Anda Pengunjung Ke :

Friday, 22 July 2016

Almarhum KDYMM Sultan Abu Bakar Pahang.


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdullah Al Muhtassim Billah Shah,
D.K.,S.I.M.P.,D.M.N.,D.K.(Brunei),D.K.I(Johor),D.K.(Kedah),D.K.(Perak),S.P.D.K.(Sabah), Jubilee Medal, King George V Silver Jubilee Medal, King George VI Coronation Medal, Queen Elizabeth II Coronation Medal, G.C.M.G, K.C.M.G.(United Kingdom).


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar diputerakan pada 29 Mei 1904 di Istana Hinggap, Pekan Lama, Pahang. Baginda merupakan putera kedua kepada KDYMM Sultan Sir Abdullah Muhtashim Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah dan YTM Tengku Ampuan Besar Tengku Hajjah Kalsum Binti Tun Abdullah. Ayahanda baginda, Sultan Sir Abdullah menjadi Sultan Pahang pada 19 Jun 1917 sehingga kemangkatan baginda pada 22 Jun 1932 pada usia 58 tahun. Bonda baginda, Tengku Kalsum merupakan puteri kepada Y.Bhg. Tun Abdullah Bin Tun Abdul Rauf yang berasal dari Pulau Duyung, Terengganu. Tengku Kalsum mangkat pada 27 Ogos 1967 pada usia 81 tahun. 


Sultan Abu Bakar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan Pahang dan seterusnya mendapat pendidikan lebih tinggi di Malay College Kuala Kangsar (M.C.K.K.). Baginda menganggotai Perkhidmatan Awam negeri Pahang pada tahun 1923 ketika berusia 19 tahun. Kemudiannya baginda berkhidmat sebagai Pegawai Tanah di Kuala Kangsar dan Teluk Intan, Perak pada tahun 1928 hingga 1929. Seterusnya baginda menjadi Penolong Pengutip Cukai Tanah Temerloh tahun 1929 hingga 1930. 

Pada 4 Jun 1930, ayahanda baginda berkenan melantik Sultan Abu Bakar sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang. Ketika itu baginda berusia 26 tahun dan mencipta sejarah sebagai individu pertama bergelar Tengku Mahkota Pahang. Ayahanda baginda, Sultan Sir Abdullah Muhtasim Billah Shah mangkat pada 23 Jun 1932. Maka, baginda dimashurkan sebagai Sultan Pahang Moden Yang Ke-4. Baginda ditabalkan pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Baginda berusia 28 tahun ketika itu. Baginda menggunakan gelaran KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Ak Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdullah Muhtasim Billah Shah. 

Sultan Abu Bakar dengan Tengku Ampuan Fatimah diatas takhta negeri Pahang.

Sultan Abu Bakar berkahwin buat kali pertama dengan Yang Amat Amat Mulia Raja Fatimah Binti Sultan Sir Iskandar Shah Al-Kadasullah pada 23 Mei 1926. Ketika itu baginda berusia 22 tahun manakala Raja Fatimah berusia 16 tahun. Perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Merchu,Kuala Kangsar Perak. Raja Fatimah merupakan puteri sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Sir Iskandar Shah Al-Kadasullah Ibni Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al-Azzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Nong Fatimah Binti Sultan Sir Ahmad Al-Muazzam Shah. Raja Fatimah dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang pada 4 Jun 1930. Baginda ditbalakan sebagai KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Raja Hajah Fatimah pada 28 Mei 1933. Perkahwinan baginda berdua dikurnia dengan 2 putera dan 4 puteri. Putera sulung baginda mangkat ketika masih kecil dan putera kedua baginda ialah KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang sekarang. Puteri-puteri baginda pula ialah YAM Tengku Nur Azhan, YAM Tengku Sri Nila Utama Pahang Tengku Hajah Ainon Jamil (mantan Tengku Ampuan Besar Terengganu), YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Tengku Puteri Mariam, dan YAM Tengku Puteri Nur Aziah. Tengku Ampuan Raja Fatimah mangkat pada 23 Jun 1988 ketika berusia 78 tahun di Istana Indera Puri,Pekan.

Sultan Abu Bakar dengan Tengku Hajah Azam.

Sultan Abu Bakar berumah tangga buat kali kedua dengan Y.Bhg. Che Siti Nah. Perkahwinan dengan Che Siti Nah tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Che Siti Nah mangkat di Istana Sa'adah,Pekan pada tahun 1984. Perkahwinan ketiga Sultan Abu Bakar adalah dengan Yang Amat Mulia Tengku Hajah Azam Binti Tengku Umar. Perkahwinan baginda diakan di Pekan Lama pada tahun 1938. Pada ketika itu Tengku Azam berusia 16 tahun manakala Sultan Abu Bakar berusia 34 tahun. Tengku Azam merupakan puteri kepada YAM Tengku Setia Raja Tengku Umar Ibni Sultan Sir Ahmad Al-Muazzam Shah dan YM Encik Engku Umaiyah Binti Engku Muda Mansur. Perkahwinan bersama Tengku Azam dikurniakan 8 putera dan 7 puteri. Putera baginda berdua ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Tan Sri Ibrahim, YAM Tengku Dato' Sri Abdulah, YAM Tengku Ismail(mangkat ketka kecil), YAM Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz, YAM Tengku Tan Sri Azlan, YAM Tengku Dato' Sri Azman, YAM Tengku Abdul Rahman, dan YAM Tengku Abdul Rashid. Manakala puteri-puteri baginda pula terdiri daripada YAM Tengku Datuk Putri Kamariah, YAM Tengku Intan Badariya, YAM Tengku Dato' Sri Nong Suraya, YAM Tengku Hajah Faridah, YAM Tengku Datuk Nur Aizah, YAM Tengku Datuk Zabedah dan YAM Tengku Nina. Tengku Hajah Azam mangkat pada 9 Julai 2014 pada usia 92 tahun.

Sultan Abu Bakar bersama Dato Maria Menado serta anakanada-anakanda.

Seterusnya Sultan Abu Bakar berkahwin dengan YBhg Che Mek Mas. Pasangan ini bercerai pada tahun 1953.Baginda dikurniakan seorang putera iaitu YAM Tengku Dato' Omar. Kemudian. Sultan Abu Bakar berkahwin buat kali ke-5 dengan YBhg Che Hafsah Binti Imam Mat pada 19 April 1953 di Istana Pahang, Kuala Lumpur, Che Hafsah ketika itu berusia 22 tahun dan merupakan bekas penari kumpulan Sentosa Joget di Lucky World, Kuala Lumpur manakala Sultan Abu Bakar berusia 49 tahun. Baginda dikurniakan dua orang putera iaitu YAM Tengku Dato' Muhammad dan YAM Tengku Dato' Sri Sulaiman. Pasangan ini bercerai. Perkahwinan Sultan Abu Bakar buat kali keenam adalah dengan YBhg Che Siti Zainab Binti Sheikh Ahmad. Kemudian, baginda berkahwin lagi dengan YBhg Che Hathifah Binti Abdul Rashid Alias pada 10 April 1957 di Bentong. Che Hathifah dilahirkan pada tahun 1937. Baginda dikurnia seorang puteri iaitu YAM Tengku Kalsum Suzanne. Perkahwinan terakhir dan yang kelapan buat Sultan Abu Bakar adalah dengan Yang DiHormati Dato' Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado. Pasangan ini berkahwin pada tahun 1963. Ketika itu Dato Maria berusia 32 tahun manakala Sultan Abu Bakar berusia 59 tahun. Dato Maria atau nama asalnya Liesbeth Dotulong dilahirkan di Menado, Sulawesi Utara pada 1931. Beliau merupakan bekas pelakon sekitar tahun 50an dan 60an. Baginda dikurniakan dengan dua orang putera iaitu YAM Tengku Idris dan YAM Tengku Baharuddin. Manakala puteri tunggal ialah YAM Tengku Nur Ashikin. Dato Maria Menado kini berusia 85 tahun.

Sultan Abu Bakar berbual bersama Sultanah Bahiyah dalam satu jamuan. Turut kelihatan Dato Maria Menado.

Sultan Abu Bakar terkenal sebagai seorang Sultan yang mudah didekati dan mesra rakyat. Baginda sentiasa menjelajah ke ceruk rantau negeri Pahang untuk bertemu dan mendekati rakyat jelata. Baginda merupakan salah seorang Sultan yang turut sama berjuang menyokong proses menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Pada zaman bagindalah lahir ramai pendekar dan pejuang yang handal di negeri Pahang. Sultan Abu Bakar adalah pengasas Askar Wataniah semasa pendudukan Tentera Jepun sekitar tahun 1940an. Pada tahun 1942, baginda telah bersetuju dengan orang-orang Melayu untuk menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah yang dikenali dengan nama "Pasukan 136". Pasukan ini diketuai oleh Yeop Mahidin, Dato Abdul Razak Hussein (YABhg Tun Abdul Razak Hussein), Dato Ghazali Shafie (YABhg Tun Ghazali Shafie) dan Abdul Rahman Ismail. Pada zaman Jepun inilah baginda menghadapai satu peristiwa cemas dimana baginda telah ditahan selama 27 hari di Ladang Getah Ng Tiong Kiat, Sungai Jerik bermula 17 Ogos 1945 hingga 9 September 1945. 


Zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar merupakan zaman emas bagi negeri Pahang. Di bawah pemerintahan baginda, ekonomi berkambang pesat.  Perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah giat dijalankan sejurus sahaja negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ibu negeri Pahang yang ketika itu berpusat di Kuala Lipis telah berpindah ke Kuantan. Pada Mac 1950, baginda telah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang. Baginda juga mewujudkan kembali jawatan Kadi Besar dan menubuhkan Sekolah Arab Tinggi yang diberi nama Al-Lughah Waddin Al Sultan Abu Bakar Pahang pada tahun 1941. 

Sultan Abu Bakar minat kepada seni budaya Melayu seperti gamelan, zapin, inang, canggong dan cinta sayang. Pada tahun 1972, baginda telah membawa balik gamelan ke negeri Pahang yang baginda beli daripada bonda saudara baginda KDYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Mariam. Baginda juga meminati sukan polo, tenis, lumba kuda, lumba perahu dan lain-lain sukan. Baginda banyak memegang jawatan dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan. Antaranya baginda bertindak sebagai Penaung Pertubuhan Palang Merah British Cawangan Negeri Pahang, Persatuan Bola Sepak dan Kriket Pahang, Kelab Polo Diraja Pahang, Persatuan Polo Diraja Malaysia, Persatuan St John Ambulance Pahang, dan lain-lain lagi. 

Sultan Abu Bakar dalam pakaian istiadat Sultan Pahang.

Sebagai Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar telah mewujudkan beberapa darjah kebesaran negeri Pahang. Antara darjah kebesaran yang diwujudkan baginda adalah Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Di-Hormati (D.K.) pada 25 Mei 1968 dan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia pada 27 Disember 1968. Selain itu, baginda juga menerima darjah kebesaran dari negeri-negeri lain termasuklah Darjah Kerabat negeri Perak, Kedah, Johor dan Brunei. Baginda juga menerima darjah Seri Utama Mahkota Negara (D.M.N.) daripada kerajaan persekutuan. Baginda juga menerima darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. Baginda juga dikurniai dengan darjah kebesaran dari British. Pada tahun 1935, baginda menerima pingat King George V Silver Jubilee daripada Raja England King George V. Kemudiannya pada tahun 1937, baginda berangkat ke England untuk menghadiri istiadat Kemahkotaan King George VI dan Queen Elizabeth dan baginda diberi pingat King George VI Coronation Medal. Selain itu, baginda juga dikurniakan dengan Queen Elizabeth II Coronation Medal pada tahun 1952. Baginda dikurnia dengan Companion  of the Order of St Michael & St George (C.M.G.) pada 2 January 1933. Seterusnya pada 3 Jun 1935, baginda dinaikkan kepada Knight Commander of the Order of St Michael & St George (K.C.M.G.) yang membawa gelaran Sir. Dan penganugerahan tertinggi kerajaan England untuk baginda adalah Knight Grand Cross of the Order of St Michael & St George (G.C.M.G.) yang membawa gelaran Sir.


Sultan Abu Bakar telah mangkat di Istana Peninjau, Pekan pada 7 Mei 1974. Baginda berusia 70 tahun dan telah 42 tahun memerintah negeri Pahang. Jenazah baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Masjid Sultan Abdullah. Baginda meninggalkan 18 putera dan 17 puteri melalui 8 perkahwinan baginda sebelum ini. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Ahmad Shah menaiki takhta menggantikan Sultan Abu Bakar dengan bergelar KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus'tain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin Al Muazzam Shah. Hari Hol Almarhum Sultan Abu Bakar disambut setiap 7 Mei dan hari ini merupakan cuti umum bagi negeri Pahang. Al Fatihah untuk Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abdullah Al-Muhtassim Billah Shah. 

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...