kedua (D.K.A. II). YTM Dato' Seri Noraini Jane kini berusia 56 tahun. Sama-sama kita doakan semoga beliau selalu berbahagia disamping keluarga tercinta.

Bersama Almarhum suami beliau.

Dato' Seri Noraini ketika Istiadat Pengishtiharan Sulta Perak ke 35.

Dato' Seri Noraini Jane bersama bonda mertua beliau Tuanku Bainun dan biras beliau Tuanku Zara Salim.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...