Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 23 May 2020

Kurniaan Kad Raya Eksklusif Istana Negara.

Bersempena sambutan 1 Syawal 1441 Hijrah, Warisan Raja & Permaisuri Melayu ingin membawakan kad raya kurniaan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah. Kad Raya Istana Negara pada tahun ini agak berlainan daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Hal ini adalah kerana kad raya pada tahun ini berbentuk seakan-akan "frame" gambar yang tebal, tidak seperti kad raya biasa yang diperbuat daripada kad yang keras. Kad raya eksklusif ini dimuatkan di dalam kotak yang mempunyai logo peribadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Kelainan pada kad raya Istana Negara pada tahun ini pasti hasil idea kreatif Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah. Warisan Raja & Permaisuri Melayu menjunjung kasih di atas kurniaan KDYMM Seri Paduka Tuanku berdua. Daulat Tuanku.

Kotak yang mempunyai lambang Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Bahagian hadapan kad raya yang mempunyai potret Seri Paduka Tuanku berdua semasa Istiadat Pertabalan beserta tandatangan Tuanku berdua.

Bahagian belakang kad raya.




Thursday, 21 May 2020

Peruntukan Gelaran Diraja Untuk Permaisuri Mengikut Negeri.

Dalam semua institusi beraja di mana sahaja, seorang Raja Pemerintah pasti akan mempunyai seorang Permaisuri yang bertakhta dengan baginda. Begitu juga dengan kesultanan Melayu. Tetapi, jika dilihat pada zaman dahulu, tiada gelaran spesifik yang dikurniakan kepada para Permaisuri tersebut. Biasanya, sebelum kemerdekaan, Permaisuri yang akan menjadi suri negeri dan bersemayam di atas takhta adalah Permaisuri dari kalangan kerabat diraja atau dipanggil Permaisuri Gahara. Isteri-isteri Sultan yang terdiri daripada orang biasa tidak akan menduduki takhta bersama Sultan. Hanya isteri Sultan daripada keturunan gahara sahaja akan diangkat menjadi Permaisuri dan bersemayam di atas takhta bersama Sultan. Johor merupakan antara negeri terawal yang mempunyai Permaisuri yang bertakhta bukan daripada kalangan kerabat diraja. Almarhum Sultan Abu Bakar telah melantik isteri baginda seorang wanita berketurunan cina daripada Hong Kong dan dikurniakan gelaran sebagai Sultanah Fatimah pada tahun 1886. Sehingga ke hari ini, Permaisuri-Permaisuri yang bertakhta di singgahsana negeri-negeri bukan sahaja daripada golongan kerabat diraja, malah daripada golongan orang kebanyakan. Bagi sesetengah negeri, gelaran bagi Permaisuri Gahara dengan Permaisuri golongan kebanyakan adalah berbeza. Pengurniaan gelaran kepada Permaisuri ini adalah hak Sultan atau Raja Pemerintah. Berikut merupakan peruntukan gelaran untuk Permaisuri yang bertakhta di negeri-negeri Melayu beraja. 

PERLIS:


Gelaran rasmi bagi suri negeri Perlis hanya wujud pada tahun 1945 setelah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail menaiki takhta. Suri baginda, Duli Yang Maha Mulia Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail dikurniakan dengan gelaran Raja Perempuan Perlis. Setakat ini, hanya dua orang penyandang gelaran Raja Perempuan Perlis sehingga hari ini. DYMM Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail (1945-2000) dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid (2000-sekarang). Penyandang bagi permaisuri dari golongan kebanyakan pula tidak diketahui lagi kerana tiada penyandang dari kalangan rakyat biasa setakat ini. 

KEDAH DARUL AMAN:


Gelaran rasmi bagi suri negeri Kedah dizahirkan pada tahun 1943 selepas KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah menaiki takhta. Pada zaman Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, tiada gelaran Permaisuri dikurniakan kepada isteri-isteri baginda. Hanya 2 orang isteri baginda yang dikurniakan gelaran iaitu isteri ke-4 baginda, YM Cik Larasa diberikan gelaran Che' Puan Paduka Bonda manakala isteri ke-7 baginda YM Che' Menjalara Binti Long Nara diberikan gelaran Mak Che'. Gelaran Sultanah hanya wujud pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Badlishah di mana suri baginda KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah(1943-1958) diberikan gelaran Sultanah. Gelaran ini terus digunakan semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dimana suri gahara baginda iaitu KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman(1958-2003) dan suri baginda dari golongan kebanyakan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Haminah Binti Hamidun (2004-2017), kedua-duanya dikurniakan gelaran Sultanah. Penyandang terkini jawatan Sultanah Kedah ialah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Arif yang ditabalkan pada tahun 2018. Maka, bagi negeri Kedah, gelaran bagi Permaisuri dari golongan kerabat diraja dan golongan orang kebanyakan adalah sama iaitu Sultanah Kedah. 

PERAK DARUL RIDZUAN:


Gelaran Raja Perempuan Perak adalah gelaran bagi Permaisuri Sultan Perak yang berdarah diraja. Gelaran ini pertama kali digunakan semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Idris Murshidul Al Azzam Shah pada tahun 1887. Suri baginda Duli Yang Maha Mulia Raja Nuteh Aishah Binti Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah (1887-1916). Seramai 6 orang Permaisuri bergelar Raja Perempuan Perak termasuk DYMM Raja Perempuan Nuteh Aishah, DYMM Raja Perempuan Nuteh Zahrah (1916-1918), DYMM Raja Perempuan Kelsom (1920-1938), DYMM Raja Perempuan Khadijah (1938-1939), DYMM Raja Perempuan Taayah (1948-1963), dan DYMM Raja Perempuan Muzwin Binti Almarhum Raja Ariff Shah (1963-1984). Gelaran Raja Perempuan Perak kali terakhir digunakan oleh Raja Perempuan Muzwin memandangkan penyandang selepas baginda adalah Permaisuri yang berasal dari golongan kebanyakan. Gelaran bagi suri Sultan Perak dari golongan kebanyakan adalah Raja Permaisuri Perak. Permaisuri Sultan Perak pertama yang bertakha memakai gelaran Raja Permaisuri Perak ialah DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun (1984-2014). Bermula 2014 sehingga kini, gelaran Raja Permaisuri Perak dikurniakan kepada DYMM Tuanku Zara Salim. Sebelum tahun 1984, gelaran Raja Permaisuri dikurniakan kepada suri Sultan Perak dari golongan biasa tetapi tidak bertakhta bersama Sultan. Antara suri Sultan Perak yang dikurniakan gelaran Raja Permaisuri ialah YTM Raja Permaisuri Cik Ngah Uteh Mariah, YTM Raja Permaisuri Che' Yong Sofia, YTM Raja Permaisuri Che' Ngah Manah, YTM Raja Permaisuri Cik Puteh Salah, dan YTM Raja Permaisuri Cik Umi Kalsom. 

SELANGOR DARUL EHSAN:



Gelaran suri Sultan Selangor daripada kalangan kerabat diraja adalah Tengku Ampuan Selangor yang telah digunakan sejak kurun ke 18 lagi. Pertama kali gelaran Tengku Ampuan dikurniakan kepada DYMM Tengku Ampuan Raja Tengah Binti Raja Haji selepas baginda berkahwin dengan DYMM Sultan Ibrahim Shah pada tahun 1796. Seramai 8 orang suri Sultan Selangor dikurniakan gelaran Tengku Ampuan termasuklah DYMM Tengku Ampuan Raja Tengah (1796-1826), DYMM Tengku Ampuan Basik (1826-1857), DYMM Tengku Ampuan Atfah (1857-1898), DYMM Tengku Ampuan Maharum (1898-1908), DYMM Tengku Ampuan Zabedah (1910-1918), DYMM Tengku Ampuan Fatimah (1922-1938), DYMM Tengku Ampuan Jemaah (1938-1942 & 1945-1960), dan DYMM Tengku Ampuan Rahimah (1960-1993). Manakala bagi suri Sultan Selangor daripada golongan kebanyakan pula gelaran yang diberikan ialah Tengku Permaisuri Selangor. Gelaran ini pertama kali digunakan semasa zaman pemerintahan DYMM Sultan Musa Ghiatuddin. Suri baginda, YTM Sharifah Mastura Syed Ahmad Shahabuddin diberikan gelaran Tengku Permaisuri pada tahun 1942 sehingga tahun 1945. 53 tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1998, gelaran ini digunakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Siti Aishah Binti Abdul Rahman. Dan penyandang gelaran Tengku Permaisuri bermula tahun 2017 sehingga sekarang ialah Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin Binti Abdul Rahman.

NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS:


Bermula tahun 1796 hingga 1933, gelaran bagi suri Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dari kalangan kerabat diraja ialah Tuanku Ampuan. Tuanku Ampuan Negeri Sembilan yang pertama ialah DYMM Tuanku Ampuan Aishah Binti Almarhum Sultan Ahmad Shah yang dikurniakan gelaran Tuanku Ampuan pada tahun 1796. Seramai 4 orang suri Yang Di-Pertuan Besar bergelar Tuanku Ampuan iaitu DYMM Tuanku Ampuan Aishah (1796-1808), DYMM Tuanku Ampuan Ngah Raja Hitam (1808-1824), DYMM Tuanku Ampuan Intan Tunku Alang Hussain (1831-1861) dan DYMM Tuanku Ampuan Chik (1888-1933). Selepas tahun 1933 hingga kini, suri Yang Di-Pertuan Besar berdarah diraja bergelar Tuanku Ampuan Besar. Seramai 4 orang Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan bermula tahun 1933 iaitu DYMM Tuanku Ampuan Besar Kurshiah Tunku Besar Burhanuddin (1933-1960), DYMM Tuanku Ampuan Besar Durah Tunku Besar Burhanuddin (1960-1967), DYMM Tuanku Ampuan Besar Najihah Tunku Besar Burhanuddin (1967-2008) dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud (2008-kini). Manakala bagi suri Yang Di-Pertuan Besar dari kalangan orang biasa, gelaran yang diberi ialah Che' Ampuan Besar. Gelaran ini pertama kali digunakan pada tahun 1778 dan dikurniakan kepada YTM Che Ampuan Besar Cik Sani Binti Penghulu Naam. Gelaran lain yang digunakan adalah Cik Puan Besar dan Encik Puan Besar. 

JOHOR DARUL TAKZIM:



Dalam sejarah Johor moden, terdapat beberapa gelaran dikurniakan kepada Suri Sultan Johor. Suri Sultan Johor diberikan gelaran rasmi sebagai suri negeri ialah DYMM Encik Puan Fatimah yang dikurniakan gelaran Maharani, memandangkan suami baginda Almarhum Sultan Abu Bakar bergelar Maharaja Johor. Tetapi, gelaran tersebut ditukar kepada Sultanah pada tahun 1886. Sultanah Fatimah adalah suri negeri daripada kalangan orang biasa dan baginda merupakan seorang wanita berbangsa Cina. Gelaran Sultanah Johor adalah gelaran yang paling kerap dikurniakan kepada suri Sultan Johor tidak kira daripada golongan kerabat diraja ataupun golongan kebanyakan. Seramai  orang suri Sultan Johor yang dikurniakan gelaran Sultanah iaitu DYMM Sultanah Fatimah (1886-1891), DYMM Sultanah Khadijah (1894-1895), DYMM Sultanah Rogayah (1920-1926), DYMM Sultanah Helen (1930-1937), DYMM Sultanah Marcella (1947-1959), DYMM Sultanah Aminah (1959-1977), DYMM Sultanah Nora (1977-1981), dan DYMM Sultanah Zanariah (1981-2010). Pada zaman awal pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, suri pertama baginda dikurniakan gelaran Tunku Ampuan Johor. DYMM Tunku Ampuan Maimunah adalah satu-satunya suri Sultan Johor yang dikurniakan gelaran ini. Selepas kemangkatan Tunku Ampuan Maimunah pada tahun 1909, gelaran ini tidak digunakan lagi. DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan gelaran Permaisuri Johor kepada suri baginda DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah. Gelaran ini merupakan pertama kali digunakan untuk suri Sultan Johor.

PAHANG DARUL MAKMUR:


Gelaran suri Sultan Pahang yang mempunyai darah diraja adalah Tengku Ampuan Pahang. Gelaran ini pertama kali digunakan semasa pemerintahan Sultan Pahang Moden yang pertama iaitu Almarhum Sultan Ahmad Muazzam Shah. Suri baginda DYMM Tun Besar Fatimah diberikan gelaran Tengku Ampuan pada 1884 dengan panggilan hormat Duli Yang Maha Mulia. Sejak itu, seramai 6 orang suri Sultan Pahang yang berdarah raja dikurniakan gelaran Tengku Ampuan Pahang iaitu DYMM Tengku Ampuan Fatimah Tun Muhammad (1884-1914), DYMM Tengku Ampuan Mariam Sultan Sir Abu Bakar (1914-1917), DYMM Tengku Ampuan Kalsum Tun Abdullah (1917-1932), DYMM Tengku Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah (1932-1974), KDYMM Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad (1974-1988) dan KDYMM Tengku Ampuan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar (2019-sekarang). Bagi suri Sultan Pahang dari golongan kebanyakan pula, pertama kali gelaran Sultanah Pahang dikurniakan kepada DYMM Sultanah Kalsom Abdullah pada tahun 1992. Baginda merupakan satu-satunya suri Sultan yang memegang gelaran Sultanah Pahang. 

KELANTAN DARUL NAIM:


Pada kurun ke 19, gelaran suri Sultan Kelantan adalah Tengku Ampuan. Gelaran ini dikurniakan kepada DYMM Tengku Ampuan Batoh Binti Tuan Long Yusuf. Pada 1877, gelaran baginda ditukar menjadi Sultanah. Gelaran Tengku Ampuan Kelantan terus digunakan pada tahun 1890 dan dikurniakan kepada DYMM Tengku Ampuan Sofiah Binti Tengku Putih (1890-1891). Pada tahun 1900, gelaran Sultanah Kelantan dikurniakan kepada DYMM Sultanah Zainab Binti Muhammad Amin (1900-1920). Pada 1944, gelaran Raja Perempuan Kelantan dikurniakan kepada Suri Sultan Kelantan yang berdarah raja. DYMM Raja Perempuan Zainab Binti Tengku Zainal Abidin merupakan suri Sultan Kelantan pertama menggunakan gelaran Raja Perempuan. Selepas itu, gelaran Raja Perempuan digunakan oleh DYMM Raja Perempuan Zainab II Binti Tengku Muhammad Petra (1960-1979) dan DYMM Raja Perempuan Tengku Anis Binti Tengku Abdul Hamid (1979-2010). Gelaran Raja Perempuan Kelantan kosong bermula tahun 2010 hingga sekarang kerana KDYMM Sultan Muhammad V tidak mempunyai isteri. 

TERENGGANU DARUL IMAN:



Pada awal abad ke-19, suri Sultan Terengganu dikurniakan gelaran Tengku Besar Perempuan. Gelaran ini dikurniakan kepada DYMM Tengku Besar Perempuan Tengku Putri Almarhum Sultan Mahmud Alam Shah (1808-1830). Pada tahun 1830, gelaran tersebut ditukar kepada Tengku Ampuan Besar, gelaran bagi suri Sultan Terengganu yang berdarah raja. Gelaran ini pertama kali dikurniakan kepada DYMM Tengku Sulong Binti Tengku Muhammad (1830-1837). Seramai  orang suri Sultan Terengganu dikurniakan gelaran Tengku Ampuan Besar termasuklah DYMM Tengku Ampuan Besar Kulsum Binti Almarhum Sultan Muhammad Muazzam Shah (1876-1881), DYMM Tengku Ampuan Besar Mariam Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah (1920-1942), DYMM Tengku Ampuan Besar Ainon Jamil Almarhum Sultan Sir Abu Bakar (1942-1945), KDYMM Tengku Ampuan Besar Intan Zaharah Almarhum Tengku Omar (1945-1979), dan KDYMM Tengku Ampuan Besar Bariah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah (1979-1998). Pada tahun 1918, suri Almarhum Sultan Muhammad II Muazzam Shah, DYMM Tengku Ngah Aishah Binti Almarhum Sultan Abdul Rahman Lingga dikurniakan gelaran Sultanah Terengganu. Gelaran Sultanah Terengganu ini kemudiannya dikurniakan kepada suri Sultan Terengganu dari golongan kebanyakan iaitu KDYMM Sultanah Nur Zahirah (1998-sekarang). Sultanah Nur Zahirah pada awalnya dikurniakan gelaran Permaisuri Terengganu pada tahun 1998 dan kemudiannya ditukar kepada Sultanah Terengganu pada tahun 2006. 

Tuesday, 5 May 2020

DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa.


Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan
Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa,
D.K., D.K.A., S.P.C.M., J.S.M.

Sistem pewarisan takhta negeri Perak Darul Ridzuan adalah berlainan daripada negeri-negeri yang lain. Pewaris takhta negeri Perak tidak semestinya daripada putera kepada Sultan yang memerintah. Sistem di negeri Perak tidak mengikut warisan secara turun temurun daripada Sultan kepada puteranya. Negeri Perak mengamalkan penggiliran berdasarkan tiga keluarga iaitu kerabat daripada keluarga Almarhum YAM Raja Bendahara Alang Iskandar, Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah dan Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II. Sebelum seseorang putera negeri Perak bergelar Raja Pemerintah, baginda perlu memegang jawatan Raja-Raja Bergelar. Jawatan Raja-Raja Bergelar tersebut adalah Raja Kechil Bongsu, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Besar, Raja DiHilir, Raja Muda dan Paduka Seri Sultan Perak. Kali ini Warisan Raja & Permaisuri Melayu akan membawakan penyandang gelaran Raja Muda Perak yang terkini. Setelah kemangkatan Almarhum Paduka Seri Sultan Azlan Shah Al-Maghfur-lah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada 28 Mei 2014, DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah menaiki takhta negeri Perak Darul Ridzuan sebagai Paduka Seri Sultan Perak ke 35 dengan begelar Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al Maghfur-lah. Berikutan perlantikan Sultan Nazrin itu, maka jawatan Raja Bergelar di negeri Perak telah dirombak. Jawatan Raja Muda Perak yang dikosongkan oleh Sultan Nazrin telah diisi begitu juga jawatan Raja Bergelar yang lain.

Menyampaikan titah di hadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

Jawatan Raja Muda Perak telah diisi oleh Duli Yang Amat Mulia Raja Dato' Seri Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang merupakan DYAM Raja DiHilir Perak sebelum ini. Baginda dilantik sebagai Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak pada 10 Mac 1998.  Setelah mengisi jawatan Raja Muda Perak baginda bergelar Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, D.K., D.K.A., S.P.C.M., J.S.M.


Raja Jaafar diputerakan pada 26 September 1941 di Hospital Taiping, Perak. Baginda merupakan putera sulung kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Al Mu'tasim Shah Billah dan YABhg Che Puan Mariam Binti Abdullah. Ayahanda baginda merupakan Raja Muda Perak bermula tahun 1963 hingga tahun 1983. Raja Jaafar juga merupakan cucunda kepada Sultan Perak Darul Ridzuan yang ke 31. Nenda baginda ialah Almarhum Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Al-Mu’tassim Billah Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang memerintah negeri Perak bermula tahun 1938 hingga 1948 dan Almarhum Raja Perempuan Khadijah Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al-Azzam Shah.

Raja Jaafar mendapat pendidikan awal di Anderson School Ipoh sebelum meneruskan pelajaran ke Anglo Chinese School Teluk Intan. Kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya dan mendapat Bachelor of Art pada tahun 1965. Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana di Cornell University, New York, Amerika Syarikat dan memperoleh Master of Public Administration pada tahun 1975.

Bersama Almarhum Raja Nur Mahani.

Baginda merupakan penjawat awam yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran. Baginda memulakan tugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1966 ketika berusia 25 tahun. Seterusnya berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah pada tahun 1966 hingga 1971. Baginda kemudiannya beralih ke peringkat persekutuan dengan menyertai Pejabat Jabatan Perdana Menteri sebagai konsultan pengurusan bermula tahun 1976 hingga 1979. Seterusnya berpindah ke Kementerian Pendidikan sebagai Setiausaha Sulit di kementerian berkenaan pada 1979 hingga tahun 1984. Baginda seterusnya bertugas di Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (1985-1989). Jawatan kemuncak baginda didalam perkhidmatan awam ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Kewangan) Kementerian Pertahanan bermula tahun 1989 hingga tahun 1996. Baginda bersara wajib daripada perkhidmatan awam pada tahun 1996 ketika berusia 55 tahun. Pengalaman luas baginda selama 30 tahun dalam bidang perkhidmatan awam banyak membentuk karekter kepimpinan baginda.

Majlis perkahwinan baginda dengan DYTM Raja Nazhatul Shima.

Raja Jaafar menyertai senarai pewaris takhta negeri Perak pada tahun 1984. Baginda diberikan gelaran Raja Kechil Tengah pada 3 Februari 1984 oleh Almarhum Sultan Azlan Shah dan memegang jawatan ini sehingga tahun 1988.  Kemudiannya dinaikkan ke Raja Kechil Sulong bermula pada tahun 1988 hingga 1998 selama hampir 10 tahun. Setelah kemangkatan DYAM Raja DiHilir Raja Ahmed Hisham pada tahun 1997 ketika berusia 91 tahun, jawatan Raja DiHilir kosong selama setahun. Raja Jaafar dikurniakan jawatan DYAM Raja DiHilir pada 10 Mac 1998. Baginda menjadi Raja DiHilir selama 16 tahun sebelum dinaikkan ke DYTM Raja Muda Perak pada tahun 2014 ketika berusia 73 tahun.


Raja Jaafar mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah pada tahun 1973 pada usia 32 tahun. Raja Nor Mahani mangkat pada 3 Oktober 2017 ketika brusia 75 tahun dan dimakamkan di Makan Diraja Al-Ghufran. Bgainda berdua dikurniakan seorang putera iaitu YAM Raja Shah Azman pada tahun 1974 dan seorang puteri YAM Raja Nur Azwina pada tahun 1976. Kali keduanya baginda mendirikan rumah tangga dengan Cik Puan Hasliza Ishak namun Cik Puan Hasliza telah meninggal dunia pada 6 Oktober 2002. Selepas kemangkatan Almarhumah Raja Nor Mahani pada 2017, Raja Jaafar telah mendirikan rumah tangga buat kali ketiga dengan YAM Raja Puan Mahkota Perak Raja Dato’ Seri Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris Shah pada 12 Januari 2019. Selepas berkahwin, Raja Nazhatul Shima bergelar Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak.

Ketika mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.

Raja Jaafar merupakan Komander Kehormat Tentera Laut DiRaja Malaysia. Baginda juga Presiden Pemilik Kereta Sport Mini dan juga memegang jawatan sebagai Penaung DiRaja Kelab Golf Perak. Baginda bersemayam di Istana Al-Ridhuan, Ipoh, Perak.  Raja Jaafar pernah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak semasa Sultan Nazrin menjadi Pemangku Yang Di-Pertuan Agong. Baginda dianugerahi dengan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) Perak pada 6 Mei 2015. Baginda juga pernah dikurniakan dengan Darjah Kerabat Azlaani Pangkat Pertama (D.K.A.), Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.) yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Johan Setia Mahkota daripada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.


Bersalaman dengan YTM Raja Nazira Safya sambil diperhati DYMM Tuanku Zara Salim.

DYAM Raja DiHilir, DYTM Raja Muda dan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Sunday, 3 May 2020

Tengkolok Emas Negeri Kedah.





Setiap negeri beraja di Malaysia mempunyai alat-alat kebesarannya tersendiri. Alat-alat kebesaran diraja ini digunakan ketika istiadat-istiadat tertentu terutamanya Istiadat Pertabalan Raja Pemerintah. Untuk kesultanan Kedah, antara alat kebesaran negeri yang digunakan semasa Istiadat Pertabalan adalah Keris Kerajaan, Keris Pendek Diraja, Cogam Alam, Cogan Agama, Al-Quran, Surat Sumpah Jawatan, Surat Pengisytiharan, Warkah Qalam Suci, Tengkolok Emas, Benian, Puan Sirih, Kendi dan Emas. Alat kebesaran yang ini ditonjolkan pada tulisan kali ini ialah Tengkolok Emas. 


Selain daripada tengkolok rasmi yang dipakai KDYMM Sultan Kedah, negeri Kedah juga mempunyai sebua lagi destar yang dinamakan Tengkolok Emas. Namun, Sultan Kedah tidak memakai tengkolok ini ketika istiadat pertabalan, ianya berfungsi sebagai alat kebesaran sahaja. Tengkolok Emas ini dibawa bersama-sama alat kebesaran lain dan diletakkan di meja khas berhadapan singgahsana. Semasa Istiadat Pertabalan KDYMM Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 22 Oktober 2018, Tengkolok Emas ini dibawa masuk oleh Dato' Lela Bakti untuk diletakkan di meja khas di hadapan singgahsana. 


Tengkolok emas ini merupakan lilitan kain yang berlapis-lapis dalam pelbagai bentuk, warna, dan mutu atau jenis kain. Tengkolok Emas ini diperbuat daripada kain satin berwarna kuning diraja dan bertatahkan emas dan berlian sebagai hiasan. Tengkolok ini menyerupai "Igal" orang Arab yang dililit sebanyak lima lilitan. Tengkolok ini kelihatan seolah-olah sebuah mahkota. Tengkolok Emas ini tidak pernah dilihat dipakai oleh Sultan Kedah dalam mana-mana adat istiadat. 


Tengkolok Emas ini hanya dilihat dipakai oleh putera diraja Kedah semasa istiadat perkahwinan baginda. Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah memakai Tengkolok Emas ini semasa Istiadat Persandingan baginda dengan Almarhumah Sultanah Bahiyah di Istana Besar Seri Menanti pada 9 Mac 1956. Seterusnya, Tengkolok Emas ini dipakai oleh adinda baginda iaitu Raja Muda Kedah Almarhum Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah semasa Istiadat Persandingan baginda dengan Almarhumah Tengku Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj di Istana Alam Shah pada bulan Julai 1956. 

Friday, 1 May 2020

Khas Sempena Keputeraan Ke-78 Sultan Kedah: Jiwa Ketenteraan Sultan Sallehuddin.



Bersempena Hari Keputeraan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah ke-78 pada 30 April 2020, Warisan Raja & Permaisuri Melayu membawakan satu post khas mengenai KDYMM Tuanku dan kerjaya baginda di dalam bidang ketenteraan. Baginda diputerakan sebagai seorang putera gahara kepada pasangan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 30 April 1942. Baginda merupakan cucunda kepada dua orang Sultan iaitu Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhum Sultan Terengganu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Sultan Zainal Abidin. Ayahanda baginda menaiki takhta pada usia Sultan Sallehuddin baru sahaja setahun iaitu pada tahun 1943. Putera  ke-9 daripada 14 orang putera dan puteri Almarhum Sultan Badlishah ini kehilangan ayahandanya pada usia 16 tahun iaitu pada tahun 1958. Kekanda sulung baginda, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menggantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Kedah. 


Sultan Sallehuddin memulakan persekolahan baginda di Sekolah Alor Merah pada tahun 1949 dan seterusnya ke Kolej Sultan Abdul Hamid. Sebagai seorang pelajar yang sukakan aktiviti luar, baginda menyertai Persatuan Pengakap. Baginda suka menyertai ekspidisi di dalam hutan seawal usia remaja lagi. Baginda pernah menyertai latihan Pengakap di kawasan hutan di Sik, Kedah. Disebabkan kecintaan baginda kepada aktiviti luar, maka bermulalah minat baginda kepada bidang ketenteraan. Selepas menghabiskan persekolahan pada tahun 1958, baginda bekerja sebagai guru sementara selama 6 bulan di Sekolah Kebangsaan Iskandar. Ketika itu baginda sedang menunggu keputusan peperiksaan Senior Cambridge baginda. Pada tahun 1962, atas titah Paduka Kekanda baginda, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, baginda telah bersetuju untuk menjalani latihan ketenteraan di India Military Academy di Dehra Dun, India. Sebab utama baginda menjalani latihan ketenteraan di India adalah kerana Almarhum Sultan Abdul Halim mempunyai hubungan baik dengan Duta India di Malaysia dan Almarhum telah meminta supaya adinda Almarhum menjalani latihan ketenteraan di India. Baginda menjalani latihan ketenteraan bermula 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963. Sepatutnya, latihan baginda adalah selama 2 tahun. Namun, disebabkan India berperang dengan China, maka latihan baginda dipendekkan. Selepas mendapat keputusan daripada latihan ketenteraan baginda, baginda mendapat panggilan temuduga di Kementerian Pertahanan. 


Maka, bermulalah kerjaya baginda sebagai seorang pegawai tentera. Baginda telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Februari 1964 dan ditempatkan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Sebagai permulaan, baginda dihantar untuk membuat operasi di Jeli di sempadan Thailand. Selepas tamat operasi di Jeli, baginda dihantar pula ke Hutan Melintang, Perak. Semasa zaman Konfrontasi Indonesia-Malaysia, baginda telah berkhidmat di Kalabakan dan menjalankan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia seperti di Kampung Mentadah, Simpang Tiga, Apas, Balong dan lain-lain lagi. Batalion ke-2 RAMD kemudiannya berpindah semula ke Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1965. Pada tahun 1966, battalion baginda berpindah pula ke Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Pada tahun 1967, baginda menjalankan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia di Bau, Sarawak selama 9 bulan. Kompeni baginda menjalankan operasi di kawasan Pedawan. Pada tahun 1969, baginda ditempatkan pula di Kem Tok Jalai, Kedah untuk menjalankan operasi di sempadan. Baginda juga pernah berkhidmat di Sandakan, Sabah untuk menjalankan operasi. Baginda sedang beroperasi di Pulau Pinang semasa peristiwa 13 Mei 1969 berlaku. Baginda bersara daripada bidang ketenteraan pada usia yang agak muda iaitu 32 tahun, selepas 10 tahun berkhidmat. Baginda bersara pada 14 Februari 1974. Dalam tempoh 10 tahun berkhidmat sebagai perwira, baginda telah banyak menjalani operasi mempertahankan sempadan negara daripada diceroboh musuh. Walaupun bergelar putera raja, baginda tidak kekok untuk mengangkat senjata mempertahankan negara. Negeri Kedah khususnya dan negara Malaysia amnya amat bertuah kerana mempunyai seorang Raja dan Sultan yang pernah menumpah bakti sebagai seorang perwira. Semoga Allah SWT melanjutkan usia KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. 

Tuesday, 28 April 2020

5 Ramadan 1422 Hijrah : Kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj
(8 Mac 1926 - 21 November 2001).

Tarikh hari ini 5 Ramadan 1441 Hijrah bersamaan 28 April 2020 merupakan Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhm Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj. Baginda mangkat pada 5 Ramadan 1422 Hijrah bersamaan 21 November 2001. Seluruh negara menerima berita sedih kemangkatan baginda semasa  bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ke 11, dimasa rakyat masih menantikan kesembuhan baginda daripada gering. Baginda juga yang Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Ke-8 meninggalkan balu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah.

Jenazah dibawa keluar daripada Istana Negara.

Orang ramai menunggu di luar perkarangan istana. 

Raja Permaisuri Agong Tanku Siti Aishah, Tengku Idris Shah, Pemangku Yang Di-Pertuan Agong Sultan Mizan dan Dato' Seri Dr Mahathir.


Baginda mangkat pada pukul 11.57 pagi di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang pada usia 75 tahun. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menerusi siaran televisyen dan radio. Beliau mengumumkan negara berkabung selama 7 hari dan meminta bendera dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh itu. Manakala negeri Selangor pula berkabung selama 40 hari. Baginda menghembuskan nafas terakhir setelah lima hari berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa menggunakan alat bantuan penafasan dan mesin dialisis. Seri Paduka gering selama dua bulan kerana masalah jantung.

Almarhum sewaktu baginda dirawat di hospital.


Almarhum Sultan Salahuddin merupakan Yang Di Pertuan Agong keempat mangkat ketika bertakhta. Ayahanda baginda Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah juga mangkat ketika menjadi Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1960. Almarhum Sultan Salahuddin dimasukkan ke Pusat Rawatan Rapi (ICU) sekembalinya dari mendapatkan rawatan di Singapura.  Baginda sebelum itu dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth selama 2 bulan untuk mendapatkan rawatan setelah menjalani satu pembedahan kecil pada 6 Oktober 2001. Disebabkan kegeringan baginda, Timbalan Yang Di-Pertuan Agong KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah dilantik sebagai Pemangku Yang Di-Pertuan Agong sementara menunggu baginda sembuh seperti sedia kala. Namun, takdir Allah telah menentukan bahawa seorang Raja yang sangat dikasihi rakyat ini mangkat di bulan Ramadan yang mulia. 

Jenazah sampai di Masjid Negara.

Solat jenazah di Masjid Negara. 

Jenazah dibawa keluar dari Masjid Negara.

Tarikh 22 November 2001 diisytiharkan sebagai cuti umum untuk membolehkan rakyat jelata memberikan penghormatan terakhir kepada baginda. Jenazah baginda telah disemayamkan di atas paterana di Balairong Seri Istana Negara untuk tujuan penghormatan terakhir. Setelah selesai Istiadat Penghormatan Terakhir, jenazah baginda diarak daripada Istana Negara menuju ke Masjid Negara melalui Dataran Merdeka. Ribuan rakyat mengiringi perjalanan terakhir baginda disamping Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah, DYMM Pemangku Raja Selangor Tengku Idris Shah, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Dr. Mahathir dan isteri YABhg Datin Seri Dr Siti Hasmah serta para kenamaan dan kerabat diraja. Setelah tiba di Masjid Negara, jenazah baginda disolatkan oleh ribuan jemaah yang mengasihi baginda. Setelah selesai solat jenazah, jenazah baginda dibawa menuju ke Istana Alam Shah untuk Istiadat Mengangkat Sumpah Sultan Selangor yang baru. 

Jenazah disemayamkan di Balairong Seri Istana Alam Shah.

Tengku Idris Shah melafaz sumpah sebagai Sultan Selangor Ke-9.

Jenazah dibawa keluar daripada Istana Alam Shah ke Makam Diraja.

Jenazah baginda disemayamkan di tengah-tengah Balairong Seri Istana Alam Shah. Keranda yang ditutup dengan kain kuning mempunyai lambang peribadi Yang Di-Pertuan Agong itu diletakkan di atas paterana 3 tingkat dan dikelilingi dengan darjah-darjah kebesaran baginda. Putera sulung baginda, Pemangku Raja Selangor DYMM Tengku Idris Shah telah melafaz sumpah jawatan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Ke-9 di hadapan jenazah baginda. Setelah selesai Istiadat Menangkat Sumpah, jenazah baginda dibawa keluar dari Istana Alam Shah menuju ke Makam Diraja Klang yang terletak di perkarangan Masjid DiRaja Sultan Sulaiman. Baginda dimakamkan penuh adat istiadat diraja Selangor dan dimakamkan bersebelahan makam Ayahanda baginda Almarhum Sultan Hisamuddin. Istiadat Pemakaman baginda dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah, DYMM Raja-Raja Melayu serta DYMM Permaisuri-Permaisuri, DYMM Tengku Idris Shah, adinda-adinda serta seluruh kerabat diraja Selangor, adinda-adinda baginda termasuk YMM Tengku Ampuan Bariah dan DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah, YMM Tengku Ampuan Tua Tuanku Intan Zaharah, kerabat-kerabat diraja negeri-negeri serta pembesar-pembesar negara dan negeri. 

Adinda baginda Tengku Besar Putra Tengku Ismail Shah, putera baginda Tengku Abdul Samad Shah dan Tengku Ahmad Shah.

Tengku Idris Shah melihat jenazah ayahanda baginda dimasukkan ke dalam makam.

Talkin dibacakan selepas jenazah selamat dimakamkan.

Walaupun selepas 19 tahun kemangkatan baginda, baginda tetap diingati sebagai seorang Raja yang amat kasihkan rakyatnya. Memori baginda bersama rakyat tidak akan terpadam selama-lamanya. Sempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hari ini, sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan Almarhum. Al-Fatihah.


Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah.

Adinda baginda Tengku Ampuan Bariah, Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis, Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah dan adinda baginda Raja Puan Muda Tengku Raudzah.

Raja Permaisuri Agong memapah adinda ipar baginda Tengku Raudzah sambil dibantu oleh Tengku Ampuan Tua Tuanku Intan Zaharah.

Makam Almarhum di dalam Makam Diraja Klang.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...