Siri KENANGAN RAJA-RAJA merupakan satu siri pengkisahan raja-raja Melayu yang pernah menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Pada siri yang lepas, dua orang raja Melayu terawal yang menjadi ketua negara telah dibawakan kisah baginda-baginda sekalian. Raja yang seterusnya pernah menjadi monarki paling lama bertakhta di dunia. Baginda yang dimaksudkan ialah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 3 yang merupakan Raja Perlis
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Harun Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail,
D.K., S.P.M.P., D.K.M., D.M.N., D.K.(Brunei), D.K.(Selangor), S.P.D.K.(Sabah), D.K.(Kelantan), D.P.(Sarawak), DK.(Kedah), D.K.(Pahang), D.K.(Johor), D.K.(NegeriSembilan), D.P.S.S.(Sarawak), D.K.(Perak), D.K.(Terengganu), D.K.M.B.(Brunei), Knight Commander of St Micheal & St George (K.C.M.G.) (United Kingdom), Grand Cordon Raja Of The Order Of Sikatuna (Philipines), The Great Cross of The Royal Order of Cambodia, The Most Auspicious Order Of The Royal Friendship Of Thailand, Collar of The Supreme Order Of The Chrysanthemum(Japan),Grand Cordon of the Order of Hussein Bin Ali (Jordan),Grand Collar of The Order of the Nile (United Arab Republic), Queen Elizabeth II Coronation Medal.
Tuanku Syed Putra ketika zaman muda baginda.
Tuanku Syed Putra diputerakan dengan nama YM Syed Harun Putra Ibni Syed Hassan Jamalullail pada 25 November 1920 di Bandar Diraja Arau. Baginda merupakan putera sulung kepada YM Tuan Syed Hassan Ibni Almarhum Tuan Syed Mahmud AlHaj Ibni Almarhum Raja Syed Safi Jamalullail. Baginda merupakan cicit kepada Raja Perlis Raja Syed Safi Ibni Almarhum Tuan Syed Alwi Jamalullail yang memerintah Perlis pada tahun 1897 hingga 1904. Bonda baginda pula ialah YM Che Puan Wan Teh Binti Endut. Ayahanda baginda dilantik sebagai Bakal Raja pada tahun 1934. Namun, ayahanda baginda mangkat pada tahun 1935, ketika baginda berusia 15 tahun.
Tuanku Syed Putra mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Arau Perlis dan seterusnya ke Sekolah Inggeris dan Penang Free School, Georgetown, Pulau Pinang pada tahun 1937 hingga 1939. Baginda juga pernah belajar di Hutchings School di India. Baginda mula berkhidmat dengan pentadbiran negeri Perlis pada tahun 1940, ketika berusia 20 tahun. Baginda dihantar bekerja di bahagian Pejabat Tanah dan dilatih sebagai seorang majistret di Mahkamah Kangar. Seterusnya pada tahun 1941, Tuanku Syed Putra ditukarkan ke Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur sebagai Majistret Kelas Kedua. Pada usia yang muda, baginda telah didedahkan selok belok pentadbiran dan menjadi seorang majistret. Baginda telah diberi latihan secukupnya untuk menjadi seorang pemerintah negeri.
Dari kiri : Permaisuri Thailand Permaisuri Sirikit, Tengku Budriah, Tuanku Syed Putra dan Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej.
Pada 30 April 1938, Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Bakal Raja Perlis. Raja Perlis ketika itu adalah ayahanda saudara baginda, Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Namun, Raja Syed Alwi tidak mempunyai seorang anak pun. Lalu, pewaris takhta negeri Perlis terdiri daripada adinda-adinda Raja Syed Alwi. Namun, pada tahun 1938, Tuanku Syed Putra selaku anakanda saudara Raja Syed Alwi dilantik sebagai Bakal Raja dengan undian 3 berbalas 1. Satu yang tidak bersetuju ialah Syed Hamzah Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, Tuanku Syed Putra dilucutkan gelaran sebagai Bakal Raja oleh Jepun dan digantikan oleh ayahanda saudara baginda Syed Hamzah Syed Safi Jamalullail. Tuanku Syed Putra yang ketika itu bertugas di Kuala Lumpur dinasihati oleh Sultan Selangor, Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah untuk kekal di Kuala Lumpur.
Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Tuanku Syed Putra dan keluarga baginda menetap di Klang,Selangor sehingga 15 Mei 1941. Baginda sekeluarga kembali ke Perlis dan tinggal di sebuah pondok berdekatan stesen keretapi Kangar. Baginda menerima elaun $90 sebulan daripada Raja Syed Alwi. Raja Syed Alwi mangkat pada 1 Februari 1943 dan digantikan oleh Raja Syed Hamzah Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail. Mulai dari itu, elaun Tuanku Syed Putra ditarik balik. Pada 29 Mac 1945, Tuanku Syed Putra sekeluarga berangkat ke Kelantan, negeri kelahiran isteri baginda, Tengku Budriah Tengku Ismail. Di sini baginda menjual kuih muih dan pelbagai barangan untuk mendapat sumber rezeki untuk menyara keluarga baginda. Apabila Jepun menyerah kalah dan Pentadbiran Tentera British mengambil alih, Raja Syed Hamzah diturunkan takhta dan digantikan oleh Tuanku Syed Putra pada 4 Disember 1945. Raja Syed Hamzah dibuang negeri ke Thailand dan kemudiannya kembali ke Perlis dan mangkat di Arau pada tahun 1958. Tuanku Syed Putra ditabalkan sebagai Raja Perlis pada 12 Mac 1949 sewaktu berusia 29 tahun.
Ketika istiadat pertabalan baginda sebagai Raja Perlis.
Tuanku Syed Putra mendirikan rumah tangga pada 7 Mac 1941 dengan YM Tengku Budriah Binti Tengku Ismail, seorang kerabat diraja Patani.Ketika itu baginda berusia 21 tahun manakala Tengku Budriah berusia 17 tahun. Tengku Budriah merupakan puteri kepada YAM Tengku Mek Haji Ismail Ibni Almarhum Tengku Besar dan YAM Tengku Besar Zubaidah Binti Almarhum Tengku Abdul Kadir. Bonda Tengku Budriah merupakan cucunda kepada Raja Patani, Sultan Sharif Alauddin Shah. Perkahwinan baginda berdua diadakan di Kampung Telipot, Kota Bharu, Kelantan. Apabila Tuanku Syed Putra menaiki takhta Perlis, Tengku Budriah bergelar Raja Perempuan Perlis dan seterusnya Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail,
D.K.,S.S.P.J.,D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kelantan),S.P.M.K.,A.M.N.,The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),The Great Cross Of Agriculture Merit(Cambodia), First Class Of The Order Of Precious Crown(Japan),Nahdar Star First Class (Pakistan),United Arab Republic Order of Makal Perfection.
Keluarga DiRaja Perlis ketika tahun 1950-an.
Baginda berdua dianugerahkan dengan 5 putera dan 5 puteri. Putera sulung baginda kini bergelar Raja Perlis, KDYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Putera baginda yang lain ialah YAM Tengku Sharif Bendahara Dato' Seri DiRaja Syed Badaruddin, YAM Tengku Sharif Temenggong Dato' Seri DiRaja Syed Amir Zainal Abidin, YAM Tengku Laksamana Dato' Seri DiRaja Syed Razlan, dan YAM Tengku Panglima Dato' Seri DiRaja Tan Sri Syed Zainal Anwar. Manakala puteri-puteri baginda pula ialah YAM Tengku Puteri Utama Dato' Seri DiRaja Sharifah Salwa, YAM Dato' Seri DiRaja Sharifah Jalaina, YAM Tengku Puan Laksamana Kelantan Dato' Seri DiRaja Sharifah Azwan, YAM Dato' Seri Sharifah Junetta dan YAM Dato' Seri Sharifah Endah. Tengku Budriah bergelar Raja Perempuan Besar Perlis bermula tahun 2000 hingga kemangkatan baginda pada 28 November 2008 ketika berusia 84 tahun. Tengku Budriah dimakamkan di Makam DiRaja Arau.
Tuanku Syed Putra berkahwin untuk kali kedua dengan Che Puan Mariam Binti Abdullah pada 18 Julai 1952 di Bangkok, Thailand. Che Puan Mariam atau nama sebenarnya Riam Pessayanavin yang dilahirkan pada 23 April 1924 merupakan wanita Thailand yang berketurunan Melayu. Beliau memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan Tuanku Syed Putra. Che Puan Mariam merupakan Miss Thailand tahun 1940. Perkahwinan baginda kali ini mempunyai 3 putera dan seorang puteri. Putera-putera baginda ialah YAM Dato' Seri Syed Zainal Rashid, YAM Dato' Seri Syed Azni dan YAM Dato' Seri Syed Badlishah.Puteri tunggal baginda bersama Che Puan Mariam ialah YAM Dato' Seri Sharifah Melanie. Che Puan Mariam meninggal dunia pada tahun 1986 ketika berusia 62 tahun.
Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah di atas takhta singgahsana Istana Negara.
Apabila Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman mangkat, Timbalan Yang Di Pertuan Agong Sultan Hisamuddin dilantik menjadi Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1960. Serentak dengan itu, Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertuan Agong pada 14 April 1960. Beberapa bulan selepas itu, Sultan Hisamuddin mangkat. Maka, Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 3 pada 21 September 1960 ketika berusia 40 tahun. Baginda merupakan Yang Di Pertuan Agong termuda dalam sejarah. Baginda ditabalkan secara rasmi pada 4 Januari 1961 di Istana Negara Kuala Lumpur. Di bawah pemerintahan baginda, negara Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Ini menjadikan baginda sebagai Yang Di Pertuan Agong terakhir bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Yang Di Pertuan Agong Pertama bagi Malaysia. Baginda juga merupakan satu-satunya Raja bagi negara Singapura dalam sejarah moden.
Keluarga DiRaja Perlis ketika tahun 1950-an.
Baginda bekerjasama dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dalam memajukan negara. Baginda seringkali mengadakan lawatan ke luar negara untuk belajar selok belok pentadbiran. Antara monumen yang dibina semasa pemerintahan baginda ialah Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, dan Masjid Negara. Namun, satu peristiwa sedih berlaku sebulan sebelum baginda meninggalkan tugas sebagai Yang Di Pertuan Agong. Singapura telah berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tuanku Syed Putra merupakan Raja pertama yang melengkapkan tempoh 5 tahun bertakhta di atas takhta kerajaan persekutuan iaitu pada 20 September 1965. Jawatan Yang Di Pertuan Agong diisi oleh Sultan Terengganu Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.
Ketika menunaikan fardhu Haji di Makkah.
Tuanku Syed Putra kembali memerintah negeri Perlis bermula tahun 1965. Baginda menyambut Jubli Perak pemerintahan sebagai Raja Perlis pada tahun 1970. Pada ketika itu baginda berusia 50 tahun. Ketika itu, baginda merupakan Raja Melayu paling kanan dan paling senior dalam Majlis Raja-Raja Melayu. Baginda memainkan peranan baginda sebagai Raja paling kanan dalam isu krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1983 dan 1993. Kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan membuatkan baginda dihormati ditambah dengan pengalaman luas dalam pentadbiran negeri. Baginda menyambut Jubli Emas Pemerintahan pada 4 Disember 1995 pada usia 75 tahun.
Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (U.S.M.) pada tahun 1972. Baginda menyandang jawatan itu selama 28 tahun sehingga tahun 2000. Baginda banyak dianugerahi darjah kebesaran luar negara antaranya dari negara Brunei, Kemboja, Jepun, Jordan, Pakistan, Filipina, Arab Saudi dan Thailand. Pada tahun 1956, Queen Elizabeth II menganugerahi baginda dengan darjah kebesaran Knight Commander of the Order of St Michael and St George (K.C.M.G.) yang membawa gelaran Sir.
Tuanku Syed Putra bersalaman dengan kanak-kanak selepas selesai menunaikan solat di masjid.
Baginda mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 16 April 2000 setelah 55 tahun memerintah Perlis. Baginda mangkat ketika berusia 80 tahun. Ketika itu, baginda merupakan Raja yang paling lama bertakhta di dunia. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Arau, Perlis penuh adat istiadat diraja. Anakanda lelaki sulung baginda menggantikan baginda sebagai Raja Perlis dengan bergelar DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Sikap sederhana yang ditunjukkan oleh Tuanku Syed Putra harus dicontohi semua pihak. Sebelum bergelar seorang raja, baginda juga pernah merasai kesusahan hidup semasa pendudukan Jepun. Hal Ini menjadikan baginda seorang raja yang memahami rakyatnya. Baginda banyak membawa perubahan kepada negeri Perlis selama 55 tahun menjadi Raja Perlis. Sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap baginda, marilah kita sama-sama sedekahkan AL FATIHAH untuk roh Almarhum. Semoga ALLAH SWT menempatkan roh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama orang-orang yang beriman.
55 Tahun sebagai Raja dan Raja Perempuan Perlis.
Tuanku Syed Putra,Tengku Budriah dan Tunku Abdul Rahman Putra.
Menerima Darjah Kebesaran Persekutuan daripada Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman.
Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Laut DiRaja Malaysia.
Assalamualaikum, mohon benarkan saya jadikan warisanpermaisuri.blogspot sebagai rujukan assignment saya ya. Terima kasih. :)
ReplyDeletesyed alwi merupakan tok saudara tuanku syed putra..nenda tuanku adalah syed mahmud.syed hamzah merupakan adik kepada syed mahmud.bukan ayah saudara..syed alwi tiada waris..syed alwi anak isteri pertama syed saffi..syed mahmud dan syed hamzah anak isteri kedua syed saffi.tolong perbetul balik
ReplyDelete