Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 29 March 2016

Undang Luak Johol Dilucutkan Jawatan.


Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol, Datuk Johan Lela Perkasa Setiawan , Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, D.T.N.S., dilucutkan jawatan sebagai Undang Luak Johol ke-14 berkuatkuasa 27 Mac 2016. Keputusan untuk memecat Datuk Mohd Jan diputuskan oleh kesemua datuk-datuk tertinggi Lembaga Adat Luak Johol setelah beberapa kali mengadakan kerapatan(mesyuarat). Pemecatan itu diisytiharkan secara rasmi oleh Datuk Jenang Zakaria Mohamad, di hadapan Datuk Mohd Jan sendiri dan dihadiri oleh Buapak Yang Enam, dan Datuk Batin di Balai Undang Luak Johol. Jawatan Undang Luak Johol kini diisi oleh Timbalan Undang Luak Johol, Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah. 

Datuk Jenang Zakaria membaca 13 kesalahan yang dilakukan oleh Datuk Mohd Jan dan pemecatan beliau dibuat selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Perlembagaan Persekutuan. Menurut Ketua Buapak Yang Enam, Datuk Nenggarang Hasanuddin Ahmad, kesalahan yang dilakukan oleh Datuk Mohd Jan telah mula dikesan semenjak beliau dilantik sebagai 13 Mac 2007. Antara kesalahan yang dilakukan oleh beliau adalah seperti melakukan perkara yang membelakangkan Buapak Yang Enam, sistem pemerintahan beliau dipengaruhi oleh orang-orang sekelilingnya yang mempunyai kepentingan peribadi. Isu terbaru adalah berkenaan pengurniaan darjah kehormat dan penghargaan oleh Balai Undang Luak Johol pada 10 Ogos 2015 telah melanggar undang-undang tubuh kerajaan negeri.Mohd Jan adalah Undang Luak Johol yang pertama dipecat selepas institusi itu diasaskan pada tahun 1723 oleh Puteri Sitiawan apabila Johol tidak lagi bernaung di bawah Kesultanan Johor.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata, tindakan Mohd Jan sebagai Undang Johol pada waktu itu adalah tidak selaras dengan Perkara 26, Bab 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Datuk Jenang Zakaria berkata, pemecatan Datuk Mohd Jan sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang hari ini.

Sehubungan itu, Datuk Mohd Jan dan keluarganya diarahkan oleh Datuk Jenang Zakaria untuk mengosongkan Balai Undang Luak Johol di Renggoh, Kuala Pilah dengan segera. Datuk Mohd Jan, 75, dilantik Undang Luak Johol ke-14 pada 13 Mac 2007 selepas penyandang terdahulu, Datuk Abdul Ali meninggal dunia. Datuk Mohd Jan selaku Pembesar Memerintah bersama dengan Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau terbabit dalam pemilihan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada tahun 2009.


9 comments:

  1. Kena di lucut kan jawatan nya ?

    ReplyDelete
  2. Apa peranan/fungsi sebenarnya dato undang ini admin ? Dan siapa pengantin dato undang sekarang ini ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Undang 4 dan tunku besar tampin, menjaga kawasan masing2..dan segala keputusan dr raja negeri dibincang bersama sblum keputusan diambil..undang 4 dan tunku besar tampin ni pembesar negeri, definasi taraf sama dgn raja negeri sembilan..ada kuasa melantik, melucut dan bg pangkat.

      Delete
    2. senang kata, n9 je yg ada ramai raja dlm negeri..tp 1 je yg dipilih dlm utk negeri utk mentadbir..

      Delete
    3. Terima kasih memberi infro saudara.

      Delete
  3. Baginda Tan Mas diisi oleh siapa.keturunan Suku Tiga Batu

    ReplyDelete
  4. Siapa penghulu sako Gemencheh skng.

    ReplyDelete
  5. Jawatan Undang Luak Johol dan Baginda Tan Mas diisi berdasarkan giliran bagi Waris Johol dan Waris Gemencheh. Sekiranya Dato' Undang dilantik daripada Waris Johol, maka jawatan Dato Baginda akan diisi oleh Waris Gemencheh dan seterusnya.
    Bagaimanapun, sejak 2016, keputusan dibuat secara sebulat suara oleh pembesar-pembesar Luak Johol dan Suku Biduanda Waris Johol bahawa giliran menyandang Dato' Undang Luak Johol dan Baginda Tan Mas dilakukan antara Suku Biduanda Waris Johol di-Baruh & Waris Johol di-Bukit sahaja.

    ReplyDelete
  6. jawatan Baginda Tan Mas telah ditukar nama Dato Baginda Luak Johol.. sekarang disandang oleh Tuan Hj. Sahabudin bin Ibrahim, 65 tahun, dari Suku Biduanda Waris Perut Bukit Luak Johol. Hj. Sahabudin ialah mantan Guru Besar.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...