Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 25 April 2015

26 April : Hari Keputeraan Sultan Terengganu.

                                                                                       
DAULAT TUANKU  
SEMOGA ALLAH MELANJUTKAN USIA TUANKU.
       


MERAFAK SEMBAH UCAPAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH DAN UCAP SELAMAT 
KEHADAPAN 

KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL WATHIQU BILLAH SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI ALMARHUM SULTAN MAHMUD AL MUKTAFI BILLAH SHAH,
D.K.T., D.K.R., D.K., D.K.M., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d'Honneur (France), The Most Auspicious Order of The Rajamitrabhorn (Thailand), Collar De La Orden Al Merito De Chile (Chile), Necklace of Independence (Qatar), Bintang Republik Indonesia ADIPURNA (Indonesia)
Sultan dan Yang Di-Pertuan Terengganu Darul Iman

dan

KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH HAJAH NUR ZAHIRAH,D.K.,D.M.N.,D.K.(Kedah),S.S.M.Z.,S.S.M.T.,Knight Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).
Sultanah Terengganu Darul Iman

Sempena

HARI KEPUTERAAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU YANG KE - 53 TAHUN
PADA 26 APRIL 2015 MASIHI BERSAMAAN 7 REJAB 1436 HIJRAH.
SEMOGA ALLAH S.W.T. MELANJUTKAN USIA KDYMM TUANKU

Sembah Takzim Daripada :

Amirul Izwan Lehuddin,
Editor WARISAN PERMAISURI MELAYU
www.warisanpermaisuri.blogspot.

3 Orang Raja Muda Musa.

Di dalam sejarah kesultanan Melayu, terdapat tigaa orang kerabat DiRaja yang mempunyai nama yang sama dan pangkat yang sama iaitu Raja Muda. Tiga orang individu yang dimaksudkan ialah Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Samad, Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz dan Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Ja'afar Safiuddin Muazzam Shah.

DYTM RAJA MUDA MUSA IBNI ALMARHUM SULTAN ABDUL SAMAD ( 1844 - 1884 ).

Duli Yang Teramat Mulia Raja Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Samad diputerakan pada tahun 1844. Baginda merupakan putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Atfah Binti Almarhum Sultan Muhammad Shah. Pada 16 Mei 1875, ketika berusia 31 tahun, Raja Musa telah dilantik sebagai Yang Di Pertuan Muda Selangor oleh ayahanda baginda dengan gelaran Raja Muda Musa. Baginda telah berkahwin sebanyak dua kali. Pertamanya dengan Yang Mulia Raja Buntal Raimah Binti Raja Barkat dan keduanya dengan Che Rahimah. Baginda dikurniakan 4 putera dan 2 puteri. Raja Muda Musa mangkat pada 7 Julai 1884 di Kuala Langat,Selangor pada usia 40 tahun. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Jugra. Anakanda sulung baginda, Raja Sulaiman menaiki takhta negeri Selangor setelah kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 6 Februari 1898 dengan bergelar Duli Yang Maha Mulia Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Baginda dikenali sebagai seorang yang alim dan tegas. Sebab itulah putera baginda, Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah merupakan seorang sultan yang kuat agama dan memuliakan ulama.

DYTM RAJA MUDA MUSA IBNI ALMARHUM SULTAN ABDUL AZIZ, S.P.M.P.,P.J.K.,J.P.
( 1919 - 1983 ). 




Duli Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz diputerakan pada 16 Jun 1919 di Istana Raja Muda, Teluk Anson, Perak. Baginda merupakan putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Al Mu'tasim Billah Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Khadijah Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah. Baginda mendapat pendidikan awal di Malay and Anglo Chinese School, Teluk Anson dan kemudiannya di Clifford College, Kuala Kangsar. Dikurniakan gelaran Raja Kechil Bongsu pada 15 Oktober 1938 kemudiannya dinaikkan kepada Raja Kechil Muda pada 1 Januari 1940. Kemudiannya Raja Kechil Sulong pada tahun 1945 dan Raja Kechil Besar pada tahun 1953. Pada 30 Jun 1962, pada usia 43 tahun, baginda dilantik sebagai Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak. Setelah kemangkatan Sultan Yusuf Izzuddin pada tahun 1963, maka Raja Muda Raja Idris Shah menaiki takhta Perak. Maka, Raja Musa dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak pada 1 Mac 1963. 


Baginda pernah berkahwin sebanyak 5 kali. Pertamanya dengan Cik Puan Mariam Binti Abdullah, kemudian dengan YM Raja Zaleha Binti Raja Shahruddin, kali ketiga dengan Cik Puan Noraini Binti Abdullah, keempat dengan YAM Che Puan Besar Wan Rafidah Binti Dato' Wan Rasidi dan kelima dengan Cik Puan Hajah Hayati Binti Abdullah.  Baginda dikurniakan 10 putera dan 11 puteri. Putera sulung baginda, Raja Dato' Seri Ja'afar Ibni Raja Muda Musa kini bergelar Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak. Raja Muda Musa mangkat pada 12 Mei 1983 di London pada usia 64 tahun. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Al Ghufran,Kuala Kangsar. Jawatan Raja Muda Perak diisi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Azlan Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin.

DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA MUSA IBNI ALMARHUM SULTAN JA'AFAR SAFIUDDIN MUAZZAM SHAH.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa merupakan putera kedua Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Ja'afar Safiuddin Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Johan dan isteri keempat Sultan Ja'afar iaitu Che Alang Amas. Raja Musa dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda oleh kekandanya Sultan Abdullah Muhammad Shah pada 12 Januari 1899. Baginda berkahwin dengan Yang Amat Mulia Che Puan Besar Che Aminah Binti Sheikh Muhammad Taib. Putera sulung baginda menjadi Sultan Perak pada tahun 1938 dengan gelaran Sultan Abdul Aziz Al Mu'tasim Billah Shah. Cucunda baginda mempunyai nama yang sama dengan baginda iaitu Raja Musa dan menjadi Raja Muda Perak pada tahun 1963.. Raja Muda Musa mangkat pada 12 Mac 1906.

Friday, 24 April 2015

Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah,
D.K.,D.K.H.,D.M.K.,D.K.(Terengganu),D.K.II(Selangor),D.A.(Sarawak),S.P.M.K.,S.P.C.M.,S.P.M.J.,P.S.B.


Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman merupakan gelaran untuk pewaris takhta utama bagi negeri Kedah. Penyandang bagi jawatan ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Baginda berada di kedudukan ketiga selepas Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Sultanah Kedah Darul Aman mengikut susunan keutamaan.


Tunku Abdul Malik diputerakan 24 Sptember 1929 di Istana Anak Bukit, Kedah. Baginda merupakan putera ketiga kepada pasangan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Amat Mulia Tunku Sofiah Binti Almarhum Tunku Mahmud. Kekanda sulung seibu dan sebapa baginda, Tunku Abdul Hamid Ibni Sultan Badlishah mangkat ketika kecil. Begitu juga adinda bongsu seibu dan sebapa baginda, Tunku Mansur Ibni Sultan Badlishah mangkat ketika berusia 2 tahun. Maka, tinggal 2 orang putera Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah iaitu Tunku Abdul Halim dan Tunku Abdul Malik.

Tunku Abdul Malik mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Star. Baginda menyambung pendidikan ke peringkat tinggi di Wadham College, Oxford, United Kingdom.

Semasa dikurniakan Darjah Kerabat Selangor daripada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga merupakan kekanda ipar Tunku Malik. Turut kelihatan Almarhum Tengku Ampuan Rahimah, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Raudzah.

Ayahanda baginda mangkat pada 13 Julai 1958 dan digantikan oleh kekanda baginda Tunku Abdul Halim sebagai Sultan Kedah. Sultan Abdul Halim Muadzam Shah  berkenan untuk mengurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah kepada Tunku Abdul Malik pada 23 Februari 1959. Baginda pernah menjadi Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Kedah pada 21 September 1970 apabila kekanda baginda dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 5. Tugas baginda sebagai Pemangku Sultan Kedah tamat pada 21 September 1975. Sudah ditakdirkan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah tidak dikurniakan zuriat lelaki. Maka, baginda berkenan melantik Tunku Abdul Malik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah berkuatkuasa 28 November 1981.

Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman menepung tawar pengantin diraja Tunku Abdul Malik dan Tengku Raudzah semasa Istiadat Persandingan baginda berdua di Selangor.

Tunku Abdul Malik menamatkan zaman bujangnya apbila bertemu jodoh dengan puteri Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Raudzah Binti Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Baginda berkahwin pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, Alor Star. Tengku Raudzah diberikan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah serentak dengan perlantikan Tunku Abdul Malik sebagai Raja Muda Kedah.

Kini, kedua-dua baginda telah berusia 86 tahun dan dalam keadaan uzur. Baginda lebih banyak berehat di istana dan jarang menonjolkan diri atas sebab kesihatan. Tugas pentadbiran negeri Kedah diambilalih oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dianggotai dua orang adinda baginda dan anakanda saudara baginda. Semoga Allah melanjutkan usia Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik dan Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah.

Bersama kekanda baginda, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Tunku Abdul Malik dan Tengku Raudzah di Balairong Seri Istana Alam Shah,Klang.

Bersama adinda ipar baginda, Almarhum Tengku Azman Sultan Hisamuddin.

Bersama Raja Puan Muda Kedah ketika berangkat ke Istana Alam Shah Selangor sempena Pertabalan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
- jabatan penerangan malaysia-

Thursday, 23 April 2015

Individu Yang Menggunakan Gelaran Permaisuri.

Dalam rekod Kesultanan Melayu, suri kepada seseorang Sultan itu diberi gelaran sama ada Tengku Ampuan, Sultanah atau Raja Perempuan. Namun, gelaran-gelaran ini diberi mengikut budi bicara Sultan itu sendiri. Dalam sejarah Kesultanan Melayu moden, terdapat tiga orang individu yang diberi gelaran PERMAISURI. Dua orang daripadanya masih lagi bertakhta manakala seorang lagi telah turun takhta. Berikut merupakan senarai individu yang menggunakan gelaran PERMAISURI :

Yang Amat Mulia Permaisuri Hajah Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman,
D.K.,D.M.N.,D.A.(Sarawak),Grand Cordon of the Order of Chula Chom Klao(Thailand).
Yang Amat Mulia Permaisuri Siti Aishah Binti Abdul Rahman dilahirkan pada 18 November 1971 di Kuala Lumpur. Bertemu jodoh dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj pada 3 Mei 1990. Diberi gelaran Yang Teramat Mulia Cik Puan Besar Selangor bermula 3 Mei 1990. Ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor pada 1998. Menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada 26 April 1999 hingga 21 November 2011. Istana Selangor memberi gelaran Yang Amat Mulia Permaisuri setelah kemangkatan suami baginda.Gelaran Permaisuri berkuatkuasa 30 April 2002.


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Darul Iman Sultanah Nur Zahirah,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Kedah),S.S.M.Z.,S.S.M.T.,Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disember 1973 di Alor Star Kedah. Berkahwin dengan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah pada 28 Mac 1996. Diberi gelaran Yang Teramat Mulia Encik Puan Sri pada 28 Mac 1996. Seterusnya diberi gelaran Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Terengganu pada 12 Julai 1998. Gelaran Permaisuri digunakan baginda sehingga dikurniakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu pada 5 Jun 2006. 

Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor Darul Ta'zim Tuanku Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah II Afifullah,
D.K.,D.K.(Perak),S.P.C.M.,S.P.M.J.
Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Batu Gajah,Perak. Mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 19 September 1982. Diberi gelaran Yang Amat Mulia Isteri Tunku Mahkota Johor sejak 1982. Pada 22 November 2010 diberi gelaran Duli Yang Maha Mulia Isteri Sultan Johor. Ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor pada 23 Mac 2015.

Susunan Keutamaan Negeri Perak Darul Ridzuan ..


1. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghfurlah,
D.K.,D.K.S.A.,D.K.A.,D.M.N.,D.K.,(Selangor),D.K.(Kelantan),S.P.C.M.,S.P.T.S.,S.P.M.P.(Perlis),Ph.D(Harvard),MPA(Harvard).

2. Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim,
D.K.,D.K.S.A.,D.K.A.

3. Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa,
D.K.,S.P.C.M.,J.S.M.

4. Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan Raja Nor Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah, D.K.A,S.P.C.M.,P.C.M.

5. Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, D.K.A.II,S.P.C.M.,S.S.D.K.

6. Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, D.K.A.II,S.H.M.S.,S.S.D.K.

7. Yang Maha Mulia Bonda Raja Pemerintah Raja Permaisuri Tuanku Bainun Binti Mohamed Ali, D.K.,D.M.N.,D.K.(Selangor),D.K.A.,Grand Cordon of the Order of Precious Crown(Japan), Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand), Fellow of Liverpool John Moores University.

8. Balu-Balu Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak (Kosong).


8.(a)Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama DiRaja Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak,
D.K(Pahang),D.K(Brunei),S.P.M.K.,S.P.M.S.,D.M.K.,S.S.S.J.,S.P.S.A.,S.S.A.P.,S.I.M.P.,
S.P.N.S.,S.P.D.K.,D.U.N.M.,D.P.,D.P.M.S.,D.S.A.P.,P.N.B.S.

8. (b) Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Seri Utama DiRaja Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin,
P.S.M.,S.P.M.J.,S.P.S.A.,S.P.M.P.,S.U.N.S.,S.P.D.K.,P.N.B.S.,S.M.J.,P.I.S.,B.S.I.

9. Yang Amat Berhormat Dato' Seri DiRaja Dr Haji Mohd Zambry Bin Abdul Kadir,
S.P.S.A.,S.P.M.P.,D.G.S.M.,D.P.M.P.,A.M.S.

10. Yang Amat Mulia Raja Kechil Besar Perak Darul Ridzuan Raja Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

11. Yang Amat Mulia Raja Kechil Sulong Perak Darul Ridzuan (Kosong).

12. Yang Amat Mulia Raja Kechil Tengah Perak Darul Ridzuan Raja Ahmad Nazim Ibni Almarhum Raja Ashman Shah, D.K.A. II.

13. Yang Amat Mulia Raja Kechil Bongsu Perak Darul Ridzuan (Kosong).

14. Balu Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan
      Yang Amat Mulia Raja Datin Seri Nur Emma Binti Raja Muhammad Zulkifli, P.C.M.

15. Balu Almarhum Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan

16. Balu Duli Yang Amat Mulia Raja Bendahara Perak Darul Ridzuan

17. Yang Amat Mulia Raja Puan Mahkota Perak Darul Ridzuan Raja Dato' Seri Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris Shah II, S.P.C.M.

18. Waris-Waris Negeri yang lain.

Wednesday, 22 April 2015

Sultan Yussuf, Norizan, P Ramlee dan Lagu Tidurlah Wahai Permaisuri..


Almarhum Sultan Sir Yusuf Izzuddin Shah.

Assalamualaikum. WARISAN PERMAISURI MELAYU kali ini akan membawakan kisah seorang Permaisuri Sultan Perak yang sanggup meninggalkan istana demi mengejar cintanya kepada seorang Seniman Agung. Itulah kisah Almarhum Sultan Perak Darul Ridzuan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Sir Yusuf Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Shah, suri baginda Yang Teramat Mulia Permaisuri Norizan Binti Muhammad Noor dan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee. 

Sultan Yusuf Izzuddin dan Permaisuri Norizan.

Seniwati Norizan Binti Muhammad Noor dilahirkan di Perak pada tahun 1927. Beliau berkahwin dengan Sultan Perak ke 32, DYMM Sultan Sir Yusuf Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Shah pada tahun 1954 pada usia 27 tahun. Pada tahun 1955, beliau diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Permaisuri oleh suami beliau. Pada tahun 1955, Seniman P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh membuat persembahan di Perak atas titah Almarhum Tuanku. Namun, Almarhum Tuanku ada berpesan kepada Permaisuri Norizan supaya jangan memandang kepada mata P Ramlee. Titah Tuanku, jika terpandang sahaja mata P Ramlee, seseorang wanita itu boleh jatuh cinta kepadanya. Permaisuri Norizan telah terkena panahan mata P Ramlee lalu jatuh cinta kepada Seniman muda itu. Perhubungan cinta antara Permaisuri Norizan dan P Ramlee dipisahkan oleh tembok istana. Mereka hanya berhubung melalui telefon. Hubungan ini hanya diketahui oleh Almarhum Tuanku apabila bil telefon istana melambung tinggi. 

Seniman P Ramlee dan Seniwati Norizan.

Almarhum Sultan Yusuf telah memutuskan untuk menceraikan Permaisuri Norizan. Norizan keluar dari istana Perak sebagai bekas isteri seorang Sultan untuk hidup bersama P Ramlee. Pasangan ini berkahwin pada 6 Februari 1955. Ketika itu P Ramlee berusia 26 tahun manakala Norizan berusia 28 tahun. Rumahtangga mereka berdua bahagia pada awal perkahwinan. Namun, Norizan terasa disisihkan apabila P Ramlee mula melonjak naik dalam kariernya. Norizan merasa terpinggir dan dalam masa yang sama muncul seorang biduanita muda yang bernama Saloma dalam kamus hidup P Ramlee. Perkahwinan mereka hanya bertahan 6 tahun sahaja. Pasangan ini bercerai pada tahun 1961. 

Norizan Muhammad Noor.

Almarhum Sultan Yusuf mangkat pada tahun 1963 di Istana Iskandariah pada usia 72 tahun. Sebentuk cincin biru yang kini masih tersimpan di Arkib Negara Malaysia adalah antara kenangan cinta Almarhum Sultan Yusuf kepada Norizan. Seniman Agung P Ramlee meninggal dunia pada tahun 1973. Manakala Norizan menghembuskan nafas terakhir pada 15 Mei 1992 pada usia 65 tahun. Seniman Agung P Ramlee telah menghasilkan sebuah lagu khas untuk Norizan sewaktu mereka masih bersama. Lagu Tidurlah Wahai Permaisuri merupakan hadiah buat Seniwati Norizan. Seniwati Norizan juga pernah berlakon sebagai Permaisuri di dalam filem Laksamana Do Re Mi pada tahun 1973 di bawah arahan bekas suaminya P Ramlee.

TIDURLAH WAHAI PERMAISURI
Hasil nukilan Tan Sri P Ramlee buat Norizan.

Tidurlah
Tidurlah wahai permaisuri
Tidurlah hai permaisuri
Tidurlah 
Pejam mata
Tidur nyawa
Kudendangkan
Kunyanyikan
Wahai puteri jelita

Jika kau tidur lena
Mimpikan bahagia
Di taman syurga loka
Kau dan aku berdua

Hai dewi suci
Kaulah kekasih hati
Bersumpahlah kamu
Bahawa kau kekasiku
Bersumpahlah kamu
Bersumpahlah permaisuri tidurlah

Jadual Pertabalan Sultan Perak.



Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Azlanii Mohd Anuar Zaini dan Pengarah Penerangan Negeri Perak, Muhammad Aszahari Abdul Rahman telah memberi taklimat tentang perjalanan Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke 35 yang bermula pada 3 Mei 2015 dan akan berakhir pada 17 Mei 2015. Berikut merupakan atur cara bagi Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Shah :

3 Mei 2015 : Istiadat Meletak Kerja Pertabalan.

6 Mei 2015 : Istiadat Tabal Adat di Istana Iskandariah. Istiadat dimulakan dengan kawalan kehormat, Istiadat Pertabalan di Balairong Seri Istana Iskandariah, dan tembakan meriam sebanyak 21 das.

7 Mei 2015Sultan Nazrin akan menyempurnakan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak yang bermula di Kuala Kangsar. Pada sebelah malam, Istiadat Tabal Pusaka akan dijalankan di Balairong Seri Istana Iskandariah dan Istiadat Bersiram Tabal akan dilakukan di Panca Persada.

8 Mei 2015Sultan Nazrin berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar dan Makam Alang Iskandar atau Marhum Teja di Kota Bharu, Gopeng. 

10 Mei 2015 : Sultan Nazrin dijadual melawat makam-makam Sultan Perak sekitar Kuala Kangsar disusuli di sepanjang pesisir Sungai Perak antaranya di Manong, Belanja, Parit, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Kampung Gajah sehingga 12 Mei.

13 Mei 2015Sultan Nazrin dijadualkan mula menziarahi makam-makam Sultan Perak menggunakan jalan air dengan menaiki bot khas yang dinamakan Balai Gambang dari Jeti Pasir Salak. Antara makam-makam yang akan diziarahi termasuk di Kampung Pasir Pulai, Kampung Bandar Baru, Kampung Teluk Memali, Tanjung Penangguh, Pasir Panjang Ulu dan makam terakhir di Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan.

14 Mei 2015 : Menziarahi Beting Beras Basah di Bagan Datoh.

17 Mei 2015 : Majlis Menutup Kerja Pertabalan.


Bonda Yang Di-Pertuan Agong..


BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG PERTAMA TUANKU ABDUL RAHMAN IBNI ALMARHUM TUANKU MUHAMMAD,
DYMM Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Tunku Puan Chik.
Isteri pertama kepada DYMM Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah. Bergelar Tuanku Ampuan Negeri Sembilan pada tahun 1888 hingga 1898.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEDUA SULTAN HISAMUDDIN ALAM SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN ALA'EDDIN SULAIMAN SHAH,
YM Cik Hasnah @ Aminah Binti Pilong.
Isteri kedua kepada DYMM Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Berkahwin pada tahun 1895. Apabila beliau mangkat, beliau telah dimakamkan di Makam Diraja Jugra, Kuala Langat.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KETIGA TUANKU SYED PUTRA IBNI ALMARHUM SYED HASSAN JAMALULLAIL,
YM Che Puan Wan Teh Binti Endut.
Dilahirkan pada tahun 1898. Merupakan anak kepada Wan Endut Bin Penghulu Muhammad Desa dan Puan Zainab Binti Muhammad Taib. Isteri kepada Tuan Syed Hassan Ibni Almarhum Tuan Syed Mahmud Jamalullail,Bakal Raja. Beliau mangkat pada 27 Disember 1952 pada usia 54 tahun di Istana Arau dan dimakamkan di Makam DiRaja Arau,Perlis.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEEMPAT TUANKU ISMAIL NASIRUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN ZAINAL ABIDIN,
YM Cik Maimunah Binti Abdullah.
Isteri ketujuh kepada KDYMM Sultan Zainal Abidin III Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad dan berkahwin pada tahun 1906. Beliau merupakan seorang wanita berketurunan Siam yang memeluk Islam. Meninggal dunia pada tahun 1918.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEENAM TUANKU YAHYA PETRA IBNI ALMARHUM SULTAN IBRAHIM,
YM Che Puan Besar Cik Embong Binti Daud.
Dilahirkan pada tahun 1899 dan berkahwin dengan KDYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV sebagai isteri ketiga pada tahun 1916. Mangkat pada 31 Disember 1971 di Istana Batu, Kota Bharu pada usia 72 tahun. Dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Kota Bharu.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KETUJUH SULTAN HAJI AHMAD SHAH ALMUSTAIN BILLAH IBNI ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR.
KDYMM Tengku Ampuan Pahang Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah,
D.K.(Pahang).

Diputerikan pada 1910 dan merupakan puteri kepada Sultan Perak. Isteri pertama kepada KDYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdullah. Baginda berkahwin pada 23 Mei 1926. Bergelar Tengku Ampuan Pahang pada 28 Mei 1933 di Istana Terentang. Mangkat pada 23 Jun 1988 pada usia 78 tahun di Istana Indra Puri,Pekan.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KELAPAN SULTAN ISKANDAR IBNI ALMARHUM SULTAN ISMAIL,
DYMM Sultanah Aminah Binti Almarhum Ungku Ahmad,
D.K.,P.I.S.,Queen Elizabeth Coronation Medal.

Diputerikan pada 5 Februari 1905 di Johor Bahru. Isteri pertama kepada DYMM Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan berkahwin pada 30 Ogos 1920 di Dewan Negara,Johor Bahru. Bergelar Sultanah Johor bermula 28 Oktober 1959. Mangkat pada 14 September 1977 akibat kemalangan jalan raya dan dimakamkan di Makam Sultan Abu Bakar, Bukit Mahmoodiah.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KESEMBILAN SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN YUSUF IZZUDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH,
YTM Toh Puan Dewangsa Hajah Hatijah Binti Dato'Wangsa Ahmad,
Dilahirkan pada 1906 di Batu Gajah Perak. Anak kepada YBhg Dato' Sri Amar di-Wangsa Dato' Ahmad Bin Taib. Berkahwin dengan DYMM Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasir pada 1925 sebagai isteri kedua. Dikurniakan gelaran Tengku Permaisuri pada tahun 1952. Bercerai dengan Sultan Yusuf dan berkahwin kali kedua dengan YBhg Dato' Tak Bin Haji Daud. Meninggal dunia pada 6 Julai 1992 pada usia 86 tahun di Labuh Cecil Rae, Canning Garden Ipoh. Dimakamkan di Tanah Perkuburan Sekedup, Batu Gajah Perak/

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KESEPULUH TUANKU JAAFAR IBNI ALMARHUM TUANKU ABDUL RAHMAN,
YM Che Engku Maimunah Binti Abdullah,
B.E.M.,P.J.K.
Dilahirkan di Grik,Perak pada 28 Oktober 1897. Nama asal beliau ialah Dulcibella Campbell. Anak kepada pasangan Clement Gilroy Campbell dan Juliet Ada Roderick. Berkahwin dengan DYMM Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad pada tahun 1919 di Singapura. Beliau merupakan bekas jururawat di Hospital Besar Kuala Lumpur. Beliau bercerai dengan Tuanku Abdul Rahman. Beliau mangkat pada 20 Mac 1981 pada usia 84 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KESEBELAS SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN HISAMUDDIN ALAM SHAH ALHAJ,
DYMM Tengku Ampuan Hajah Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad,
D.K.(Selangor).
Diputerikan pada tahun 1900 di Bandar Temasha Kuala Langat. Berkahwin dengan DYMM Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah pada tahun 1919 di Istana Mahkota Klang sebagai isteri pertama. Ditabal sebagai Tengku Ampuan Selangor pada 26 Januari 1939 di Istana Mahkota. Merupakan Raja Permaisuri Agong Kedua Persekutuan. Baginda mangkat pada 8 April 1973 dan dimakamkan di Makam DiRaja Sultan Sulaiman Klang.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEDUABELAS TUANKU SYED SIRAJUDDIN IBNI ALMARHUM TUANKU SYED PUTRA JAMALULLAIL,
KDYMM Tengku Hajah Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail,
D.K.,S.S.P.J.,D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kelantan),
S.P.M.K.,A.M.N.,The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),The Great Cross Of Agriculture Merit(Cambodia), First Class Of The Order Of Precious Crown(Japan),Nahdar Star First Class (Pakistan),United Arab Republic Order of Makal Perfection.
Diputerikan pada 24 Mac 1924 di Kuala Krai Kelantan. Berkahwin dengan KDYMM Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 7 Mac 1941 di Kampung Telipot Kota Bharu Kelantan sebagai isteri pertama. Ditabal sebagai Raja Perempuan Perlis pada 19 Januari 1946. Merupakan Raja Permaisuri Agong Ketiga Persekutuan. Mangkat sebagai Raja Perempuan Besar pada 28 November 2008 pada usia 84 tahun. Dimakamkan di Makam DiRaja Arau.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KETIGABELAS SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI ALMARHUM SULTAN MAHMUD ALMUKTAFI BILLAH SHAH,

YTM Tengku Besar Terengganu Dato' Seri Hajah Sharifah Nong Fatimah Binti Syed Abdullah Al Sagoff,
D.K.,S.P.M.T.
Dilahirkan pada 7 Oktober 1939 di Singapura. Berkahwin dengan KDYMM Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin pada 15 April 1959 di Singapura. Merupakan anak kepada Syed Abdullah Bin Syed Salleh Al Sagoff dan Sharifah Aishah Binti Abdul Rahman Al Junied. Diberikan gelaran Tengku Besar Terengganu pada 4 Mac 1999. Kini berusia 75 tahun.

BONDA YANG DI-PERTUAN AGONG KELIMA DAN KEEMPATBELAS TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MUADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH,
YAM Tunku Sofiah Binti Tunku Mahmud.
Diputerikan pada 29 April 1910 di Alor Star,Kedah. Berkahwin dengan KDYMM Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada tahun 1924 di Balai Besar, Alor Star. Beliau merupakan puteri kepada DYTM Raja Muda Kedah Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin dan Che Puan Zainab Awang. Beliau mangkat pada 10 Mac 1934 akibat kemalangan jalan raya pada usia 24 tahun.

Tuesday, 21 April 2015

Pasangan DiRaja Paling Lama Hidup Bersama..


Pasangan DiRaja yang hidup bersama paling lama di Malaysia adalah pasangan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Negeri Sembilan ke 10. Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan Yang Maha Mulia Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin hidup sebagai pasangan suami isteri selama 66 tahun sehingga kemangkatan Almarhum Tuanku Jaafar pada tahun 2008. Tuanku Jaafar dan Tuanku Najihah mendirikan rumah tangga pada 8 Ogos 1942 ketika masing-masing berusia 20 tahun dan 18 tahun. Pasangan ini dikurniakan 3 orang putera dan 3 orang puteri. Menaiki takhta Negeri Sembilan sebagai Yang Di Pertuan Besar dan Tunku Ampuan pada tahun 1967 dan memerintah selama hampir 41 tahun. Tuanku Jaafar mangkat pada tahun 2008 pada usia 86 tahun. Manakala Tuanku Najihah kini berusia 90 tahun. 

Berikut merupakan antara pasangan DiRaja yang hidup bersama lebih 40 tahun :

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah dan Yang Maha Mulia Tuanku Bainun Binti Mohamad Ali.
Sultan Perak Darul Ridzuan ke 34, Sultan Azlan dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun hidup bersama selama 59 tahun. Pasangan DiRaja ini mendirikan rumah tangga pada 9 Disember 1955. Sultan Azlan mangkat pada 28 Mei 2014 meninggalkan Tuanku Bainun yang kini berusia 82 tahun.

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Jamalullail Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Almarhum Yang Maha Mulia Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail.
Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah hidup bersama selama 59 tahun. Pasangan ini berkahwin pada 7 Mac 1941 di Kampung Telipot,Kota Bharu Kelantan. Tuanku Syed Putra mangkat setelah memerintah Perlis selama 55 tahun pada usia 80 tahun manakala Tengku Budriah mangkat pada 28 November 2008 pada usia 84 tahun.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Al Khalidi Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultanah Aminah Binti Almarhum Ungku Ahmad.
Sultan Ismail dan Sultanah Aminah hidup bersama selama 57 tahun sehinggalah kemangkatan Sultanah Aminah pada 14 September 1977 akibat kemalangan. Pasangan ini berkahwin pada 30 Ogos 1920. Sultan Ismail mangkat pada 10 Mei 1981 pada usia 85 tahun.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Shah dan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Taayah Binti Almarhum Raja Abdul Hamid.
Sultan Yussuf dan Raja Perempuan Taayah berkahwin selama 50 tahun sehingga kemangkatan Raja Perempuan Taayah pada 18 Februari 1962 pada usia 70 tahun. Sultan Yussuf pula mangkat setahun selepas itu iaitu pada 4 Januari 1963 pada usia 73 tahun.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Yang Amat Mulia Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad.
Sultan Iskandar dan Sultanah Zanariah hidup bersama selama 49 tahun sehingga kemangkatan Sultan Iskandar pada 22 Januari 2010. Pasangan ini berkahwin pada 20 Ogos 1961. Sultanah Zanariah kini berusia 75 tahun.

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdullah dan Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasullah.
Sultan Abu Bakar dan Tengku Ampuan Fatimah berkahwin selama 48 tahun sehingga kemangkatan Sultan Abu Bakar pada 7 Mei 1974. Pasangan ini berkahwin pada 23 Mei 1926. Tengku Ampuan Fatimah mangkat pada 23 Jun 1988 pada usia 78 tahun.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultanah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Tuanku Abdul Halim dan Sultanah Bahiyah berkahwin selama 47 tahun sehinggalah kemangkatan Sultanah Bahiyah pada 24 Ogos 2003. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 1956. Tuanku Abdul Halim kini 87 tahun.

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhum Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah Binti Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj.
Sultan Mahmud dan Tengku Ampuan Bariah hidup bersama selama 47 tahun. Mereka berkahwin pada 22 Mac 1951 di Istana Mestika,Selangor. Sultan Mahmud mangkat pada 14 Mei 1998 pada usia 68 tahun meninggalkan Tengku Ampuan Bariah tanpa mempunyai sebarang zuriat. Tengku Ampuan Bariah mangkat pada 21 Mac 2011 pada usia 78 tahun.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah telah berkahwin selama 47 tahun. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 15 Februari 1967 di Kota Bharu Kelantan. Baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri.

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV dan Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zainab Binti Almarhum Tengku Zainal Abidin.
Sultan Ibrahim dan Sultanah Zainab berkahwin selama 46 tahun sehingga kemangkatan Sultan Ibrahim pada 9 Julai 1960. Baginda berdua berkahwin pada 6 Julai 1914. Sultanah Zainab mangkat pada 28 September 1985 pada usia 88 tahun.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan Yang Maha Mulia Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid.
Sultan Ismail dan Tengku Anis telah berkahwin selama 46 tahun hingga ke hari ini. Baginda berdua berkahwin pada 4 Disember 1968. 

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah AlHaj dan Almarhum Yang Amat Mulia Tengku Permaisuri Sharifah Mastura Binti Syed Ahmad Shahabuddin.
Sultan Selangor sewaktu zaman pendudukan Jepun, Sultan Musa dan isterinya Tengku Permaisuri Mastura telah berkahwin selama 43 tahun. Pasangan ini berkahwin pada tahun 1912 sehingga kemangkatan Sultan Musa pada 8 November 1955. Tengku Sharifah Mastura pula mangkat pada 31 Julai 1959.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah AlHaj dan Almarhum Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad.
Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Tengku Ampuan Jemaah berkahwin selama 41 tahun sehingga kemangkatan Sultan Hisamuddin pada 1 September 1960 ketika berusia 65 tahun. Baginda berdua mendirikan rumah tangga pada tahun 1919. Tengku Ampuan Jemaah mangkat pada 8 April 1973 pada usia 73 tahun.

Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani telah hidup bersama selama 41 tahun. Pasangan ini berkahwin pada 25 April 1974 di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Baginda berdua dikurniakan 3 orang putera.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah dan Almarhum Yang Maha Mulia Raja Perempuan Muzwin Binti Almarhum Raja Arif Shah.
Sultan Idris dan Raja Perempuan Muzwin hidup bersama selama 40 tahun. Baginda berdua mendirikan rumah tangga pada November 1943. Sultan Idris mangkat pada 30 Januari 1984 pada usia 60 tahun. Manakala Raja Muzwin mangkat pada 6 September 2011 pada usia 82 tahun.

Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra.
Sultan Yahya dan Raja Perempuan Zainab berkahwin selama 40 tahun sehingga kemangkatan Sultan Yahya pada 29 Mac 1979. Pasangan ini berkahwin pada 4 Jun 1979. Raja Perempuan Zainab mangkat pada 75 tahun pada 9 Januari 1992.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...