Anda Pengunjung Ke :

Friday 12 February 2016

Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah,D.K., D.K.T., S.S.M.T., S.P.M.T., D.M.N., D.K.(Johor), D.K.(Kedah), D.K.(Kelantan), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Pahang), D.K.(Perak), D.K.(Perlis), D.K.(Selangor), D.K.M.B.(Brunei), D.P.(Sarawak), S.P.C.M., D.J.B.S., K.St.J(United Kingdom).

Sultan Mahmud ketika bergelar Yang Di-Pertuan Muda Terengganu bersama Tengku Puan Muda Tengku Bariah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah diputerakan pada 29 April 1930 di Kuala Terengganu. Baginda merupakan putera sulung daripada 12 orang adik beradik kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin dan Yang Mulia Tengku Tengah Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar. Ayahanda baginda dilantik sebagai Sultan Terengganu pada 29 September 1945 hingga kemangkatannya pada 20 September 1979. Ayahanda baginda juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Persekutuan Malaysia. Bonda baginda Tengku Zaharah merupakan puteri sulung kepada YAM Tengku Setia Diraja Pahang Tengku Umar Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah. Bonda baginda mangkat pada 19 April 1979, tahun yang sama kemangkatan ayahanda baginda.

Sultan Mahmud ketika berangkat ke Istiadat Angkat Sumpah Yang Di-Pertuan Agong Ke-6.

Sultan Mahmud mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Terengganu dan seterusnya di Sekolah Inggeris Crown Grammar, Kuala Terengganu. Baginda telah melanjutkan pelajaran ke England pada tahun 1949 hingga Disember 1950. Pada 11 Ogos 1951, baginda sekali lagi berangkat ke England untuk mengikuti kursus dalam hal ehwal perikanan. Baginda pulang ke tanah air pada bulan Februari 1954. Baginda seterusnya mengikuti latihan ketenteraan di Kem Latihan Askar Melayu Port Dickson pada 3 Januari 1955 dan pada 20 Ogos 1956, baginda dikurniakan pangkat Kapten Kehormat. Pada 1 Ogos 1965, baginda telah dianugerahkan Tauliah Di-Raja dalam pasukan Askar Wataniah Malaysia sebagai Pegawai Sukarela dengan menyandang pangkat Mejar iaitu menggantikan Tauliah Di-Raja Kehormat dalam Pasukan Askar Melayu Di-Raja. Pada 1 Disember 1968, baginda telah dinaikkan ke Pangkat Leftenan Kolonel dalam Pasukan Pertahanan Tempatan (Askar Wataniah Malaysia). Duli Yang Maha Mulia juga telah dilantik ke jawatan Pegawai Pemerintah Pasukan Pertahanan Tempatan Negeri Terengganu Darul Iman mulai tarikh itu.


Sultan Mahmud dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu pada 13 Disember 1950 pada usia 20 tahun. Baginda telah tiga kali dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Kali pertama pada 2 April 1965 dan kali kedua bermula 21 September 1965 apabila ayahanda baginda dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-4. Kali ketiga pada 21 Mac 1979, semasa ayahanda baginda berangkat ke luar negara. Telah ditakdirkan Allah, pada 20 September 1979, ayahanda baginda, Sultan Ismail Nasiruddin telah mangkat pada usia 72 tahun. Maka, Sultan Mahmud selaku Yang Di-Pertuan Muda dimashyurkan sebagai Sultan Terengganu yang baru. Baginda dimahkotakan sebagai Sultan Terengganu pada 21 Mac 1980 di Istana Maziah Kuala Terengganu. Baginda memakai gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Sultan Mahmud dan Tengku Ampuan Besar Bariah.

Sultan Mahmud telah berkahwin sebanyak tiga kali. Perkahwinan pertama baginda bersama puteri Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Bariah Binti Sultan Hisamuddin Alam Shah. Perkahwinan baginda diadakan pada 22 Mac 1951 di Istana Mestika Kuala Lumpur. Tengku Bariah merupakan puteri Sultan Hisamuddin yang kemudiannya menjadi Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 bersama isteri baginda Che Puan Hajah Kalsum Mahmud. Sejurus selepas berkahwin dengan Sultan Mahmud, Tengku Bariah diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Puan Muda Terengganu. Setelah menaiki takhta negeri Terengganu, Tengku Bariah menggunakan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Hajah Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, D.K., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Selangor) bermula 21 Mac 1980. 

Bersama Sharifah  Nong dan kesemua putera puteri baginda.

Kali keduanya Sultan Mahmud mendirikan rumah tangga di Singapura pada 15 April 1959 dengan Sharifah Nong Fatimah Binti Syed Abdullah Al Sagoff. Sharifah Nong merupakan anak kepada Syed Abdullah Bin Syed Salleh Al Sagoff dan Sharifah Aishah Binti Syed Abdul Rahman Al Junied. Bersama Sharifah Nong, Sultan Mahmud dikurniakan 3 putera dan 3 puteri. Putera-putera baginda ialah KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, YTM Tengku Dato' Mustafa Kamil, dan YAM Tengku Dato' Sri Badrulzaman. Manakala puteri-puteri baginda ialah YAM Tengku Dato Amira Zahara Farah Quraishah, YAM Tengku Nur Rohana Fathia Putri dan YAM Tengku Dato Rahimah Putri. Setelah putera bongsu baginda menaiki takhta Terengganu, Sharifah Nong diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Dato Seri Sharifah Nong Al Sagoff, D.K., S.P.M.T. Kali ketiga Sultan Mahmud berkahwin dengan Cik Khadijah dan pasangan ini bercerai. Bersama Cik Khadijah, Sultan Mahmud dikurniakan seorang putera iaitu YAM Tengku Dato' Badrul Hisham.

Bersama kekanda ipar baginda, Sultan Salahuddin dan anakanda saudara baginda Tengku Idris Shah di Istana Alam Shah.

Sultan Mahmud menyukai sukan golf dan bidang fotografi. Minat dalam bidang fotografi disemai oleh ayahanda baginda yang digelar Bapa Fotografi Moden. Baginda gemar mengambil gambar monumen bersejarah dalam negeri Terengganu antaranya Istana Maziah, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah, Masjid Abidin, Rantau Abang, Wisma Darul Iman dan banyak lagi. Baginda berkawan baik dengan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Baginda bersama Wan Mokhtar membangunkan negeri Terengganu. Antara projek mega semasa pemerintahan baginda adalah Kompleks Petroleum Petronas di Kerteh, Pusat Janakuasa Sultan Ismail di Paka yang merupakan pusat janakuasa terbesar di Malaysia, Projek Tasik Kenyir, Jambatan Sultan Mahmud yang menyambung Kuala Terengganu ke Pulau Duyung dan Kuala Nerus. 

                                         
Sultan Mahmud bersama Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan dan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah.

Sepanjang bergelar Sultan Terengganu, baginda banyak dikurniakan darjah kebesaran dari dalam dan luar negara. Darjah-darjah kebesaran ini termasuklah darjah kerabat dari semua negeri dan juga darjah kebesaran dari negeri Sarawak. Baginda menerima Darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P.) yang membawa gelaran Datuk Patinggi dan Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S.) yang membawa gelaran Datu. Darjah kebesaran dari luar negara pula adalah Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B.). Selain itu, pada tahun 1990, baginda menerima Darjah Knight of Justice of the Order of the Hospital of St John of Jerusalem (K.St.J) daripada United Kingdom. 

Sultan Mahmud bersama Tengku Bariah dan Tunku Abdul Rahman Putra.

Sebagai menghargai jasa Sultan Mahmud, banyak projek dan institusi yang dinamakan sempena nama baginda. Antaranya adalah Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SMSSM)  yang terletak di Wakaf Tembusu, Kuala Terengganu. Selain itu, Masjid Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, Masjid Al Muktafi Billah Kuala Terengganu, Jambatan Sultan Mahmud di Jalan Tengku Mizan Kuala Terengganu, Jalan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Seberang Takir, Kuala Terengganu, dan Pusat Janakuasa Sultan Mahmud di Tasik Kenyir. Terdapat juga bandar yang mengambil nama baginda iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Tuanku Syed Putra, Tuanku Jaafar, Sultan Mahmud, dan Sultan Abdul Halim.

Sultan Mahmud mangkat pada 14 Mei 1998 pada usia 68 tahun.Baginda mangkat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Jenazah Almarhum Sultan Mahmud dibawa ke Istana Maziah untuk Istiadat Penghormatan Terakhir dan dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu. Baginda merupakan Sultan Terengganu pertama dimakamkan di makam diraja ini. Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Mizan menaiki takhta negeri Terengganu dengan gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah. Al Fatihah untuk Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Keluarga diraja Terengganu.

Menunaika fardu haji bersama kekanda ipar baginda Sultan Salahuddin.

Bersama putera sulung baginda Tengku Mizan.

Sultan Mahmud bersalaman dengan Sultan Iskandar. Turut kelihatan Sultan Azlan Shah.



No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...