Anda Pengunjung Ke :

Showing posts with label Tengku Ampuan Pahang. Show all posts
Showing posts with label Tengku Ampuan Pahang. Show all posts

Saturday, 17 August 2019

KDYMM Almarhum Tengku Ampuan Hajah Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad

Almarhum KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajah Afzan Rahimahallah Binti Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad
D.K., D.M.N., S.S.A.P., S.I.M.P., Order of Tudor Vladimirescu 1st Class (Romania).

Melihatkan wajah di atas ini pasti rakyat negeri Pahang mengetahui siapakah gerangan tuan empunya badan. Almarhum merupakan isteri kesayangan kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah,baginda juga disayangi oleh seluruh rakyat negeri bertuah ini. Merupakan bonda kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan merupakan seorang yang berbudi tinggi dan lemah lembut. Baginda yang dimaksudkan ialah Almarhum KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Ampuan Hajah Afzan Rahimahallah Binti Amarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, D.K.,D.M.N.,S.S.A.P.,S.I.M.P.,Order Tudor Vladimirescu 1st Class(Romania).


Diputerikan pada 4 Disember 1932 di Kuala Terengganu. Baginda mempunyai darah diraja Pahang dan Terengganu. Ayahanda baginda ialah Almarhum YAM Tengku Panglima Perang Pahang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ahmad Al Muazzam Shah dan bonda baginda ialah Almarhum YAM Tengku Sri Kemala Tengku Hajah Mandak Aishah Binti Almarhum Tengku Mustapha. Tengku Ampuan Afzan merupakan cucunda kepada Almarhum KDYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah Ibni Almarhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali yang merupakan Sultan Pahang Moden yang pertama. Manakala bonda baginda pula merupakan kerabat diraja Terengganu. Ayahanda baginda merupakan seorang putera Sultan yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Tengku Muhammad memegang pelbagai jawatan antaranya sebagai Ketua Polis Seremban, Penolong Penguasa Polis Terengganu, Setiausaha Sultan Terengganu, seterusnya menjadi Menteri Besar Terengganu bermula tahun 1948 hingga 1950 dan kemudiannya menjadi Menteri Besar Pahang dari tahun 1951 hingga 1957.

Keayuan seorang Permaisuri.

Baginda dididik dengan penuh sempurna oleh ayahanda dan bonda baginda. Baginda diberikan didikan Melayu,Inggeris dan juga didikan agama. Baginda juga diajar adat resam turun temurun puteri diraja Melayu. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Perempuan Melayu di Pekan disamping menerima kelas peribadi dalam matapelajaran Bahasa Inggeris. Baginda dipersiapkan dengan segala kelengkapan untuk menjadi seorang puteri raja yang sempurna.

Ketika istiadat persandingan.

Tarikh 22 April 1954 menyaksikan perkahwinan diraja antara baginda dan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Bilah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muazzam Shah yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Pahang. Baginda ketika itu berusia 22 tahun. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Hinggap Kuala Lipis Pahang. Ketika itu ayahanda baginda merupakan Menteri Besar Pahang dan ayahanda mertua baginda merupakan Sultan Pahang. Pasangan diraja ini dikurniakan 2 putera dan 5 puteri. Putera-putera baginda ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman. Manakala puteri-puteri baginda terdiri daripada YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Meriam, YAM Tengku Puteri Seri Teja Tengku Dato’ Muhaini, YAM Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Aishah, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Dato’ Nong Fatimah dan YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Dato’ Shahariah.


Sebagai isteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Ampuan Afzan diberikan gelaran Tengku Puan Pahang sejurus sehaja selepas berkahwin. Tengku Ampuan Afzan telah ditabalkan sebagai KDYMM Tengku Ampuan Pahang pada 7 Mei 1974 berikutan pertabalan KDYMM Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang menggantikan Almarhum Sultan Abu Bakar yang telah mangkat. Baginda menjadi Tengku Ampuan selama 14 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1988. Baginda menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 7 pada 10 Julai 1980  setelah Sultan Ahmad Shah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-7. Baginda menghabiskan penggal selama 5 tahun di atas takhta Persekutuan sehingga tahun 1984.

 

Tengku Ampuan Afzan merupakan seorang permaisuri yang sangat ambi berat soal kebajikan, kemasyarakatan dan juga soal sukan. Baginda merupakan penaung dan juga Presiden bagi pelbagai persatuan dan pertubuhan. Antaranya ialah Penaung Persatuan Bola Jaring Malaysia, Yang Dipertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Tanah Melayu, Presiden Persatuan Badminton Tengku Ampuan Pahang, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Pahang, Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Wanita Pahang, Penaung Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia dan Presiden Kelab Golf Makmur Diraja Pekan.

Permaisuri yang suka memasak.

Tengku Ampuan Afzan sangat berminat dengan kebajikan wanita di Malaysia. Baginda sering mengadakan pertemuan dengan ketua pertubuhan kebajikan,badan-badan sukan dan juga pertubuhan amal untuk mendengar masalah meraka dan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah itu. Selain itu baginda juga merupakan ahli sukan yang hebat. Baginda sangat meminati sukan badminton dan bola jaring. Baginda sering menadakan perlawanan badminton di Kuala Lumpur,Pulau Pinang dan Terengganu. Baginda mempunyai dewan badminton sendiri di Jalan Teluk Cempedak Kuantan. Baginda juga gemar memasak, menjahit, membaca majalah dan menanam pokok bunga. Selain itu baginda juga suka berkelah.

Ketika dipakaikan mahkota semasa Istiadat Pertabalan.

Tengku Ampuan Afzan merupakan seorang yang sangat mementingkan ajaran agama.Baginda telah berangkat menunaikan fardu haji di Mekah sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1971 dan 1975. Sepanjang menjadi Tengku Ampuan dan Raja Permaisuri Agong, baginda telah dikurniakan beberapa darjah kebesaran. Kali pertama baginda dianugerahkan dengan darjah kebesaran adalah pada tahun 1972 apabila ayahanda mertua baginda, Sultan Abu Bakar menganugerahkan Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.). Seterusnya setelah bergelar Tengku Ampuan, baginda menerima Darjah Kerabat Pahang (D.K.) pada tahun 1975 dan juga Darjah Sri Sultan Haji Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.). Sebagai Raja Permaisuri Agong pula, baginda menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 1979. Sebagai Raja Permaisuri Agong, baginda banyak mengiringi suami baginda membuat lawatan rasmi ke luar negara. Disebabkan itu, baginda juga dianugerahkan dengan darjah kebesaran luar negara. Baginda telah menerima Darjah Kebesaran The Order of Tudor Vladimirescu daripada negara Romania pada 25 November 1982.

Potret sebagai KDYMM Tengku Ampuan Pahang.

Tengku Ampuan Afzan telah mangkat pada 29 Jun 1988 di usia 55 tahun akibat kanser. Baginda mangkat di Istana Pahang Kuala Lumpur pada hari Rabu pukul 8.42 pagi. Baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Pekan yang terletak di Masjid Diraja Abu Bakar. Baginda mangkat seminggu selepas kemangkatan bonda mertua baginda iaitu Almarhum Tengku Ampuan Besar Fatimah. Seminggu selepas kemangkatan baginda,bonda kandung baginda pula mangkat. Al-Fatihah buat roh Almarhum dan semoga Almarhum ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Keluarga diraja Pahang.

Diatas singgahsana Persekutuan.



Sunday, 20 January 2019

YMM Almarhum Tengku Ampuan Besar Raja Fatimah Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah.



Pasti ramai yang tidak mengenali wajah di atas ini. Baginda merupakan suri kepada Sultan Pahang Ke-4, bonda kepada Sultan Pahang Ke-5 dan nenda kepada Sultan Pahang Ke-6 yang baru dimasyhurkan. Merupakan puteri kepada Sultan Perak yang akhirnya berkahwin dengan Sultan Pahang dan menjadi KDYMM Tengku Ampuan Pahang. Baginda ialah Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah,D.K.(Pahang).


Baginda diputerikan pada tahun 1910 di negeri Perak. Baginda merupakan puteri diraja Perak. Baginda merupakan Puteri sulung kepada DYMM Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah Ibni Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah dan YAM Almarhum Tengku Nong Fatima Binti Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah. Ayahanda baginda merupakan Sultan Perak yang memerintah bermula tahun 1918 hingga 1938. Bonda baginda merupakan puteri kepada Sultan Pahang iaitu DYMM Sultan Sir Ahmad Al-Muazzam Shah Ibni Almarhum Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Ali. Tengku Ampuan Fatimah berdarah diraja Perak sebelah ayahanda baginda dan berdarah diraja Pahang sebelah bondanya. Baginda juga merupakan kekanda kepada DYMM Sultan Perak Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah. 


Pada 23 Mei 1926, baginda telah mendirikan rumah tangga dengan DYMM Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdullah. Istiadat perkahwinan mereka berdua berlangsung di Istana Merchu Kuala Kangsar. Ketika itu baginda berusia 16 tahun. Baginda dikurniakan 2 orang putera dan 3 orang puteri.Salah seorang daripada anakanda baginda adalah KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muazzam Shah yang merupakan Sultan Pahang Ke-5 .Puteri sulung baginda,YAM Tengku Ainon Jamil pula pernah menjadi Tengku Ampuan Terengganu pada zaman pendudukan Jepun. 




Tengku Ampuan Fatimah dilantik sebagai Tengku Puan Pahang pada 4 Jun 1930 ketia baginda berusia 20 tahun. Pada 28 Mei 1933 baginda telah ditabalkan sebagai DYMM Tengku Ampuan Pahang disamping suami baginda yang ditabalkan sebagai Sultan Pahang. Istiadat Pertabalan diadakan di Istana Sri Terentang Pekan Pahang. Baginda menjadi Tengku Ampuan dalam usia cukup muda iaitu 23 tahun.Menjadi Tengku Ampuan selama 31 tahun sehingga tahun 1974 setelah mangkatnya Almarhum suami baginda. Setelah kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar,Tengku Ampuan Fatimah menggunakan gelaran YMM Tengku Ampuan Besar Pahang. Baginda mangkat pada 23 Jun 1988 ketika usia 78 tahun.Baginda mangkat di Istana Indera Puri. Jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja Pekan Pahang.



Bersama putera sulung baginda, Sultan Ahmad Shah.

\
Ketika bersemayam sebagai Tengku Ampuan Pahang.

Baginda ketika muda.

Thursday, 12 June 2014

Grace Kelly Malaysia: YH Dato' Sri Maria Menado.

Yang Hormat Dato' Sri Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado,
S.S.A.P., S.I.M.P.

Grace Kelly Malaysia... Itulah gelaran yang sesuai diberikan kepada Primadona Filem Melayu, Yang Hormat Dato' Sri Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado. Dilahirkan sebagai Liesbeth Dotulong pada 2 Februari 1932 di Tunsia, Mabnahasadari, Menado, Sulawesi Utara. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau tinggal di Makasar bersama ibu dan bapa saudaranya disebabkan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Beliau berhijrah ke Singapura sewaktu berusia 19 tahun iaitu pada tahun 1951. Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan A Razak Sheikh Ahmad seorang promoter tinju dan penulis skrip. Mula menyertai bidang seni pada tahun 1951 apabila diberikan watak utama dalam filem "Penghidupan" di samping Seniman Agung Tan Sri Dr P Ramlee. 


Beliau aktif sebagai pelakon bermula tahun 1951 hingga 1963. Namun, watak pontianak dalam filem "Pontianak" pada tahun 1957 melonjakkan lagi nama Maria Menado. Filem ini merupakan filem seram pertama dalam sejarah Filem Melayu. Filem Pontianak ini disusuli dengan Dendam Pontianak pada tahun 1957 dan Sumpah Pontianak(1958). Maria Menado merupakan pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem Hindi apabila berlakon di samping Shammi Kapoor dalam filem bertajuk " Singapore". Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia seni, beliau telah berlakon lebih 20 filem. Beliau juga merupakan penerbit filem wanita Melayu pertama apabila menubuhkan Maria Menado Production.

Kejelitaan beliau yang berwajah Pan Asian itu bertambah mashyur apabila diberi gelaran "Wanita Terjelita Malaya" oleh Times Magazine serta "Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara" oleh United Press International . Nama Maria diambil dari peristiwa Natrah yang berlaku di Singapura sewaktu tahun 1950an. Maria Menado mengambil nama sebenar Natrah iaitu Maria Hertogh dan Menado pula nama tempat beliau dilahirkan. 


Sudah ditakdirkan jodoh beliau bersama seorang Raja setelah bercarai dengan suami pertamanya pada tahun 1961. Pada tahun 1963, beliau dilamar oleh Sultan Pahang, KDYMM Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin untuk dijadikan isteri. Maria Menado berkahwin pada usia 31 tahun bersama Almarhum Sultan Abu Bakar. Selepas berkahwin, beliau menginap di Istana Seri Melati di Pekan Pahang. Selepas bergelar Permaisuri kepada Sultan Pahang, beliau bersara dari dunia seni yang diceburinya selama 12 tahun. Di atas titah Sultan Pahang juga, filem-filem lakonan Maria Menado tidak dibenarkan untuk ditayangkan di negeri Pahang.


Perkahwinan beliau bersama Almarhum Sultan dikurniakan dua orang putera dan seorang puteri iaitu YAM Tengku Idris Sultan Abu Bakar, YAM Tengku Baharuddin Sultan Abu Bakar dan YAM Tengku Norashikin Sultan Abu Bakar. Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar pada tahun 1974, Maria Menado berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika itu, beliau memohon perkenan Sultan Pahang yang baru, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah untuk menayangkan kembali filem-filem lakonan beliau dan baginda memberi perkenan. Namun amat malang apabila mengetahui pemilik Cathay Keris telah membuang kesemua filem-filemnya ke dalam sebuah lombong. 

Maria Menado bertemu jodoh buat kali ketiga dengan seorang ahli perniagaan bernama Datuk Dr Hussain Yusuf pada tahun 1978 pada tahun 46 tahun. Sehingga kini, nama Maria Menado masih dianggap sebagai Primadona Filem Melayu dan merupakan nama besar dalam industri seni negara. Dari seorang pelakon terkenal kepada seorang permaisuri, itulah takdir Dato' Maria Menado, tak ubah seperti Grace Kelly yang dilamar His Serene Highness Prince of Monaco suatu masa dulu. Kini, di usia 82 tahun, Maria Menado menjalani kehidupannya dengan penuh ketenangan bersama kenangan beliau dengan Almarhum Sultan. Semoga Primadona Dato' Maria Menado senantiasa dirahmati Allah selalu.



Thursday, 23 January 2014

WAJAH-WAJAH : Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Afzan.

Segmen WAJAH-WAJAH kali ini menampilkan pasangan DiRaja daripada negeri Pahang Darul Makmur. Pasangan ini menaiki takhta persekutuan sebagai Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke 7. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Almustain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Afzan Binti Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad menaiki takhta persekutuan bermula 29 Mac 1979 hingga 25 April 1984. Baginda berdua bertemu jodoh pada 22 April 1944. Pasangan ini dikurniakan 2 putera dan 5 puteri. Menaiki takhta negeri Pahang Darul Makmur setelah kemangkatan Sultan Abu Bakar pada 7 Mei 1974. Tengku Ampuan Afzan mangkat pada 29 Jun 1988 pada usia 55 tahun akibat kanser.  Sultan Ahmad Shah telah berkahwin sekali lagi dan isteri kedua baginda itu dikurniakan gelaran DYMM Sultanah Hajah Kalsom. 


Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 7.

Baginda berdua menghadiri Majlis Angkatan Tentera. Turut kelihatan Tun Musa Hitam yang ketika itu Menteri Kabinet.


Baginda berdua bergambar di Istana Negara.

Baginda berdua bergambar di hadapan Singgahsana Istana Abu Bakar Pekan Pahang.

Baginda berdua rajin mencemar duli melawat rakyat di seluruh ceruk rantau negeri Pahang.

Baginda berdua sewaktu zaman muda menghadiri suatu majlis.

Baginda berdua bersama DYTM Tuanku Syed Sirajuddin(Raja Muda Perlis ketika itu) semasa membuat lawatan rasmi ke negeri Perlis. 

Potret baginda berdua sebagai KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM Tengku Ampuan Pahang Darul Makmur.

Tuanku berdua di atas Singgahsana Istana Negara sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 7.

Baginda berdua bersama Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Hajah Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Alang Iskandar Shah yang merupakan Paduka Bonda kepada Sultan Ahmad Shah. Tengku Ampuan Fatimah juga merupakan kekanda kepada Sultan Perak DYMM Sultan Idris Shah II.

Saturday, 9 February 2013

YAM Cik Puan Besar Pahang Cik Puan Besar Hajah Kalsom.


Kali ini WARISAN PERMAISURI akan menyambung dengan kisah permaisuri negara kita. Personaliti kali ini ialah Mantan Sultanah Pahang Darul Makmur iaitu Yang Amat Mulia Cik Puan Besar Pahang Darul Makmur Cik Puan Besar Hajah Kalsom Binti Abdullah, D.KBaginda merupakan salah seorang permaisuri yang bukan dari keturunan Melayu dan berasal dari keluarga kebanyakan.


Baginda cukup bertuah apabila disunting oleh seorang Sultan untuk menjadi permaisuri hidupnya. Baginda dilahirkan pada tanggal 12 September 1951 di Pakistan. Nama asal baginda ialah Anita. Baginda berketurunan Persia dan Pakistan. Sebelum berkahwin dengan Sultan Ahmad Shah,Sultanah Kalsom merupakan seorang pramugari. Baginda pernah berkahwin dengan Sahibzada Akbar Liaquat Ali Khan yang merupakan anak kepada Nawabzada Liaquat Ali Khan,Perdana Menteri Pakistan ketika itu. 


Bertemu jodoh dengan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 14 Mac 1991. Ketika itu baginda berusia 40 tahun.Baginda menukar nama kepada Kalsom Binti Abdullah dan diberikan gelaran Cik Puan Kalsom. Baginda merupakan isteri kedua Sultan Ahmad Shah selepas Almarhum Tengku Ampuan Afzan yang mangkat akibat kanser pada tahun 1988. 


Pada 30 September 1992,baginda telah diberikan gelaran Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom dengan panggilan hormat DULI YANG MAHA MULIA. Baginda tidak menggunakan gelaran Tengku Ampuan kerana gelaran Tengku Ampuan dikhaskan kepada permaisuri yang berdarah raja sahaja.Manakala permaisuri dari golongan kebanyakan diberi gelaran Sultanah. Baginda telah dianugerahkan Darjah Kerabat Pahang Kelas Pertama (D.K.).


Pasangan ini dikurniakan seorang putera iaitu Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fahd  Al Muazzam Shah yang dilahirkan pada 10 Februari 1994. Tengku Fahd mendapat pendidikan di Garden International School di Bukit Kiara dan seterusnya menyambung pelajaran ke United Kingdom. Sebagai seorang permaisuri,baginda banyak membuat kerja-kerja amal.Baginda merupakan penaung bagi Yayasan Sri Kencana Kalsom,OrphanCare,Kelab Kiwanis Pahang dan juga Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Pahang.Baginda turut mengepalai badan-badan seperti PERKIM,Soroptimist International Club of Kuantan,dan Cancerlink Society of Malaysia.



Yayasan Sri Kencana Kalsom yang diambil sempena nama baginda menyediakan perlindungan kepada wanita mangsa penderaan.Yayasan ini membantu mereka membina semula kehidupan dan membantu mereka mancari pekerjaan untuk memulakan hidup baru.Baginda juga menaungi OrphanCARE,sebuah NGO yang menyediakan 'baby hatch' untuk ibu bapa yang ingin meninggalkan bayi mereka.Bayi-bayi ini akan dijadikan anak angkat.Baginda memberi sokongan penuh kepada usaha ini yang merupakan usahasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat.



Baginda banyak membantu memperkasakan wanita di negeri Pahang.Beliau meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Almarhum Tengku Ampuan Afzan.Sultanah Kalsom telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Pembangunan Sosial dari Universiti LimKokWing.Baginda juga dilantik sebagai Canselor bagi universiti itu. Sepanjang 27 tahun baginda bergelar Sultanah Pahang,banyak kerja kebajikan yang dilakukan baginda.


Kini baginda telah berusia 68 tahun. Suami baginda Sultan Haji Ahmad Shah telah turun takhta bagi memberi laluan kepada putera sulung baginda untuk menaiki takta pada 11 Januari 2019. Bermula 15 Januari 2019, Cik Puan Besar Kalsom diberikan gelaran Duli Yang Amat Mulia Sultanah Hajah Kalsom. Sultan Haji Ahmad Shah telah mangkat pada 22 Mei 2019. Pada 15 Ogos 2019, KDYMM Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah yang merupakan anakanda tiri Cik Puan Besar Kalsom berkenan untuk memberikan gelaran Yang Amat Mulia Cik Puan Besar Pahang kepada baginda. Baginda kini masih menetap di negeri Pahang disamping putera tunggal baginda serta kerabat diraja Pahang yang lain.

Berikut merupakan gambar kenangan Sultanah Hajah Kalsom :








Selaku Pengerusi LKPIM Pahang.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...