Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 13 December 2011

Istiadat Keberangkatan Tiba dan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Yang Dipertuan Agong ke 14..


Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 14.



Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini, bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ketibaan Tuanku Abdul Halim bersama Sultanah Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri  Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.
Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Okt lalu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Di Kuala Lumpur, keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen di Kuala Lumpur  pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti dengan persembahan tabik "Hormat Diraja" oleh pasukan kawalan kehormat dan disusuli lagu Negara Ku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Leftenan Nor Azizan Yahaya.Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Abdullah.Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan disusuli dengan tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.




Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14.

 
Sultan Kedah,Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mengangkat sumpah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 14 di dalam majlis penuh adat istiadat di Istana Negara Jalan Duta.Ini merupakan kali kedua baginda dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong.Kali pertama adalah pada 21 Januari 1970 sehingga 20 September 1975 ketika berusia 43 tahun.Ini menjadikan baginda sebagai antara Raja Melayu paling muda menjadi Yang Dipertuan Agong.Tuanku Abdul Halim dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk menaiki takhta persekutuan buat kali kedua pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang diadakan pada 12 Oktober 2011.Baginda yang berusia 84 tahun menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 12 Disember lepas.

Istimewanya,Istiadat kali ini diadakan di Istana Negara yang baru sahaja beroperasi sebulan lepas.Istiadat Melafaz Sumpah ini dimulakan pada pukul 11.15 pagi.Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang ke 227 untuk Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan ini diadakan di Balairongseri Istana Negara.Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Istiadat bermula apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mempersembahkan dokumen surat sumpah kepada Tuanku Abdul Halim.Baginda kemudiannya membaca lafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah itu di hadapan Raja-Raja Melayu yang lain.Dua orang saksi yang terdiri daripada Raja Melayu adalah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah.Istiadat diteruskan dengan lafaz sumpah Timbalan Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad Ke 5.Sejurus selepas itu doa dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.Kemudian Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memohon perkenan Raja-Raja untuk menangguhkan Mesyuarat ke tarikh yang akan diberitahu.




Istiadat diteruskan dengan menandatangani surat pengisytiharan Yang Dipertuan Agong ke 14 yang kemudiannya dibacakan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak.Diteruskan dengan menandatangani surat pengisytiharan Timbalan Yang Dipertuan Agong.Istiadat kali ini dihadiri oleh kesemua Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Almarhum Sultan Mahmud Almuktafi Billah Shah.Turut hadir Yang Dipertua Negeri.Turut berangkat dalam Istiadat itu ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra juga kerabat Diraja Kedah dan Kelantan.Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wah Zahidi Wan Teh.




Berikut ialah pengisytiharan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 yang dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini:

"Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-raja:


Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan Beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.


Maka oleh yang demikian Beta, Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, dengan ini mengisytiharkan bahawa Beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.


Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di Ibu Negara Beta di Kuala Lumpur pada tiga belas haribulan Disember dalam tahun dua ribu sebelas."




 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...