Anda Pengunjung Ke :

Saturday 3 November 2018

Khas Sempena Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak: Sultan Nazrin Shah, Raja Cendekiawan.

SULTAN NAZRIN SHAH, RAJA CENDEKIAWAN


Bersempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Yang Ke-62 pada 2 November 2018, Warisan Raja & Permaisuri Melayu ingin menulis satu post khas untuk DYMM Paduka Seri Tuanku. Diputerakan dalam keluarga diraja yang hidup secara sederhana pada tanggal 27 November 1956 di Pulau Pinang. Putera kepada pasangan Majistret Raja Azlan Shah Ibni Sultan Yusuf Izzuddin dan seorang guru Che Puan Bainun Mohd Ali. Mewarisi kepintaran dan kecerdikan paduka ayahanda dan bonda baginda, Sultan Nazrin mendapat pendidikan awal di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah 5 sebelum melanjutkan pelajaran ke St John Institution. Pada usia 13 tahun, baginda dihantar ke United Kingdom untuk belajar di Leys School, Cambridge. Baginda terus menyambung pelajaran di United Kingdom untuk peringkat ijazah di universiti terunggul dunia, Oxford University dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi. Baginda telah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Oxford University. 

Sultan Narin (barisan depan dua dari kiri) semasa menuntut di St John Institution.

Sultan Nazrin (barisan belakang nombor 4 dari kanan) semasa menuntut di Leys School.

Sultan Nazrin(barisan keempat nombor empat dari kanan) semasa menuntut di Oxford University.

Baginda yang sememangnya mencintai ilmu merasakan tidak cukup hanya sekadar memperoleh Ijazah Sarjana Muda. Baginda kemudiannya menyambung pelajaran dalam peringkat Sarjana di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat iaitu Harvard University. Baginda telah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam daripada Kennedy School of Government, Harvard University. Pencapaian tertinggi baginda dalam bidang pendidikan adalah apabila baginda melanjutkan pelajaran pada peringkat Doktor Falsafah (Ph.D). Baginda merupakan putera raja pertama dalam negara yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah. Baginda memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University. Kegigihan baginda untuk menuntut ilmu pada peringkat tertinggi didorong oleh kedua paduka ayahanda dan bonda baginda. 


Baginda bertuah kerana kedua paduka ayahanda dan bonda baginda juga merupakan pencinta ilmu dan melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Almarhum Sultan Azlan Shah merupakan lulusan perundangan daripada Nottingham Universiti manakala Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun merupakan lulusan Maktab Perguruan Kirkby, England. Disebabkan ketokohan baginda dalam bidang ilmu, baginda telah dilantik memegang pelbagai jawatan dalam pertubuhan dan badan berkaitan ilmu dalam dan luar negara. Baginda merupakan Felo Kehormat Worcester College, University of Oxford, dan juga Felo Magdalene College dan St Edmund College, University of Cambridge. Baginda juga dilantik sebagai salah seorang Chancellor's  Court of Benefactors di University of Oxford. 


Baginda juga merupakan Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Oxford University. Selain itu, baginda juga ialah Felo Diraja Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS), Felo Diraja Institut Kajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia (Institute of Strategic and International Studies-ISIS), Felo Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), dan Penaung Diraja Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia. Baginda juga dilantik sebagai Canselor Universiti Malaya menggantikan Almarhum paduka ayahanda baginda. Sultan Nazrin juga ialah Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) selain anggota Panel Peringkat Tinggi mengenai Pembiayaan Kemanusiaan di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 


Sumbangan baginda sebagai anggota panel tersebut pernah mendapat sanjungan termasuk daripada Presiden Bulgaria Rosen Plevneliev pada Sidang Peringkat Tinggi mengenai langkah menangani pergerakan besar-besaran pelarian dan migran, yang diadakan bersempena  Perhimpunan Agung PBB (UNGA) September lalu. Baginda juga merupakan Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia dan Penaung Diraja Amanah Anugerah Merdeka. Sultan Nazrin telah dianugerahkan Ijazah Kehormat daripada Nottingham University yang merupakan alma matter Almarhum ayahanda baginda. Baginda juga pernah dianugerahi dengan Ijazah Sarjana Kehormat Pengurusan Perniagaan daripada Cranfield Institute of Technology, United Kingdom dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi daripada Soka University, Japan. 


Baginda juga telah dilantik sebagai Penaung Pusat Pengajian Universiti Oxford Asia Tenggara. Sultan Nazrin juga merupakan Duta Khas Malaysia untuk Dialog Antara Ketamadunan dan Kepelbagaian Kepercayaan di Kesatuan Ketamadunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC). Sesungguhnya, ketokohan baginda dalam bidang ilmu mengangkat nama Malaysia di arena antarabangsa. Baginda selaku seorang Raja telah menunjukkan contoh yang terbaik untuk diikuti oleh rakyat jelata. Selamat Hari Keputeraan Ke-62 buat DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, seorang Raja yang cendekiawan dan ilmuwan.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...