Dengan segala rasa dukacita dimaklumkan bahawa Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin telah mangkat pada jam 6.53 pagi pada tanggal 8 September 2023 di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Baginda mangkat pada usia 100 tahun dan baginda baru sahaja menyambut hari keputeraan ke 100 pada 1 September 2023 yang lepas.
Mengikut Siaran Media Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, jenazah Almarhum akan disemayamkan di Istana Besar Seri Menanti dan akan dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti selepas waktu Asar hari ini.
Perkabungan bagi kemangkatan Almarhum adalah selama satu hari iaitu pada hari ini, Jumaat bersamaan 8 September 2023.
Almarhum merupakan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan bermula tahun 1961 hingga kemangkatan suami baginda Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada tahun 2008. Selepas kemangkatan suami baginda, Almarhum Tuanku Najihah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan. Almarhum bersemayam di Istana Salatin, Seremban selepas kemangkatan suami baginda. Almarhum juga merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-10 bermula tahun 1994-1999.
Sembah takziah kepada seluruh keluarga diraja Negeri Sembilan di atas kemangkatan YMM Tuanku Najihah. Marilah kita semua mendoakan semoga roh Almarhum ditempatkan bersama orang beriman.