Almarhum KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajah Afzan Rahimahallah Binti Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad
D.K., D.M.N., S.S.A.P., S.I.M.P., Order of Tudor Vladimirescu 1st Class (Romania).
Melihatkan wajah di atas ini pasti rakyat negeri Pahang mengetahui siapakah
gerangan tuan empunya badan. Almarhum merupakan isteri kesayangan kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah,baginda
juga disayangi oleh seluruh rakyat negeri bertuah ini. Merupakan bonda kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan merupakan seorang yang
berbudi tinggi dan lemah lembut. Baginda yang dimaksudkan ialah Almarhum KeBawah Duli
Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Ampuan Hajah Afzan Rahimahallah Binti Amarhum Tengku
Panglima Perang Tengku Muhammad, D.K.,D.M.N.,S.S.A.P.,S.I.M.P.,Order Tudor
Vladimirescu 1st Class(Romania).
Diputerikan pada 4 Disember 1932 di Kuala Terengganu.
Baginda mempunyai darah diraja Pahang dan Terengganu. Ayahanda baginda ialah
Almarhum YAM Tengku Panglima Perang Pahang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan
Ahmad Al Muazzam Shah dan bonda baginda ialah Almarhum YAM Tengku Sri Kemala Tengku
Hajah Mandak Aishah Binti Almarhum Tengku Mustapha. Tengku Ampuan Afzan
merupakan cucunda kepada Almarhum KDYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Al-Muazzam
Shah Ibni Almarhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali yang merupakan Sultan Pahang
Moden yang pertama. Manakala bonda baginda pula merupakan kerabat diraja
Terengganu. Ayahanda baginda merupakan seorang putera Sultan yang berkhidmat
dalam perkhidmatan awam. Tengku Muhammad memegang pelbagai jawatan antaranya
sebagai Ketua Polis Seremban, Penolong Penguasa Polis Terengganu, Setiausaha
Sultan Terengganu, seterusnya menjadi Menteri Besar Terengganu bermula tahun
1948 hingga 1950 dan kemudiannya menjadi Menteri Besar Pahang dari tahun 1951
hingga 1957.
Keayuan seorang Permaisuri.
Baginda dididik dengan penuh sempurna oleh ayahanda dan
bonda baginda. Baginda diberikan didikan Melayu,Inggeris dan juga didikan
agama. Baginda juga diajar adat resam turun temurun puteri diraja Melayu.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Perempuan Melayu di Pekan disamping
menerima kelas peribadi dalam matapelajaran Bahasa Inggeris. Baginda
dipersiapkan dengan segala kelengkapan untuk menjadi seorang puteri raja yang
sempurna.
Ketika istiadat persandingan.
Tarikh 22 April 1954 menyaksikan perkahwinan diraja antara
baginda dan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Bilah Ibni Almarhum Sultan
Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muazzam Shah yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota
Pahang. Baginda ketika itu berusia 22 tahun. Istiadat perkahwinan baginda
berdua diadakan di Istana Hinggap Kuala Lipis Pahang. Ketika itu ayahanda
baginda merupakan Menteri Besar Pahang dan ayahanda mertua baginda merupakan
Sultan Pahang. Pasangan diraja ini dikurniakan 2 putera dan 5 puteri. Putera-putera
baginda ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah dan YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman. Manakala puteri-puteri
baginda terdiri daripada YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri
Meriam, YAM Tengku Puteri Seri Teja Tengku Dato’ Muhaini, YAM Tengku Puteri Seri
Kemala Tengku Dato’ Aishah, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Dato’ Nong
Fatimah dan YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Dato’ Shahariah.
Sebagai isteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Ampuan Afzan
diberikan gelaran Tengku Puan Pahang sejurus sehaja selepas berkahwin. Tengku
Ampuan Afzan telah ditabalkan sebagai KDYMM Tengku Ampuan Pahang pada 7 Mei
1974 berikutan pertabalan KDYMM Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang
menggantikan Almarhum Sultan Abu Bakar yang telah mangkat. Baginda menjadi Tengku
Ampuan selama 14 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1988. Baginda
menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 7 pada 10 Julai 1980 setelah Sultan Ahmad Shah ditabalkan sebagai Seri
Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-7. Baginda menghabiskan penggal selama 5
tahun di atas takhta Persekutuan sehingga tahun 1984.
Tengku Ampuan Afzan merupakan seorang permaisuri yang sangat
ambi berat soal kebajikan, kemasyarakatan dan juga soal sukan. Baginda
merupakan penaung dan juga Presiden bagi pelbagai persatuan dan pertubuhan. Antaranya
ialah Penaung Persatuan Bola Jaring Malaysia, Yang Dipertua Lembaga Kebajikan
Perempuan Islam Tanah Melayu, Presiden Persatuan Badminton Tengku Ampuan Pahang,
Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Pahang, Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak
Wanita Pahang, Penaung Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia dan Presiden
Kelab Golf Makmur Diraja Pekan.
Permaisuri yang suka memasak.
Tengku Ampuan Afzan sangat berminat dengan kebajikan wanita
di Malaysia. Baginda sering mengadakan pertemuan dengan ketua pertubuhan
kebajikan,badan-badan sukan dan juga pertubuhan amal untuk mendengar masalah
meraka dan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah itu. Selain itu
baginda juga merupakan ahli sukan yang hebat. Baginda sangat meminati sukan
badminton dan bola jaring. Baginda sering menadakan perlawanan badminton di
Kuala Lumpur,Pulau Pinang dan Terengganu. Baginda mempunyai dewan badminton
sendiri di Jalan Teluk Cempedak Kuantan. Baginda juga gemar memasak, menjahit, membaca
majalah dan menanam pokok bunga. Selain itu baginda juga suka berkelah.
Ketika dipakaikan mahkota semasa Istiadat Pertabalan.
Tengku Ampuan Afzan merupakan seorang yang sangat
mementingkan ajaran agama.Baginda telah berangkat menunaikan fardu haji di
Mekah sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1971 dan 1975. Sepanjang menjadi
Tengku Ampuan dan Raja Permaisuri Agong, baginda telah dikurniakan beberapa
darjah kebesaran. Kali pertama baginda dianugerahkan dengan darjah kebesaran
adalah pada tahun 1972 apabila ayahanda mertua baginda, Sultan Abu Bakar
menganugerahkan Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.). Seterusnya
setelah bergelar Tengku Ampuan, baginda menerima Darjah Kerabat Pahang (D.K.)
pada tahun 1975 dan juga Darjah Sri Sultan Haji Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.).
Sebagai Raja Permaisuri Agong pula, baginda menerima Darjah Utama Seri Mahkota
Negara (D.M.N.) yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 1979.
Sebagai Raja Permaisuri Agong, baginda banyak mengiringi suami baginda membuat
lawatan rasmi ke luar negara. Disebabkan itu, baginda juga dianugerahkan dengan
darjah kebesaran luar negara. Baginda telah menerima Darjah Kebesaran The Order
of Tudor Vladimirescu daripada negara Romania pada 25 November 1982.
Potret sebagai KDYMM Tengku Ampuan Pahang.
Tengku Ampuan Afzan telah mangkat pada 29 Jun 1988 di usia
55 tahun akibat kanser. Baginda mangkat di Istana Pahang Kuala Lumpur pada hari
Rabu pukul 8.42 pagi. Baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Pekan yang
terletak di Masjid Diraja Abu Bakar. Baginda mangkat seminggu selepas
kemangkatan bonda mertua baginda iaitu Almarhum Tengku Ampuan Besar Fatimah. Seminggu
selepas kemangkatan baginda,bonda kandung baginda pula mangkat. Al-Fatihah buat
roh Almarhum dan semoga Almarhum ditempatkan bersama orang-orang beriman.
Keluarga diraja Pahang.
Diatas singgahsana Persekutuan.