Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 31 January 2015

Bonda Permaisuri Melayu..





BONDA PERMAISURI MELAYU. Mungkin inilah gelaran yang sesuai diberikan kepada Almarhum Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Baginda yang bertakhta sebagai Tunku Ampuan Negeri Sembilan bermula pada tahun 1933 hingga 1960 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama bermula tahun 1957 hingga 1960 ini cukup sinonim dengan pembangunan wanita di negara kita. Walaupun baginda tidak lagi bertakhta sebagai Permaisuri selepas tahun 1960, namun baginda sering mengiringi para-para permaisuri dalam majlis-majlis berkaitan wanita dan kebajikan. Keaktifan baginda dalam bidang kebajikan bermula semenjak baginda muda lagi. Baginda sering muncul dalam majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh Raja-Raja Permaisuri Agong bermula tahun 1960 hingga 1990-an. 

Tidak hairanlah baginda sering mencemar duli walaupun tidak lagi bertakhta kerana baginda merupakan Yang Di Pertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), jawatan yang baginda pegang selama tiga dekad, sehingga akhir hayat baginda. Figura baginda sebagai seorang bonda dan nenda seringkali menarik hari rakyat jelata. Selayaknya baginda diiktiraf sebagai BONDA kepada Permaisuri yang pernah bertakhta di Malaysia. Keakraban hubungan baginda dengan Raja-Raja dan Permaisuri-Permaisuri diperlihatkan dengan keberangkatan baginda dalam istiadat rasmi negara sebagai jemputan khas kepada Raja-Raja.

Berikut merupakan gambar kenangan Tuanku Kurshiah mengiringi Permaisuri-Permaisuri dalam majlis-majlis rasmi :

 Tuanku Kurshiah bersama Tengku Ampuan Jemaah ketika lawatan baginda ke Istana Alam Shah sekitar penghujung tahun 1950-an. Tengku Ampuan Jemaah menjadi Raja Permaisuri Agong Kedua pada tahun 1960 dan mangkat pada tahun 1973. Selepas kemerdekaan, Tuanku Kurshiah dan Tengku Ampuan Jemaah merupakan antara permaisuri utama dalam negara ketika itu.

Tuanku Kurshiah bersama Tengku Budriah semasa mesyuarat LKPIM. Baginda berdua merupakan antara pengasas LKPIM dan aktif sehingga akhir hayat baginda berdua. Tengku Budriah menajdi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong  Ketiga pada tahun 1960-1965. Tengku Budriah menjadi Yang Di Pertua LKPIM setelah kemangkatan Tuanku Kurshiah pada tahun 1999. Tengku Budriah mangkat pada tahun 2008.

Tuanku Kurshiah menyampaikan titah dalam satu majlis di samping Tuanku Intan Zaharah sekitar tahun 1960-an. Tuanku Intan merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Keempat bermula tahun 1965 hingga 1970. Tuanku Intan kini berusia 86 tahun.

Tuanku Kurshiah bersama puteri sulung baginda Sultanah Bahiyah dan cucunda baginda Tunku Intan Shafinaz. Sultanah Bahiyah merupakan puteri sulung dari dua beradik kepada Tuanku Kurshiah dan Almarhum suami baginda. Sultanah Bahiyah menjadi Sultanah Kedah pada tahun 1959 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Kelima pada tahun 1970-1975. Sultanah Bahiyah amat rapat dengan bondanya. Sultanah Bahiyah mangkat pada tahun 2003 akibat kanser.

Tuanku Kurshiah bersama Tengku Ampuan Afzan semasa berangkat ke Majlis Anugerah Ibu Mithali peringkat kebangsaan. Tengku Ampuan Afzan menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ketujuh pada 1979-1984.Tengku Ampuan Afzan mangkat pada tahun 1988 akibat kanser.

Tuanku Kurshiah bersama Sultanah Zanariah dalam suatu majlis sekitar tahun 1980-an. Ketika ini Tuanku Kurshiah sudah berusia lingkungan 70 tahun. Sultanah Zanariah menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Kelapan pada tahun 1984-1989. Tuanku Kurshiah sering dijemput menghadiri majlis rasmi yang dihadiri Sultanah Zanariah. Sultanah Zanariah kini berusia 75 tahun.


Tuanku Kurshiah bersama Tuanku Bainun ketika menyambut ulangtahun keputeraan ke 80 Tuanku Kurshiah pada tahun 1991. Tuanku Bainun bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 9 pada tahun 1989-1994. Tuanku Bainun kini berusia 82 tahun.

Tuanku Kurshiah bersama adinda baginda Tuanku Najihah semasa menyambut hari keputeraan baginda. Tuanku Najihah mengikut jejak langkah kekanda baginda apabila menjadi Raja Permaisuri Agong ke 10 pada tahun 1994-1999. Kini Tuanku Najihah berusia 90 tahun dan bersemayam di Negeri Sembilan.


Potret BONDA PERMAISURI MELAYU.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Thursday, 29 January 2015

Mahkota dan Tiara Tengku Ampuan Selangor...

MAHKOTA DULI YANG MAHA MULIA TENGKU AMPUAN SELANGOR.


Mahkota ini bertatahkan berlian, batu Delima Merah, dan diikat dengan emas tulen. Mahkota ini dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor ketika Istiadat Kemahkotaan Baginda dan juga Istiadat Pertabalan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor.

Potret Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Jemaah Almarhum Raja Ahmad memakai Mahkota Tengku Ampuan Selangor.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Rahimah memakai Mahkota Tengku Ampuan Selangor ketika pertabalan suami baginda sebagai Sultan Selangor.

TIARA BERTATAH BERLIAN DULI YANG MAHA MULIA TENGKU AMPUAN SELANGOR.

Tiara Bertatah Berlian ini dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor ketika majlis rasmi Istiadat-istiadat Diraja seperti Istiadat Santapan Diraja, Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat dan Istiadat-istiadat lain. 


Tengku Ampuan Rahimah adalah satu-satunya Tengku Ampuan Selangor yang memakai Tiara Bertatah Berlian ini.


TIARA JUBLI PERAK DULI YANG MAHA MULIA TENGKU AMPUAN SELANGOR.

Tiara Jubli Perak ini dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Rahimah ketika perayaan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menggantikan tiara yang sedia ada. Tiara ini juga dipakai semasa perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor. Tiara ini juga dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Siti Aishah semasa ditabalkan sebagai Tengku Permaisuri Selangor pada tahun 1998.

Tengku Ampuan Rahimah memakai Tiara Jubli Perak ketika berangkat ke Pertabalan Yang Di Pertuan Agong.

Potret Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Siti Aishah yang memakai Tiara Jubli Perak.

Tiara Jubli Perak dipakaikan ke jemala Tengku Permaisuri Selangor ketika Pertabalan Tengku Permaisuri pada tahun 1998.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Wednesday, 28 January 2015

Kenangan Abadi Dua Permaisuri Terengganu..

Almarhum YMM Tengku Ampuan Tua Terengganu Darul Iman Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja,
dan
Almarhum YMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Darul Iman Tengku Ampuan Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah amat bertuah kerana memiliki dua orang wanita yang amat menyayangi diri baginda. Walaupun kedua-dua orang wanita ini telah dipanggil pulang oleh Sang Pencipta, namun memori dan kenangan abadi kedua-dua wanita bergelar permaisuri ini tetap berada dalam ingatan sesiapa yang pernah bersua muka dengan keduanya. Kedua-dua orang permaisuri ini seringkali muncul bersama, mengiringi Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah dalam majlis-majlis rasmi negeri. Hubungan bonda mertua dan menantu kedua permaisuri ini telah terjalin semenjak puluhan tahun lamanya. Inilah dia kisah dua orang permaisuri kesayangan Terengganu Darul Iman yang pernah menghiasi negeri pantai timur ini sebagai Suri Negeri . 




Almarhum Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja dan Almarhum Tengku Ampuan Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj, inilah gerangan nama dua orang permaisuri ini. Sudah ditakdirkan kedua-dua orang permaisuri ini tidak dikurnia sebarang cahaya mata. Namun, kasih sayang daripada anakanda dan cucunda tiri sudah cukup untuk membuatkan kedua permaisuri ini bahagia. Tuanku Intan Zaharah menerima Tengku Ampuan Bariah sebagai menantu tirinya pada tahun 1951 apabila Sultan Mahmud (ketika itu Yang Di Pertuan Muda Terengganu) berkahwin dengan puteri Sultan Selangor itu. Perbezaan umur di antara Tuanku Intan dan Tengku Ampuan Bariah cuma 5 tahun sahaja, membuatkan kedua permaisuri ini berkawan baik. 



Kedua-dua orang permaisuri Terengganu ini melayari hidup sebagai balu Sultan bersama. Kedua-duanya meniti hari tua dengan bahagia melihat cucunda dan anakanda tiri baginda berdua menaiki takhta negeri Terengganu. Tuanku Intan Zaharah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua manakala Tengku Ampuan Bariah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar. Sudah sampai masa dijemput Ilahi, Tengku Ampuan Bariah telah mangkat pada 21 Mac 2011 pada usia 78 tahun, meninggalkan bonda mertuanya Tuanku Intan Zaharah. Tinggallah Tuanku Intan bersama anakanda dan cucunda tiri baginda. Tanggal 24 Januari 2015, Tuanku Intan Zaharah telah pulang ke sisi Maha Pencipta akibat radang paru-paru. Maka, tamatlah hikayat dua orang permaisuri Terengganu. Kedua-dua permaisuri ini akan dikenang sepanjang masa. Memori baginda berdua akan tetap terpahat dalam sejarah negeri Terengganu. AL FATIHAH untuk Almarhum Tuanku Intan Zaharah dan Almarhum Tengku Ampuan Bariah. 




Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Sunday, 25 January 2015

Pemakaman Almarhum Tengku Ampuan Tua Tuanku Intan Zaharah..

Ahad, 25 Januari 2015. Jenazah bekas Raja Permaisuri Agong Ke-4, Tengku Ampuan Tua Tuanku Intan Zaharah Tengku Setia Raja selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin di sini, kira-kira pukul 4 petang ini. Suasana sayu menyelubungi pekarangan makam yang terletak bersebelahan Masjid Abidin itu dan sejurus majlis selesai setelah bacaan talkin dan doa disempurnakan oleh Mufti Negeri, Dr. Zulkifli Muda, beberapa das tembakan meriam dilepaskan.

Sebelum itu, jenazah Almarhum disemayamkan di atas Perbalaian Tiga Tingkat, Istana Maziah dari pukul 11 pagi hingga 1 petang untuk memberi kesempatan kepada pemimpin dan beribu rakyat menziarah dan memberikan penghormatan terakhir.
Almarhum yang mangkat pada usia 87 tahun di sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.26 petang semalam disembahyangkan di Istana Maziah selepas solat zuhur. Jenazah Almarhum yang diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini pada pukul 10.15 pagi ini.

Antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan ialah YTM Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Alsagoff; DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, YAM Tengku Sri Temenggung Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud dan anakanda Sultan Terengganu,
Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra'. Turut berangkat, putera dan puteri Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Halina Zakaria; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh serta anggota Exco kerajaan negeri.


Jenazah Almarhum tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pada pukul 10.15 pagi.

Kaum kerabat DiRaja Terengganu termasuk anakanda-anakanda Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin menunggu ketibaan jenazah Almarhum.

Cicit Almarhum yang merupakan puteri Sultan Terengganu turut memberi penghormatan terakhir.

Solat jenazah yang diimamkan Mufti Negeri Terengganu.


Jenazah Almarhum diusung dari Istana Maziah menggunakan pedati diraja menuju ke Makam DiRaja Masjid Abidin.


Talkin dan doa dibacakan dan diaminkan oleh kerabat diraja dan tetamu yang hadir.

Tuanku Aishah Rohani yang merupakan anakanda saudara Almarhum berkenan menyiram air mawar di makam Almarhum.

Anakanda tiri Almarhum, Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin menyiram air mawar di makam Almarhum.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU


Almarhum Tuanku Intan Zaharah Dalam Kenangan..

Almarhum Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu Darul Iman Tuanku Hajah Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja,D.K.,D.M.N.,S.S.M.T.,S.P.M.T.,Grand Cordon of the Order of Merit(Republic of Germany), Grand Cordon of the Order of Golden Hearts(Philippines), Grand Cordon of the Order of Queen Sheba(Ethiopia), Grand Cordon of the Order of Precious Crown(Japan), The Orders of Diplomatic Service Merit 1st Class(Republic of Korea), Grand Cordon of the Order of Pleiades 1st Class(Iran), Grand Cordon of the Order of Mugunghwa(Republic of Korea),Grand Order of Mahaputra 1st Class(Republic of Indonesia).

Tuanku Intan Zaharah yang dilahirkan pada 13 April 1928 merupakan kerabat DiRaja Singapura. Ayahanda baginda, Tengku Seri Setia Raja Tengku Omar Hitam Bin Tengku Osman pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan Menteri Besar Terengganu. Bonda baginda merupakan kerabat DiRaja Asahan iaitu Raja Zainab Binti Raja Alang Muhammad Nur. Tuanku Intan bertemu jodoh dengan Sultan Ismail Nasiruddin pada 3 April 1944 dan ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949. Baginda menjadi Raja Permaisuri Agong Keempat pada 19 Ogos 1965 hingga 20 September 1970. Sepanjang menjadi Raja Permaisuri Agong, baginda dan suami banyak membuat lawatan rasmi ke luar negara. Pada ketika ini, Malaysia mula aktif membuat hubungan dengan negara-negara luar. Maka, baginda dikurniakan banyak anugerah kebesaran dari negara luar seperti dari negara Iran, Korea, Ethiopia, Itali, Indonesia dan beberapa negara lagi. Baginda dan suami juga menerima kunjungan Shah Reza Pahlavi dan Shahbanou Farah Pahlavi dari Iran dan Maharaja Ethiopia Maharaja Selaisie semasa menduduki takhta kerajaan persekutuan. Almarhum Tuanku Intan aktif dalam bidang kebajikan dan sering mencemar duli bertemu rakyat jelata. Sesungguhnya pemergian baginda merupakan kehilangan satu lagi permata negara yang pernah bersinar suatu ketika dulu. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh Almarhum Tuanku Intan Zaharah . AL FATIHAH....

Raja Permaisuri Agong Keempat.

Almarhum Tuanku Intan Zaharah semasa muda. Ketika ini baginda berusia awal 20-an.

Pasangan bahagia. Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin (1907-1979) dan Almarhum Tuanku Intan Zaharah (1928-2015).

Lawatan ke negara Korea Selatan pada tahun 1966. Dari kiri Madam Yuk Young-soo, Tuanku Ismail Nasiruddin, President Park Chung-hee dan Tuanku Intan Zaharah ketika menerima tabik hormat setelah keberangkatan tiba baginda berdua ke Korea Selatan.

Menyampaikan titah diraja sambil diperhatikan oleh Almarhum suami baginda Tuanku Ismail Nasiruddin.



Berangkat bersama Tuanku Kurshiah pada majlis Pergerakan Pandu Puteri. Turut kelihatan Tun Rahah dan Tun Dr Fatimah Hashim. Baginda merupakan Penaung Pandu Puteri Kebangsaan dan Pandu Puteri Terengganu.

Menyampaikan titah dalam suatu majlis sambil diperhatikan oleh Prof DiRaja Ungku Aziz.

Detik bersejarah apabila Maharaja Iran Shah Reza Pahlavi membuat lawatan rasmi ke Malaysia. Kelihatan Tuanku Intan bersama Shahbanou Iran Farah Pahlavi di Istana Negara.

Tuanku Intan mendengar titah ucapan Almarhum Tuanku Kurshiah dalam satu majlis Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia. Turut berangkat Tengku Ampuan Selangor, Tengku Ampuan Rahimah dan Tun Sharifah Rodizah, Isteri Tunku Abdul Rahman.


Tuanku Intan merupakan antara permaisuri paling kanan ketika berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang Di Pertuan Agong Ke 3. Turut berangkat Sultanah Bahiyah, Sultanah Aminah, Tuanku Ampuan Durah, Tengku Zainab dan Tengku Ampuan Rahimah.

Ketika merasmikan suatu majlis bagi masyarakat India.

Beramah mesra semasa jamuan hari raya aidilfitri bersama dengan Almarhum Tengku Ampuan Rahimah.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...