Anda Pengunjung Ke :

Monday 23 February 2015

DYTM Raja Puan Muda Selangor..

Gelaran Raja Puan Muda biasanya diberikan kepada isteri Raja Muda atau pewaris takhta utama di sesebuah negeri. Gelaran ini berlainan mengikut negeri. Negeri Selangor, Perlis, dan Kedah menggunakan gelaran Raja Puan Muda. Namun, di negeri Perak, gelaran Raja Puan Muda tidak diberikan kepada isteri Raja Muda. Isteri Raja Muda Perak menggunakan gelaran Raja Puan Besar. Gelaran Raja Puan Muda diberikan kepada isteri Raja DiHilir Perak. Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU akan bercerita tentang Raja Puan Muda Selangor. Gelaran rasmi yang diberikan kepada isteri Raja Muda Selangor ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor Darul Ehsan bagi penyandang yang berdarah raja. Manakala gelaran untuk penyandang dari golongan kebanyakan ialah Yang Teramat Mulia Che' Puan Muda Selangor Darul Ehsan. 

Mengikut rekod, gelaran Raja Puan Muda Selangor hanya wujud selepas merdeka. Sebelum itu, tiada gelaran rasmi bagi isteri kepada Raja Muda Selangor. Sebagai contoh, ketika Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1936, isteri baginda, Tengku Jemaah Raja Ahmad tidak diberi gelaran Raja Puan Muda. Sehingga hari ini, cuma dua orang sahaja yang pernah menyandang gelaran Raja Puan Muda Selangor bermula selepas merdeka. Raja Puan Muda yang pertama ialah Almarhum Tengku Ampuan Rahimah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz dan YAM Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal. Gelaran Raja Puan Muda kali terakhir digunakan di Selangor adalah pada tahun 1986. Ini bermakna jawatan ini sudah kosong selama 29 tahun. Raja Muda Selangor sekarang, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah belum lagi berkahwin.

1958 hingga 1960 :
Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor Darul Ehsan Tengku Rahimah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz.


Tengku Rahimah membaca surat sumpah jawatan sambil memegang tombak diraja dihadapan Sultan Hisamuddin dan Tengku Ampuan Jemaah semasa istiadat perlantikan Raja Puan Muda Selangor pada tahun 1958.


Raja Puan Muda Selangor Pertama.

Tengku Rahimah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz Langkat diputerikan pada 4 Ogos 1927. Baginda merupakan puteri kepada Sultan Langkat, Sultan Abdul Aziz dan Tengku Permaisuri Zaharah Binti Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Baginda berkahwin dengan Raja Muda Selangor, Tengku Abdul Aziz Shah Ibni Sultan Hisamuddin pada 11 Mac 1956. Baginda diberikan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor oleh ayahanda mertua baginda pada 13 Mei 1958 semasa berusia 31 tahun. 2 tahun selepas bergelar Raja Puan Muda Selangor, baginda diishtiharkan sebagai Tengku Ampuan Selangor pada 3 September 1960 berikutan perlantikan suami baginda sebagai Sultan Selangor Darul Ehsan. 

1972 hingga 1986 :
Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor Darul Ehsan,Raja Datin Paduka Seri Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal,
D.K.II(Selangor),S.P.M.S.

Raja Zarina membaca surat sumpah jawatan sambil memegang tombak diraja semasa istiadat perlantikan Raja Puan Muda Selangor pada tahun 1972.

Raja Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal diputerikan pada 16 Mac 1946. Beliau merupakan puteri kepada YM Raja Tan Sri Zainal Abidin Bin Raja Lat. Beliau berkahwin dengan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2 Julai 1968. 4 tahun selepas itu, beliau dikurniakan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor oleh ayahanda mertua beliau. Sepanjang bergelar Raja Puan Muda, beliau dikurniakan dengan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Di Hormati Pangkat Kedua (D.K.. II) dan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri. Jawatan Raja Puan Muda Selangor ini beliau pegang sehingga penceraian beliau dengan Tengku Idris Shah pada tahun 1986. Kini, beliau bergelar Yang Mulia Raja Datin Paduka Seri Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal.


Bersama Raja Muda Selangor ketika menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Perak.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Saturday 21 February 2015

Pasangan DiRaja Tertua Di Dunia ..

Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU membawakan anda senarai pasangan diraja tertua di dunia. Ada pasangan diraja ini masih bertakhta, ada yang sudah turun takhta dan ada yang telah mangkat. Berikut merupakan senarai 9 pasangan diraja yang mempunyai umur yang panjang. 

1. QUEEN JULIANA, QUEEN OF NETHERLANDS DAN PRINCE BERNHARD.


Queen Juliana merupakan Ratu Belanda atau Netherlands pada tahun 1948 hingga 1980. Baginda merupakan bonda kepada mantan Ratu Belanda, Queen Beatrix. Baginda dilahirkan pada 30 April 1909. Baginda berkahwin dengan Putera Bernhard 24 November 1936. Putera Bernhard dilahirkan pada 29 Jun 1911, dua tahun lebih muda daripada isteri baginda. Queen Juliana menaiki takhta Belanda pada 4 September 1948 apabila bondanya melepaskan takhta sebagai Ratu Belanda. Baginda menjadi Ratu Belanda sehingga 30 April 1980, dimana baginda melepaskan takhta Belanda untuk memberi laluan kepada anakanda baginda,Queen Beatrix. Queen Juliana mangkat pada 20 April 2004 pada usia 95 tahun, menjadikan baginda bekas monarki tertua dunia. 8 bulan selepas kemangkatan baginda, suami baginda Putera Bernhard pula mangkat pada 1 Disember 2004 pada usia 93 tahun. Baginda berdua merupakan pasangan diraja tertua di dunia apabila keduanya mangkat pada tahun yang sama pada usia 95 tahun dan 93 tahun. 

2. QUEEN ELIZABETH, QUEEN OF ENGLAND DAN PRINCE PHILIP.


Queen Elizabeth merupakan Ratu England bermula tahun 1952 hingga sekarang. Pada hari ini, baginda merupakan monarki paling tua bertakhta di dunia. Queen Elizabeth dilahirkan pada 21 April 1926. Pada tahun ini, usia baginda akan mencecah 89 tahun. Queen Elizabeth berkahwin dengan Prince Philip pada tahun 1947. Prince Philip dilahirkan pada 10 Jun 1921 dan usia baginda akan mencecah 94 tahun.Queen Elizabeth menaiki takhta England apabila ayahanda baginda mangkat pada 6 Februari 1952. Baginda telah memerintah selama 63 tahun. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja kedua tertua di dunia apabila masih bertakhta ketika masing-masing berusia 89 tahun dan 94 tahun. Baginda berdua juga merupakan pasangan diraja tertua pada masa kini.

3. EMPEROR HIROHITO, EMPEROR OF JAPAN DAN EMPRESS KOJUN.


Maharaja Hirohito merupakan Maharaja Jepun pada tahun 1926 hingga 1989. Baginda merupakan ayahanda kepada Maharaja Akihito, Maharaja Jepun sekarang. Maharaja Hirohito dilahirkan pada 29 April 1901. Baginda berkahwin dengan Maharani Kojun pada 26 Januari 1924. Maharani Kojun dilahirkan pada 6 Mac 1903. Maharaja Hirohito menaiki takhta Jepun pada 25 Disember 1926 pada usia 25 tahun. Baginda memerintah Jepun selama 63 tahun. Maharaja Hirohito mangkat pada 7 Januari 1989 pada usia 88 tahun. Ketika itu, Maharani Kojun berusia 86 tahun. Maharani Kojun mangkat pada 16 Jun 2000 pada usia 97 tahun menjadikan baginda salah seorang bekas permaisuri tertua selepas Queen Elizabeth, The Queen Mother. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja ketiga tertua di dunia apabila masing-masing mangkat pada usia 88 tahun dan 97 tahun.

4. ALMARHUM TUANKU JAAFAR, YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DAN TUANKU NAJIHAH.


Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan bermula tahun 1967 hingga 2008. Baginda juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Malaysia yang ke 10 pada tahun 1994 hingga 1999. Tuanku Ja'afar diputerakan pada 19 Julai 1922. Baginda mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin pada tahun 1942.Tuanku Najihah diputerakan pada 1 September 1924. Tuanku Ja'afar menaiki takhta Negeri Sembilan pada tahun 1967 ketika berusia 45 tahun. Baginda bertakhta selama 41 tahun dan mangkat pada 27 Disember 2008 ketika berusia 86 tahun. Ketika itu Tuanku Najihah berusia 84 tahun. Kini, Tuanku Najihah akan memasuki usia 91 tahun pada tahun ini. Ini menjadikan baginda permaisuri tertua yang pernah hidup di Malaysia. Pasangan Diraja ini merupakan pasangan keempat tertua di dunia apabila mangkat pada usia 86 tahun dan masih sihat dikala usia mencecah 91 tahun.

5. KING BHUMIBOL ADULYADEJ, KING OF THAILAND DAN QUEEN SIRIKIT.

Raja Bhumibol merupakan Raja Thailand bermula 9 Jun 1946 hingga sekarang. Baginda merupakan monarki paling lama memerintah di dunia. Baginda diputerakan pada 5 Disember 1927. Baginda berumah tangga dengan Permaisuri Sirikit pada 28 April 1950. Permaisuri Sirikit diputerikan pada 12 Ogos 1932. Raja Bhumibol menaiki takhta Thailand pada tahun 1946 ketika berusia 19 tahun. Sehingga hari ini, Raja Bhumibol telah memerintah selama 69 tahun. Raja Bhumibol kini berusia 88 tahun dan seringkali diberitakan gering. Manakala Permaisuri Sirikit berusia 83 tahun. Raja Bhumibol juga merupakan monarki terkaya di dunia ketika ini. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja ke 5 tertua di dunia apabila kedua-dua masih bertakhta dikala usia masing-masing mencecah 88 tahun dan 83 tahun.

6. ALMARHUM SULTAN AZLAN, SULTAN PERAK DAN TUANKU BAINUN.


Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin merupakan Sultan Perak ke 34 yang memerintah bermula tahun 1984 hingga 2014. Baginda juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 9 pada tahun 1989 hingga 1994. Sultan Azlan diputerakan pada 19 April 1928. Baginda berkahwin dengan Tuanku Bainun Mohd Ali pada tahun 1955. Tuanku Bainun dilahirkan pada 7 November 1932. Sultan Azlan menaiki takhta negeri Perak pada 3 Februari 1984 ketika berusia 56 tahun. Baginda memerintah negeri Perak selama hampir 30 tahun. Baginda mangkat pada 28 Mei 2014 ketika berusia 86 tahun. Ketika itu Tuanku Bainun berusia 82 tahun. Tuanku Bainun akan memasuki usia 83 tahun pada tahun ini dan baginda bergelar Bonda kepada Sultan Perak. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja keenam tertua didunia apabila mangkat pada usia 86 tahun dan masih sihat pada usia 83 tahun.

7. EMPEROR AKIHITO, EMPEROR OF JAPAN DAN EMPRESS MICHIKO.


Maharaja Akihito merupakan Maharaja Jepun bermula tahun 1989 hingga sekarang. Maharaja Akihito dilahirkan pada 23 Disember 1933. Baginda berkahwin dengan wanita golongan kebanyakan yang kemudiannya menjadi Maharani Jepun iaitu Maharani Michiko pada tahun 1959. Maharani Michiko dilahirkan pada 20 Oktober 1934. Maharaja Akihito menaiki takhta Jepun pada 7 Januari 1989 pada usia 56 tahun selepas kemangkatan ayahanda baginda Maharaja Hirohito. Maharaja Akihito memerintah selama 26 tahun sehingga hari ini. Maharaja Akihito berusia 81 tahun dan Maharani Michiko berusia 80 tahun ketika ini. Pasangan diraja dari Jepun ini merupakan pasangan diraja ke 7 tertua pernah bertakhta apabila masih berada di atas takhta sehingga hari ini.

8. ALMARHUM TUANKU SYED PUTRA,RAJA PERLIS  DAN ALMARHUM TENGKU BUDRIAH.


Tuanku Syed Putra merupakan Raja Perlis bermula tahun 1945 hingga 2000. Baginda juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ketiga Malaysia pada tahun 1960 hingga 1965. Baginda diputerakan pada 25 November 1920. Baginda berkahwin dengan Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail pada tahun 1941. Tengku Budriah diputerikan pada 28 Mac 1928. Tuanku Syed Putra menaiki takhta Perlis pada 4 Disember 1945 ketika berusia 25 tahun. Baginda memerintah Perlis selama lebih kurang 55 tahun sehingga kemangkatan baginda. Tuanku Syed Putra mangkat pada 16 April 2000 semasa berusia 80 tahun. Ketika itu, Tengku Budriah berusia 76 tahun. Tengku Budriah mangkat pada 28 November 2008 pada usia 84 tahun. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja ke 8 tertua di dunia selepas masing-masing mangkat ketika berusia 80 tahun dan 84 tahun.

9. KING ALBERT II, KING OF BELGIUM DAN QUEEN PAOLA.


Raja Albert II merupakan Raja Belgium bermula tahun 1993 hingga 2013. Baginda dilahirkan pada 6 Jun 1934. Baginda mendirikan rumah tangga dengan Permaisuri Paola pada tahun 1959. Queen Paola dilahirkan pada 11 September 1937. Raja Albert II menaiki takhta Belgium pada 9 Ogos 1993 pada usia 59 tahun setelah kemangkatan kekanda baginda, Raja Baudouin. Raja Albert II memerintah Belgium selama 20 tahun dan mengambil keputusan untuk turun takhta pada 21 Julai 2013 untuk memberi laluan kepada anakanda baginda Raja Philippe untuk menaiki takhta. Sebab lain baginda berundur dari takhta adalah kerana masalah kesihatan. Pada tahun ini, usia baginda akan mencecah 81 tahun. Manakala Permaisuri Paola akan mencecah usia 78 tahun. Pasangan diraja ini merupakan pasangan diraja ke 9 tertua di dunia apabila masing-masing berusia 81 tahun dan 78 tahun.

Friday 20 February 2015

KENANGAN RAJA-RAJA : Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Siri KENANGAN RAJA-RAJA merupakan satu siri pengkisahan raja-raja Melayu yang pernah menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Pada siri yang lepas, dua orang raja Melayu terawal yang menjadi ketua negara telah dibawakan kisah baginda-baginda sekalian. Raja yang seterusnya pernah menjadi monarki paling lama bertakhta di dunia. Baginda yang dimaksudkan ialah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 3 yang merupakan Raja Perlis 

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Harun Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail,
D.K., S.P.M.P., D.K.M., D.M.N., D.K.(Brunei), D.K.(Selangor), S.P.D.K.(Sabah), D.K.(Kelantan), D.P.(Sarawak), DK.(Kedah), D.K.(Pahang), D.K.(Johor), D.K.(NegeriSembilan), D.P.S.S.(Sarawak), D.K.(Perak), D.K.(Terengganu), D.K.M.B.(Brunei), Knight Commander of St Micheal & St George (K.C.M.G.) (United Kingdom), Grand Cordon Raja Of  The Order Of Sikatuna (Philipines), The Great Cross of The Royal Order of Cambodia, The Most Auspicious Order Of The Royal Friendship Of  Thailand, Collar of The Supreme Order Of The  Chrysanthemum(Japan),Grand Cordon of the Order of Hussein Bin Ali (Jordan),Grand Collar of The Order of the Nile (United Arab Republic), Queen Elizabeth II Coronation Medal. 


Tuanku Syed Putra ketika zaman muda baginda.

Tuanku Syed Putra diputerakan dengan nama YM Syed Harun Putra Ibni Syed Hassan Jamalullail pada 25 November 1920 di Bandar Diraja Arau. Baginda merupakan putera sulung kepada YM Tuan Syed Hassan Ibni Almarhum Tuan Syed Mahmud AlHaj Ibni Almarhum Raja Syed Safi Jamalullail. Baginda merupakan cicit kepada Raja Perlis Raja Syed Safi Ibni Almarhum Tuan Syed Alwi Jamalullail yang memerintah Perlis pada tahun 1897 hingga 1904. Bonda baginda pula ialah YM Che Puan Wan Teh Binti Endut. Ayahanda baginda dilantik sebagai Bakal Raja pada tahun 1934. Namun, ayahanda baginda mangkat pada tahun 1935, ketika baginda berusia 15 tahun. 


Tuanku Syed Putra mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Arau Perlis dan seterusnya ke Sekolah Inggeris dan Penang Free School, Georgetown, Pulau Pinang pada tahun 1937 hingga 1939. Baginda juga pernah belajar di Hutchings School di India. Baginda mula berkhidmat dengan pentadbiran negeri Perlis pada tahun 1940, ketika berusia 20 tahun. Baginda dihantar bekerja di bahagian Pejabat Tanah dan dilatih sebagai seorang majistret di Mahkamah Kangar. Seterusnya pada tahun 1941, Tuanku Syed Putra ditukarkan ke Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur sebagai Majistret Kelas Kedua. Pada usia yang muda, baginda telah didedahkan selok belok pentadbiran dan menjadi seorang majistret. Baginda telah diberi latihan secukupnya untuk menjadi seorang pemerintah negeri.

Dari kiri : Permaisuri Thailand Permaisuri Sirikit, Tengku Budriah, Tuanku Syed Putra dan Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej.

Pada 30 April 1938, Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Bakal Raja Perlis. Raja Perlis ketika itu adalah ayahanda saudara baginda, Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Namun, Raja Syed Alwi tidak mempunyai seorang anak pun. Lalu, pewaris takhta negeri Perlis terdiri daripada adinda-adinda Raja Syed Alwi. Namun, pada tahun 1938, Tuanku Syed Putra selaku anakanda saudara Raja Syed Alwi dilantik sebagai Bakal Raja dengan undian 3 berbalas 1. Satu yang tidak bersetuju ialah Syed Hamzah Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, Tuanku Syed Putra dilucutkan gelaran sebagai Bakal Raja oleh Jepun dan digantikan oleh ayahanda saudara baginda Syed Hamzah Syed Safi Jamalullail. Tuanku Syed Putra yang ketika itu bertugas di Kuala Lumpur dinasihati oleh Sultan Selangor, Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah untuk kekal di Kuala Lumpur.
Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Tuanku Syed Putra dan keluarga baginda menetap di Klang,Selangor sehingga 15 Mei 1941. Baginda sekeluarga kembali ke Perlis dan tinggal di sebuah pondok berdekatan stesen keretapi Kangar. Baginda menerima elaun $90 sebulan daripada Raja Syed Alwi. Raja Syed Alwi mangkat pada 1 Februari 1943 dan digantikan oleh Raja Syed Hamzah Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Mulai dari itu, elaun Tuanku Syed Putra ditarik balik. Pada 29 Mac 1945, Tuanku Syed Putra sekeluarga berangkat ke Kelantan, negeri kelahiran isteri baginda, Tengku Budriah Tengku Ismail. Di sini baginda menjual kuih muih dan pelbagai barangan untuk mendapat sumber rezeki untuk menyara keluarga baginda. Apabila Jepun menyerah kalah dan Pentadbiran Tentera British mengambil alih, Raja Syed Hamzah diturunkan takhta dan digantikan oleh Tuanku Syed Putra pada 4 Disember 1945. Raja Syed Hamzah dibuang negeri ke Thailand dan kemudiannya kembali ke Perlis dan mangkat di Arau pada tahun 1958. Tuanku Syed Putra ditabalkan sebagai Raja Perlis pada 12 Mac 1949 sewaktu berusia 29 tahun.


Ketika istiadat pertabalan baginda sebagai Raja Perlis.

Tuanku Syed Putra mendirikan rumah tangga pada 7 Mac 1941 dengan YM Tengku Budriah Binti Tengku Ismail, seorang kerabat diraja Patani.Ketika itu baginda berusia 21 tahun manakala Tengku Budriah berusia 17 tahun. Tengku Budriah merupakan puteri kepada YAM Tengku Mek Haji Ismail Ibni Almarhum Tengku Besar dan YAM Tengku Besar Zubaidah Binti Almarhum Tengku Abdul Kadir. Bonda Tengku Budriah merupakan cucunda kepada Raja Patani, Sultan Sharif Alauddin Shah. Perkahwinan baginda berdua diadakan di Kampung Telipot, Kota Bharu, Kelantan. Apabila Tuanku Syed Putra menaiki takhta Perlis, Tengku Budriah bergelar Raja Perempuan Perlis dan seterusnya Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong 

Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail,
D.K.,S.S.P.J.,D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kelantan),S.P.M.K.,A.M.N.,The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),The Great Cross Of Agriculture Merit(Cambodia), First Class Of The Order Of Precious Crown(Japan),Nahdar Star First Class (Pakistan),United Arab Republic Order of Makal Perfection.

Baginda berdua dianugerahkan dengan 5 putera dan 5 puteri. Putera sulung baginda kini bergelar Raja Perlis, KDYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Putera baginda yang lain ialah YAM Tengku Sharif Bendahara Dato' Seri DiRaja Syed Badaruddin, YAM Tengku Sharif Temenggong Dato' Seri DiRaja Syed Amir Zainal Abidin, YAM Tengku Laksamana Dato' Seri DiRaja Syed Razlan, dan YAM Tengku Panglima Dato' Seri DiRaja Tan Sri Syed Zainal Anwar. Manakala puteri-puteri baginda pula ialah YAM Tengku Puteri Utama Dato' Seri DiRaja Sharifah Salwa, YAM Dato' Seri DiRaja Sharifah Jalaina, YAM Tengku Puan Laksamana Kelantan Dato' Seri DiRaja Sharifah Azwan, YAM Dato' Seri Sharifah Junetta dan YAM Dato' Seri Sharifah Endah. Tengku Budriah bergelar Raja Perempuan Besar Perlis bermula tahun 2000 hingga kemangkatan baginda pada 28 November 2008 ketika berusia 84 tahun. Tengku Budriah dimakamkan di Makam DiRaja Arau.


Tuanku Syed Putra berkahwin untuk kali kedua dengan Che Puan Mariam Binti Abdullah pada 18 Julai 1952 di Bangkok, Thailand. Che Puan Mariam atau nama sebenarnya Riam Pessayanavin yang dilahirkan pada 23 April 1924 merupakan wanita Thailand yang berketurunan Melayu. Beliau memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan Tuanku Syed Putra. Che Puan Mariam merupakan Miss Thailand tahun 1940. Perkahwinan baginda kali ini mempunyai 3 putera dan seorang puteri. Putera-putera baginda ialah YAM Dato' Seri Syed Zainal Rashid, YAM Dato' Seri Syed Azni dan YAM Dato' Seri Syed Badlishah.Puteri tunggal baginda bersama Che Puan Mariam ialah YAM Dato' Seri Sharifah Melanie. Che Puan Mariam meninggal dunia pada tahun 1986 ketika berusia 62 tahun.

Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah di atas takhta singgahsana Istana Negara.

Apabila Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman mangkat, Timbalan Yang Di Pertuan Agong Sultan Hisamuddin dilantik menjadi Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1960. Serentak dengan itu, Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertuan Agong pada 14 April 1960. Beberapa bulan selepas itu, Sultan Hisamuddin mangkat. Maka, Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 3 pada 21 September 1960 ketika berusia 40 tahun. Baginda merupakan Yang Di Pertuan Agong termuda dalam sejarah. Baginda ditabalkan secara rasmi pada 4 Januari 1961 di Istana Negara Kuala Lumpur. Di bawah pemerintahan baginda, negara Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Ini menjadikan baginda sebagai Yang Di Pertuan Agong terakhir bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Yang Di Pertuan Agong Pertama bagi Malaysia. Baginda juga merupakan satu-satunya Raja bagi negara Singapura dalam sejarah moden. 



Keluarga DiRaja Perlis ketika tahun 1950-an.

Baginda bekerjasama dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dalam memajukan negara. Baginda seringkali mengadakan lawatan ke luar negara untuk belajar selok belok pentadbiran. Antara monumen yang dibina semasa pemerintahan baginda ialah Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, dan Masjid Negara. Namun, satu peristiwa sedih berlaku sebulan sebelum baginda meninggalkan tugas sebagai Yang Di Pertuan Agong. Singapura telah berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tuanku Syed Putra merupakan Raja pertama yang melengkapkan tempoh 5 tahun bertakhta di atas takhta kerajaan persekutuan iaitu pada 20 September 1965. Jawatan Yang Di Pertuan Agong diisi oleh Sultan Terengganu Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.


Ketika menunaikan fardhu Haji di Makkah.

Tuanku Syed Putra kembali memerintah negeri Perlis bermula tahun 1965. Baginda menyambut Jubli Perak pemerintahan sebagai Raja Perlis pada tahun 1970. Pada ketika itu baginda berusia 50 tahun. Ketika itu, baginda merupakan Raja Melayu paling kanan dan paling senior dalam Majlis Raja-Raja Melayu. Baginda memainkan peranan baginda sebagai Raja paling kanan dalam isu krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1983 dan 1993. Kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan membuatkan baginda dihormati ditambah dengan pengalaman luas dalam pentadbiran negeri. Baginda menyambut Jubli Emas Pemerintahan pada 4 Disember 1995 pada usia 75 tahun. 

Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (U.S.M.) pada tahun 1972. Baginda menyandang jawatan itu selama 28 tahun sehingga tahun 2000. Baginda banyak dianugerahi darjah kebesaran luar negara antaranya dari negara Brunei, Kemboja, Jepun, Jordan, Pakistan, Filipina, Arab Saudi dan Thailand. Pada tahun 1956, Queen Elizabeth II menganugerahi baginda dengan darjah kebesaran Knight Commander of the Order of St Michael and St George (K.C.M.G.) yang membawa gelaran Sir. 

Tuanku Syed Putra bersalaman dengan kanak-kanak selepas selesai menunaikan solat di masjid.

Baginda mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 16 April 2000 setelah 55 tahun memerintah Perlis. Baginda mangkat ketika berusia 80 tahun. Ketika itu, baginda merupakan Raja yang paling lama bertakhta di dunia. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Arau, Perlis penuh adat istiadat diraja. Anakanda lelaki sulung baginda menggantikan baginda sebagai Raja Perlis dengan bergelar  DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Sikap sederhana yang ditunjukkan oleh Tuanku Syed Putra harus dicontohi semua pihak. Sebelum bergelar seorang raja, baginda juga pernah merasai kesusahan hidup semasa pendudukan Jepun. Hal Ini menjadikan baginda seorang raja yang memahami rakyatnya. Baginda banyak membawa perubahan kepada negeri Perlis selama 55 tahun menjadi Raja Perlis. Sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap baginda, marilah kita sama-sama sedekahkan AL FATIHAH untuk roh Almarhum. Semoga ALLAH SWT menempatkan roh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama orang-orang yang beriman.

55 Tahun sebagai Raja dan Raja Perempuan Perlis.

Tuanku Syed Putra,Tengku Budriah dan Tunku Abdul Rahman Putra.


Menerima Darjah Kebesaran Persekutuan daripada Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman.


Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Wednesday 18 February 2015

KENANGAN RAJA-RAJA : Sultan Hisamuddin Alam Shah.



Segmen KENANGAN RAJA-RAJA diteruskan dengan Sultan kedua yang dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Baginda merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong paling singkat menduduki takhta kerajaan Persekutuan. Baginda ialah Almarhum Sultan Selangor Darul Ehsan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj, D.M.N.,S.M.N.,D.K.M.B.(Brunei),K.C.M.G.,C.M.G.(United Kingdom), King George V Silver Jubilee Medal, King George VI Coronation Medal, Queen Elizabeth II Coronation Medal.

Sultan Hisamuddin ketika muda.

Tarikh 13 Mei 1898 menyaksikan kelahiran seorang putera raja di Istana Bandar Temasha, Kuala Langat Selangor. Baginda merupakan putera ketiga kepada Sultan Selangor Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Yang DiPertuan Muda Musa. Bonda baginda ialah Cik Puan Hasnah Binti Pilong. Ayahanda baginda, Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah menjadi Sultan Selangor semenjak 17 Februari 1899, setahun selepas baginda diputerakan. Sultan Hisamuddin amat bertuah kerana diahirkan dalam keluarga yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Ayahanda baginda merupakan seorang sultan yang mengasihi ulama'.


Sepertimana putera-putera sultan yang lain, Sultan Hisamuddin mendapat pendidikan yang cukup setaraf dengan pangkat dan kedudukan baginda. Baginda mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Bandar Kuala Langat dan seterusnya pengajian peringkat tinggi di Sekolah Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Sultan Hisamuddin merupakan salah seorang pengasas Malay College Old Boys Association (MCOBA) pada tahun 1929. Pada tahun 1925, Sultan Hisamuddin menjadi Presiden Jawatankuasa Masjid Sultan Ala'eddin. Pada tahun 1931, ketika berusia 33 tahun, baginda menjadi setiausaha peribadi kepada ayahanda baginda yang juga Sultan Selangor. Baginda mengiringi ayahanda baginda ke majlis-majlis rasmi negeri. Dari sinilah baginda berlajar selok belok bagaimana menjadi pemerintah sesebuah negeri. Seterusnya pada tahun 1933, baginda dilantik sebagai Presiden Lembaga Sekolah-Sekolah Arab di Selangor. Kerjaya baginda banyak melibatkan hal ehwal agama islam. Baginda dididik sebagai seorang pemimpin yang mementingkan elemen-elemen islam. Bermula tahun 1934 hingga 1938, Sultan Hisamuddin bekerja sebagai Malay School Commissioner (MSC) di negeri Selangor.

Sultan Hisamuddin bersama Tengku Ampuan Jemaah, Sultan Abu Bakar dan Tuanku Syed Putra ketika istiadat pemakaman Tuanku Abdul Rahman.

Baginda dilantik sebagai Tengku Panglima Di Raja Selangor pada tahun 1920 ketika berusia 22 tahun. 11 tahun selepas itu, pada tahun 1931, Sultan Hisamuddin dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor dan berada di tangga kedua pewaris takhta negeri Selangor selepas Raja Muda Selangor. Ketika itu, Raja Muda Selangor adalah kekanda baginda, Tengku Musa Eddin.Namun, pihak British tidak menyukai Tengku Musa Eddin lalu memaksa Tengku Musa Eddin dilucutkan jawatan sebagai Raja Muda pada tahun 1934. Lalu, Sultan Hisamuddin dilantik secara rasmi sebagai Raja Muda Selangor pada 20 Julai 1936 di Istana Mahkota, Klang , mengenepikan seorang lagi kekanda baginda iaitu Tengku Badar Shah. 


Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah mangkat pada 31 Mac 1938 pada usia 75 tahun seletah 39 tahun memerintah negeri Selangor. Maka, selaku Raja Muda, Sultan Hisamuddin dilantik sebagai Sultan Selangor yang baru pada 4 April 1938 ketika berusia 39 tahun. Istiadat pertabalan baginda diadakan di Istana Mahkota, Klang pada 26 Januari 1939. Istiadat pertabalan ini diketuai oleh kekanda sulung baginda, Tengku Kelana Jaya Putera, Tengku Musa Eddin Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. 

Jepun menjajah Tanah Melayu pada tahun 1942. Gabenor Tentera Jepun di Selangor telah menjemput Sultan Hisamuddin ke King House, Kuala Lumpur. Baginda disuruh menyerahkan takhta dan regalia diraja kepada kekanda sulung baginda, Tengku Musa Eddin. Sultan Hisamuddin diturunkan takhta sebagai Sultan Selangor pada 15 Januari 1942 dan digantikan oleh kekanda baginda. Tengku Musa Eddin kemudiannya bergelar Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah dan ditabalkan pada 4 November 1943. Sultan Hisamuddin enggan bekerjasama dengan Jepun. Baginda menolak elaun kepada baginda dan anakanda-anakanda baginda. 

Di atas singgahsana Istana Alam Shah.

Takhta negeri Selangor akhirnya kembali kepada baginda pada 1945 apabila Jepun menyerah kalah dan British kembali berkuasa di Tanah Melayu. Baginda kembali menajdi Sultan Selangor pada 14 September 1945. Kekanda baginda, Sultan Musa dibuang negeri oleh British ke Pulau Cocos Keeling. Sultan Hisamuddin merupakan seorang sultan yang menyokong gerakan nasionalis Melayu yang menentang British. Pada 1 Mac 1946, baginda telah merasmikan Kongress Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Kongres ini dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor yang diketuai oleh pendeta Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad atau Za'ba. Pada tahun 1953, baginda berangkat ke England bersama permaisuri baginda untuk menghadiri istiadat kemahkotaan Queen Elizabeth II di Westminster Abbey,London. 

Sultan Hisamuddin Alam Shah berkahwin sebanyak tiga kali. Kali pertama baginda mendirikan rumah tannga dengan Yang Mulia Raja Jemaah Binti Raja Ahmad, seorang kerabat diraja Selangor. Pasangan diraja ini berkahwin di Istana Mahkota,Klang pada tahun 1919. Ketika itu baginda berusia 20 tahun manakala Tengku Ampuan Jemaah berusia 19 tahun. Raja Jemaah kemudiannya bergelar Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad, D.K.(Selangor). Tengku Ampuan Jemaah merupakan puteri kepada YM Raja Ahmad dan YM Raja Fatimah Binti Raja Tahir. Perkahwinan baginda berdua dikurnikan seorang putera iaitu DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menjadi Sultan Selangor pada tahun 1960. Tengku Ampuan Jemaah mangkat pada 8 April 1973 di Klang pada usia 73 tahun. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Sultan Sulaiman,Klang.

Di dalam kapal pelayaran baginda ketika pulang dari menghadiri istiadat kemahkotaan Queen Elizabeth II.

Kali keduanya baginda berumah tangga dengan orang kebanyakan iaitu Cik Puan Hajah Kalsum Binti Haji Mahmud. Baginda berkahwin pada tahun 1927. Cik Puan Kalsum dilahirkan pada tahun 1913 dan berusia 14 tahun ketika berkahwin dengan Sultan Hisamuddin manakala baginda berusia 28 tahun. Perkahwinan baginda kali ini mempunyai 3 orang putera dan 3 puteri. Putera-putera baginda terdiri daripada YAM Tengku Laksamana Tengku Badli Shah, YAM Tengku Bendahara Tengku Azman Shah, YAM Tengku Besar Putra Tengku Ismail Shah. Manakala puteri-puteri baginda ialah DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah, DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Bariah, dan YAM Tengku Taksiah. Cik Puan Kalsum meninggal dunia pada 6 Mei 1990 pada usia 87 tahun.


Untuk kali ketiganya Sultan Hisamuddin berkahwin dengan Yang Teramat Mulia Raja Halijah Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah, puteri Sultan Perak. Namun perkahwinan baginda berdua tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Raja Halijah merupakan puteri bongsu kepada Sultan Sir Idris Murshid dan isteri baginda Yang Teramat Mulia Tengku Permaisuri Cik Haji Ngah Uteh Mariah Binti Haji Sulaiman.

Setelah kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960, Sultan Hisamuddin yang ketika itu bergelar Timbalan Yang Di Pertuan Agong dipilih menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Kedua Persekutuan Tanah Melayu pada 14 April 1960. Pada 30 Julai 1960, baginda mengumumkan tamatnya tempoh darurat di Persekutuan Tanah Melayu. Namun takdir telah menentukan, baginda telah mangkat pada 1 September 1960 ketika berusia 62 tahun. Baginda mangkat akibat penyakit yang tidak diketahui di Istana Tetamu, Kuala Lumpur pada tarikh yang ditetapkan untuk pertabalan baginda sebagai Yang Di Pertuan Agong. Baginda merupakan satu-satunya Yang Di Pertuan Agong yang tidak sempat ditabalkan dan baginda tidak pernah bersemayam di Istana Negara. Jenazah baginda telah dimakamkan penuh adat istiadat di Makam Diraja Masjid Sultan Sulaiman,Klang pada 3 September 1960. Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong disandang oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalillail. Anakanda sulung baginda, Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Sultan Selangor dengan bergelar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Baginda dikenali sebagai seorang sultan yang alim dan warak. Imej baginda yang seringkali berjubah putih amat menarik minat rakyat jelata. Oleh kerana itu, nama Kolej Islam Klang telah ditukar kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah mengambil sempena nama baginda. Sekolah Sultan Alam Shah juga mengambil nama baginda. Ibu negeri Selangor, Shah Alam juga mengambil sempena nama baginda. Mewarisi ilmu agama daripada Almarhum ayahanda baginda, Sultan Hisamuddin merupakan sultan pertama yang membaca khutbah Jumaat di masjid. 


Sesungguhnya, ketokohan Almarhum Sultan Hisamuddin harus disanjung dan diingati oleh semua rakyat jelata. Kesungguhan baginda dalam mentadbir negeri Selangor dan kearifan baginda dalam bidang keagamaan haru dijadikan contoh oleh kita semua. Legasi yang ditinggalkan baginda bukan sedikit. Marilah kita sedekahkan Al Fatihah kepada Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj sebagai tanda kenangan kepada baginda. Semoga roh baginda ditempatkan oleh ALLAH SWT bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Tengku Ampuan Jemaah.

Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman dan Timbalan Yang Di Pertuan Agong Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Ketua Menteri Persekutuan Tunku Abdul Rahman mencium tangan Sultan Hisamuddin Alam Shah.


Menerima tabik kehormat barisan kawalan kehormatan bersama anakanda baginda, Tengku Abdul Aziz Shah.

Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj.

Monday 16 February 2015

Yang Teramat Mulia Dato' Seri Noraini Jane.

 
Yang Teramat Mulia Dato' Seri Hajah Noraini Jane Binti Tan Sri Kamarul Ariffin,
D.K.A. II, S.P.C.M.

Yang Teramat Mulia Dato' Seri Noraini Jane dilahirkan pada 25 Julai 1959 di Kuala Lumpur. Beliau merupakan puteri kepada Tan Sri Kamarul Ariffin Bin Mohamed Yassin yang merupakan seorang tokoh politik negara dan bekas Senator Dewan Negara. Bonda beliau merupakan seorang wanita berketurunan British. Dato' Seri Noraini mendapat pendidikan di Sekolah Menengan Kebangsaan Bukit Damansara dan Garden International School. 


Dato' Seri Noraini mempunyai kerjaya sebagai pelakon sekitar tahun 1980 an. Beliau pernah menjadi watak utama dalam filem Jasmin pada tahun 1984 dan Jasmin II pada tahun 1986. Filem ini diadaptasi dari kisah benar peristiwa Natrah yang berlaku sekitar tahun 1950 an. Beliau berlakon disamping hero Johari Zain, Dato' Mustapha Maarof, dan Dato' Rosnani Jamil . Filem ini arahan Dato' Jamil Sulong dan penerbitnya adalah ayah kepada Dato' Seri Noraini iaitu Tan Sri Kamarul Ariffin. Beliau telah dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke 6 pada tahun 1986. Namun, Fauziah Ahmad Daud telah memenangi kategori itu melalui filem Ali Setan.

Dato' Seri Noraini sebagai Jasmin disamping Dato' Rosnani Jamil sebagai Mak Munah dan Johari Zain dalam filem Jasmin.

Dato' Seri Noraini bertemu jodoh dengan putera Sultan Perak iaitu Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah pada 26 September 1991 ketika berusia 32 tahun. Istiadat perkahwinan diadakan di Kuala Kangsar . Perkahwinan beliau dianugerahi dengan seorang putera dan 2 orang puteri. Putera tunggal beliau kini bergelar Yang Teramat Mulia Raja Kechil Besar Perak Raja Dato' Ahmad Nazim Azlan Shah Ibni Raja Ashman Shah yang diputerakan pada tahun 1994. Puteri-puteri beliau pula terdiri daripada Yang Mulia Raja Eminah Elliyah Binti Raja Ashman Shah dan Yang Mulia Raja Bainunnisa Safiah Binti Raja Ashman Shah.

Raja Ahmad Nazim, Dato' Seri Noraini dan Almarhum Raja Ashman Shah.

Tanggal 30 Mac 2012 merupakan tarikh sedih bagi beliau sekeluarga. Suami tercinta, Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah telah mangkat akibat serangan asma di kediaman mereka. Jenazah Almarhum telah disemadikan di Makam Diraja Al Ghufran,Kuala Kangsar. Dato' Seri Noraini kini bergelar bonda kepada Raja Kechil Besar Perak yang merupakan pewaris takhta negeri Perak di tangga ke 3 selepas Raja Muda Perak dan Raja DiHilir Perak.


Dato' Seri Noraini merupakan pemilik tadika Jasmin Kindergarten di Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan penulis buku "Corak : Patterns and Proverbs of Nature". Selaku menantu kepada Sultan Perak, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.) yang membawa gelaran Dato' Seri pada 19 April 1992. Pada tahun 2009 pula, beliau dianugerahi Darjah Kerabat Azlaani Pangkat Kedua (D.K.A. II). YTM Dato' Seri Noraini Jane kini berusia 56 tahun. Sama-sama kita doakan semoga beliau selalu berbahagia disamping keluarga tercinta.

Bersama Almarhum suami beliau.

Dato' Seri Noraini ketika Istiadat Pengishtiharan Sulta Perak ke 35.

Dato' Seri Noraini Jane bersama bonda mertua beliau Tuanku Bainun dan biras beliau Tuanku Zara Salim.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...