Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 27 July 2019

Khas Sempena Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16: Pakaian Istiadat Yang Di-Pertuan Agong.

Sesuai dengan ketinggian dan kedaulatan seseorang Raja, pakaian rasmi atau pakaian istiadat Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mestilah mempunyai nilai yang kaya dengan adat resam dan budaya Melayu. Sebagai seorang Ketua Negara, penampilan baginda ke Istiadat Diraja amat dinantikan. Semenjak merdeka lagi, kerajaan Pesekutuan telah menetapkan beberapa pakaian yang harus dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Pakaian rasmi ini akan dipakai dalam Istiadat-istiadat penting seperti Istiadat Pertabalan Baginda sendiri, Pembukaan Sidang Parlimen, Istiadat Penganugerahan Bintang Persekutuan dan banyak lagi. Pakaian ulu bagi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Tengkolok Diraja. Tengkolok Diraja ini merupakan salah satu simbol terpenting dalam pakaian Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong memandangkan tengkolok merupakan pakaian tradisi turun menurun masyarakat Melayu. Muskat pula menjadi pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong selepas merdeka ilham daripada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Selain itu, Mess Kit, Pending Diraja dan juga Keris Pendek Diraja juga merupakan pakaian rasmi bagi baginda. 

Semenjak tahun 1957 hingga 1960, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong belum lagi memakai Muskat sebagai pakaian rasmi baginda. Ketika ini, songket berwarna biru merupakan pakaian rasmi baginda yang dipakai bersama Tengkolok Diraja dan pakaian kebesaran yang lain. Dua orang Yang Di-Pertuan Agong yang tidak memakai Muskat ialah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.

TENGKOLOK DIRAJA


Salah satu pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu ialah Tengkolok Diraja. Semenjak beberapa kurun lamanya, Raja-Raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan pelbagai solek di ulunya sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Kain ulu itu dinamakan Tengkolok. Tengkolok Diraja yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari Pertabalan baginda adalah berwarna hitam bersulam benang emas. Soleknya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan. Di bahagian hadapan Tengkolok Diraja ini dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih. Di tengah-tengah bintang terdapat lambang kerajaan Persekutuan yang berwarna warni. 

MUSKAT


Muskat merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Rekabentuk asal baju ini dari ibu negara Oman, Muskat yang merupakan negara Islam yang terletak berhampiran negara Iran. Pakaian rasmi ini mula dipakai pada tahun 1960, iaitu semasa Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 Tuanku Syed Putra Jamalullail. Pakaian ini diilhamkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Pertama. Baju ini telah diubahsuai daripada pakaian rasmi pegawai-pegawai kerajaan Negeri Kedah. Baju ini diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam yang dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia. Baju ini labuh hingga ke paras peha dan berlengan panjang. Pada kebiasaannya, baju ini dipakai bersekali dengan seluar panjang berwarna hitam dan bersulam di kaki dan juga Tengkolok Diraja. Pakaian ini dipakai sempena Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong, lawatan-lawatan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Ke Negeri-Negeri Seluruh Malaysia dan juga Perasmian Persidangan Penggal Parlimen.

PENDING DIRAJA


Pending Diraja diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah berlian dan bersulamkan dengan permata delima dan di tengah-tengahnya pula tertera lambang kerajaan Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas dengan corak berbunga-bunga. Pending Diraja ini berfungsi seakan tali pinggang. Semenjak 1957,terdapat dua versi Pending Diraja ini. Bermula daripada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama hingga ke-7, Pending bersaiz besar digunakan. Pada pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-8 Sultan Iskandar, Pending bersaiz kecil dipakai sehinggalah ke hari ini. 

KERIS PENDEK DIRAJA


Keris Pendek Diraja diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas. Hulu keris ini dinamakan Hulu Pekaka dan berupa kepala Garuda. Di sampir keris ini diterapkan dengan lambang Kerajaan Persekutuan. Keris ini ialah salah satu pakaian kebesaran Diraja dan seperti Keris Panjang Diraja, ianya hanya dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.


KERIS PANJANG DIRAJA


Alat kebesaran Melayu yang sangat dimuliakan adalah keris dan Keris Panjang Diraja adalah alat kebesaran negara yang utama dalam istiadat pertabalan. Keris Panjang Diraja adalah Keris Kerajaan dan merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan. Keris ini, dari hulu hingga ke sarungnya bersalut dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas Negeri-negeeri Tanah Melayu. Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil daripada sebelas bilah keris negeri-negeri itu. Hulu keris ini berbentuk Tapak Kuda dengan hiasan yang merupakan buah jering. Keris ini hanya dibawa oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat-istiadat tertentu sahaja.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Pada zaman bagindalah Muskat mula dipakai.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Sultan Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke- 5 Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6 Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Bagunda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7 Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muazzam Shah.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-8 Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-9 Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-10 Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-11 Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus'tain Billah.

MESS KIT


Mess kit merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika menghadiri majlis santapan malam beristiadat. Mess Kit telah diwujudkan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 20 Februari 2009. Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan cadangan reka bentuk Mess Kit. Cadangan reka bentuk Mess Kit telah diangkat untuk disembah perkenan dalam Mesyuarat Pre-Council Majlis Raja-Raja Ke-222 pada 12 Oktober 2009. Setelah mengambil kira pandangan dan nasihat Duli-Duli Yang Maha Mulia RajaRaja, pengubahsuaian sewajarnya telah dilakukan dan akhirnya Mess kit tersebut telah sempurna disiapkan dan disembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong XIII pada 24 November 2011. Dengan itu, secara rasminya Mess Kit menjadi salah satu daripada pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di samping Muskat.

Secara umumnya reka bentuk dan corak Mess Kit diolah berdasarkan kepada Muskat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Awan larat pada kolar dan lengan baju merupakan elemen seni reka yang begitu signifikan dengan istana yang melahirkan identiti kebangsaan. Manakala Bunga Raya merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia yang melambangkan keberanian, perpaduan dan lima kelopak pula menggambarkan lima prinsip Rukun Negara. Mess Kit ini dipakai bersekali dengan vest dan kemeja berwarna putih di samping seluar panjang hitam yang mempunyai jalur berwarna keemasan di bahagian tepinya. Aksesori tambahan terdiri daripada e polet yang dihiasi lambang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan keris bersilang, di mana keris merupakan sebahagian pakaian kebesaran Diraja, di antaranya pula diletakkan lima bintang pecah lima yang disusun secara bulatan menggambarkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera. Menghiasi bahagian dada sebelah kanan pula adalah aiguilette berwarna keemasan yang sinonim dengan pakaian seragam untuk menambah kesegakan.

Setakat ini, hanya 3 orang Yang Di-Pertuan Agong memakai Mess Kit ini semasa Istaidat Santapan. Bermula dengan Tuanku Mizan, Tuanku Abdul Halim dan yang terakhir Sultan Muhammad V. Pada Istiadat Santapan Sempena Pertabalan nanti, Sultan Abdullah akan mengenakan Mess Kit ini.

Sultan Muhammad V memakai Mess Kit semasa Santapan Pertabalan baginda.

Tuanku Abdul Halim memakai Mess Kit semasa berangkat ke negara Thailand.

Tuanku Mizan Zainal Abidin memakai Mess Kit sempena Santapan Perpisahan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong.


6 comments:

  1. Assalamualaikum, nama saya amirrul, saya ingin bertanya tentang keris pusaka. Boleh saya tahu dengan siapa saya perlu mencari dan bertanya tentang keris pusaka ini. Dah bertahun lama saya menunggu jawapan tetapi tidak ada orang yang saya dapat jumpa dan bertanya. Keris ini adalah keris kerabat diraja. Saya ingin meminta pertolongan dengan keturunan kerabat yang boleh membantu saya sekeluarga. Insyallah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Klo nk tanya saya pon saya keris sya pon pusaka juga ke 0167273609 cuba tgok fb saya

      Delete
  2. Klo 2 jantina ada maksud kan dgn keturunan diraja sapa pernah tahu

    ReplyDelete
  3. assalammualaikum, saya nk tanye adakah pakaian ini boleh dipakai oleh rakyat biasa

    ReplyDelete
  4. Saya suka tengok istiadat pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong

    DAULAT TUANKU

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...