Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 23 September 2018

Istiadat Pertabalan KDYMM Sultan Kedah Ke-29 Bermula.

ISTIADAT LETAK KERJA SEMPENA PERTABALAN KDYMM SULTAN KEDAH KE-29.


Istiadat Pertabalan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Ke-29 bermula dengan Istiadat Letak Kerja Sempena Pertabalan KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Ke-29 yang diadakan pada 20 September 2018. Istiadat Letak Kerja ini disempurnakan oleh KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff.


Istiadat Letak Kerja ini diadakan di Balai Besar, Alor Star sebagai tanda penzahiran perkenan KDYMM Sultan Kedah untuk memulakan Istiadat Pertabalan Baginda. Istiadat bermula dengan keerangkatan tiba KDYMM Sultan Sallehuddin dan KDYMM Sultanah Maliha yang disambut oleh YAB Menteri Besar Kedah Dato' Seri Mukhriz Bin Tun Dr Mahathir dan isteri YABhg To' Puan Norzieta Zakaria. Keberangkatan baginda berdua masuk ke Balai Besar diiringi oleh lagu "Allah Selamat Sultan". 


Istiadat yang bermula kira-kira pukul 10.00 pagi itu menyaksikan YBhg Dato' Paduka Pengelola Bijaya Diraja Ketua Istiadat Dato' Paduka Syed Unan Mashri memohon perkenan KDYMM Sultan Kedah untuk memulakan istiadat. Istiadat dimulakan dengan perarakan masuk Mata Air dari 12 daerah dan air zam zam. Mata Air ini diisi dalam batil perak dan dibawa oleh pegawai 12 daerah berkenaan dengan diketuai oleh seorang Dato' bergelar. Air Mata Air ini akan digunakan semasa Istiadat Siram Tabal nanti. Selepas itu air zam zam dibawa masuk oleh Dato Bandar Majlis Bandaraya Alor Star. 


Istiadat diteruskan dengan perarakan masuk 9 jenis bunga-bungaan oleh Pawai-Pawai Wanita yang terdiri daripada kerabat diraja Kedah. Bunga-bungaan yang dibawa masuk adalah Bunga Cempaka Kuning, Bunga Melur, Bunga Kesidang, Bunga Melati, Bunga Kenanga, Bunga Lili, Bunga Mawar Kuning, Bunga Kekwa dan Bunga Harum Malam. Kesemua bunga ini juga akan digunakan semasa Istiadat Siram Tabal.


Pearakan masuk yang terakhir adalah perarakan masuk dulang yang mengandungi Sintok, Limau dan Kemenyan yang dibawa oleh 3 orang Penghulu dengan diketuai oleh seorang Dato Bergelar. Selesai perarakan terakhir ini, KDYMM Sultan Kedah memberi titah ucapan baginda sempena memulakan istiadat pertabalan baginda ini. Selesai menyampaikan titah, KDYMM Sultan Kedah memberikan skrol kepada YAB Menteri Besar sebagai tanda mula kerja. Sesudah itu, tembakan meriam sebanyak 9 das kedengaran dan nobat dimainkan. Doa selamat dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Kedah sebelum Dato' Paduka Bijaya Diraja Ketua Istiadat menamatkan Istiadat. 


Berangkat sama DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, DYTM Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Dato' Seri Zaheeda Binti Mohd Ariff, YTM Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani, YABhg Toh Puan Bendahara Kedah Puan Sri Dato' Nora Binti Abdullah, YTM Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, YTM Tunku Laksamana Kedah Tunku Dato' Shazuddin Arif Ibni Sultan Sallehuddin, serta kerabat diraja Kedah. Turut hadir ahli-ahli pentadbiran negeri Kedah serta tetamu kehormat. 




No comments:

Post a comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...