Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 26 July 2016

Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-3.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-3 Tuanku Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail.


Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail diadakan pada 4 Januari 1961 di Dewan Tunku Abdul Rahman. Tuanku Syed Putra menaiki takhta persekutuan pada tahun 1960 setelah kemangkatan Almarhum Sultan Hisamuddin yang tidak sempat ditabal. Tuanku Syed Putra ditabal menjadi Raja Perlis pada tahun 1945 dan berusia 40 tahun ketika dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-3. Istiadat pertabalan Yang Di-Pertuan Agong tidak diadakan di Istana Negara sebaliknya di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Istiadat penuh gilang gemilang ini dihadiri oleh kesemua Raja-Raja Melayu serta Permaisuri-permaisuri juga Yang Di-Pertua Negeri-negeri, Paduka Seri Baginda Sultan Brunei, Yang Di-Pertuan Negara Singapura dan tetamu kehormat lain. 

Raja-Raja Melayu yang berangkat terdiri daripada KDYMM Sultan Pahang Sultan Sir Abu Bakar, KDYMM Sultan Terengganu yang juga Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Nasiruddin dan KDYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Tuanku Intan Zaharah, DYMM Sultan Johor Sultan Ismail dan DYMM Sultanah Johor Sultanah Aminah, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Munawir dan DYMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Ampuan Durah, KDYMM Sultan Kelantan Sultan Yahya Petra dan KDYMM Raja Perempuan Kelantan Tengku Zainab, DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan DYMM Tengku Ampuan Selangor Tengku Ampuan Rahimah, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei Sultan Sir Omar Ali Saifuddien, serta Yang Di-Pertuan Negara Singapura Tun Yusof Ishak dan isteri Toh Puan Noor Aishah.

Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah tiba di perkarangan Dewan Tunku Abdul Rahman menaiki kereta rasmi Yang Di-Pertuan Agong. Tuanku Syed Putra seterusnya menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat dan seterusnya berkenan untuk memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota Askar Melayu DiRaja. Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah berangkat masuk ke Balairong Seri pada pukul 10.55 pagi. Tiupan nafiri mengiringi keberangkatan baginda berdua. Nobat dipalu sebaik rombongan diraja memasuki balairong seri. Perangkatan diraja didahului oleh Dato' Paduka Maharaja Lela dan panglima-panglima yang membawa cogan alam dan cogan agama, juga juruiring diraja yang membawa pedang, keris, cokmar, sundang, tombak berambu. 

Seterusnya, Perdana Menteri Persekutuan, YTM Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj membacakan Surat Perisytiharan Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-3. Selepas perisytiharan tamat dibaca, Dato' Paduka Maharaja Lela membawa keris panjang diraja untuk dipersembahkan kepada Tuanku Syed Putra. Baginda menerimanya lalu mengucup keris sebagai tanda penerimaan kuasa dan tanggungjawab sebagai ketua negara. Kemudian baginda membaca surat sumpah. Tembakan meriam 21 das dan nobat dipalu dengan lagu Raja Bertabal. Kemudian ucapan tahniah daripada Majlis Raja-raja disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan seterusnya YTM Tunku Abdul Rahman menyampaikan tahniah daripada kerajaan dan seluruh rakyat atas pertabalan. Selepas itu Tuanku Syed Putra menyampaikan titah diraja. Setelah selesai doa selamat dibacakan oleh Tuan Mufti. Istiadat diakhiri dengan keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Keberangkatan pulang baginda berdua diiringi paluan nobat lagu Raja Berangkat. 

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah ke Dewan Tunku Abdul Rahman.


Menerima tabik daripada barisan kawalan kehormat.


Tuanku Syed Putra memeriksan barisan kawalan kehormat.

Permaisuri-permaisuri Melayu antaranya Tengku Intan Zaharah, Sultanah Bahiyah, Sultanah Aminah, Tuanku Ampuan Durah dan Tengku Zainab.

Tetamu-tetamu diraja terdiri daripada Raja-raja Melayu, Yang Di-Pertua Negeri, Sultan Brunei dan Yang Di-Pertuan Negara Singapura. 

Sebahagian hakim-hakim mahkamah.

Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman Putra dan Puan Sharifah Rodziah.

Menteri Persekutuan, Tun V.T Sambanthan.

Tetamu-tetamu yang hadir pada pertabalan.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah didahului oleh Dato' Paduka Maharaja Lela dan pegawai istana yang membawa alat kebesaran pertabalan.



Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah bersemayam di atas takhta.

Pengishtiharan Tuanku Syed Putra sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 dibacakan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.



Dato' Paduka Maharaja Lela mempersembahkan keris panjang diraja.

Tuanku Syed Putra menerima keris panjang diraja yang dipersembahkan oleh Dato' Paduka Maharaja Lela.

Tuanku Syed Putra mengucup keris panjang diraja.

Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien dan Toh Puan Rahah Mohd Noah.

Yang Di-Pertuan Negara Singapura, Tun Yusof Ishak mengaminkan doa bersama tetamu kehormat yang lain.



No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...