Anda Pengunjung Ke :

Friday 25 November 2011

Istana Negara Jalan Duta.



Istana Negara Jalan Duta merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Istana ini menggantikan Istana Negara lama yang terletak di Jalan Syed Putra dan digunakan secara rasminya pada 15 November 2011. Setakat ini, seramai 4 orang Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah bersemayam di Istana yang gah dan indah ini. Bermula dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah yang merupakan pasangan diraja pertama bersemayam di Istana ini.  Istana Negara telah menyaksikan 3 Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong iaitu pertabalan KDYMM Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Tuanku Abdul Halim dan KDYMM Tuanku Haminah pada tahun 2012, pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V pada tahun 2017 dan pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah dan KDYMM Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Bangunan keseluruhan Istana Negara.

Istana Negara Jalan Duta ini mempunya tiga komponen utama iaitu Komponen Rasmi, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran. Istana Negara ini mempunyai 3 jalan masuk utama terdiri daripada Pintu gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta. Jalan ini merupakan jalan yang digunakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-permaisuri, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan juga Ketua Kerajaan. Pintu 2 yang terletak di Jalan Semantan -Dungun merupakan jalan kegunaan tetamu-tetamu Diraja. Pintu 3 yang terletak di Jalan Sri Hartamas Mont Kiara adalah untuk kegunaan rakyat yang ingin berurusan dengan Yang Dipertuan Agong,Raja Permaisuri Agong dan Pentadbiran Istana Negara.



Kerajaan Malaysia telah mencadangkan pembinaan Istana Baru bagi menggantikan Istana Negara Layang telah digunakan sejak tahun 1957. Istana Negara Lama sebenarnya dibeli oleh kerajaan daripada seorang jutawan cina untuk dijadikan istana. Kompleks Istana Negara Baru ini dibina di atas tanah seluas 241.3 ekar yang dibahagi kepada 4 sayap termasuk kawasan meletak kenderaan. Bangunan Utama Istana Negara serta bangunan-bangunan yang lain berkeluasan lantai 90,082 meter persegi. Istana ini menelan belanja sebanyak RM 812 juta. Kontraktor utama pembinaan istana ini adalah Maya Maju Sdn Bhd dengan kontrak bernilai RM650 juta. Manakala pembinaan lebuh raya bertingkat menuju Pintu Gerbang Utama Istana pula dilakukan oleh Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan kontrak bernilai RM 130 juta.

Pintu gerbang Istana Negara.


Senibina istana melambangkan Islam dan Melayu, tatarias lampu, pemalapan dan pencahayaan luar dan dalam istana adalah berbeza. Rekaan ini bertujuan untuk mencipta suasana yang tersendiri di samping menjimatkan tenaga. Sistem ini dipusatkan dan dikawan oleh 10 butang kawalan di lokasi yang berbeza. Pentadbiran Istana Negara ini mula beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011. Istiadat menaikkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berlangsung pada 15 November 2011 sebagai simbolik bahawasanya Istana Negara Jalan Duta ini secara rasminya menjadi Istana Negara bagi Malaysia. Upacara menurunkan bendera peribadi baginda di Istana Negara Lama dilakukan pada jam 9 pagi. Manakala upacara menaikkan bendera peribadi baginda di Istana Negara Baru disempurnakan pada pukul 10.25 pagi. Acara berlangsung di Dataran Istana Negara.Upacara bermula dengan perarisan 52 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja serta 12 skuadron Istiadat Berkuda diiringi tiupan fajar. YM Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Tengku Farok Hussien Tengku Jalil kemudiannya menyerahkan bendera kepada Pemangku Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Mejar Mohd Kadri Abu Bakar. Bendera Yang Dipertuan Agong dinaikkan dengan diapit dua bendera Jalur Gemilang serta 14 bendera negeri. Kaedah menaikkan bendera pada tiang berketinggian 30 meter dilakukan secara automatik berbeza dengan Istana Lama yang dinaikkan secara manual.Upacara diakhiri dengan bacaan doa.



Antara keunikan yang dapat dilihat di Istana Negara ini adalah bilangan kubahnya yang berjumlah 22 buah keseluruhannya. Pada dua buah kubah terbesar, terdapat reka bentuk seperti sirih bertindih. Pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi yang sangat cantik. Cahaya tersebut boleh bertukar warna mengikut jenis acara rasmi yang sedang berlangsung dan dapat dilihat secara jelas di luar istana.  Majlis Penyerahan Istana Negara Baru Jalan Duta telah diadakan di Dewan Serbaguna Diraja diantara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan Pihak Pengurusan Istana Negara pada 18 Oktober 2011. Aturcara penyerahan bangunan disempurnakan dengan sesi menandatangani penyerahan dan penerimaan sijil penyeraha bangunan di antara Timbalan Ketua Setiausaha Kanan YBhg Datuk Othman bin Haji Mahmood dari JPM dan YM Dato' Pengelola Bijaya Diraja YM Tengku Datuk Farok Hussein Bin Tengku Abdul Jalil yang mewakili pihak Istana Negara.


Ruang menunggu.

Komponen utama di dalam Istana Negara ini adalah Balairong Seri yang menempatkan Singgahsana Kerajaan Malaysia. Singgahsana ini merupakan titik tumpuan di dalam Balairong Seri di mana Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan bersemayam semasa Istiadat-istiadat rasmi. Balairong Seri ini digunakan untuk Istiadat Pertabalan, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan juga Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Selain Singgahsana di dalam Balairong Seri, terdapat juga Singgahsana Kecil yang digunakan untuk fungsi-fungsi yang tertentu. Singgahsana Kecil ini digunakan untuk tujuan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Menyimpan Rahsia sebagai Menteri Persekutuan (jika diadakan secara berasingan daripada Istiadat Penuh yang melibatkan semua menteri), Istiadat Watikah Pelantikan Sebagai Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara, Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Istiadat Mengadap dan Menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada Ketua Pengarah SPRM, Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah. 


Singgahsana Istana Negara.

Satu lagi bilik yang penting di dalam Istana Negara adalah Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Bilik ini berfungsi sebagai tempat bersidang Majlis Raja-Raja. Mesyuarat ini lazimnya diadakan 3 kali setahun tapi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis ataupun tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan juga apabila berlaku kekosongan jawatan Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Ynag Di-Pertuan Agong. Dewan utama untuk tujuan mengadap adalah Dewan Seri Maharaja yang diambil bersempena nama Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.). Dewan ini digunakan untuk majlis mengadap pembesar-pembesar luar negara. Dewan ini juga digunakan sebagai dewan mengadap Ketua Negara bersama Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebelum Majlis Jamuan Negara. Fungsi lain dewan ini adalah dewan tempat Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menyambut keberangkatan DYMM Raja-Raja Melayu dan DYMM Permaisuri-Permaisuri, TYT Yang Di-Pertua Negeri dan YABhg Toh Puan, YAB Perdana Menteri dan isteri serta YAB Timbalan Perdana Menteri dan isteri sempena Majlis Santapan Malam memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Istiadat Pengurniaan Darjah Kerabat kepada DYMM Raja-Raja dan juga pengurniaan Darjah Kebesaran kepada Ketua Negara luar, dan lain-lain lagi.

Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Bilik Seri Maharaja.

Dewan Seri Mahkota pula mengambil sempena nama Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M.). Dewan ini berfungsi sebagai tempat mengadap Ketua-Ketua Kerajaan dengan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta tempat berlangsungnya Majlis Mengadap Kerabat Diraja. Seterusnya adalah Dewan Seri Negara. Dewan ini merupakan tempat berlangsungnya acara bergambar Yang Di-Pertuan Agong bersama DYMM Raja-Raja dan TYT Yang Di-Pertua Negeri selepas Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Yang Di-Pertuan Agong. Dewan ini juga dijadikan tempat bergambar selepas Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong. Dewan Santapan pula merupakan tempat berlangsungnya Majlis Santapan sempena memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, dan meraikan Ketua-Ketua Negara Asing. 

Bilik Singgahsana Kecil.

 Dewan Seri Mahkota.

Dewan Seri Negara.

Dewan santapan.

6 comments:

  1. wah!! cantik banget,.....agak2 blh dtg melawat x ya?

    ReplyDelete
  2. nanti kita buat rombongan ramai2..kita serbu itu istana..hehehe

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. dapat la pingat kebesaran dulu, baru leh masuk dengan megah sket.. xpn jd wartawan. hehe

      Delete
  4. MENUNGGU JANJI ALLAH.
    Sedih melihat lstana Negara yang usang & daif berbanding dengan Teratak Rakyat Marhaen yang gah bagai singgahsana.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...