Anda Pengunjung Ke :
Wednesday, 28 December 2016
Tuesday, 27 December 2016
Sunday, 25 December 2016
Sunday, 18 December 2016
Puteri Tunku Abdul Rahman : YBM Tunku Dato' Noor Hayati.
Yang Berhormat Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan Darul Naim
Tunku Dato' Hajah Noor Hayati Binti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj,
D.J.M.K.
Ketika menerima Ijazah Sarjana Psikologi di Universiti Malaya.
Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU akan bercerita mengenai puteri kepada Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Yang Berhormat Mulia Tunku Noor Hayati Binti Almarhum Tunku Abdul Rahman diputerikan pada tahun 1967. Beliau merupakan puteri kedua kepada Tunku Abdul Rahman. Bonda beliau iaitu Puan Bibi Chong merupakan isteri ke-4 Tunku Abdul Rahman yang dikahwininya pada tahun 1963. Naman sebenar bonda beliau ialah Chong Ah Mei. Tunku Noor Hayati mempunyai seorang adinda seibu sebapa iaitu Yang Mulia Tunku Mastura Binti Almarhum Tunku Abdul Rahman yang lahir pada tahun 1973. Tunku Noor semenjak kecil dibesarkan oleh Allahyarham Tun Sharifah Rodziah Barakbah yang merupakan isteri ketiga Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman bersara dari jawatan Perdana Menteri pada tahun 1970, ketika itu Tunku Noor Hayati berusia 3 tahun. Beliau dapat menghabiskan masa dengan ayahanda beliau kerana selepas bersara dari politik beliau dibawa oleh Tunku ke Jeddah dan London. Tunku Noor Hayati lahir ketika Tunku Abdul Rahman berusia 64 tahun.
Tunku Noor Hayati mempunyai kelulusan sijil dalam bidang Psikologi dan Kaunseling daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (U.K.M.). Beliau seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang perundangan di Queen Mary & Westfield College, University of London dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1991. Seterusnya pada tahun 2013, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Psikologi dari Universiti Malaya (U.M.).
Tunku Noor Hayati bertemu jodoh dengan Yang Berhormat Mulia Tengku Dato' Seri Mohamad Rizam Ibni Tengku Abdul Aziz pada Julai 1991. Perkahwinan ini dirancang oleh Tunku Abdul Rahman sendiri yang memadankan Tunku Noor Hayati dengan anakanda saudara Tengku Razaleigh Hamzah iaitu Tengku Mohamad Rizam. Pasangan ini dikurniakan 2 putera dan seorang puteri.
Bersama Tengku Mohamad Rizam.
Tunku Noor Hayati amat sinonim dengan dunia kebajikan. Hal ini adalah kerana beliau telah didedahkan dengan dunia kebajikan semenjak kecil lagi. Beliau aktif dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Beliau merupakan Naib Yang Di-Pertua Perkim. Tunku Noor Hayati kini berusia 49 tahun dan bergelar Yang Berhormat Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan. Suami beliau, Tengku Mohamad Rizam dilantik sebagai Tengku Temenggong Kelantan menggantikan YAM Tengku Muhammad Fakhry Petra oleh KDYMM Sultan Muhammad V.
Seringkali turun padang membantu rakyat.
Berbual bersama Tengku Ahmad Shah ketika Istiadat Mengangkat Sumpah Yang Di-Pertuan Agong Ke-15.
Mengiringi suami beliau mengunjungi rakyat Kelantan.
Friday, 16 December 2016
Dirgahayu Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah.
Kembali bertakhta sebagai Sultan dan Sultanah Kedah.
Dirgahayu Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Haminah. Setelah 5 tahun bersemayam di Istana Negara Jalan Duta, Kuala Lumpur sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, baginda berdua telah menamatkan khidmat pada 12 Disember 2016. Kenangan dan kasih sayang yang telah tersimpul sejak 5 tahun lepas masih berterusan sehingga kini. Kembali bertakhta sebagai Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah, Warisan Permaisuri Melayu dan seluruh rakyat jelata merafak sembah ucapan terima kasih dan menjunjung kasih diatas perkenan Tuanku berdua menjadi Payung Mahkota bagi rakyat Malaysia bermula 13 Disember 2011 sehingga 12 Disember 2016.
Perwatakan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah yang mesra dan penyayang amat menarik perhatian rakyat jelata. Walaupun Tuanku Abdul Halim sudah memasuki usia 80-an, namun semangat baginda untuk terus berkhidmat kepada rakyat menjadikan baginda masih sihat bertenaga. Doa seluruh rakyat semoga Tuanku dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan masih berpanjangan sehingga sekarang. Menjadi satu-satunya Raja Melayu yang bertakhta di Istana Negara sebanyak 2 kali, Tuanku Abdul Halim mempunyai banyak pengalaman dalam pemerintahan sesebuah negara. Ditambah pula dengan pengalaman bertakhta sebagai Sultan Negeri Kedah semenjak tahun 1958. Tahun ini merupakan tahun ke-58 Tuanku Abdul Halim bertakhta sebegai Sultan Negeri Kedah Darul Aman. Disiplin dan sifat tegas yang digarap oleh Almarhum Sultan Badlishah, ayahanda Tuanku Abdul Halim menjadikan baginda seorang Raja yang berwibawa. Pengaruh ayahanda saudara baginda, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, yang merupakan Perdana Menteri yang pertama juga banyak membentuk sifat kepimpinan baginda. Maka, tidak hairanlah baginda bersama Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien berjaya menyelesaikan isu 13 Mei 1969 dengan membentuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Pengalaman menjadikan baginda cekap dalam menempuh apa jua situasi. Hari ini, pada usia 89 tahun, baginda merupakan Raja Melayu paling berusia dan paling lama memerintah. Baginda juga merupakan monarki kedua paling lama memerintah di dunia selepas Ratu England, Queen Elizabeth II.
Tuanku Haminah yang bertemu jodoh dengan Tuanku Abdul Halim pada tahun 1975 menaiki takhta negeri Kedah pada tahun 2004 dengan bergelar Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Haminah. Berasal dari Bagan Serai, Perak, baginda merupakan Raja Permaisuri Agong Ke-4 yang datang daripada golongan kebanyakan. Ini menjadikan baginda lebih mengetahi selok belok kehidupan rakyat jelata. Perwatakan Tuanku Haminah yang mesra dan senang bergaul menjadikan baginda disenangi rakyat. Tambahan pula,dengan adanya Yayasan Anah Yatim Tuanku Haminah (YAYSH), baginda lebih dekat kepada golongan anak yatim yang selalu baginda raikan. Keberangkatan baginda dalam majlis-majlis sering mendapat perhatian rakyat. Baginda membawa imej seorang wanita Melayu yang mempunyai keterampilan. Pada usia 63 tahun, baginda masih cergas dan aktif dalam sukan golf. Baginda sering menyertai kejohanan golf dalam negara dan memenangi kategori yang baginda sertai.
Sesungguhnya, kehadiran Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah dalam hidup rakyat Malaysia banyak memberi keceriaan. Baginda berdualah Payung Mahkota yang memayungi keharmonian dan keamanan negara selama 5 tahun yang lepas. Semoga Allah S.W.T. merahmati dan melanjutkan usia KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Al-Sultan Al-Mu'tasimubillahi Muhibbuddin Tuanku Al-haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Sultanah Kedah Darul Aman Tuanku Sultanah Hajah Haminah Binti Haji Hamidun.
Istiadat Pemasyhuran Perlantikan Raja Muda Kedah.
DYTM Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda Kedah.
WARISAN PERMAISURI MELAYU sekali lagi ingin merafak sembah tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Maliha Binti Tengku Ariff yang dilantik sebagai Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah Darul Aman.Tunku Sallehuddin yang sebelum ini bergelar Yang Teramat Mulia Tengku Temenggong Kedah Darul Aman dilantik mengisi kekosongan jawatan Raja Muda setelah setahun kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah. Tunku Sallehuddin, 74 merupakan adinda kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Baginda dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah setelah kemangkatan kekanda baginda Almarhum Tunku Bendahara Tunku Annuar Almarhum Sultan Badlishah pada 21 Mei 2014.
Sultan dan Sultanah Kedah bersemayam di atas takhta.
Istiadat Pemasyhuran Pelantikan dan Menjunjung Duli Raja Muda Kedah diadakan pada 15 Disember 2016 di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit. Istiadat ini diadakan sempena keberangkatan pulang Sultan Kedah ke Negeri Kedah setelah 5 tahun bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menandatangani Watikah Sumpah dimulakan dengan keberangkatan tiba KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Haminah. Kemudian, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Bakar Din membacakan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja Muda Kedah sebelum Tunku Sallehuddin melafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah. Dalam lafaz sumpah tersebut, Tunku Sallehuddin melafazkan taat setia baginda untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas serta akan senantiasa patuh dan menunjung perintah KDYMM Sultan Kedah. Istiadat itu disaksikan oleh Yang Arif Ketua Hakim Syarie Kedah Dato' Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Alor Star Dato' Hashim Hamzah. Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah kepada Tunku Sallehuddin. Selesai pengurniaan keris, paluan nobat dimainkan serta 9 das tembakan meriam dilepaskan. Istiadat ditutup dengan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Kedah Dato' Syeikh Marwazi Dziyauddin.
Raja Muda Kedah melafaz sumpah.
Turut berangkat pada istiadat tersebut ialah YTM Tunku Laksamana Kedah Tunku Abdul Hamid Thani dan Toh Puan Laksamana Kedah , YTM Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim serta kerabat diraja yang lain. Turut hadir, YAB Menteri Besar Kedah Dato' Seri Ahmad Bashah, YB Dato' Seri DiRaja Mahadzir Khalid, YB Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir serta kepimpinan negeri.
Warisan Permaisuri mendoakan semoga DYTM Raja Muda Kedah dan DYTM Raja Puan Muda Kedah diberikan kesihatan yang baik dan dapat berkhidmat kepada rakyat Kedah. Daulat Tuanku!!!
Menjunjung duli oleh Tunku Sallehuddin dan Tengku Maliha.
Tunku Sallehuddin menandatangani watikah sumpah.
Menerima Keris Kebesaran DYTM Raja Muda Kedah.
Mencium tangan kekanda baginda.
Thursday, 15 December 2016
Tuesday, 13 December 2016
Istiadat Mengangkat Sumpah Agong Ke-15.
ISTANA NEGARA, JALAN DUTA, KUALA LUMPUR.
Pada hari ini, 13 Disember 2016 bersamaan 14 Rabiulawal 1438 Hijrah, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V telah melafazkan sumpah memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam satu istiadat yang diadakan di Balairong Seri Istana Negara Jalan Duta Kuala Lumpur. Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 bermula dengan keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Wakil Raja-Raja dan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri memasuki Balairong Seri Istana Negara. Istiadat ini merupakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke- 243 (Khas) Sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamamd V dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas ini dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj. Turut berangkat, DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz, dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Sultan Kedah diwakili oleh YTM Tunku Temenggong Tunku Salehuddin Sultan Badlishah. Manakala, Sultan Pahang diwakili oleh KDYTM Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Sultan Kelantan diwakili oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra. Sultan Johor diwakili oleh YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim. Turut hadir TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan wakil Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Awang Asfia Awang Nasar.
Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Muhammad V, Tuanku Syed Sirajuddin dan Sultan Nazrin Shah.
Istiadat diteruskan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Baginda kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan dan kemudian menandatangani surat sumpah tersebut. Dua orang Raja yang menjadi saksi dalam istiadat itu ialah DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Surat sumpah jawatan kemudiannya ditandatangani oleh kedua orang Raja yang menjadi saksi.
Datuk Seri Syed Danial kemudiannya menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada kepada Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Baginda kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan dan menandatanganinya. Tuanku Syed Sirajuddin dan Sultan Mizan kemudiannya menandatangani surat sumpah itu. Selesai istiadat tersebut, Datuk Seri Syed Danial memaklumkan bahawa mesyuarat itu ditangguhkan ke suatu masa yang ditetapkan kelak.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Istiadat kemudiannya diteruskan dengan Istiadat Menandatangani Perisytiharan Memegang Jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong dan timbalannya. Memulakan istiadat itu, YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun
Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi
dan penolongnya Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan
Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang
di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Dato' Seri Najib kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Muhammad
V telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan
Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Sultan Muhammad V melafaz sumpah sebagai Yang Di-Pertuan Agong.
Sultan Nazrin Shah melafaz sumpah sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.
Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke- 15
Sultan Muhammad V.
Istana Kubang Kerian dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 bermula di Istana Negeri, Kubang Kerian. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V tiba diperkarangan Istana Kubang Kerian kira-kira pukul 7.50 pagi dan disambut oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan Tengku Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Menteri Besar Kelantan Dato' Ahmad Yakob. Seterusnya lagu negeri Kelantan dimainkan dan baginda berkenan memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan Rejimen Askar Melayu DiRaja. Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Kelantan Dato Mohamad Shukri Mohamad. Selesai doa dibacakan, lagu Negaraku dimainkan. Baginda seterusnya barangkat ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Sultan Muhammad V tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 8.50 pagi. Baginda disambut oleh dif-dif kehormat dan kemudiannya baginda berkenan bersalaman dengan mereka. Baginda seterusnya disambut oleh YAM Tengku Temenggong Kelantan Tengku Mohamad Rizam, dan kemudiannya baginda bersalaman dengan Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid. Baginda seterusnya diiringi ke balai pelepasan. Baginda sempat bersalaman dengan rakyat jelata dalam perjalanan menuju ke balai pelepasan. Sebelum baginda menaiki pesawat, doa selamat dibacakan sekali lagi oleh Mufti Kelantan. Baginda menaiki pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 9.00 pagi.
Berkenan memeriksa barisan kehormatan.
Bacaan doa oleh Mufti Kelantan.
Pemangku Raja Kelantan Tengku Faiz Petra dan Bonda Raja Perempuan Tengku Anis.
Bersama bonda, adinda, dan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Mohamad Rizam.
Memohon restu daripada Paduka Bonda.
Lambaian kepada seluruh rakyat Kelantan.
KUALA LUMPUR :
Kompleks Bunga Raya, KLIA dan Dataran Parlimen.
Kompleks Bunga Raya, KLIA dan Dataran Parlimen.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.16 minit pagi. Baginda disambut oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, YAM Tengku Laksmana Selangor Tengku Sulaiman Shah serta kerabat diraja Selangor yang lain. Turut menyambut baginda ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak. Baginda diiringi melalui pasukan Kawalan Kehormat Setempat
oleh Angkatan Tentera Malaysia Unit I Rejimen Renjer Diraja, terdiri daripada
dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat, yang diketuai Kapten Mohd Hafiz
Mohamad Noor. Baginda kemudian berangkat ke Dataran Parlimen untuk
sambutan rasmi penuh istiadat.
Sultan Muhammad V di Dataran Parlimen pada jam 11 pagi tadi
disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour
Diraja. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah
Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
menyambut keberangkatan tiba baginda. Baginda diiringi ke peterana, melintasi
pasukan kawalan tombak, diikuti persembahan tabik 'Hormat Diraja' oleh pasukan
kawalan kehormat. Ia disusuli lagu Negaraku oleh pasukan pancaragam pusat
Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Kapten Nor Azizan Yahaya. Serentak itu, panji-panji Yang di-Pertuan
Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das. Sultan Muhammad V kemudian memeriksa pasukan
kawalan kehormat 103 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen
Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Mohd Riduan Mohd Basheer. Istiadat negara
itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr
Zulkifli Mohammad Al Bakri dan disusuli dengan tabik 'Hormat Diraja' serta lagu
Negaraku. Baginda kemudian menerima menghadap Menteri Kabinet dan ketua jabatan
sebelum berangkat ke Istana Negara di Jalan Duta untuk Istiadat Melafaz Sumpah
Jawatan dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan sebagai Yang di-Pertuan
Agong.
Keberangkatan tiba ke Kompleks Bunga Raya.
Disambut oleh DYTM Raja Muda Selangor, YAM Tengku Laksmana Selangor dan kerabat diraja Selangor yang lain.
Tengku Amir Shah, Tengku Sulaiman Shah, serta kerabat diraja Selangor menanti keberangkatan Sultan Muhammad V.
Bersalaman dengan Perdana Menteri.
Mmeriksa barisan kawalan kehormatan di Dataran Parlimen.
Subscribe to:
Posts (Atom)