KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong
Sultan Muhammad V
Sultan Muhammad V
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.(Selangor), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Johor), D.K.(Perak), D.K.(Perlis), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.
Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V.
Tarikh 24 April 2017 menyaksikan
satu lagi istiadat penuh bersejarah berlangsung. Seorang lagi Raja Melayu
ditabalkan naik takhta kerajaan Persekutuan dengan gelaran Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, 47
ditabalkan dengan penuh adat istiadat Melayu. Baginda merupakan Ketua Negara
yang ke 15 mengisi jawatan ini. Tarikh 24 April 2017 bersamaan 27 Rejab 1438
Hijrah dipilih bersempena Hari Israk Mikraj.
Seri Paduka Sultan Muhammad V menerima tabik hormat.
Istiadat Pertabalan ini dimulakan
dengan keberangkatan tiba dan ketibaan DYMM Raja-Raja dan DYMM
Permaisuri-Permaisuri, DYTM Raja-Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda, TYT Yang
Di-Pertua Negeri-Negeri serta YABhg Toh Puan-Toh Puan seawal jam 9 pagi lagi.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tiba di perkarangan
Istana Negara Jalan Duta kira-kira jam 10 pagi. Setibanya baginda di
perkarangan Istana Negara, baginda disambut oleh YAB Perdana Menteri serta YAB
Timbalan Perdana Menteri. Seterusnya lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam
Rejimen Askar Melayu DiRaja. Baginda seterusnya berkenan untuk memeriksa
Barisan Kawalan Kehormatan Utama Rejimen Askar Melayu DiRaja.
Memeriksa barisan kehormat.
Istiadat yang diadakan di
Balairong Seri ini bermula dengan keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan
Muhammad V ke Balairung Seri dengan diiringi tiupan serunai dan paluan gendang
oleh Pasukan Gendang Besar D'Raja Kelantan yang mengalunkan lagu ''Raja
Berangkat''. Keberangkatan masuk baginda didahului oleh Datuk Pengelola Bijaya
Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, serta diapit
panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain diiringi oleh
juruiring-juruiring baginda dan panglima-panglima lain yang membawa alat-alat
kebesaran Diraja. Seri Paduka kemudiannya bersemayam di Singgahsana di
Balairung Seri itu untuk Istiadat Pertabalan.
Datuk Paduka Maharaja Lela
kemudian menghadap Sultan Muhammad V bagi memohon perkenaan untuk memulakan
Istiadat Pertabalan itu yang kemudian membuat pengumuman bahawa istiadat itu
dizahirkan selepas mendapat perkenan baginda. Sejurus selepas itu, Datuk Paduka
Maharaja Lela memohon perkenan baginda untuk membawa masuk naskah al-Quran dan
baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri.
Menyampaikan titah diraja.
Kemudian, dengan iringan tiupan
serunai dan paluan gendang lagu 'Seri Istana', Datuk Paduka Maharaja Lela
diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab
Aziz membawa masuk naskhah al-Quran dan Keris Panjang Diraja yang juga
merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan serta Warkah Ikrar yang dibawa
oleh pegawai-pegawai Istana Negara lain, diikuti Pegawai Agama Istana Negara
Datuk Abd Aziz Che Yacob. Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan
Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka
oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disambut baginda lalu mencium naskhah suci
itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kanan baginda.
Mengucup Al-Quran.
Datuk Maharaja Lela kemudiannya
menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri yang tampil
ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan itu. Ini
diikuti dengan Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang
merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka
yang menerima keris berkenaan lalu menghunus dan mengucupnya, simbolik
kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum baginda menyarungkan semula
keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda. Istiadat
kemudian diteruskan dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang
di-Pertuan Agong.
Mengucup keris panjang diraja.
Sebaik sahaja selesai ikrar
dilafazkan, tiupan serunai dan paluan gendang dengan lagu ''Raja Bertabal''
dimainkan, diikuti laungan ''Daulat Tuanku'' sebanyak tiga kali oleh Datuk
Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairung Seri. Sejurus
selepas itu lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan
meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi
menghadap Seri Paduka untuk mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas
pertabalan baginda sebagai mewakili kerajaan dan rakyat. Sultan Muhammad V
kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum Pegawai Agama Istana
Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob membacakan doa selamat. Selepas itu, naskhah
Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum
menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
ke-15 selamat disempurnakan. Seterusnya, Balairung Seri sekali lagi
didendangkan dengan gemersik tiupan serunai berserta gema paluan gendang yang
memainkan lagu ''Raja Berangkat'' bagi mengiringi Seri Paduka meninggalkan
istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya
Diraja serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran
Diraja.
Membaca lafaz sumpah memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Istiadat Pertabalan itu
disaksikan kira-kira 800 orang. Berangkat ke istiadat ini adalah DYMM Raja
Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, KDYMM Sultan
Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Nur
Zahirah, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku
Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, DYMM Yang Di-Pertuan Besar
Negeri Sembilan Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Aishah Rohani, DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan DYMM Raja
Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, YMM Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Fa-iz
Petra, DYTM Pengiran Muda Mahkota Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda
Al-Muhtadee Billah, KDYTM Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Haji
Ahmad Shah dan KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah
Iskandariah, DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin dan DYTM Raja Puan Muda
Kedah Tengku Maliha, DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan YM Che Puan
Khaleeda Bustamam.
Mengaminkan bacaan doa.
Turut hadir, TYT Yang Di-Pertua
Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan YABhg Toh Puan Majimor
Shariff, TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob dan YABhg Toh Puan
Zurina Kassim, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan YABhg
Toh Puan Norlidah, dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud
dan YABhg Toh Puan Ragad Kurdi, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan
YABhg Datin Seri Rosmah Mansor, dan Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Keberangkatan pulang dari Balairong Seri.