17/04/2000 : KANGAR, Ahad - Raja Perlis Tuanku Syed Putra Jamalullail,
79, mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kira-kira jam 2.20
petang ini selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak 21 Mac lalu.
Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan
Kassim di sini, jam 4 petang ini. Tuanku Syed Putra yang dilantik sebagai Raja
Perlis pada 4 Disember 1945 dan menjadi Yang di-Pertuan Agong ketiga dari 21
September 1960 hingga 20 September 1965, adalah Raja Melayu paling lama
memerintah sesebuah negeri. Shahidan berkata, kerajaan negeri mengisytiharkan
esok sebagai cuti umum bagi membolehkan seluruh rakyat negeri ini menziarahi
jenazah baginda. Sebagai tanda berkabung, bendera negeri dan kebangsaan akan
dikibarkan separuh tiang di negeri itu manakala semua acara rasmi yang
dijadualkan mulai sekarang ditangguhkan. "Bagaimanapun, tempoh berkabung
belum lagi diputuskan," katanya pada sidang akhbar di sini.
Di KUALA
LUMPUR, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Datin Seri
Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menziarahi jenazah Almarhum di IJN sebaik saja
dimaklumkan mengenai kemangkatan baginda. Turut berangkat menziarahi jenazah
Almarhum di IJN ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra,
bekas Menteri Pertahanan, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dan Ketua Perhubungan
Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku Razaleigh menyifatkan Almarhum
sebagai raja yang mengambil berat terhadap rakyat dan seorang bapa yang
penyayang serta baik hati. "Saya kenal Almarhum sejak saya kecil lagi dan
baginda adalah seorang yang baik, suka merendahkan diri dan tidak
sombong," katanya ketika ditemui di IJN. Tuanku Syed Putra dimasukkan ke
IJN pada 21 Mac lalu kerana masalah jantung, buah pinggang dan kencing manis. Kesihatan
baginda dilaporkan kritikal pada 9 April lalu sehingga ditempatkan di Unit
Rawatan Rapi (ICU) dan diberi bantuan alat pernafasan. Bagaimanapun, keadaan
baginda kembali stabil dua hari kemudian dan tidak lagi menggunakan mesin
sokongan hayat.
Raja Perempuan Perlis Tengku Budriah dan Raja Muda Syed
Sirajuddin Putra Jamalullail serta anggota kerabat diraja Perlis yang lain
berada di IJN ketika baginda menghembuskan nafas terakhir. Jenazah Almarhum
diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang,
Selangor dengan pesawat TUDM dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim
(LTSAH), Kepala Batas, Alor Star kira-kira jam 6.45 petang. Turut menunggu di
LTSAH ialah Sultan dan Sultanah Kedah; Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah.
Turut serta, Shahidan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid. Sejurus dibawa keluar dari
pesawat, 103 anggota dan dua pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu
Diraja (RAMD) yang membawa PanjiPanji Diraja diketuai Mejar Mustapha Zainal
Abidin, memberi Kawalan Kehormatan Jenazah Diraja sebelum dibawa ke Istana
Arau, Perlis.
Jenazah baginda akan ditempatkan di Istana Arau bagi membolehkan
rakyat menziarahi selepas Maghrib hari ini serta mulai jam 8 pagi esok. Rakyat
yang menziarahi perlu berpakaian putih serta kain sampin berwarna cerah bagi
lelaki dan tidak perlu lilitan kain putih pada songkok. Kerabat Diraja dan
pembesar negara serta asing pula akan menziarahi jenazah Almarhum mulai jam 12
tengah hari esok. Almarhum akan dimandikan pada jam 11 pagi esok di Masjid
Negeri sebelum disemadikan di Makam Diraja Arau selepas Zohor. Majlis
pengumuman pelantikan Raja Perlis yang baru pula akan dibuat sebelum jenazah
Tuanku Syed Putra disembahyangkan. Jumaat lalu, Tuanku Syed Putra melantik Syed
Sirajuddin sebagai Pemangku Raja Perlis.
No comments:
Post a Comment