Anda Pengunjung Ke :

Showing posts with label Raja Perempuan Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Raja Perempuan Kelantan. Show all posts

Friday, 27 March 2020

YMM Almarhumah Raja Perempuan Zainab II Almarhum Tengku Muhammad Petra Kelantan.


Kali ini kita mengenali permaisuri negeri pantai timur Kelantan Darul Naim pula. Baginda pernah menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 6 dan antara Raja Perempuan paling disayangi dan dihormati oleh rakyat Kelantan. Yang dimaksudkan ialah Yang Maha Mulia Almarhumah Raja Perempuan Zainab II Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra, D.K.,D.M.N.,S.P.M.K.


Raja Perempuan Zainab diputerikan pada 7 Ogos 1917 di Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada YBM Almarhum Tengku Sri Utama Raja Tengku Muhammad Petra dan YAM Almarhun Tengku Kembang Petri Binti Almarhum Sultan Muhammad IV. Baginda merupakan sepenuhnya berdarah diraja Kelantan. Ayahanda baginda merupakan cucunda kepada KDYMM Sultan Kelantan Sultan Ahmad Ibni Almarhum Sultan Muhammad yang bertakhta bermula 1886 hingga 1890. Manakala bonda baginda pula merupakan puteri kepada KDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad IV yang bertakhta bermula 1900 hingga 1920. Raja Perempuan Zainab merupakan adinda kepada nenda KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff. Ini menjadikan Raja Perempuan Zainab nenda saudara kepada Sultanah Maliha. 

Baginda mendapat pendidikan awal agama yang disediakan oleh ayahanda dan bonda baginda. Baginda juga mendapat asuhan tentang adat Melayu dan adat istiadat diraja. Sebagai seorang puteri, baginda dididik dengan penuh adab dan adat Melayu. Baginda mendapat pendidikan agama daripada guru agama yang terkenal di Kelantan.


Mendirikan masjid bersama DYMM Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 4 Jun 1939. Baginda ketika itu berusia 22 tahun. Sultan Yahya ketika itu memegang gelaran Tengku Temenggong Kelantan. Baginda dikurniakan dengan 6 puteri dan seorang putera. Namun 2 puteri baginda mangkat semasa masih kecil lagi. Satu-satunya putera baginda adalah Almarhum DYMM Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan yang bertakhta pada 1979-2010. Manakala puteri-puteri baginda pula ialah YBM Tengku Merjan, YBM Tengku Rozan, YBM Tengku Salwani dan YBM Tengku Rohani. 




Baginda dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Mahkota oleh ayahanda mertua baginda pada 9 Ogos 1956 dan pada masa yang sama dikurniakan darjah Seri Paduka Mahkota Kelantan (SPMK). Ditabalkan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan pada 19 Julai 1960 dan menggunakan gelaran Raja Perempuan Zainab II. Baginda menjadi Raja Perempuan selama 19 tahun sehingga suami baginda mangkat pada tahun 1979. Raja Perempuan Zainab menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 6 bermula pada 21 September 1975 serentak dengan pertabalan suami baginda selaku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Namun baginda tidak sempat menghabiskan tempoh pemerintahan selama 5 tahun kerana Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat pada 29 Mac 1979.


Sebagai Raja Perempuan Kelantan, baginda telah dianugerahi dengan Darjah Kerabat Yang Amat Di-Hormati (D.K.) Kelantan semasa Istiadat Ulangtahun Pertama Sultan Yahya Petra sebagai Sultan Kelantan. Baginda juga dianugerahi Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) pada 28 Februari 1976 semasa bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Semasa menjadi Raja Permaisuri Agong,baginda sering mengikuti suami baginda ke luar negara semasa Almarhum Sultan Yahya Petra mengadakan lawatan rasmi ke beberapa buah negara. Baginda meruapakan seorang yang murah hati dan sangat suka membuat kerja kebajikan untuk rakyat jelata.Baginda juga memegang jawatan penting dalam beberapa pertubuhan seperti menjadi Presiden Pertubuhan Pandu Puteri Kelantan dan Presiden Pertubuhan Institusi Wanita.

Ketika perasmian sebuah sekolah.

Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Yahya Petra,Raja Perempuan Zainab menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab dan meneruskan hidup secara sederhana.Baginda menghabiskan masa dengan membuat kerja-kerja rumah tangga seperti memasak untuk keluarga diraja,dan menghias istana.Salah satu hobi baginda adalah membuat kerja-kerja pertukangan tangan,berkebun dan juga mengumpul barang-barang antik.Baginda mangkat di Istana Negeri pada tanggal 10 Januari 1993 ketika berusia 75 tahun.Nama baginda telah diabadikan pada nama Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk mengenang jasa baginda untuk rakyat jelatanya. Cucunda baginda, KDYMM Sultan Muhammad V merupakan Sultan Kelantan bermula tahun 2010 dan menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 bermula tahun 2016-2019.

Berikut merupakan gambar kenangan Almarhum Raja Perempuan Zainab:



Bersama Tengku Anis dan Tun Rahah

Bersama anakanda dan cucunda.


Tuesday, 22 December 2015

Kemangkatan Tuanku Yahya Petra.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6
Almarhum Tuanku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim,
D.K., D.K.M., D.M.N., S.P.M.K.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6 Tuanku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra mangkat pada 29 Mac 1979 akibat serangan jantung ketika tidur di Istana Negara Kuala Lumpur. Almarhum tidak sempat menghabiskan tempoh 5 tahun penggal sebagai Yang Di-Pertuan Agong. Baginda meninggalkan seorang balu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra serta seorang putera dan enam puteri. Istiadat penghormatan terakhir diadakan di Parlimen. Ribuan rakyat jelata serta tetamu kenamaan memberikan penghormatan terakhir kepada baginda. Jenazah baginda disemayamkan di atas peterana setinggi 7 tingkat dan dikelilingi oleh darjah-darjah kebesaran yang diterima baginda. Perdana Menteri Dato' Hussien Onn serta Timbalan Perdana Menteri Dato' Dr Mahathir Mohamad juga hadir memberikan penghormatan terakhir. Selesai istiadat penghormatan terakhir, jenazah baginda diarak dari Parlimen menuju ke Masjid Negara untuk solat jenazah. Jenazah baginda diletakkan di atas pedati khas dan ditarik oleh anggota tentera. Ribuan rakyat jelata mengiringi perjalanan terakhir baginda. Almarhum Tuanku Yahya Petra dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Kota Bharu, Kelantan. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh baginda. AL FATIHAH.




Jenazah Tuanku Yahya Petra disemayamkan di peterana 7 tingkat.

Timbalan Perdana Menteri Dato' Dr Mahathir Mohamad tiba bersama Tengku Razaleigh Hamzah.


Raja Permaisuri Agong Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra,
D.K., D.M.N., S.P.M.K.

Tetamu kenamaan mengucapkan takziah kepada Tengku Zainab.


Tunku Abdul Rahman bersalaman dengan Tengku Zainab sambil mengucapkan takziah.

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Afzan.

Jenazah baginda diangkat untuk upacara perarakan.

Tengku Zainab mengaminkan doa bersama kerabat diraja Kelantan.

Orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Perdana Menteri Dato' Hussein Onn dan isteri Datin Suhailah.


Pembawa-pembawa darjah kebesaran almarhum.

Perarakan jenazah menuju ke Masjid Negara.


Dato Hussien Onn turut mengiringi jenazah Almarhum Tuanku Yahya Petra.

Dato' Dr Mahathir.

Jenazah Almarhum tiba di Masjid Negara untuk disembahyangkan.


Thursday, 16 January 2014

WAJAH-WAJAH : Tuanku Yahya Petra dan Tengku Zainab.


Assalamualaikum. WAJAH-WAJAH diteruskan dengan pasangan DiRaja yang berasal dari negeri Kelantan ini. Baginda berdua merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 6 negara kita. Baginda berdua ialah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra. Menaiki takhta persekutuan bermula tahun 1975 sehingga kemangkatan Tuanku Yahya pada tahun 1979. Baginda berdua mendirikan rumah tangga pada 4 Jun 1939. Baginda berdua menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1960. Tuanku berdua dikurniakan seorang putera dan 6 puteri. Tuanku Yahya Petra mangkat akibat serangan jantung semasa baginda tidur di Istana Negara pada 29 Mac 1979 ketika berusia 62 tahun. Isteri baginda Tengku Zainab meneruskan kehidupan dan membimbing satu-satunya putera baginda yang mewarisi takhta negeri Kelantan untuk mentadbir negeri. Tengku Zainab mangkat pada 10 Januari 1993 di Istana Negeri di usia 75 tahun.

Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 6.


Tuanku berdua berangkat ke Istiadat Perkahwinan puteri sulung kepada Yang Di Pertuan Agong ke 3 Tuanku Syed Putra iaitu Sharifah Salwa pada tahun 1965.

Baginda berdua ketika zaman muda.

Baginda berdua berada di atas singgahsana Persekutuan sempena Pertabalan baginda berdua sebagai Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Dewan Tunku Abdul Rahman.

\
Baginda berdua tiba di Lapangan Terbang Alor Star untuk lawatan rasmi ke Negeri Kedah.


Baginda berdua mengunjungi Sultan Selangor Sultan Salahuddin dan Tengku Ampuan Selangor Tengku Ampuan Rahimah sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Istana Alam Shah.


Baginda berdua menerima tabik hormat sempena lawatan rasmi ke negeri Pulau Pinang. Baginda berdua disambut oleh Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Sardon Jubir dan Toh Puan Saadiah.

Keluarga DiRaja Kelantan. Tuanku berdua bergambar bersama anakanda dan cucunda baginda berdua termasuklah KDYMM Sultan Muhammad IV(duduk 2 dari kiri). Gambar ini diambil di Istana Negara semasa Tuanku berdua menduduki takhta kerajaan persekutuan.

Baginda berdua melawat Hospital Besar Kuala Lumpur dan memberikan sedikit cenderahati kepada para pesakit yang berada di wad.

Tuanku Yahya dan Tengku Zainab bersama putera dan puteri-puteri baginda.

Friday, 6 December 2013

Almarhumah Raja Perempuan Zainab I

Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab I, D.K.(Kelantan).

Kepada penduduk negeri Kelantan sudah pasti sering mendengar nama Jalan Sultanah Zainab atau Sekolah Perempuan Zainab yang terletak di Kota Bharu Kelantan. Tapi pasti ramai di antara kita kurang mengenali siapakah gerangan pemilik nama Sultanah Zainab ini. Pasti ada juga di antara kita yang terkeliru di antara 3 Permaisuri Kelantan yang bernama Zainab iaitu Almarhumah Sultanah Zainab Binti Wan Muhammad Amin, Almarhumah Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Zainal Abidin atau Raja Perempuan Zainab I dan juga Almarhumah Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra yang merupakan Raja Permaisuri Agong ke 6 atau dikenali sebagai Raja Perempuan Zainab II. Pada kali ini, Warisan Raja & Permaisuri Melayu akan bercerita mengenai Raja Perempuan Zainab I iaitu suri kepada Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. 

Diputerikan sebagai Yang Mulia Tengku Zainab Binti Tengku Zainal Abidin pada tahun 1897 di Kota Bharu. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia Tengku Long Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Muhammad III yang pernah menjadi Raja Muda Kelantan dengan isteri baginda Yang Amat Mulia Tengku Besar. Ayahanda Sultanah Zainab merupakan putera ke 3 kepada Al Sultan Kelantan Sultan Muhammad III Ibni Almarhum Sultan Ahmad yang memerintah Kelantan pada tahun 1890 - 1891. Ayahanda baginda merupakan adinda kepada ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Muhammad IV. 

Sultanah Zainab bersama besan baginda DYMM Sultan Hisamuddin, menantu baginda Tengku Zainab dan cucunda baginda Sultan Ismail Petra semasa Istiadat Pemakaman Sultan Ibrahim tahun 1960.

Raja Perempuan Zainab I merupakan bonda saudara kepada YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Ibni Almarhum Tengku Muhammad Hamzah. Baginda merupakan kekanda kepada YBM Tengku Muhammad Hamzah Ibni Tengku Zainal Abidin. Baginda Sultanah Zainab juga merupakan bonda saudara kepada bonda Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid iaitu YBM Tengku Hajah Azizah Binti Tengku Muhammad Hamzah. Ini secara tidak langsung menjadikan Raja Perempuan Zainab I nenda saudara kepada Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid.


Raja Perempuan Zainab I mendirikan rumah tangga dengan KDYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV pada 6 Julai 1914 ketika berusia 17 tahun. Sultan Ibrahim (yang ketika itu bergelar Tengku Sri Indera Mahkota Tengku Ibrahim) merupakan sepupu kepada Sultanah Zainab. Pada hari perkahwinan baginda, Raja Perempuan Zainab I telah diberikan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Embong. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Balai Besar Kota Bharu.

Almarhum Tengku Indra Petra Tengku Tan Sri Abdullah & Tengku Puan Bendahara Tengku Thuraya.

Baginda dikurniakan sepasang cahaya mata. Putera tunggal baginda ialah Yang Teramat Mulia Tengku Besar Indra Petra Tengku Tan Sri Abdullah Ibni Sultan Ibrahim yang diputerakan pada tahun 1916. Tengku Indra Petra pernah menjadi Raja Muda Kelantan namun dilucutkan jawatan kerana sebab-sebab tertentu. Tengku Indra Petra kemudiannya menyertai politik dan menjadi Ahli Parlimen. Beliau juga merupakan pengasas UMNO di negeri Kelantan dan pernah dilantik memangku jawatan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Puteri baginda pula ialah Yang Amat Mulia Tengku Puan Bendahara Selangor Tengku Thuraya Binti Almarhum Sultan Ibrahim yang telah berkahwin dengan Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor Tengku Azman Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. 

Raja Perempuan Zainab I sewaktu muda.


Baginda menaiki takhta negeri Kelantan sebagai Raja Perempuan pada hari Kemahkotaan suami baginda sebagai Sultan Kelantan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV pada tanggal 25 Oktober 1944 di Istana Balai Besar. Baginda memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab, D.K. Baginda menjadi Raja Perempuan Kelantan selama 16 tahun sehinggalah kemangkatan Sultan Ibrahim pada 9 Julai 1960. Anakanda tiri baginda Tengku Yahya Petra dilantik menjadi Sultan Kelantan dengan bergelar KDYMM Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Baginda juga sempat melihat cucunda baginda KDYMM Sultan Ismail Petra menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1979 setelah kemangkatan Sultan Yahya Petra. Raja Perempuan Zainab I mangkat pada 28 September 1985 ketika berusia 88 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kota Bharu Kelantan. Al Fatihah untuk baginda.

Sultan Ibrahim dan Raja Perempuan Zainab I. 

Wednesday, 9 November 2011

YMM Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid..


Kali ini kita berbicara tentang seorang permaisuri yang baru sahaja diturunkan takhta.Kini baginda bergelar Raja Perempuan sahaja,bukan lagi Raja Perempuan Kelantan.Kini baginda meneruskan kehidupan dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada suaminya yang masih gering.Merupakan wanita yang mempunyai budi pekerti yang cukup tinggi.Baginda yang dimaksudkan ialah Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid,
D.K.(Kelantan),D.K.(Negeri Sembilan),D.K.11(Johor),D.K.(Brunei),D.K.(Selangor),D.K (Kedah),S.P.M.K.,S.P.M.J.,S.P.M.P.


Ketika bertakhta sebagai Raja Perempuan Kelantan.

Baginda diputerikan pada tahun 1949 di kediaman nenda baginda di Palm Manor,Kota Bharu Kelantan.Baginda merupakan kerabat diraja Kelantan dan juga Pattani.Merupakan puteri kepada YAM Almarhum Tengku Abdul Hamid Ibni Almarhum Tengku Muda dan YAM Almarhum Tengku Azizah Binti Almarhum Tengku Seri Maharaja Tengku Hamzah.Nenda baginda iaitu Tengku Hamzah merupakan bekas Menteri Besar Kelantan.Mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Raja Perempuan Zainab dan mendapat kelulusan Senior Cambridge dan lulus Sijil Persekolahan Malaysia.Baginda mendapat didikan agama daripada guru agama yang dibawa ke kediaman baginda.

Melangsungkan rumah tangga dengan DYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 4 Disember 1968.Ketika itu Tengku Anis berusia 19 tahun.Adat istiadat perkahwinan baginda diadakan di Istana Kota Lama.Baginda berdua dikurniakan 3 orang putera dan seorang puteri.Anak sulung baginda,DYMM Sultan Faris Petra atau Sultan Muhammad ke 5 menjadi Sultan Kelantan setelah suami baginda jatuh gering.Satu-satunya puteri baginda YAM Tengku Amalin Aisyah Putri merupakan majistret wanita pertama di Kelantan.Tengku Anis dianugerahkan gelaran Tengku Ampuan Mahkota Kelantan pada 1 Januari 1969 oleh ayahanda mertua baginda DYMM Almarhum Sultan Yahya Petra di Istana Balai Besar Kota Bharu.Baginda ditabalkan menjadi DYMM Raja Perempuan Kelantan pada 3 Mac 1980 apabila suami baginda menjadi KDYMM Sultan Kelantan ke 28.Baginda bergelar Raja Perempuan Kelantan selama 30 tahun sebelum turun takhta pada tahun 2011.


Tengku Anis merupakan seorang permaisuri yang amat prihatin dengan rakyat jelatanya.Baginda sering mencemar duli merasmikan projek kebajikan yang dijalankan oleh Projek Diraja Kelantan yang dinaungi oleh Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis sendiri.Baginda pertama kali menunaikan fardu haji pada 1983 bersama suami baginda.

Bersama Anakanda dan suami baginda.

Setelah kegeringan Tuanku Ismail Petra,Tengku Anis banyak menghabiskan masa menjasa suami baginda itu.Pada 13 September 2010,Sultan Faris Petra telah dimashyurkan selaku Sultan Kelantan yang baru.Tengku Anis dikurniakan gelaran Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis oleh anakanda baginda.Kini baginda hidup bersama suami baginda yang masih gering tetapi beransur pulih.DUN Negeri Kelantan juga telah meluluskan Elaun Khas Seumur Hidup kepada baginda berdua .Ini sebagai penghargaan untuk baginda berdua.Semoga Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis diberikan kesihatan yang baik selalu.

Berikut gambar kenangan Tengku Anis:

Tengku Anis ketika zaman mudanya.

Potret selaku Raja Perempuan Kelantan.



Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...