Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 13 September 2017

Pemasyhuran Sultan Kedah Ke-29.


Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah,75 dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29 menggantikan Almarhum kekandanya, KDYMM Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat pada 11 September 2017. Pemasyhuran itu dibacakan Menteri Besar Kedah YAB Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit di sini hari ini setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Tuanku Sallehuddin menyentuh keranda Almarhum kekanda baginda.

Istiadat Pemasyhuran Sultan Kedah yang ke 29 itu dibuat sebelum jenazah Almarhum Tuanku Abdul Halim dimakamkan. Perkara Sembilan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah adalah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja yang turut dianggotai Menteri Besar sebagai Yang Dipertua Majlis berkenaan.

Baginda diiring ke singgahsana.

Setelah dimasyhurkan, Pengelola Bijaya Diraja Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah Dato' Syed Unan Mashri Syed Abdullah kemudiannya menghadap Tunku Sallehuddin untuk mengiringi baginda ke singgahsana yang terletak di Dewan Penghadapan. Syed Unan kemudiannya melaungkan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali yang disambut oleh hadirin dan serentak itu paluan nobat dan tiupan nafiri dikumandangkan. Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadil Awang. Tunku Sallehuddin kemudiannya menyentuh keranda Almarhum Tuanku Abdul Halim, menandakan istiadat pemakaman akan dimulakan.

Baginda mengaminkan doa yang dibacakan Mufti Negeri Kedah.


Turut berangkat ke istiadat itu ialah KDYMM Sultanah Haminah, DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha Tengku Ariff, YTM Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah, YTM Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan YTM Tunku Laksamana Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Salehuddin Almarhum Sultan Badlishah. Turut berangkat puteri Almarhum, DYAM Tunku Soraya dan suami DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Bersemayam di atas takhta sebagai Sultan Kedah Ke-29





Sultanah Haminah bersalaman dengan Sultan Kedah yang baru.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...