Anda Pengunjung Ke :

Sunday 28 February 2016

Almarhum Baginda Sultan Ismail Al-Khalidi.


Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor Darul Ta'zim
Sultan Sir Ismail Al-Khalidi Ibni Almarhum Sultan Sir Ibrahim Al-Mahsyur,
D.K., D.M.N., S.M.N., D.K.(Brunei), D.K.(Selangor), D.K.(Terengganu), D.K.(Pahang), D.K.(Perak), S.P.M.J., S.P.M.K., .P.I.S., Grand Officer of the Order of the Star(Romania), Companion of the Order of St Michael & St George(United Kingdom), Grand Cross of the Order of the Crown(Thailand), Grand Officer of the Order of the Crown(Italy), Knight Commander of the Order of British Empire(United Kingdom), King George V Silver Jubilee Medal, King George VI Coronation Medal, Queen Elizabeth II Coronation Medal.

Sultan Ismail semasa muda.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Al Khalidi diputerakan pada 28 Oktober 1894 di Istana Semayam, Johor Bahru. Baginda merupakan putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Ungku Maimunah Binti Ungku Abdul Majid. Ayahanda baginda, Sultan Ibrahim dilantik sebagai Sultan Johor ke-22 pada 4 Jun 1895 sehingga kemangkatannya pada 8 Mei 1959. Sultan Ibrahim merupakan antara Sultan yang paling lama bertakhta dalam negara iaitu selama 64 tahun. Bonda baginda Sultanah Maimunah merupakan puteri kepada Yang Mulia Ungku Abdul Majid Ibni Almarhum Dato' Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim. Bonda baginda mangkat pada 2 September 1909, semasa Sultan Ismail berusia 15 tahun. 


Sultan Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Kangsar (M.C.K.K.) Perak. Pada bulan Mac 1912, pada usia 18 tahun, Sultan Ismail melanjutkan pelajaran ke England. Baginda belajar di Rose Hill School, Tunbridge Wells, Kent England. Kemudiannya baginda memasuki sekolah di Roydon Hall, Norfolk dan Aldeburgh Lodge, Suffolk. Sultan Ismail menjadi Kapten Askar Timbalan Setia negeri Johor (JMF) pada 22 Ogos 1923. Baginda juga menjadi Askar Sukarelawan Johor di Muar bermula tahun 1923 hingga 1933. Pada 12 Mac 1934, pada usia 38 tahun, baginda dilantik sebagai Mejar dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF). Baginda juga merupakan Presiden Royal Johor International Club bermula tahun 1937. 


Sultan Ismail dilantik sebagai Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor pada 2 November 1895 dikala usianya baru mencecah setahun. Pada tahun 1928, pada usia 34 tahun, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja memandangkan ayahanda baginda, Sultan Ibrahim sering berangkat ke England. Sultan Ismail merupakan penyandang jawatan Tunku Mahkota paling lama dalam sejarah iaitu selama 64 tahun bermula dari usia setahun sehingga baginda berusia 65 tahun. Semanjak bergelar Tunku Mahkota lagi, baginda sudah biasa menguruskan pentadbiran negeri kerana ayahanda baginda lebih banyak merantau ke negara luar. Pada May 1946, baginda sendiri merasmikan Kongress Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Istana Besar Johor Bahru. Bermula lewat tahun 1940an, baginda mengambil tanggungjawab penuh dalam pentadbiran negeri Johor. Baginda sering mewakili ayahanda baginda dalam istiadat rasmi persekutuan. Pada 27 Ogos 1957, baginda merupakan salah seorang Raja Melayu yang menandatangani Perlembagaan Persektutuan Tanah Melayu. 

Istiadat Kemahkotaan Sultan Ismail.

Ayahanda Sultan Ismail, Sultan Ibrahim telah mangkat pada 8 Mei 1959 pada usia 86 tahun di London. Sultan Ismail selaku Pemangku Raja ketika itu dilantik dan dimashurkan sebagai Sultan Johor yang baru menggantikan ayahanda baginda. Istiadat kemahkotaan baginda sebagai Sultan Johor diadakan pada 10 Februari 1960 di Istana Besar Johor Bahru. Baginda yang ketika itu berusia 66 tahun memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Sultan Ismail dan Sultanah Aminah.

Sultan Ismail berkahwin sebanyak 2 kali. Baginda berkahwin buat pertama kalinya dengan Yang Mulia Ungku Tun Aminah Binti Ungku Ahmad. Perkahwinan baginda berdua diadakan di Dewan Negara, Johor Bahru pada 30 Ogos 1920. Ungku Aminah merupakan puteri kepada Yang Mulia Ungku Ahmad Bin Ungku Muhammad Khalid dan Yang Mulia Ungku Khadijah Binti Ungku Muhammad. Diberikan gelaran Ungku Tun Aminah pada 17 September 1950. Ditabalkan sebagai Sultanah Johor bersama Sultan Ismail. Baginda menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Aminah Binti Almarhum Ungku Ahmad, D.K., P.I.S. Hasil perkahwinan baginda berdua dikurniakan 7 orang cahaya mata. 4 orang anakanda baginda mangkat ketika kecil iaitu Almarhum Tunku Abdul Jalil(1924-1925), Almarhum Tunku Kalthum Maimunah(1927-1930), Almarhum Tunku Abdul Rahman (1930), dan Almarhum Tunku Helen(1936-1937). Dua orang putera baginda yang tinggal ialah Tunku Mahmud Iskandar dan Tunku Abdul Rahman. Manakala puteri bongsu baginda ialah Tunku Tun Maimunah. Putera sulung baginda Tunku Mahmud Iskandar menjadi Sultan Johor pada tahun 1981.

Sultan Ismail dan Sultanah Nora.

Sultanah Aminah mangkat akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1977. Sultan Ismail kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Kelantan iaitu Yang Mulia Tengku Nora Binti Tengku Panglima Raja Long Ahmad. Baginda berdua berkahwin pada 13 November 1977. Tengku Nora muda 43 tahun berbanding Sultan Ismail. Tengku Nora merupakan puteri kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad Ibni Almarhum Tengku Abdul Jaafar dan Yang Mulia Che Puan Hajah Fatimah Binti Dato Abdul Hamid. Tengku Nora dimahkotakan sebagai Sultanah Johor pada 28 Oktober 1978 dan menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nora Ismail, D.K., S.P.M.J., S.S.I.J., S.P.M.K. Perkahwinan dengan Sultanah Nora tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.

Senyuman seorang Sultan.

Sultan Ismail dikenali sebagai seorang Sultan yang sangat dekat dengan rakyat baginda. Baginda sering mencemar duli melawat kampung-kampung dalam seluruh 8 daerah di negeri Johor. Komuniti masyarakat Cina di Johor memanggil baginda dengan gelaran "Lau Sultan" yang bermaksud Sultan yang sudah berusia. Baginda juga merupakan seorang pencinta haiwan. Baginda merupakan salah seorang yang mengasaskan Zoo Johor. Baginda juga mempunyai koleksi haiwan liar seperti rusa dan buaya. 

Semasa bergelar Sultan Johor, baginda mengasaskan Darjah Kebesaran di bawah nama baginda sendiri iaitu Darjah Setia Sultan Ismail Johor Yang Amat DiBerkati pada 28 Oktober 1974. Darjah kebesaran ini mempunyai 3 kelas. Baginda banyak dianugerahi dengan darjah kebesaran dari dalam dan luar negara. Seawal usia 26 tahun lagi, baginda menerima darjah dari negara Romania iaitu Order of the Star of Romania pada tahun 1920. Selain itu baginda menerima Order of the Crown of Thailand pada tahun 1928 dan Order of the Crown of Italy pada tahun 1938. Baginda juga menerima banyak pingat dan darjah kebesaran dari England antaranya Order of Saint Michael & Saint George(C.M.G.), Order of British Empire(K.B.E.) dan juga pingat pertabalan Raja dan Ratu England. 

Sultan Ismail selaku Kapten Yang Di-Pertua TLDM.

Sultan Ismail dilantik sebagai Kapten Yang Di Pertua Tentara Laut DiRaja Malaysia (T.L.D.M.) dan Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (U.T.M.). Nama Sultan Ismail telah diabadikan di beberapa tempat dan isntitusi sebagai mengenang jasa baginda. Antaranya Jalan Sultan Ismail, Jambatan Sultan Ismail di Muar, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (L.T.S.I.) di Senai, Perpustakaan Sultan Ismail di Larkin, Masjid Sultan Ismail di Universiti Teknologi Malaysia, Hospital Sultan Ismail Johor Bahru, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, dan Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar Nusajaya. 


Sultan Ismail Al Khalidi mangkat pada 10 Mei 1981 pada usia 87 tahun. Baginda mangkat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru akibat sakit tua. Jenazah baginda dibawa ke Istana Besar Johor Bahru untuk istiadat penghormatan terakhir dan baginda telah dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah, Johor Bahru. Baginda memerintah negeri Johor sebagai Sultan selama 22 tahun dan bergelar Tunku Mahkota selama 64 tahun. Putera sulung baginda, Tunku Mahmud Iskandar menaiki takhta negeri Johor dengan bergelar Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada tahun 1981. Sultan Iskandar mangkat pada tahun 2010. Kini, negeri Johor diperintah oleh cucunda baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Balu baginda kini bergelar Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora Ismail dan telah berusia 79 tahun. Al Fatihah untuk Almarhum Sultan Ismail Al Khalidi Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

                                       

Sultan Ismail dan Sultanah Aminah di Hari Kemahkotaan.


Setem Kemahkotaan Sultan Ismail.



1 comment:

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ ship hàng nhật uy tín, giá rẻ cũng như chia sẻ kinh nghiệm cách order taobao về VN giá rẻ.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...