Anda Pengunjung Ke :

Friday, 2 November 2018

DYMM Sultan Nazrin Memangku Tugas Yang Di-Pertuan Agong.


Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah yang juga Timbalan Yang Di-Pertuan Agong akan memangku tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong bermula 2 November 2018 sehingga 31 Disember 2018. Hal ini kerana KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan beristirehat untuk menjalani rawatan. 


Satu istiadat untuk baginda selaku Timbalan Yang Di-Pertuan Agong menandatangani watikah perisytiharan untuk menjalankan tugas dan fungsi sebagai Yang Di-Pertuan Agong telah diadakan di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur. Istiadat ringkas itu dimulakan dengan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membacakan watikah perisytiharan berkenaan di hadapan baginda. Baginda kemudiannya menerima tugas itu dengan menandatangani watikah tersebut sambil disaksikan YAA Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum. 



Perisytiharan baginda memangku jawatan Yang Di-Pertuan Agong adalah termaktub dalam Perkara 33 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Timbalan Yang Di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi sebagai Yang Di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan baginda. Turut hadir dalam istiadat berkenaan ialah YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, YBhg Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja YBhg Tan Sri Syed Danial, YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Dato' Seri DiRaja Tan Sri Zahidi Zainuddin, Ahli Dewan Negara Perak YBhg Datuk Seri Panglima Annuar Zaini dan beberapa tetamu kenamaan yang lain. Doa dibacakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri.




No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...