Tuesday, 21 April 2020

Dewan Tunku Abdul Rahman & Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong.

Bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di awal tahun 1950-an.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, jawatan ketua negara yang bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah diisi oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Alat-alat kebesaran Persekutuan yang baru telah ditempah untuk menunjukkan kedaulatan negara merdeka yang baru ini. Sudah tentunya, di dalam proses monarki, seseorang Ketua Negara itu perlu menjalani Istiadat Pertabalan sebagai simbol penerimaan kuasa oleh baginda untuk mengetuai sesebuah negara. Tetapi, bilik singgahsana yang ada di Istana Negara terlalu kecil untuk diadakan Istiadat Pertabalan tersebut. Maka, Ketua Menteri Persekutuan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah mencadangkan supaya Istiadat Pertabalan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bangunan yang terletak di Jalan Ampang ini telah banyak kali digunakan untuk menjalankan majlis rasmi kerajaan. Bangunan ini pada asalnya merupakan kediaman milik pelombong timah Encik Eu Tong Seng yang dibina pada tahun 1935. Bangunan ini dibina di atas tanah seluas 2.6 hektar. Semasa zaman penjajahan British dan Jepun, bangunan ini dijadikan markas tentera. British menggunakan khidmat bangunan ini sehingga tahun 1956. Pada 24 Februari 1948, peristiwa besar yang pertama dijalankan di bangunan ini. Mesyuarat Pertama Majlis Perundangan Persekutuan telah diadakan. Sebagai langkah menuju kemerdekaan, bangunan ini dijadikan markas Tentera Persekutuan dan secara rasminya dijadikan sebagai Markas Tentera Persekutuan pada 15 Julai 1956. Perasmian dilakukan oleh Mejar Jeneral Dato' Sir F.H. Brooks yang kemudiannya dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Persekutuan. 



Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, satu lagi peristiwa bersejarah berlaku di bangunan ini. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Yang Pertama Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad diadakan pada 2 September 1957. Dewan Tunku Abdul Rahman ini dijadikan sebagai Balairong Seri buat pertama kalinya untuk menabalkan Ketua Negara bagi sebuah negara baru. Istiadat Pertabalan yang diadakan secara gilang gemilang ini dihadiri oleh kira-kira 500 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, wakil-wakil negara asing serta pembesar-pembesar negara. Pada tahun 1957 juga, bangunan ini telah diubahsuai dan diperbesarkan dengan kos sebanyak RM 750,000.00. Pada 24 Februari 1958, dewan ini secara rasminya dibuka dan dirasmikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra. Dewan ini diberi nama Dewan Tunku Abdul Rahman bersempena nama beliau. Dewan Tunku Abdul Rahman terus menjadi tumpuan sebagai tempat berlangsungnya mesyurat-mesyuarat peringkat persekutuan dan antarabangsa. Dewan Tunku Abdul Rahman pernah dijadikan sebagai Balai Seni Lukis Negara (1958-1984), Arkib Negara (1957-1958), dan juga Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Persidangan Pertama Persekutuan juga diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 12 September 1959 yang dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad. Seterusnya, Dewan Tunku Abdul Rahman memainkan peranan penting dalam kelestarian Raja Berpelembagaan di negara kita. 

Suasana Dewan Tunku Abdul Rahman ketika Istiadat Pertabalan Tuanku Abdul Rahman.




Dewan ini telah menyaksikan 5 Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong. Disebabkan Bilik Singgahsana Istana  Negara tidak dapat memuatkan ramai tetamu, maka Istiadat Pertabalan diadakan di dewan bersejarah ini. Dewan Tunku Abdul Rahman dihias menjadi sebuah Balairong Seri. Sebuah singgahsana dibuat sebagai tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ketika pertabalan. Tempat duduk khas untuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri-Permaisuri juga didirikan di kiri dan kanan singgahsana sebagai tempat bersemayam baginda semua untuk menyaksikan Istiadat Pertabalan tersebut. Pada tahun 1960, segala persiapan telah disempurnakan untuk menabalkan Ketua Negara yang ke-2 bagi Persekutuan Tanah Melayu. Namun, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah tidak sempat untuk ditabalkan di dewan ini kerana telah gering dan mangkat pada tarikh pertabalan baginda. Maka, Istiadat Pertabalan yang seterusnya adalah pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Istiadat Pertabalan baginda diadakan pada 4 Januari 1961. 



Ketika Pertabalan Tuanku Syed Putra pada tahun 1961.

Ketika Istiadat Pertabalan Sultan Ismail Nasiruddin pada tahun 1966.


5 tahun selepas itu, Dewan Tunku Abdul Rahman sekali lagi dijadikan Balairong Seri untuk Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 11 April 1966. Pada 20 Februari 1971, Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah diadakan. Kali terakhir Dewan Tunku Abdul Rahman menyaksikan Istiadat Pertabalan adalah pada 28 Februari 1976 iaitu Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6 Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Jasa Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai Balairong Seri yang menabalkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berakhir setelah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7 Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar memutuskan untuk mengadakan Istiadat Pertabalan baginda di Istana Negara. Pada pendapat baginda, singgahsana tidak boleh dipisahkan daripada Istana. Baginda menitahkan supaya Bilik Singgahsana Istana Negara diubahsuai menjadi sebuah Balairong Seri yang layak dijadikan tempat untuk menabalkan seorang Ketua Negara. Setelah siap Balairong Seri yang baru, maka Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong diadakan di Istana Negara dan tradisi ini dikekalkan sehinggalah ke hari ini. 

Pertabalan Tuanku Abdul Halim pada tahun 1971.


Bahagian luar Dewan Tunku Abdul Rahman yang dijadikan tempat untuk Pemeriksaan Kawalan Kehormatan oleh Yang Di-Pertuan Agong sebelum Istiadat Pertabalan di dalam.

Istiadat Pertabalan Sultan Yahya Petra pada tahun 1976.


Pada hari ini, bangunan bersejarah ini dijadikan sebagai Pusat Pelancongan Malaysia atau Malaysia Tourism Centre (MATIC) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Pada tahun 1988, bangunan ini diberi nama Kompleks Penerangan Pelancongan atau Malaysia Tourism Information Complex dan dibuka kepada orang ramai pada Ogos 1989. Pada 16 Februari 2001, nama bangunan ini telah ditukar pada Malaysia Tourism Centre (MATIC) sehinggalah hari ini. 



Dewan Tunku Abdul Rahman sekarang yang dikenali sebagai Malaysia Tourism Centre.

2 comments:

  1. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera tuan/puan, saya adalah seorang Webmaster daripada Malaysia Tourism Centre ingin membuat permohonan sekiranya saya boleh mendapatkan/menggunakan gambar-gambar lama bangunan MaTiC untuk dimasukkan ke dalam laman web kami. Boleh hubungi saya di 03-4235 4808 atau emel ctm@matic.gov.my.

    ReplyDelete
  2. 820616.04.5367... Cerita pasal dia 16"6"1982.lahir di Melaka. Mecari umum kapada umurnya. Atas nama azlan Bin azmi.ade kena mengena nasib berbeza

    ReplyDelete