Anda Pengunjung Ke :

Friday, 2 October 2015

Tuanku Zara.. Permaisuri Jelitawan dan Cendekiawan.


Jika menyebut nama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim, pasti ramai akan membayangkan akan kecantikan dan keanggunan baginda. Tidak dinafikan baginda memiliki raut wajah yang amat memukau mata yang memandang. Namun, bukan itu sahaja, Tuanku Zara juga mempunyai kualiti seorang wanita cerdik dan berkerjaya. Itulah anugerah Allah kepada wanita yang bergelar Raja Permaisuri Perak ini. Dengan gaya yang sederhana, baginda seringkali menarik perhatian banyak pihak.

Tuanku Zara mula menunjukkan ketokohan baginda sejak zaman persekolahan lagi. Baginda mewakili sekolah baginda, S.M.K. Convent Ipoh dalam sukan squash dan tenis bermula tahun 1988 hingga tahun 1990. Baginda juga wakil sukan renang negeri Perak pada tahun 1981 hingga 1987. Tamat pendidikan menengah, baginda menyambung pelajaran di Prime College dan berjaya menamatkan A-Levels. Baginda kemudiannya berangkat ke England pada 1992 untuk menyambung pelajaran di University of Nottingham dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Kecerdikan baginda memolehkan baginda mendapat Ijazah Kelas Pertama pada Julai 1995. Baginda juga memenangi anugerah pelajar terbaik untuk projek yang dijalankan baginda. 

Menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama membuatkan baginda terpilih untuk menyertai Petronas sebagai Jurutera Kimia. Baginda menyertai Bahagian Penilaian Perniagaan, Unit Perancang Korporat pada Disember 1995. Baginda dan kumpulan baginda telah berjaya menubuhkan kompleks petrokimia di Kertih dan Kuantan. Tuanku Zara kemudiannya diberi tugas sebagai Penganalisa Projek di Unit Perniagaan Petrokimia Petronas. Baginda merupakan sebahagian daripada kumpulan yang memajukan jenama Petronas pada pasaran global. Bermula bulan Februari 1999 hingga Oktober 2000, baginda menjadi Pengurus Produk bagi syarikat Petlin(Malaysia), Sdn. Bhd, sebuah syarikat usahasama Petronas dengan syarikat DSM yang berpangkalan di Belanda dan syarikat Sasol yang berpangkalan di Afrika Selatan. Tuanku Zara meninggalkan Petronas pada bulan November 2001 dan seterusnya menyertai Formis Network Services Sdn Bhd sebagai Pengurus Akaun. Baginda seterusnya diberi kepercayaan untuk menjadi Naib Presiden Syarikat Formis Malaysia diantara tahun 2003 hingga 2005. Jawatan terakhir Tuanku Zara dalam dunia pekerjaan sebelum bertemu jodoh dengan Sultan Nazrin Shah adalah Pengarah Urusan Forthwave Consulting Sdn Bhd, jawatan yang baginda pegang sehingga tahun 2007. 

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...