Anda Pengunjung Ke :

Sunday 3 February 2019

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.


Warisan Raja & Permaisuri Melayu akan menulis tentang kisah hidup seorang putera raja yang kini bergelar Pemangku Raja bagi negeri Pahang Darul Makmur. Baginda merupakan waris ganti kepada Sultan Pahang Darul Makmur. Baginda yang dimaksudkan ialah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al-Mustafa Billah Shah, D.K., S.S.A.P.

Ketika pemashyuran KDYMM Pemangku Raja Pahang.

Baginda diputerakan sebagai Yang Amat Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Abdullah pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Baginda merupakan putera kedua kepada pasangan diraja KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. Tengku Hassanal merupakan cucunda kepada dua orang Yang Di-Pertuan Agong iaitu Yang Di-Pertuan Agong Ke-7 KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah dan Yang Di-Pertuan Agong Ke-8 Sultan Iskandar Al-Haj. Ini menjadikan baginda seorang putera berdarah raja sepenuhnya. Baginda mewarisi ketokohan Almarhum nenda baginda Sultan Iskandar, Nenda baginda DYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah serta ayahanda baginda. 


Tengku Hassanal mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuantan bermula tahun 2002 hingga tahun 2005. Kemudiannya baginda melanjutkan pelajaran di Caldiccott Preparatory School, London bermula tahun 2006 hingga 2009. Pada tahun 2009, ketika berusia 14 tahun, baginda memasuki Sherbone School, London. Pada tahun 2015, pada usia 20 tahun, baginda melanjutkan pelajaran pada peringkat lebih tinggi di University Institute -The Geneva School of Diplomacy and International Relations, Switzerland. Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Dalam Bidang Hubungan Antarabangsa pada tahun 2018. Tengku Hassanal juga mempunyai minat dalam bidang ketenteraan seperti ayahanda baginda. Pada 27 September 2018, baginda mengikuti Initial Cadet Familiarisation Training Programme, di Kem Batu 10, Pekan, Pahang. Baginda kini sedang mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja, Sandhurst, United Kingdom sehingga hujung tahun 2019. Akademi Tentera Diraja Sandhurst ini juga merupakan Alma Matter ayahanda baginda, Sultan Abdullah yang telah dianugerahkan pangkat Leftenan Muda oleh Yang Maha Mulia Ratu England pada tahun 1980.


Pada 18 Jun 2018, Tengku Hassanal diperkenan oleh paduka nenda baginda untuk dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang. Pengurniaan gelaran tersebut berikutan kemangkatan YAM Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Ibrahim Tengku Sulaiman yang mangkat pada 28 November 2017. Pada 24 Oktober 2016, sempena Hari Keputeraan paduka nenda baginda Sultan Haji Ahmad Shah ke-86, Tengku Hassanal dikurniakan dengan Darjah Sri Setia Sultan Haji Ahmad Shah (S.S.A.P.) yang membawa gelaran "Dato' Sri". Istiadat tersebut disempurnakan oleh ayahanda baginda Tengku Mahkota Abdullah.


Disebabkan keuzuran paduka nenda baginda, Sultan Haji Ahmad Shah, maka Jumaah Pangku DiRaja Negeri sebulat suara mengisytiharkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang Ke-6 dan dimasyhurkan pada 15 Januari 2019. Maka, jawatan Tengku Mahkota Pahang telah kosong berikutan pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang. Maka, negeri Pahang memerlukan seorang Waris Ganti yang bergelar KeBawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang mengikut Bab III Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang. Maka, sebagai putera sulung kepada Sultan Abdullah, Tengku Hassanal dinamakan sebagai Tengku Mahkota Pahang yang baru, menggantikan ayahanda baginda. Baginda telah dimasyhurkan sebagai KeBawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang pada 29 Januari 2019. Baginda dimashyurkan bersama bonda baginda yang bergelar KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang.


Disebebkan ayahanda baginda dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, maka Tengku Hassanal selaku Tengku Mahkota telah dimashyurkan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang. Baginda juga telah dikurniakan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang (D.K.) oleh ayahanda baginda. Pemerintahan negeri Pahang terletak dibawah naungan baginda selama 5 tahun bermula 31 Januari 2019. Pada usia 25 tahun, baginda diberikan satu tanggungjawab yang besar. Tugas rasmi pertama baginda selaku Pemangku Raja Pahang adalah berangkat menghadiri Istiadat Melafaz Dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh ayahanda baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16. 


Baginda diasuh dan dididik dengan sempurna oleh kedua ayahanda dan bonda baginda. Semenjak kecil, baginda telah didedahkan dengan kerja yang melibatkan kemasyarakatan. Baginda sering kali mengiringi kedua ayahanda dan bonda baginda melawat rakyat negeri Pahang. Terutama apabila banjir melanda negeri Pahang, baginda akan bersama ayahanda dan bonda melawat mangsa-mangsa banjir untuk memberikan bantuan. Baginda bertuah kerana mempunyai nenda dan juga ayahanda yang berjiwa rakyat, seringkali mencemar duli bersama rakyat jelata. 

Ketika majlis graduasi baginda.

Tengku Hassanal juga merupakan seorang putera yang meminati bidang sukan. Sukan polo amat sinonim dengan kerabat diraja Pahang. Tengku Hassanal merupakan seorang pemain polo yang handal. Pada 25 Jun 2016, baginda telah mengikuti acara perlawanan amal yang dinamakan The Jerudong Park Polo Trophy bersama HRH Prince William dan HRH Prince Harry di Cirencester Park Polo, England. Ayahanda baginda turut mencemar duli menyaksikan perlawanan itu. Selain polo, baginda juga meminati sukan ragbi, bola sepak, golf, menembak dan sukan rakyat. 

Selaku KDYMM Pemangku Raja Pahang.

Warisan Raja & Permaisuri Melayu merafak sembah tahniah kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diatas pemashyuran sebagai Tengku Mahkota Pahang dan Pemangku Raja Pahang. Semoga KDYMM Tengku diberikan kesihatan yang baik dan menaungi negeri Pahang dengan jayanya. 







Istiadat Melafaz & Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 & Timbalan Yang Di-Pertuan Agong


KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Balairong Seri, Istana Negara, Jalan Duta sekali lagi menjadi saksi satu Istiadat penting dalam Institusi Raja Berpelembagaan Malaysia. Istiadat Melafaz Dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Duli Yang Maha Mulia Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Paduka Seri Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah telah selamat berlangsung pada 31 Januari 2019. Istiadat ini diadakan berikutan perletakan jawatan oleh KDYMM Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 berkuatkuasa 6 Januari 2019. Istiadat ini merupakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. 

Bilik Seri Maharaja

Keberangkatan tiba ke Balairong Seri




Dari kiri: TYT Tun Taib Mahmud, TYT Tun Khalil Yaakob, KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, DYMM Sultan Nazrin Shah dan DYMM Tuanku Muhriz.

Istiadat bermula dengan keberangkatan tiba Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Pemangku Raja, Tengku Mahkota serta Yang Di-Pertua Negeri. Selain Sultan Abdullah, Sultan Nazrin dan Sultan Sharafuddin, Raja-Raja Melayu yang berangkat ialah KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, dan KDYMM Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Negeri Kelantan diwakili oleh YTM Tengku Mahkota Tengku Dr Fa-iz Petra Ibni Tuanku Ismail Petra manakala negeri Pahang diwakili oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Taib Mahmud.

DYMM Sultan Sharafuddin, KDYMM Sultan Mizan, DYMM Tuanku Muhriz dan DYMM Sultan Nazrin.

Tan Sri Syed Danial.

DYMM Sultan Sharafuddin, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin.

TYT Tun Juhar Mahiruddin dan YTM Tengku Dr Fa-iz Petra.


Setelah kesemua Raja-Raja Melayu, Tengku Mahkota Kelantan, Pemangku Raja Pahang serta Yang Di-Pertua- Yang Di-Pertua Negeri mengambil tempat masing-masing di hadapan singgahsaha, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja YBhg Tan Sri Dato' Seri Syed Danial Syed Ahmad memohon perkenan Raja yang mempengerusikan mesyuarat, DYMM Sultan Sharafuddin untuk memulakan istiadat. Tan Sri Syed Danial juga menyembah maklum bahawa Majlis Raja-Raja telah memilih 2 orang Raja untuk menjadi saksi bagi istiadat ini. Baginda berdua ialah KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah jawatan


Tandatangani surat sumpah jawatan Agong Ke-16

Sultan Mizan menurunkan tandatangan sebagai saksi



Tuanku Syed Sirajuddin menurunkan tandatangan sebagai saksi kedua.

Tan Sri Syed Danial kemudiannya menyembahkan surat sumpah jawatan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16. Sultan Abdullah kemudiannya melafazkan sumpah jawatan tersebut di hadapan kesemua tetamu yang hadir di Balairong Seri Istana Negara. Baginda kemudiannya menandatangani surat sumpah jawatan tersebut lalu menyerahkan kembali kepada Tan Sri Syed Danial. Kemudian, Tan Sri Syed Danial menyembahkan surat tersebut kepada dua orang Raja yang menjadi saksi iaitu Sultan Terengganu dan Raja Perlis untuk menurunkan tandatangan baginda berdua. 

Sultan Nazrin melafaz sumpah jawatan.

Menandatangani surat sumpah jawatan.


Tandatangan Sultan Mizan

Tandatangan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

Istiadat diteruskan dengan lafaz sumpah oleh Timbalan Yang Di-Pertuan Agong pula. Tan Sri Syed Danial menyembahkan surat sumpah jawatan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Shah lalu baginda melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Selesai lafaz sumpah, baginda menandatangani surat sumpah tersebut lalu menyerahkan kembali kepada Tan Sri Syed Danial. Tan Sri Syed Danial kemudiannya menyembahkan surat sumpah tersebut kepada Sultan Terengganu dan Raja Perlis untuk menurunkan tandatangan selaku saksi-saksi.

KDYMM Sultan Kedah Sultan Sallehuddin, TYT Tun Abdul Rahman Abbas dan TYT Tun Juhar Mahiruddin.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin, DYMM Sultan Ibrahim dan KDYMM Sultan Sallehuddin

Tan Sri Syed Danial kemudiannya menyembah maklum bahawa bacaan doa akan diketuai oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu@ Aziz Jaafar. Selesai bacaan doa, Tan Sri Syed Danial menyembahkan kepada semua Raja-Raja bahawa Istiadat Melafaz Dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong telah selamat disempurnakan. 



Dato' Paduka Maharaja Lela Mej Jen (B) Dato' Seri Mamat Ariffin Abdullah kemudiannya mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk memulakan Istiadat Menandatangani Surat-Surat Pengisytiharan Memegang Jawatan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya menyembahkan Surat-Surat Pengisytiharan Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong kepada Sultan Abdullah untuk ditandatangani. Baginda menurunkan tandatangan keatas surat tersebut lalu menyerahkan kembali kepada Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir kemudiannya membacakan isi surat pengisytihatan tersebut. Kemudian, Tun Dr Mahathir menyembahkan Surat Pengisytiharan Memegang Jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong kepada Sultan Abdullah untuk ditandatangani. Baginda menandatanganinya lalu menyerahkan kembali kepada Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir kemudiannya membacakan isi surat tersebut. 

Menandatangani surat perisytiharan memegang jawatan.



Dato Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyembah maklum bahawa Istiadat Menandatangani Surat-Surat Pengisytiharan Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong telah selamat disempurnakan. Juruacara kemudiannya mengumunkan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 bersama Raja-Raja Melayu, serta Yang Di-Pertua Negeri meninggalkan Balairong Seri sambil diiringi oleh YAB Perdana Menteri serta YAB Timbalan Perdana Menteri. 




YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd, YAM Tengku Indera Setia Selangor Tengku Abdul Samad, YTM Raja Kechil Sulong Perak Raja Ahmad Nazim dan YTM Raja Kechil Besar Perak Raja Azlan Muzaffar Shah.

YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri.


Suasana Balairong Seri.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...