Anda Pengunjung Ke :

Sunday 29 March 2020

Raja Permaisuri Agong Dari Kalangan Rakyat Biasa.


Dalam sejarah Raja Perlembagaan negara kita, sehingga hari ini, terdapat 15 orang Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Raja Permaisuri Agong adalah jawatan bukan secara lantikan tetapi secara automatik diisi oleh suri kepda Raja yang dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Semenjak tahun 1957 hingga 1989, kesemua 8 orang Raja Permaisuri Agong adalah kerabat diraja atau disebut sebagai Permaisuri Gahara. Permaisuri-Permaisuri ini terdiri daripada puteri kepada Raja-Raja atau puteri kepada kerabat diraja terdekat. Namun, pada tahun 1989, apabila Yang Di-Pertuan Agong ke-9 dipilih, tradisi tersebut telah dipecahkan. Sejarah baru tercipta apabila suri kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-9 Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah merupakan rakyat biasa daripada golongan kebanyakan. Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Bainun Binti Mohamad Ali merupakan Raja Permaisuri Agong pertama dari golongan rakyat biasa yang dinaikkan darjatnya sebagai Suri Negara dan menduduki singgahsana Persekutuan.

Selepas Tuanku Bainun, terdapat 3 orang lagi Raja Permaisuri Agong yang berasal daripada golongan kebanyakan. Pada tahun 1999, apabila DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-11, suri baginda iaitu DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Siti Aishah bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah. Seterusnya pada tahun 2006, apabila KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13, suri baginda bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Dan akhir sekali, pada tahun 2011, buat julung kalinya, KDYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih untuk kali kedua sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14. Suri baginda KDYMM Sultanah Haminah diberikan gelaran Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Sehingga hari ini, hanya seorang daripada baginda berempat yang masih bertakhta iaitu KDYMM Sultanah Nur Zahirah. Tiga Permaisuri telah bergelar balu kepada Raja iaitu YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun, YAM Permaisuri Siti Aishah dan YMM Che Puan Besar Tuanku Hajah Haminah.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-9


 Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun Binti Mohamad Ali,
D.K., D.M.N., D.K.(Selangor), D.K.A., Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao (Thailand), Grand Cordon of the Order of Precious Crown(Japan).


Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun dilahirkan di Pulau Pinang pada 7 November 1932 dengan nama Siti Bainun Binti Mohamad Ali. Baginda merupakan anak kepada pasangan Mohd Ali Bin Man dan Che Putih. Ayah baginda merupakan pengelola sekolah di Pulau Pinang. Selepas menamatkan pelajaran di England, baginda bertemu jodoh dengan seorang putera Sultan Perak bernama YAM Raja Azlan Shah yang merupakan seorang Majistret pada 9 Disember 1955. Takdir telah menentukan bahawa suami baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perak pada tahun 1983 dan seterusnya sebagai DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada tahun 1984. Baginda diberikan gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun. 5 tahun selepas menaiki takhta negeri Perak, Tuanku Bainun menjejakkan kaki ke singgahsana Persekutuan apabila Sultan Azlan dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-9 pada tahun 1989. Tuanku Bainun bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Bainun dan baginda berdua menghabiskan tempoh pemerintahan selama 5 tahun. Selepas itu, Tuanku Bainun kembali menjadi Raja Permaisuri Perak sehingga kemangkatan suami baginda pada tahun 2014. Putera sulung baginda DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Shah telah memberikan gelaran Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun kepada baginda selaku bonda kepada Sultan Perak. Kini, baginda telah berusia 88 tahun dan bersemayam di Perak bersama putera baginda. 

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-11

Yang Amat Mulia Permaisuri Hajah Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman,
D.K., D.M.N., D.A.(Sarawak), Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).


Yang Amat Mulia Permaisuri Hajah Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman dilahirkan pada 18 November 1971 di Kuala Lumpur. Baginda merupakan anak kepada pasangan YBhg Lef. Kol.(B) Dato' Seri Abdul Rahman Binti Tan Sri Muhammad Yatim dan YBhg Datin Seri Shamsinar Abdul Rahman. Baginda dibesarkan di Kuala Lumpur dan melanjutkan pelajaran di UiTM Kampus Kota Bharu. Siapa menyangka bahawa baginda telah bertemu jodoh dengan Raja sebuah negeri. Baginda berkahwin dengan DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj sebagai isteri kedua pada 3 Mei 1990. Selepas berkahwin, baginda diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Cik Puan Besar Selangor sehingga tahun 1998. Pada tahun 1998, memandangkan DYMM Tengku Ampuan Rahimah Al-Hajjah telah mangkat pada tahun 1993, maka Cik Puan Besar Siti Aishah ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor. Setahun selepas bergelar Tengku Permaisuri, pada tahun 1999, suami baginda dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-11. Maka, baginda bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah dan menjadi Raja Permaisuri Agong termuda pada usia 28 tahun. Suami baginda mangkat pada tahun 2001 dan anakanda tiri baginda DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberikan gelaran Yang Amat Mulia Permaisuri kepada baginda. Kini baginda telah berusia 47 tahun dan masih menetap di Selangor. 

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-13


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Darul Iman Sultanah Hajah Nur Zahirah,
D.K., D.M.N., S.S.MZ., S.S.M.T., D.K.(Kedah), Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dilahirkan sebagai Rozita Binti Adil Bakeri pada 7 Disember 1973 di Alor Star, Kedah. Baginda merupakan anak kepada Encik Adil Bakeri dan YBhg To' Puan Seri Nur Rahmah Mohd Zain. Baginda dibesarkan dan mendapat pendidikan di Alor Star. Baginda bertemu jodoh dengan Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Mizan Zainal Abidin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 28 Mac 1996 di Kuala Terengganu. Selepas berkahwin, baginda diberikan gelaran YABhg Cik Puan Sri Rozita Binti Adil Bakeri. Pada 1998, suami baginda menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu setelah kemangkatan ayahanda mertua baginda. Baginda diberikan gelaran Permaisuri Nur Zahirah. Kemudian, pada tahun 2006, gelaran baginda ditukar kepada KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Pada Disember 2006, suami baginda dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-13. Maka, Sultanah Nur Zahirah bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Baginda berdua menduduki takhta Persekutuan sehingga tamat tempoh 5 tahun dan kembali memerintah negeri Terengganu sehingga sekarang.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-14

Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah Tuanku Hajah Haminah Binti Haji Hamidun,
D.M.N., D.K., D.K.H., D.M.K., Grand Cordon of the Order of the Precious Crown (Japan), Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).


Yang Maha Mulia Che Puan Besar Tuanku Haminah dilahirkan sebagai Haminah Binti Hamidun pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak. Baginda merupakan anak kepada pasangan Haji Hamidun Bin Taib dan Hajah Isma Muhammad. Baginda dibesarkan di Kampung Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak. Baginda bertemu jodoh dengan KDYMM Sultan Kedah Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai isteri kedua pada 25 Disember 1975. Selepas berkahwin, baginda diberikan gelaran Yang Teramat Mulia Che Puan Kedah Che Puan Haminah. Baginda menggunakan gelaran tersebut sehingga kemangkatan KDYMM Sultanah Hajah Bahiyah pada tahun 2003. Pada 9 Januari 2004, satu istiadat Pertabalan baginda sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah diadakan. Baginda diberikan gelaran KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Hajah  Haminah. Pada tahun 2011, suami baginda sekali lagi dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14. Tuah badan baginda untuk bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Baginda berdua menghabiskan tempoh pemerintahan selama 5 tahun dan kembali ke takhta negeri Kedah pada tahun 2016. Baginda menjadi Sultanah Kedah sehingga kemangkatan suami baginda pada 11 September 2017. Pada Januari 2018, adinda ipar baginda KDYMM Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah telah berkenan untuk mengurniakan baginda dengan gelaran Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah sesuai dengan kedudukan baginda sebagai Mantan Sultanah Kedah. Kini, pada usia 67 tahun, baginda bersemayam di Istana Seri Pelangi dan masih berangkat ke majlis rasmi dan tidak rasmi. 

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...