Anda Pengunjung Ke :

Monday 30 April 2018

Istiadat Pemasyhuran KDYMM Sultanah Maliha Sebagai Sultanah Kedah.

ISTIADAT PEMASYHURAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH KEDAH DARUL AMAN
30 APRIL 2018
ISTANA ANAK BUKIT, ALOR STAR.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman
Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff,
D.K., S.S.S.K., S.H.M.S., S.S.D.K., D.S.D.K.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff telah selamat dimasyhurkan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah dalam satu istiadat yang diadakan di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Star. Istiadat bermula dengan perarakan masuk KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff ke Balairong Seri diiringi selawat. 

Keberangkatan masuk KDYMM Tuanku berdua.

Setelah keberangkatan Tuanku berdua diumumkan, paluan nobat pun berbunyi sehingga baginda berdua bersemayam di atas singgahsana. Kemudian, Yang Berbahagia Dato' Bijaya Indera Ketua Istiadat Dato' Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah mengadap Tuanku berdua untuk memohon perkenan Tuanku Sultan Kedah untuk membawa masuk alat-alat kebesaran untuk pemasyhuran. 


Sebaik sahaja alat kebesaran dibawa masuk, juruacara mempersilakan YAB Dato' Seri Ahmad Bashah Ahmad Hanipah melafazkan watikah pemasyhuran Sultanah Maliha sebagai Sultanah Kedah Darul Aman. Selesai membacakan watikah pemasyhuran, Istiadat Menjunjung Duli oleh KDYMM Sultanah Maliha bermula. KDYMM Sultanah Maliha mengadap KDYMM Sultan Sallehuddin lalu bersalam dan mencium tangan baginda dan serentak dengan itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Selesai paluan nobat dan tembakan meriam, Sultanah Maliha dikurniakan darjah kebesaran baru yang diperkenankan oleh Sultan Sallehuddin. 

Istiadat Menjunjung Duli.

Pengurniaan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Yang Amat DiHormati Negeri Kedah Darul Aman (S.S.S.K.) dimulakan. Dato' Bijaya Indera Ketua Istiadat menyembahkan darjah kebesaran S.S.S.K. kepada Sultan Sallehuddin untuk dikurniakan kepada Sultanah Maliha. Baginda merupakan penerima pertama bagi Darjah Kebesaran ini. Selesai pengurniaan darjah kebesaran, doa dibacakan untuk menutup istiadat. Doa dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Kedah Darul Aman Dato' Sheikh Fadzil Haji Awang. 

Pengurniaan Darjah S.S.S.K.

Untuk menamatkan istiadat Dato' Bijaya Indera Ketua Istiadat mengadap KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Tuanku Sultanah untuk mempersembahkan bahawa istiadat telah selamat disempurnakan. Kira-kira pukul 11.30 pagi, Tuanku berdua telah berangkat meninggalkan Balairong Seri sambil diiringi paluan nobat. Berangkat ke Istiadat ini ialah DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan DYTM Che Puan Muda Kedah Che Puan Zaheeda Mohd Ariff, YTM Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah dan YABhg Toh Puan Bendahara Kedah Puan Seri Dato' Nora Abdullah, YTM Tengku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim, YTM Tunku Laksamana Kedah Dato' Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim. 


Turut berangkat YABhg Dato' Seri Noor Suzanna Abdullah, kerabat-kerabat DiRaja Kedah dan kerabat-kerabat DiRaja Kelantan termasuk dua orang bonda saudara kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V iaitu YBM Tengku Dato' Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra dan YBM Tengku Dato' Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra.

KDYMM Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

KDYMM Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff.


Kerabat-kerabat diraja bergelar.



Keluarga diraja Kedah Darul Aman.

Sembah Tahniah Pemasyhuran KDYMM Sultanah Kedah.


Sunday 29 April 2018

Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah Ke-76


Istiadat Pemasyhuran Sultanah Kedah 30 April 2018.

KDYMM Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Sukacita dimaklumkan bahawa Istiadat Pemasyhuran Sultanah Kedah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff akan dilangsungkan pada 30 April ini di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Star. Istiadat itu merupakan sebahagian daripada acara awal yang diatur sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah, yang dijangka berlangsung pada 22 Oktober ini.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, orang ramai boleh menyaksikan istiadat berkenaan melalui siaran langsung di saluran TV1 dan radio Kedah FM bermula jam 10.30 pagi. Warkah pemasyhuran berkenaan akan dibacakan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das sebagai simbolik kepada istiadat tersebut.



Kali terakhir seorang Sultanah dimasyhurkan di negeri Kedah adalah pada tahun 2004 apabila YM Che Puan Haminah Hamidun(kini bergelar YMM Che Puan Besar Kedah) ditabalkan sebagai Sultanah Kedah menggantikan Almarhum Sultanah Bahiyah yang mangkat pada tahun 2003.


Sultanah Maliha, yang merupakan kerabat diraja Kelantan, mendirikan rumah tangga dengan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada tahun 1965 dan dikurniakan dua putera iaitu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah Tunku Dato' Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...