Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 12 January 2019

Menjunjung Kasih Sultan Haji Ahmad Shah: 44 Tahun Di Atas Takhta.



Setelah lebih 44 tahun menduduki takhta negeri Pahang Darul Makmur, KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin Al-Muazzam Shah telah menyerahkan takhta kepada putera sulung baginda, KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah. Baginda yang telah berusia 88 tahun turun takhta untuk memberi laluan kepada Tengku Abdullah yang telah memangku takhta negeri Pahang dengan bergelar Pemangku Raja Pahang sejak tahun 2017 akibat kegeringan Sultan Haji Ahmad Shah. Disebabkan kegeringan baginda, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa Tengku Abdullah akan dilantik sebagai Sultan Pahang Ke-6. Selepas ini Sultan Haji Ahmad Shah akan diberi gelaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.


Perjalanan baginda yang agak panjang sebagai seorang Raja menjadikan baginda seorang pemerintah yang amat disayangi rakyat jelata. Menaiki takhta negeri Pahang pada 7 Mei 1974 ketika berusia 44 tahun, menggantikan ayahanda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin Al-Muazzam Shah yang mangkat selepas 42 tahun memerintah Pahang. Legasi ayahanda baginda diteruskan oleh Sultan Haji Ahmad Shah. Bonda baginda merupakan puteri Sultan Perak iaitu Almarhum Tengku Ampuan Raja Fatimah Binti Almarhum Sultan Iskandar Shah. Sultan Haji Ahmad Shah ditabalkan sebagai Sultan Pahang Moden Ke-5 pada 8 Mei 1975. Ditabalkan di samping baginda ialah suri baginda KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Ampuan Afzan Binti Tengku Muhammad. 


Selepas setahun menaiki takhta negeri Pahang,baginda dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong menggantikan Sultan Yahya Petra yang diangkat menjadi Yang Di-Pertuan Agong Ke-6. Kurang 4 tahun selepas itu, Sultan Yahya Petra mangkat dan Sultan Haji Ahmad Shah dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-7. Baginda melantik putera baginda KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah sebagai Pemangku Raja sepanjang baginda bergelar Yang Di-Pertuan Agong. Baginda menghabiskan tempoh 5 tahun sebagai Yang Di-Pertuan Agong dan kembali ke takhta negeri Pahang pada tahun 1984. Tahun 1988 merupakan tahun sedih buat baginda apabila 2 orang insan yang baginda sayangi mangkat. Pada 23 Jun 1988,bonda baginda Tengku Ampuan Fatimah mangkat pada usia 78 tahun. Selang 6 hari, suri baginda Tengku Ampuan Afzan mangkat pada 29 Jun 1988 akibat kanser pada usia 55 tahun. 


Pada tahun 1991,baginda telah mendirikan rumah tangga bersama DYMM Sultanah Hajah Kalsom. Baginda berpendidikan daripada University of Oxford selain meminati bidang ketenteraan. Sepanjang bergelar Sultan Pahang,baginda banyak memegang jawatan penting dan menaungi banyak pertubuhan. Baginda juga amat sinonim dengan sukan bola sepak kerana baginda merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)semenjak 1984 hingga 2014.  Rakyat Pahang amat dekat di hati baginda. Baginda sering berangkat mencemar duli melawat rakyat jelata yang ditimpa musibah terutama ketika banjir. Sebagai seorang Sultan, baginda amat mudah didekati dan amat mesra tidak kira dengan siapa sahaja. 


Sultan Haji Ahmad Shah mula gering pada penghujung tahun 2016. Baginda berkenan untuk melantik putera baginda sebagai Pemangku Raja Pahang pada 28 Disember 2016 akibat kegeringan baginda. Semenjak itu baginda jarang kelihatan di khalayak ramai kerana perlu menjalani rawatan. Difahamkan, sehingga hari ini, baginda masih menjalani rawatan insentif di Institut Jantung Negara (IJN). Merafak Sembah Menjunjung Kasih buat Sultan Haji Ahmad Shah kerana telah menerajui negeri Pahang Darul Makmur selama lebih 44 tahun. Daulat Tuanku.


No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...