Kali ini Warisan Permaisuri akan bercerita tentang Mantan Sultanah Johor pula. Baginda merupakan salah seorang bekas Sultanah yang masih hidup dan kini masih bersemayam di Johor. Baginda merupakan puteri kelahiran negeri Kelantan Darul Naim. Baginda yang dimaksudkan ialah Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora Binti Almarhum Tengku Panglima Raja Tengku Ahmad, D.K., S.P.M.J., S.S.I.J., S.P.M.K.(Kelantan).
Tunku Puan Nora diputerikan pada tahun 10 Oktober 1937 di Istana Dusun Green Pasir Mas, Kelantan. Baginda merupakan puteri Ke-6 kepada YAM Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad Almarhum Tengku Long Abdul Jaafar manakala bonda baginda adalah YABhg Che Puan Hajah Fatimah Binti Datuk Abdul Hamid. Ayahanda baginda adalah individu yang memahkotakan 2 orang Sultan Kelantan iaitu DYMM Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan DYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra. Tengku Ahmad juga aktif dan memegang banyak jawatan penting dalam pentadbiran negeri Kelantan. Baginda juga merupakan kekanda kepada YAM Tunku Puan Zanariah yang juga merupakan Mantan Sultanah Johor dan adinda kepada YBM Tengku Dato' Noor Asiah yang merupakan bekas Ahli Parlimen Tumpat.
Tunku Puan Nora bersekolah di Sultanah Zainab School, Kota Bharu. Bagibda bertemu jodoh dengan DYMM Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 13 November 1977 sebagai isteri kedua setelah kemangkatan Almarhum Sultanah Aminah. Ketika itu baginda berusia 39 tahun manakala Sultan Ismail berusia 83 tahun. Namun perkahwinan baginda tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.
Sejurus selepas berkahwin dengan Sultan Ismail, Tunku Puan Nora diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tunku Puan Nora. Baginda dimahkotakan sebagai Sultanah Johor pada 28 Oktober 1978 di Istana Besar Johor Bahru. Baginda dimahkotakan oleh Mufti Johor Dato' Syed Alwee Bin Abdullah Al-Hadad. Baginda memakai gelaran DYMM Sultanah Johor Sultanah Nora Ismail.
Baginda menjadi Sultanah Johor hanya selama 4 tahun sahaja sehingga kemangkatan Almarhum Sultan Ismail pada tahun 10 Mei 1981. Baginda masih menggunakan gelaran Sultanah sehinggalah cucunda tiri baginda, DYMM Sultan Ibrahim Ismail menaiki takhta. Gelaran Sultanah baginda telah dilucutkan dan digantikan dengan gelaran Yang Amat Mulia Tunku Puan. Perlucutan gelaran ini dibuat pada 17 Februari 2011.
Sebagai Sultanah Johor, baginda telah dikurniakan Darjah Kerabat Johor pada 28.10. 1978. Baginda juga dikurniakan dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor dan Seri Setia Ismail Johor. Pada 10 Oktober 2012, nama Hospital Batu Pahat telah ditukar kepada Hospital Sultanah Nora Ismail atas perkenan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. Tunku Puan Nora sendiri berkenan merasmikan penamaan semula hospital ini dan baginda telah beberapa kali melawat pesakit hospital ini. Kini baginda telah berusia 81 tahun dan masih bersemayam di Johor. Sama-samalah kita doakan kesihatan baginda.
Assalamualaikum bagaimana nak bertemu dengan beliau?
ReplyDelete