Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 30 April 2016

29 April 1930 : Hari Keputeraan Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Al - Fatihah..


DALAM KENANGAN.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Darul Iman Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
D.K.T., D.K., D.M.N., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Johor), D.K.(Pahang), D.K.(Perak), D.K.(Selangor), D.K.(Perlis), D.K.(Kedah), D.K.(Kelantan), D.P.(Sarawak), S.P.C.M., K.St.J(United Kingdom).

Sultan Terengganu Darul Iman (1979-1998).

29. April. 1930 - 14. Mei. 1998

Semoga ALLAH S.W.T. Mencucuri Rahmat ke atas Roh Almarhum.

Biodata Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah :



Monday, 25 April 2016

Khas Sempena Ulangtahun Perkahwinan Ke-42 Yang Di-Pertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

WARISAN PERMAISURI MELAYU menyembah tahniah kehadapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud sempena dengan hari Ulangtahun Perkahwinan ke-42 Ke Bawah Duli-Duli Tuanku berdua pada 25 April 2016. Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani mendirikan rumah tangga pada 25 April 1974. Tuanku Muhriz ketika itu bergelar Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti berusia 29 tahun manakala Tuanku Aishah yang merupakan cucunda Sultan Terengganu Almarhum Sultan Zainal Abidin ketika itu berusia 25 tahun. 

Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Maziah, Kuala Terengganu disaksikan oleh bonda Tuanku Muhriz, Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Durah, dan kerabat diraja Negeri Sembilan dan Terengganu. Perkahwinan baginda berdua diserikan dengan kehadiran 3 orang putera. Putera sulung, Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz diputerakan pada 26 April 1977 di Hospital Universiti, Petaling Jaya. Tunku Ali kini bergelar Tunku Besar Seri Menanti. Putera kedua, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz diputerakan pada 6 Julai 1982 di Hospital Universiti, Petaling Jaya. Manakala putera bongsu, Yang Amat Mulia Tunku Alif Hussien Al Amin Ibni Tuanku Muhriz diputerakan pada 3 September 1984 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Tunku Alif mangkat pada 15 Januari 2016 ketika berusia 32 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur. Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah menaiki takhta Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008. Selamat menyambut hari ulangtahun perkahwinan ke-42 buat Tuanku berdua dan semoga Allah S.W.T. memberi kesihatan yang baik kepada kedua-dua Tuanku. 


Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,
D.K., D.M.N., D.K.(Perak), D.K.(Perlis), D.K.(Selangor), D.K.(Kedah), D.K.(Kelantan), D.K.(Johor), D.K.(Terengganu), D.K.Y.R., P.P.T.


Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud,
D.K., D.P.T.J., P.P.T.

Gambar khas yang diambil 42 tahun lepas sempena Perkahwinan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani. (sumber : instagram tunku zain al abidin)




Thursday, 21 April 2016

Ulangtahun Keputeraan Ratu Elizabeth II Ke-90.


Tarikh 21 April 2016 merupakan tarikh sambutan Ulangtahun Keputeraan Ke-90 Her Majesty The Queen of England, Queen Elizabeth II. Baginda diputerakan pada 21 April 1926. Baginda menaiki takhta England pada 6 Februari 1952 setelah kemangkatan ayahanda baginda King George VI. Baginda ketika itu berada di Kenya untuk melakukan lawatan ke negara-negara Komanwel bagi pihak ayahanda baginda. Lalu, Queen Elizabeth yang ketika itu berusia 26 tahun dinamakan sebagai pengganti takhta England dengan bergelar Her Majesty The Queen. Kemahkotaan baginda diadakan pada 2 Jun 1953. Baginda dibimbing oleh bonda baginda, Queen Elizabeth The Queen Mother dalam menjalankan pemerintahan negara. Baginda menayambut Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan pada tahun 1977. 

Seterusnya baginda menyambut Sambutan Jubli Emas pemerintahan pada tahun 2002. Namun, pada tahun 2002, adinda baginda Princess Margaret mangkat pada bulan Februari 2002 manakala bonda Queen Elizabeth The Queen Mother mangkat pada Mac 2002 pada usia 102 tahun. Queen Elizabeth menyambut Sambutan Jubli Intan 60 Tahun pemerintahan baginda pada tahun 2012. Pada Disember 2007, baginda memecahkan rekod yang dibuat oleh moyang baginda Queen Victoria sebagai monarki tertua Britain ketika berusia 81 tahun dan menjadi monaki paling lama memerintah di Britain pada 9 September 2015. Sehingga hari ini, baginda telah menjadi Queen of England selama 64 tahun. Baginda berada di tempat kedua selepas King Bhumibol of Thailand sebagai pemerintah paling lama bertakhta. Baginda bergelar monarki tertua di dunia ketika ini. Pada usia 90 tahun, Queen Elizabeth banyak memberikan tugas-tugas rasmi kepada anakanda baginda Prince Charles of Wales dan cucunda baginda Duke of Cambridge Prince William. 

Potret-potret yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham sempena Ulangtahun Keputeraan Ke-90 Ratu England.

Queen Elizabeth bersama cucunda dan cicitnda baginda. Baginda meriba cicitnda baginda Princess Charlotte of Cambridge sambil diapit oleh Prince George of Cambridge, Mia, Savannah dan Isla yang merupakan cicitnda baginda. Turut kelihatan cucunda baginda James, Viscount Servent dan Lady Louise Windsor.

Queen Elizabeth bersama pewaris takhta England. 

Queen Elizabeth bersama puteri tunggal baginda, Princess Anne.


Saturday, 16 April 2016

16 April 2000 : Kemangkatan Tuanku Syed Putra Jamalullail.



17/04/2000 :  KANGAR, Ahad - Raja Perlis Tuanku Syed Putra Jamalullail, 79, mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kira-kira jam 2.20 petang ini selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak 21 Mac lalu. Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim di sini, jam 4 petang ini. Tuanku Syed Putra yang dilantik sebagai Raja Perlis pada 4 Disember 1945 dan menjadi Yang di-Pertuan Agong ketiga dari 21 September 1960 hingga 20 September 1965, adalah Raja Melayu paling lama memerintah sesebuah negeri. Shahidan berkata, kerajaan negeri mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi membolehkan seluruh rakyat negeri ini menziarahi jenazah baginda. Sebagai tanda berkabung, bendera negeri dan kebangsaan akan dikibarkan separuh tiang di negeri itu manakala semua acara rasmi yang dijadualkan mulai sekarang ditangguhkan. "Bagaimanapun, tempoh berkabung belum lagi diputuskan," katanya pada sidang akhbar di sini. 

Di KUALA LUMPUR, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menziarahi jenazah Almarhum di IJN sebaik saja dimaklumkan mengenai kemangkatan baginda. Turut berangkat menziarahi jenazah Almarhum di IJN ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dan Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku Razaleigh menyifatkan Almarhum sebagai raja yang mengambil berat terhadap rakyat dan seorang bapa yang penyayang serta baik hati. "Saya kenal Almarhum sejak saya kecil lagi dan baginda adalah seorang yang baik, suka merendahkan diri dan tidak sombong," katanya ketika ditemui di IJN. Tuanku Syed Putra dimasukkan ke IJN pada 21 Mac lalu kerana masalah jantung, buah pinggang dan kencing manis. Kesihatan baginda dilaporkan kritikal pada 9 April lalu sehingga ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberi bantuan alat pernafasan. Bagaimanapun, keadaan baginda kembali stabil dua hari kemudian dan tidak lagi menggunakan mesin sokongan hayat. 

Raja Perempuan Perlis Tengku Budriah dan Raja Muda Syed Sirajuddin Putra Jamalullail serta anggota kerabat diraja Perlis yang lain berada di IJN ketika baginda menghembuskan nafas terakhir. Jenazah Almarhum diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, Selangor dengan pesawat TUDM dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Kepala Batas, Alor Star kira-kira jam 6.45 petang. Turut menunggu di LTSAH ialah Sultan dan Sultanah Kedah; Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah. Turut serta, Shahidan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid. Sejurus dibawa keluar dari pesawat, 103 anggota dan dua pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang membawa PanjiPanji Diraja diketuai Mejar Mustapha Zainal Abidin, memberi Kawalan Kehormatan Jenazah Diraja sebelum dibawa ke Istana Arau, Perlis. 

Jenazah baginda akan ditempatkan di Istana Arau bagi membolehkan rakyat menziarahi selepas Maghrib hari ini serta mulai jam 8 pagi esok. Rakyat yang menziarahi perlu berpakaian putih serta kain sampin berwarna cerah bagi lelaki dan tidak perlu lilitan kain putih pada songkok. Kerabat Diraja dan pembesar negara serta asing pula akan menziarahi jenazah Almarhum mulai jam 12 tengah hari esok. Almarhum akan dimandikan pada jam 11 pagi esok di Masjid Negeri sebelum disemadikan di Makam Diraja Arau selepas Zohor. Majlis pengumuman pelantikan Raja Perlis yang baru pula akan dibuat sebelum jenazah Tuanku Syed Putra disembahyangkan. Jumaat lalu, Tuanku Syed Putra melantik Syed Sirajuddin sebagai Pemangku Raja Perlis.

Thursday, 14 April 2016

14 April : 49 Tahun Kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir.


KEMANGKATAN TUANKU MUNAWIR PADA 14 APRIL 1967.


Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah mangkat pada 14 April 1967. Baginda berusia 45 tahun dan memerintah Negeri Sembilan selama 7 tahun. Baginda menaiki takhta Negeri Sembilan menggantikan ayahanda baginda Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang mangkat ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 1960. Baginda mangkat setelah gering beberapa lama. Jenazah Almarhum Tuanku Munawir disemayamkan di atas peterana di Istana Besar Seri Menanti sambil dikelilingi oleh jejawat-jejawat istana untuk istiadat penghormatan terakhir. Baginda meninggalkan balu, Tuanku Ampuan Durah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin serta seorang putera dan  5 puteri. Beberapa orang Raja-Raja Melayu berangkat menziarahi jenazah Almarhum. 

Sebelum jenazah Almarhum Tuanku Munawir boleh dimakamkan, Yang Di-Pertuan Besar yang baru mesti dipilih dan dimashurkan terlebih dahulu. Undang yang empat telah memilih adinda Almarhum iaitu Tuanku Jaa'far Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai pengganti Almarhum. Istiadat pemashuran Yang Di-Pertuan Besar yang baru diadakan di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Sejurus tamat istiadat pemashuran, istiadat pemakaman Tuanku Munawir pun bermula. Jenazah Almarhum Tuanku Munawir diarak dari Istana Seri Menanti menuju ke Makam DiRaja Seri Menanti menggunakan pedati diraja. Seramai 20,000 orang mengiringi perjalanan terakhir Almarhum. 

Semenjak bergelar Yang Di-Pertuan Besar pada tahun 1960, kesihatan kerap mengganggu Almarhum. Almarhum telah beberapa kali ke luar negara untuk berubat. Kali terakhir baginda berubat di Amerika Syarikat pada bulan September 1966. Baginda mangkat pada pukul 11.15 malam hari Jumaat tanggal 14 April 1967. Istiadat pemakaman Almarhum disaksikan oleh kaum kerabat dan Raja-Raja Melayu. Sesudah selesai bacaan doa dan talkin, balu Almarhum, Tuanku Ampuan Durah meletakkan kalungan bunga disisi makam Almarhum. Selepas itu, Tuanku Jaa'far dan putera tunggal Almarhum, Tunku Muhriz menabur bunga di pusara Almarhum. Semoga ALLAH S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum. Al Fatihah.


Suasana di hadapan Istana Besar Seri Menanti.

Jenazah Almarhum diletakkan di tengah istana untuk istiadat penghormatan terakhir.

Alunan ayat-ayat suci Al-Quran berkumandang di Istana Besar Seri Menanti.


Balu Almarhum, Tuanku Ampuan Durah bersama kekanda Tuanku Puan Besar Kurshiah.

Tuanku Jaa'far menziarahi jenazah kekanda baginda.

Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz yang merupakan putera tunggal Almarhum.

Adinda Almarhum, Tuanku Jaa'far dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Besar yang baru.



Tuanku Jaa'far memberikan titah sempena pemashuran baginda sebagai Yang Di-Pertuan Besar.

Kaum kerabat dan rakyat jelatan mengiringi jenazah Almarhum.

Tuanku Jaa'far, bonda Almarhum, Tunku Maharun Tunku Mambang dan Tunku Muhriz.

Tuanku Ampuan Durah dan adinda baginda Tuanku Najihah.


Jenazah Almarhum diusung oleh pedati diraja.

Perangkatan diraja menuju ke makam.

Tuanku Ampuan Durah meletakkan kalungan bunga di makam Almarhum.

Tuanku Ampuan Durah bersama putera tunggal baginda Tunku Muhriz.

Tuanku Ampuan Durah dan Tuanku Jaa'far.

Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah memberikan penghormatan terakhir kepada kekanda ipar baginda.

Keranda yang berisi jenazah Almarhum dimasukkan ke dalam liang lahad.

Proses pemakaman Almarhum.

Putera tunggal Almarhum. Tunku Muhriz yang berusia 19 tahun menabur bunga di makam ayahandanya.

Sultan Selangor Sultan Salahuddin dan Raja Perlis Tuanku Syed Putra berangkat menziarahi Almarhum.

Makam Almarhum Tuanku Munawir.

Wednesday, 13 April 2016

13 April 1928 : Hari Keputeraan Almarhum Tuanku Intan Zaharah.

Al - Fatihah..


DALAM KENANGAN.

Almarhum Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu Darul Iman Tuanku Hajah Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja,
D.K., D.M.N., S.S.M.T., S.P.M.T., Grand Cordon of the Order of Merit(Republic of Germany), Grand Cordon of the Order of Golden Hearts(Philippines), Grand Cross of the Order of Queen Sheba(Ethiopia), Grand Cordon of the Order of the Precious Crown(Japan), Grand Cordon of the Order of Diplomatic Service Merit 1st Class(Republic of South Korea), Grand Cordon of the Order of Pleiades 1st Class(Iran), Grand Order of Mugunghwa(Republic of South Korea).

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-4 (1965-1970).
Tengku Ampuan Besar Terengganu Darul Iman (1945-1979).
Tengku Ampuan Terengganu Darul Iman (1979-1998).
Tengku Ampuan Tua Terengganu Darul Iman (1998-2015).

13. April. 1928 - 25. Januari. 2015

Semoga ALLAH S.W.T. Mencucuri Rahmat ke atas Roh Almarhum.

Biodata Almarhum Tuanku Intan Zaharah : 









Tuesday, 12 April 2016

Ayahanda dan Bonda Sultan Hassanal Bolkiah.


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Paduka Sri Begawan Sultan Muda Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien,
D.K.M.B., D.K., P.S.N.B., S.P.M.B., P.S.S.U.B., P.H.B.S., D.M.N., D.K.(Kelantan), D.K.(Johor), D.K.(Selangor), G.C.V.O., K.C.M.G., Elizabeth II Coronation Medal.

Dan
KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Suri Begawan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Damit,
D.K.

Sultan Omar Ali Saifuddien diputerakan sebagai Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien pada 23 September 1914 di Istana Kota, Kampung Sultan Lama, Bandar Brunei. Baginda merupakan anakanda kedua daripada sepuluh beradik kepada pasangan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Muhammad Jamalul Alam II dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Siti Fatimah. Ayahanda baginda menjadi Sultan Brunei bermula tahun 1906 sehingga 1924. Pada 11 September 1924, Sultan Jamalul Alam II mangkat akibat demam malaria. Putera sulung baginda yang juga kekanda sulung kepada Sultan Omar Ali iaitu Pengiran Muda Besar Ahmad Tajuddin menjadi Sultan Brunei dengan bergelar KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Sir Ahmad Tajuddin Akhazul Khairiwaddien. Adik beradik Sultan Omar Ali yang lain ialah YAM Pengiran Muda Bongsu, YAM Pengiran Muda Anum, YAM Pengiran Muda Laila Gambar, YAM Pengiran Anak Besar Bagol, YAM Pengiran Anak Putri Hajah Besar, YAM Pengiran Anak Puteri Tengah, YAM Pengiran Anak Puteri Damit dan YAM Pengiran Puteri Anak Tinggal.



Sultan Omar Ali mendapat pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar (M.C.K.K.) bermula tahun 1932 hingga 1936. Selepas menamatkan pengajian di MCKK, baginda pulang ke Brunei untuk bertugas di Bahagian Perhutanan sebagai Pegawai Kadet di Kuala Belait sehingga tahun 1937. Seterusnya baginda menyertai bidang perundangan pula juga sebagai Pegawai Kadet sehingga tahun 1939. Baginda mempelajari mengenai kod perundangan jenayah dan sivil daripada Penolong Residen British, Hughes-Hallet. Baginda memegang jawatan sebagai Presiden Kesatuan Melayu Brunei bermula tahun 1939 hingga 1947. Pada tahun 1941, Sultan Omar Ali bekerja sebagai pegawai pentadbiran di Pejabat Residen British. Pada tahun 1947, baginda menjadi Pengerusi Mahkamah Shariah sehingga tahun 1950. Pengalaman baginda dalam pelbagai bidang membuatkan baginda lebih bersedia untuk menerajui takhta Brunei Darussalam.




Sultan Omar Ali dilantik sebagai Paduka Sri Pengiran Bendahara Sri Maharaja Permaisuara pada 18 Julai 1947 oleh kekanda baginda Sultan Ahmad Tajuddin. Ketika itu baginda berusia 33 tahun. Telah ditakdirkan Allah, kekanda sulung baginda Sultan Ahmad Tajuddin mangkat di Hospital Besar Singapura selepas mengalami kegagalan buah pinggang pada 4 Jun 1950. Disebabkan kekanda baginda tidak mempunyai anak lelaki, maka, Sultan Omar Ali telah dilantik sebagai Sultan Brunei menggantikan kekanda baginda. Baginda diishtiharkan sebagai Sultan Brunei pada 6 Jun 1950. Sultan Omar Ali dipuspakan sebagai Sultan Brunei pada 31 Mei 1959 di Lapau DiRaja Bandar Brunei. Serentak dengan perpuspaan baginda sebagai Sultan Brunei, Raja England telah menganugeru baginda dengan Honorary Companion of the Most Distinguished Order of St Michael and Saint George (C.M.G.). Baginda memakai gelaran penuh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Paduka Seri Sultan Haji Sir Omar Ali Saifuddien Saa'dul Khairi Waddien Ibni Almarhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II.




Dikenali sebagai Bapa Permodenan Brunei, Sultan Omar Ali banyak mencorakkan kemajuan Brunei. Baginda banyak memberi sumbangan dalam bidang keagamaan seawal sebelum bergelar Sultan lagi. Baginda menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Agama pada 1 Julai 1954. Baginda juga menitik beratkan pengajian mengenai Islam. Pada September 1956, atas inisiatif baginda, sekolah agama telah mula beroperasi di Brunei. Kerajaan Brunei ketika itu juga menawarkan biasiswa kepada pelajarnya untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab AlJunied di Singapore, Kolej Islam Klang Selangor dan Universiti Al Azhar. Selain itu, baginda berperanan dalam penulisan Perlembagaan Negara Brunei. Pada Mac 1959, baginda mengetuai delegasi ke England untuk membincangkan isi perlembagaan tersebut. Pada 29 September 1959, Perjanjian Perlembagaan ditandatangani di Bandar Seri Begawan. 

Pada September 1951, baginda menunaikan fardu haji di Makkah buat pertama kali dan kali kedua pada April 1962. Pada 1953, baginda menghadiri istiadat kemahkotaan Queen Elizabeth II di Westminster Abbey,London. Dan pada 9 Jun 1953, baginda dianugerahi dengan Knight Commander of the Most Distinguished Order of St Michael and St George (K.C.M.G.) yang membawa gelaran "Sir' daripada Queen Elizabeth II. Baginda banyak menerima darjah kebesaran dari negeri-negeri persekutuan Tanah Melayu. Antaranya Darjah Seri Utama Mahkota Negara (D.M.N.) pada 23 April 1959, Darjah Kerabat Kelantan, Darjah Kerabat Johor, Darjah Kerabat Selangor pada 28 Jun 1961 dan lain-lain lagi. 



Sultan Omar Ali turun takhta Brunei pada 4 Oktober 1967 ketika berusia 53 tahun selepas 17 tahun berada di atas takhta Brunei. Putera sulung baginda, Pengiran Muda Hassanal Bolkiah yang ketika itu menerima latihan ketenteraan di Royal Military Academy, Sandhurst dinamakan sebagai pengganti baginda. Selepas turun takhta, baginda menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Begawan Sultan. Baginda dianugerahi Honorary Grand Commander of the Victorian Order (G.C.V.O.) ketika lawatan Queen Elizabeth ke Brunei pada 29 Februari 1972. 



Peristiwa besar yang baginda berjaya lihat selepas turun takhta adalah kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984. Ketika itu baginda telahpun berusia 70 tahun. Baginda dilantik sebagai Menteri Pertahanan Brunei bermula tahun 1984 hingga 1986. Baginda juga dilantik sebagai Jeneral Kehormat Angkatan Tentera DiRaja Brunei. Sultan Omar Ali Saifuddien mangkat pada 7 September 1986, beberapa minggu sebelum menyambut hari keputeraan baginda ke-72. Istiadat pemakaman diadakan pada 8 September 1986. Kesemua Raja-Raja Melayu hadir memberikan penghormatan terakhir. Juga pemimpin-pemimpin dunia. Jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja bersebelahan makam isteri baginda, ayahanda baginda, nenda baginda dan kekanda baginda Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin. 



Sultan Omar Ali bertemu jodoh dengan sepupu baginda Pengiran Anak Damit Binti Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisurara Pengiran Anak Abdul Rahman. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan pada 6 September 1941. Baginda berdua dikurniakan 10 orang putera dan puteri. Putera sulung baginda ialah KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Putera-putera yang lain ialah DYTM Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, dan DYTM Pengiran Muda Jefri Bolkiah. Puteri-puteri baginda pula ialah YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Norain, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Rakiah, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al Islam, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah. 



Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Damit diputerikan pada tahun 1924 di Bandar Brunei. Baginda merupakan puteri sulung kepada YAM Pengiran Bendahara Sri Maharaja Permaisuara Pengiran Anak Abdul Rahman Ibni Almarhum Pengiran Bendahara Pengiran Muda Omar Ali dan YM Pengiran Hajah Fatimah Binti Radin Haji Hassan. Ayahanda baginda merupakan cucunda kepada Sultan Hashim Jalilul Alam. Baginda menerima pendidikan secara persendirian didalam istana. 



Setelah suami baginda menaiki takhta Brunei, baginda diberikan gelaran Paduka Seri Baginda Raja Isteri pada 6 Jun 1951. Baginda dianugerahi dengan Darjah Kerabat Brunei Pangkat Pertama (D.K. I) pada 31 Mei 1954. Selepas suami baginda menuruni takhta pada 1967, Pengiran Anak Damit diberi gelaran Paduka Seri Suri Begawan Raja Pengiran Anak Hajah Damit pada 1 Ogos 1968. Pengiran Anak Damit mangkat ketika berusia 55 tahun pada 13 September 1979. Baginda mangkat di Istana Darussalam, Kampong Sumbiling Lama, Bandar Seri Begawan. Jenazah baginda dimakankan di Makam DiRaja, Jalan Khutbah Makam DiRaja. 



Al Fatihah buat Almarhum Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dan Almarhum Paduka Seri Suri Begawan Raja Pengiran Anak Damit. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-dua Almarhum.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...