Tuesday, 28 April 2020

25 April 2020: Ulangtahun Perkahwinan Ke-46 DYMM Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Aishah Rohani.


Masih belum terlambat untuk Warisan Raja dan Permaisuri Melayu untuk merafak sembah tahniah kehadapan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud sempena ulangtahun perkahwinan baginda berdua yang ke-46 tahun pada 25 April 2020. Ikatan percintaan di antara putera Negeri Sembilan dengan puteri Terengganu ini bermula apabila Istiadat Pertunangan diantara baginda berdua diadakan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur pada 17 Februari 1973. Tuanku Muhriz yang ketika itu berusia 25 tahun memegang gelaran sebagai Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti dan bekerja sebagai Pegawai Tadbir di Bank Rakyat. Manakala Tuanku Aishah Rohani yang ketika itu berusia 20 tahun dan bekerja sebagai kerani jurukira di sebuah bank. 


Tuanku Muhriz merupakan putera tunggal kepada pasangan Almarhum Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dengan Almarhum Tuanku Ampuan Durah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Manakala Tuanku Aishah merupakan puteri bongsu kepada Yang Amat Mulia Tengku Seri Utama Raja Terengganu Tengku Besar Mahmud Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin dengan Yang Amat Berbahagia To' Puan Zainon Mariam Binti Haji Su Mahmud. Tuanku Aishah Rohani merupakan anakanda saudara kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Istiadat Perkahwinan baginda berdua diadakan pada hari Khamis 25 April 1974 bersamaan 2 Rabiul Awal 1394 Hijrah di Istana Maziah Kuala Terengganu. 


Pada 4 Mei 1974, Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Durah mengadakan Istiadat Menyambut Keberangkatan Balik Pengantin Diraja yang diadakan di Istana Lama Seri Menanti. Baginda berdua bersanding di atas singgahsana lama Istana Lama Seri Menanti. Perkahwinan baginda berdua diserikan dengan kelahiran putera sulung yang diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz pada 26 April 1977. 5 tahun selepas itu, putera kedua pula dilahirkan pada 6 Julai 1982 dan diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz. Dan pada 3 September 1984, putera bongsu baginda berdua dilahirkan dan diberi nama Yang Amat Mulia Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin Ibni Tuanku Muhriz. 


Selepas 47 tahun bergelar Tunku Besar Seri Menanti, pada 29 Disember 2008, Tuanku Muhriz telah diisytiharkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menggantikan ayahanda saudara baginda Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Kehidupan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah sekeluarga berubah selepas menduduki takhta Negeri Sembilan. Tuanku Muhriz ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar pada 26 Oktober 2009. Tuanku Aishah pula dimasyhurkan sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada 14 Februari 2009. 


Suasana sedih menyelubungi keluarga baginda pada 16 Januari 2016 apabila putera bongsu baginda berdua mangkat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Bandar Tun Razak. Sewaktu diputerakan, Almarhum Tunku Alif disahkan oleh doktor dilahirkan kekurangan Vitamin K di otak. Almarhum disahkan kurang upaya dan pembedahan demi pembedahan dilakukan terhadap Almarhum semasa masih bayi lagi. Menurut YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin di dalam tulisan baginda di dalam Malay Mail bertajuk "Lesson From My Brother", ayahanda dan bonda baginda belajar semampu baginda berdua tentang keadaan kesihatan yang dialami Almarhum untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk Almarhum. Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah mengambil keputusan membawa Almarhum ke Institut Pencapaian Potensi Manusia, sebuah pusat pakar di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) untuk meninjau kaedah rawatan. Selepas pulang ke tanah air, baginda sekeluarga menjalankan rawatan intensif untuk membantu Almarhum dan mendapat sokongan dan bantuan daripada kerabat diraja dan teman rapat. 


Sehinggakan sampai satu tahap, Tuanku Muhriz terpaksa menjual syarikat baginda supaya baginda mempunyai masa untuk program rawatan Almarhum dan wang yang secukupnya untuk membiayai semua rawatan tersebut. Keadaan kewangan keluarga Tuanku Muhriz agak terjejeas ketika itu dimana Tunku Ali dan Tunku Zain yang sedang melanjutkan pelajaran mendapat bantuan kewangan daripada kerabat diraja yang lain. Pemergian Tunku Alif merupakan kehilangan besar buat keluarga Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah. Erti pengorbanan dan kesabaran yang ditunjukkan baginda berdua dalam menempuh dugaan tersebut amat tinggi nilainya. Walaupun sibuk dengan jadual seharian setelah menduduki takhta Negeri Sembilan, namun sokongan terhadap Almarhum Tunku Alif tidak pernah pudar. Bersempena ulangtahun perkahwinan ke 46 DYMM Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Aishah Rohani, didoakan semoga baginda berdua dilanjutkan usia dan dirahmati Allah sentiasa. 

1 comment:

  1. Syurga tempatnya, insyaAllah pasti ayahbondanya akan bersama-samanya di syurga nanti.

    ReplyDelete